Assalammualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan salam sejahtera saya ucapkan kepada pensyarah pengurusan emosi, Dr. Ahmad Zamri dan semua pembaca. Syukur ke hadrat Ilahi kerana atas limpah dan kurnia dari yang Maha Esa, maka saya diberi kesempatan oleh Nya untuk menulis jurnal pengurusan emosi saya yang kelima yang juga merupakan jurnal terakhir untuk kursus ZT 2253, Pengurusan Emosi, tahun 2 Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Untuk tugasan kali ini, kami telah diberikan tiga tugasan untuk dilengkapkan dan semua tugasan itu harus diulas dalam penulisan jurnal kali ini. Tiga tugasan utama itu ialah meneliti slide berkaitan Teori Psikoanalitik serta mengaitkan teori yang telah dipelajari dengan video yang dipertontonkan. Tugasan kedua pula ialah membincangkan kategori personaliti berdasarkan ujian MBTI dan membuat sedikit ulasan mengenai kategori personaliti anda berdasarkan Teori Besar Lima ( Big Five Theory ).
Dalam video yang telah dipertontonkan, ianya memaparkan kisah seseorang dari zaman kanak-kanak hingga zaman dewasa. Video ini menunjukkan bagaimana kehidupan seorang kanak-kanak yang tidak pernah memikirkan masalah. Saya pasti semua orang pernah merasai fasa kehidupan sebagai seorang kanak-kanak. Cuma, apa yang membezakan ialah samada perkara yang dilalui itu indah atau pun tidak. Namun, saya pasti, rata-rata daripada kita datang daripada keluarga yang bahagia. Sudah tentu, zaman kanak-kanak yang kita alami adalah indah-indah belaka. Ketika di zaman kanak-kanak, saya pasti kita tidak pernah merasa terbeban dengan apa jua masalah yang kita alami. Pendek kata, apa jua masalah yang kita alami, tidak pernah kita ambil berat hingga memeningkan kepala kita. Tambah pula, kita masih tidak memahami apa yang berlaku di sekeliling kita. Hal ini seumpama kita berada dalam satu dunia yang berbeza dan hanya memikirkan kebahagiaan diri kita sendiri. Namun, seiring dengan proses tumbesaran, kita semakin memahami apa yang berlaku di keadaan sekeliling kita. Di saat ini, kita mula berinteraksi dengan keadaan sekeliling kita dan kita mula memikirkan apa yang berlaku di sekeliling kita. Di saat ini jugalah, kita mula dibebani dengan masalah.
Menurut teori Psikoanalitik, personaliti semasa kita kecil dan besar adalah berbeza. Ketika di zaman kanak-kanak, pemikiran kita semasa kecil banyak dipengaruhi oleh personaliti kita. Bagaimana personaliti kita dibentuk oleh kedua ibu bapa, begitulah pemikiran kita akan dibentuk. Contoh yang paling mudah, ibu bapa sering memomokkan anak-anak dengan perkara-perkara superstitious seperti hantu, santau dan sebagainya. Perkara ini digunakan untuk mendidik anak-anak supaya berkelakuan baik. Namun, apabila anak-anak menginjak ke alam kedewasaan, kita seakan boleh berfikir sendiri. Perkara-perkara ini seperti tidak lagi mempunyai kesan terhadap diri kita. Di saat ini, kita boleh membezakan perkara-perkara yang benar dan menjadikan diri kita lebih pandai untuk menghadapi masalah. Malah, perkara ini turut membentuk personaliti dan peribadi kita sebagai seorang dewasa yang matang dan boleh menghadapi masalah yang bakal dilalui.
Sebenarnya, kehidupan ini adalah singkat. Sebagai manusia biasa, seharusnya kita menghayati detik-detik kehidupan kita dengan sebaik-baiknya. Memang benar, segala perkara dalam hidup kita telah ditakdirkan sejak azali lagi, oleh Allah SWT. Namun, sebagai insan biasa, kita seharusnya berusaha untuk mendapat apa yang dihajati. Oleh yang demikian, salah satu aspek untuk menangani kehidupan dengan baik adalah dengan menguruskan emosi dengan baik.
Sekarang mari kita berbicara mengenai personaliti. Apakah personaliti? Personaliti adalah gabungan beberapa ciri psikologi yang kita gunakan untuk menentukan serta menggambarkan seseorang itu berdasarkan sifat-sifat seperti agresif, pasif, tenang dan sebagainya. Myers-Briggs Type Indicator merupakan salah satu cara untuk menentukan jenis personaliti seseorang. Terdapat empat jenis ciri yang dibandingkan antara satu sama lain. Empat ciri tersebut ialah extrovert vs introvert, sensing vs intuitive, thinking vs feeling dan judging vs perceiving. Setiap orang hanya boleh menjadi seorang yang extrovert atau introvert, sensing atau intuitive, thingking atau feeling dan judging atau perceiving. Orang yang mempunyai ciri extrovert sering digambarkan sebagai yang pandai bergaul, tegas dan mempunyai kemahiran sosial yang baik manakala orang yang introvert adalah golongan sebaliknya, dengan sifat pemalu. Orang yang bersifat sensing ialah orang yang sangat berfikiran mendalam manakala orang yang bersifat intuitive lebih suka untuk berfikiran lebih luas. Untuk golongan thinker, mereka ini lebih menggunakan logik akal dan fikiran untuk menyelesaikan masalah manakala orang yang bersifat feeling lebih menjurus kepada penggunaan nilai-nilai emosi. Seterusnya, golongan yang mempunyai watak judging lebih suka berada dalam keadaan dikawal manakala orang yang bersifat perceiving lebih berperwatakan fleksible dan spontan.
Dalam video yang kedua, video ini memaparkan mengenai jenis-jenis personaliti. Terdapat dua jenis personaliti iaitu personaliti jenis A dan B. Untuk jenis personaliti A, golongan ini digambarkan sebagai golongan yang suka melakukan kerja dengan pantas dan tergesa-gesa. Mereka ini juga sering kelihatan kelam-kabut dan mereka ini bukanlah orang yang penyabar. Namun, mereka ini juga selalunya seorang yang perfectionist dan bersifat daya saing. Untuk jenis personaliti B, mereka ini adalah golongan yang berlawanan sifatnya dengan jenis personaliti A. Mereka ini lebih tenang dan selalu berkeyakinan dalam penampilan. Berdasarkan video ini, saya mempunyai personaliti jenis B, di mana saya lebih suka untuk membuat tugasan secara perlahan-lahan, di mana saya sering menganalisa masalah yang dihadapi sebelum saya mengambil tindakan.
Video seterusnya adalah video berkaitan dengan ujian MBTI. Menerusi ujian ini, kami telah diarahkan untuk menjawab soal selidik untuk menentukan jenis personaliti seseorang. Menerusi ujian ini, saya mendapati, saya merupakan golongan ISTP dimana saya merupakan seorang yang pemalu, saya lebih suka berfikir secara mendalam , lebih suka menggunakan logik akal dalam penyelesaian masalah dan saya seorang yang fleksible dan spontan. Walaupun bergelar seorang pelajar perubatan, namun perkara ini masih memerlukan saya untuk berfikir secara logik khususnya untuk menyelesaikan masalah menggunakan pemikiran kritikal.
Dan video terakhir pula berkaitan dengan Big Five Theory atau teori Besar Lima, di mana terdapat lima ciri dalam teori ini iaitu extroversion, iaitu personaliti yang menggambarkan seseorang itu sebagai seseorang yang sangat suka bergaul, sangat energetik apabila bergaul dalam komuniti serta seorang pencetus. Ciri kedua pula ialah aggreableness dimana golongan ini lebih bersifat berperikemanusiaan dan sangat mementingkan hubungan dengan orang sekeliling. Mereka ini bersifat baik hati dan suka mengalah. Ciri ketiga dalam teori Besar Lima ini ialah consciectiousness di mana golongan ini merupakan golongan yang sangat berdisiplin dan mereka lebih gemar merancang aktiviti terlebih dahulu berbanding dengan melakukan perkara-perkara spontan. Ciri seterusnya ialah emotion stability atau kestabilan emosi dimana golongan ini merupakan golongan yang suka berfikiran negatif. Mereka lebih suka menganggap sesuatu keadaan sebagai keadaan yang mengancam mereka, menyebabkan mereka lebih terdedah kepada stress. Dan ciri kelima ialah openness to experience. Golongan ini merupakan golongan yang berseni. Mereka sangat menghargai karya-karya sastera dan seni. Mereka ini sangat sensitif dengan perubahan perasaan mereka.
Selepas menonton video ini, saya berpendapat, saya merupakan golongan agreeableness di mana saya lebih suka mengalah dalam sesuatu perkara. Hal ini adalah untuk mengelakkan pergaduhan dengan rakan-rakan.
Secara kesimpulannya, terdapat pelbagai perkara yang telah saya pelajari dalam kuliah minggu ini di mana saya telah dapat ketahui tentang karakter personaliti saya. Sekian.
No comments:
Post a Comment