Monday, September 5, 2011

A131652 Nurul Afiqah Binti Mohd Hatim LJ05 Personalitiku

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
                Alhamdulillah bertemu kita sekali lagi di dalam penulisan jurnal pengurusan emosi ini. Diam tak diam ini merupakan penulisan jurnal terakhir saya di dalam kursus ini. Pada hari Rabu bersamaan dengan 24 Ogos 2011 yang lepas, saya telah menghadiri kuliah yang ke 5 untuk kursus ini. Kuliah pada kali ini berkaitan dengan emosi dan personaliti seseorang. Kuliah pada kali ini tidak sama seperti kuliah sebelum-sebelumnya kerana kuliah pada hari ini bukanlah berdasarkan kepada nota kuliah seperti kebiasaannya.
                Kuliah pada hari ini adalah berdasarkan kepada 3 tugasan yang perlu kami lakukan sepanjang kuliah.  Tugasan yang pertam ialah kami perlu membaca nota kuliah tentang Teori Psikoanalitic. Kemudian kami perlu mendengar dan menonton klip video pertama yang ditayangkan. Kami dikehendaki untuk mengaitkan apa yang ada dalam video tersebut dengan teori yang telah dibaca. Tugasan yang kedua pula, kami perlu menjawab soal selidik MBTI di mana di akhir ujian tersebut, saya dapat mengetahui kategori personaliti saya dan perlu dibincangkan di dalam jurnal. Tugasan yang ketiga pula, kami perlu menjawab soal selidik Teori Besar Lima (Big Five Theory) dan bincangkan personaliti yang saya perolehi.
                Berkaitan dengan tugasan yang pertama, pada jam 2 petang DR telah menayangkan satu video yang bertajuk "Childhood Experience". Tayangan video ini mengisahkan tentang pengalaman hidup seseorang pada zaman kanak-kanak yang mempunyai pemikiran yang berbeza sewaktu kanak-kanak dengan pemikirannya apabila menginjak dewasa. Sewaktu zaman kanak-kanak, beliau berasa penat untuk menjadi seorang yang baik setiap masa dan beliau tidak percaya kepada sesiapa. Hal ini kerana beliau pernah dikhianati. Walaupun pernah dikhianati, kita perlulah berfikiran positif kerana kita masih lagi boleh mencari kawan yang baru. Apa yang saya peroleh daripada video ini yang mungkin kita boleh kongsikan bersama ialah setiap masalah yang timbul ada jalan penyelesaiannya. Setiap sesuatu itu berlaku pasti ada hikmah disebaliknya  seperti kata-kata ini "Allah turunkan hujan sebab nak berikan pelangi kepada kita". Selain itu, janganlah kita berpura-pura menjadi orang yang baik demi menjaga perasaan orang lain. Kita perlulah sentiasa berfikiran positif dan matang untuk menghadaapi segala masalah didalam kehidupan kita serta bijak mengurskan emosi kita.
                Video yang kedua yang bertajuk "Types of Personality" memperkenalkan kami kepada 2 jenis personaliti iaitu Personality Type A dan Personality Type B. Bagi personaliti A, orang-orang yang memiliki personality jenis ini cenderung untuk melakukan perkara-perkara seperti makan dengan cepat, bangun awal, selalu dalam keadaan tergesa-gesa, tidak sabar, sentiasa teratur, mementingkan kesempurnaan, cenderung untuk sentiasa melihat jam, memandu dengan laju serta berdaya saing. Orang yang memiliki personaliti jenis ini dikatakan lebih cenderung untuk mendapat masalah tekanan dan penyakit jantung.kebiasaannya juga, orang-orang seperti ini tidak ramai yang ingin mendekati mereka disebabkan sikap mereka yang mudah marah dan amat mementingkan kesempurnaan.
                Seterusnya ialah jenis personaliti B, mereka yang memiliki jenis personaliti ini lebih gemarkan sesuatu aktiviti yang dalam keadaan yang tenang, sabar dan mudah untuk menyesuaikan diri dalam keadaan yang berbeza-beza. Mereka lebih cenderung untuk melakukan perkara seperti memanddu mengikut had laju, makan perlahan-lahan, cakap perlahan-lahan, serta tidak mudah berasa bimbang ataupun tergesa-gesa. Kategori personaliti ini lebih mudah didekati oleh orang ramai dan disenangi kewujudannya.
                Type A and B personality adalah cara yang paling senang untuk mengkategorikan personaliti manusia. Ianya lebih popular berbanding yang lain. Jika dilihat dari kategori ini, saya merasakan yang saya memiliki personality type B. Hal ini kerana saya merasakan yang saya seorang yang sabar dalam menghadapi sesuatu masalah dan cenderung untuk memikirkan sesuatu jalan penyelesaian dengan tenang bukan dengan tergesa-gesa.
                Seterusnya masuk kepada tugasan yang kedua. Kami telah diberi peluang untuk melakukan ujian soal selidik  personaliti Myers-Briggs Type Indicator (MBTI) untuk mengetahui jenis personaliti kami. Terdapat 4 jenis personaliti  yang terdapat dalam MBTI iaitu "Extraversion or Introversion", "Sensing or Intuition", "Thinking or Feeling" dan "Judging or Perceiving".  Dalam ujian ini  saya mendapat personality jenis "ISFP" iaitu "Introversion", "Sensing", "feeling", dan "Perceiving". Individu yang memiliki personaliti ISFP kebiasaannya mempunyai kerjaya sebagai pelukis. Jujur saya katakan saya juga gemarkan sesuatu yang berseni dan kreatif namun begitu saya tidaklah terlalu pandai untuk melukis seperti golongan profesional.
                Menerusi pembacaan saya golongan ISFP kebiasaannya mempunyai ciri-ciri berikut. Golonga ini amat mementingkan kesedaran terhadap persekitaran mereka, jujur dan setia kepada seseorang mahupun sesuatu perkara yang penting kepada mereka. Mereka bersikap individualistik iaitu tiada keinginan untuk mengetuai mahupun menjadi pengikut. Memiliki hubungan yang istimewa terhadap kanak-kanak dan haiwan. Mereka dikatakan oleh dipercayai, sensitif tetapi baik hati. Mereka lebih cenderung untuk menghulurkan bantuan kepada orang lain dn tidak gemar untuk mengharapkan bantuan daripada orang lain. Mereka juga tidak suka untuk terlalu dikongkong dan mereka memerlukan ruang dan kebebasan untuk melakukan sesuatu dengan cara mereka sendiri. Jika dilihat daripada perkara-perkara ini, ada diantaranya sangat bertepatan dengan jiwa saya. Antara cabang kerjaya yang sesuai dengan individu yang memiliki personaliti jenis ini ialah pereka, kaunselor, guru, psikologist, pakar kanak-kanak dan juga penjaga kanak-kanak.
                Seterusnya adalah tugasan yang ke 3 iaitu menjawab soal selidik berkaitan Big Five Theory.  Terdapat lima faktor yang terdapat di dalam teori ini iaitu, "Openness", "Consientiousness",  "Extraversion", "Agreeableness", dan "Neuroticism" (OCEAN). Setelah menjalani ujian ini, saya telah mendapat "Consientiousness". Individu yang mendapat personaliti jenis ini merupakan seorang yang kehidupannya lebih teratur dan jika dilihat pada rumah dan tempat kerja mereka sentiasa teratur dan kemas. "conscientiousness" juga berkait rapat dengan kejayaan seseorang didalam bidang akademik. Pekerja yang memiliki personaliti ini juga merupakan seorang yang rajin, lebih bermotivasi terhadap kerja mereka. Saya memiliki personaliti jenis ini turut bersetuju dengan beberapa tingkah laku yang saya temui melalui pembacaan saya yang berkaitan dengan personaliti ini. Saya seorang yang suka kepada kekemasan sesuatu tempat. Jika dilihat pada bilik saya, buku-buku sentiasa tersusun pada tempatnya dan saya tidak suka menyepahkan pakaian ataupun barangan saya di merata-rata tempat. Saya juga seorang yang akan melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh sehingga selesai. Oleh yang demikian, conscientiousness merupakan personaliti yang bersesuaian dengan jiwa saya.
                Akhir kata, menerusi ujian soal selidik yang dilakukan kita dapat mengetahui serba sedikit mengenai personaliti diri kita sendiri. Kita turut dapat mengetahui kelebihan dan kekurangan sesuatu personaliti itu. Walaupun terdapat kekurangan didalam personaliti yang diperoleh, ianya bolehlah dijadikan sebagai panduan serta garis sempadan kepada kita agar tidak terlalu mengikut emosi semasa melakukan sesuatu tindakan agar tidak menimbulkan kemudaratan kepada diri sendiri. Walaubagaimanapun, personaliti seseorang itu tidak dapt diukur dengan tepat kerana personaliti seseorang itu berkait rapat dengan emosi mereka.
Sekian.

No comments:

Post a Comment