Assalamualaikum dan salam aidilfitri kepada pensyarah yang dihormati Dr. Zambri dan rakan-rakan pelajar perubatan tahun dua UKM yang dikasihi. Diam tak diam tugasan satu untuk kursus ZT2253 Pengurusan Emosi sudah sampai ke penghujungnya dan ini adalah jurnal pembelajaran saya yang kelima dan merupakan yang terakhir untuk tugasan satu ini. Menjadi yang terakhir, pastinya terdapat tugasan istimewa untuk ditulis dalam jurnal ini. Sesi kuliah pada kali ini diadakan dengan 'flow' yang amat berbeza di mana tiada sesi pengkuliahan diadakan namun lebih kepada aktiviti interaktif. Terlebih dahulu Dr. Zambri telah menyenaraikan tiga tugasan untuk disempurnakan dalam jurnal pembelajaran yang kelima ini iaitu:
1) Mengaitkan teori Psychoanalytic dengan video yang ditayangkan pada jam 2 petang.
2) Menjawab soal selidik MBTI dan bincangkan kategori personaliti yang diperoleh daripada soal selidik tersebut.
3) Menjawab soal selidik Teori Besar Lima (Big Five Theory) dan bincangkan kategori personaliti yang diperoleh daripada soal selidik tersebut.
Saya terus kepada tugasan pertama iaitu membincangkan teori Psychoanalytic dan kaitannya dengan video yang ditayangkan. Sebenarnya, teori Psychoanalytic ini merupakan kesinambungan daripada topik kuliah Teori Fisiologi, Kognitif dan Psikoanalitik (FKP) pada sesi yang lalu. Teori Psychoanalytic yang diilhamkan oleh Sigmund Freud menyatakan bahawa pengalaman emosi adalah di luar sedar(unconscious). 'Unconscious' ini adalah kawasan di mana emosi yang berpersonaliti, motif, dan pengalaman pada masa lalu yang idak kita sedari namun ia mempengaruhi perlakuan kita dan kebanyakan pengalaman semasa kanak-kanak adalah secara tidak sedar. Daripada tayangan video yang bertajuk 'Childhood Experience' ini, apa yang dapat saya rumuskan ialah kebanyakan pengalaman yang dialami oleh 'narrator' pada zaman kanak-kanaknya telah mempengaruhi kepercayaan atau pegangannya hinggalah beliau dewasa. Dalam teori ini juga menyebut bahawa 'unconscious' adalah sumber emosi dan motivasi yang amat berkuasa. Ini dapat dilihat melalui pengalaman 'narrator' di mana beliau terus berpegang kepada kepercayaan yang tertanam dalam dirinya sejak kecil walaupun keadaan sering tidak menyebelahinya.
Seterusnya saya akan ke tugasan yang kedua iaitu membincangkan kategori personaliti yang diperoleh hasil daripada soal selidik MBTI. Daripada pembacaan lanjut tentang soal selidik ini, saya mendapati Myers-Briggs Type Indicator(MBTI) adalah soal selidik psikometrik yang dicipta untuk mengukur psikologi manusia dalam menghadapi kehidupan dan dalam membuat pilihan. MBTI ini dibangunkan oleh Katharine Cook Briggs dan anak perempunnya Isabel Briggs Myers. Dua beranak ini mencipta MBTI ketika Perang Dunia ke-2 dengan kepercayaan bahawa pengetahuan tentang jenis personaliti akan membantu kaum hawa dalam memilih jenis pekerjaan yang paling sesuai dengan mereka ketika zaman peperangan tersebut. Soal selidik ini dibahagikan kepada empat kategori dengan setiap satunya diberi dua pilihan karakter. Kami diminta memilih satu karakter bagi setiap kategori lalu menghasilkan kombinasi empat huruf yang menterjemahkan personaliti seseorang.
· Kategori pertama(E/I) : Pilihan antara Extraversion(E) dan Introversion(I)
· Kategori kedua(S/N) : Pilihan antara Sensing(S) dan Intuition(N)
· Kategori ketiga(T/F) : Pilihan antara Thinking(T) dan Feeling(F)
· Kategori keempat(J/P) : Pilihan antara Judging(J) dan Perceiving(P)
Daripada soal selidik ini, saya memperoleh kombinasi INTP yang menterjemahkan personaliti The Thinkers. Secara kasarnya, personaliti saya ini lebih cenderung kepada pemahaman tentang peristiwa yang berlaku di sekeliling saya dan banyak mempersoalkan serta mengkritik idea atau kejadian yang berlaku dalam memperoleh pemahaman tersebut. Pemikiran saya lebih kepada logik, analitik dan di luar daripada kenyataan yang berlaku. Saya juga mudah menyesuaikan diri dengan keadaan di sekeliling dan fleksibel serta kurang berminat untuk mengatur kehidupan. Di sini saya ingin mengulas secara terperinci setiap huruf yang melambangkan diri saya iaitu I, N, T, & P. I-Introversion, menggambarkan saya sebagai seorang yang 'fikir dahulu sebelum bertindak'. Saya juga lebih gemar untuk berkomunikasi secara 'personal' dengan hanya melibatkan dua individu dan tidak gemar untuk bercakap di khalayak ramai. Selain itu, saya lebih mudah memotivasikan diri sendiri tanpa dibantu oleh faktor luaran seperti keluarga atau rakan-rakan. N-Intuition, menggambarkan saya sebagai seorang yang 'kuat berangan', sungguh imaginatif. Saya mengakuinya kerana saya gemar memikirkan sesuatu yang bakal berlaku pada masa hadapan dan kadangkala tidak menyedari apa yang berlaku di sekeliling saya. Saya juga gemar mentafsir sesuatu perkara yang banyak kiasannya seperti sajak, syair atau kata-kata hikmat para cendekiawan. T-Thinking, menggambarkan saya sebagai seorang yang membuat keputusan berdasarkan logik dan fakta. Saya jugaa seorang yang mudah untuk mengeluarkan analisa yang kritikal dan objektif serta menerima konflik sebagai lumrah dalam sesuatu perhubungan. P-Perceiving, menggambarkan saya sebagai seorang suka melakukan pelbagai tugas dan tugas-tugas dapat dilaksanakan dengan baik apabila hampir dengan 'deadlines'. Saya amat bersetuju dengan gambaran yang diberikan dan mungkin ianya berlaku disebabkan sikap saya yang kadangkala gemar bertangguh. Seperkara lagi, saya seorang yang sukakan kebebasan dan tidak suka dikongkong.
Saya teruskan penulisan jurnal ini kepada tugasan yang ketiga iaitu membincangkan kategori personaliti yang diperoleh hasil daripada soal selidik Teori Besar Lima(Big Five Theory). Teori Besar Lima membahagikan personaliti kepada lima kategori utama iaitu Openness, Conscientiousness, Extraversion, Agreeableness, dan Neuroticism(Emotional Instability). Kaedah soal selidik Teori Besar Lima ini membahagikan soalan kepada lima bahagian iaitu A, B, C, D & E. Setiap bahagian mewakili personaliti tertentu iaitu :
· A – Openness
· B – Conscientiousness
· C – Extraversion
· D – Agreeableness
· E – Neuroticism (Emotional Instability)
Setiap bahagian mempunyai beberapa pecahan soalan dan subjek harus memberikan markah (0/1/2/3) bagi setiap soalan bersesuaian dengan personaliti subjek. Di penghujungnya, subjek harus menjumlahkan markah untuk setiap bahagian dan bahagian yang memperoleh markah tertinggi adalah kategori personaliti subjek tersebut. Hasil daripada soal selidik ini, saya memperoleh personaliti Openness. Personaliti 'openness' menggambarkan saya sebagai seorang yang menghargai seni dan emosi. Saya juga gemar kepada pengembaraan dan pengalaman yang baru. Selain itu, saya juga tertarik kepada idea-idea yang luar biasa dan unik serta seorang yang imaginatif. Secara intelektual, saya seorang yang mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi serta lebih berpegang kepada fahaman bukan konvensional. Saya juga sensitif pada perasaan diri sendiri dan menariknya saya juga sensitif pada kecantikan. Secara jujurnya, saya bersetuju terhadap beberapa pernyataan atau gambaran yang diberikan namun ada sesetengahnya merupakan perkara yang baru atau mungkin saya tidak menyedarinya sebelum ini. Antara perkara baru tersebut seperti berpegang pada fahaman bukan konvensional dan sensitif pada kecantikan. Walaubagaimanapun, saya gembira dengan kategori personaliti yang saya perolehi hasil daripada soal selidik ini.
Kesimpulannya, soal selidik personaliti ini telah membuka pandangan dan pemikiran saya tentang kepelbagaian karakter yang kita temui dalam kehidupan seharian kita terutamanya dalam masyarakat Malaysia yang majmuk ini. Aktiviti ini juga telah menjadikan saya lebih arif tentang karakter yang ada dalam diri saya sendiri yang mungkin ada sesetengahnya tidak saya sedari sebelum ini. Seharusnya kita menggunakan pengetahuan yang telah kita peroleh ini untuk memperbaiki kelemahan dan mengukuhkan lagi kekuatan yang ada dalam diri sendiri. Seterusnya, sebagai seorang yang hidup bermasyarakat kita haruslah menghargai dan menghormati kepelbagaian personaliti manusia kerana kepelbagaian inilah yang membawa kemeriahan dan warna-warni kehidupan.
No comments:
Post a Comment