Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Jurnal pada minggu ini diteruskan lagi untuk kali keduanya. Alhamdullilah, pertama sekali saya tertarik dengan teknik pengajaran yang dilaksanakan sewaktu kuliah yang ketiga oleh Dr Zamri pada hari Rabu bersamaan 3/8/2011. Dua kuiz yang dilakukan pada hari tersebut yang mengandungi sebanyak dua puluh soalan sedikit sebanyak membantu saya mengulangkaji topik yang telah diajar pada minggu yang sebelumnya. Selain itu, penglibatan sewaktu menjawab kuiz tersebut telah membantu saya untuk memberi perhatian dalam kuliah dan menghilangkan daripada rasa mengantuk sewaktu di dalam kuliah.Kuliah pada minggu ini menyentuh mengenai teori Izard's Innate Facial Expression,teori Pembelajaran dan Pengalaman dan topik baru mengenai emosi positif.
Melalui catatan saya seperti di dalam jurnal sebelum ini, Izard's Innate Facial Expression telah melakukan dua jenis kajian seperti 'born to smile studies' dan kajian silang budaya. Melalui "born to smile studies" terdapat kritikan di dalam kajian ini, di mana apabila seorang bayi itu senyum tidak bermakna ia memberikan emosi kegembiraan sebaliknya ianya hanyalah medium komunikasi yang diperlihatkan kepada orang yang memandangkan bayi tersebut. Seperti apa yang telah dipelajari,bayi dapat menunjukkan emosi yang berbeza mereka apabila mereka semakin membesar mengikut bilangan bulan umur mereka.Antaranya ialah ketika mereka berumur 3 hingga 4 bulan mereka mempunyai emosi untuk marah dan terkejut. Saya cuba mengaplikasikan kajian 'born to smile studies' ini kepada anak saudara saya yang berusia 2 bulan. Saya mendapati dia tersenyum tanpa diagah oleh orang disekelilingnya. Senyuman bayi hanya mimik muka sahaja tanpa mempunyai sebarang emosi di sebaliknya.
Selain itu, kajian yang dilakukan oleh Paul Ekman melalui kajian silang budaya dibeberapa buah Negara contohnya di US, Brazil dan beberapa buah tempat lagi.Beliau mendapati terdapat persamaan mimik muka berserta emosi. Melalui kajian ini, mereka mendapati bahawa muka kegembiraan itu lebih daripada muka sewaktu ketakutan. Pada pendapat saya, seseorang itu akan menunjukkan wajah kegembiraan apabila di berasa selesa di dalam sesuatu keadaan. Sudah pasti emosi mereka akan lebih berasa tenang dan gembira walaupun dalam apa jua keadaan apabila mereka berada dalam keadaan yang mereka suka dan selesa. Bayangkan, jika anda berada di suatu tempat yang tidak akan ketahui kemana anda dibawa, sudah pasti akan berasa tidak selamat dan dalam keadaan ketakutan.
Seterusnya teori 'learning dan experiences' .Teori ini mengemukakan dua perkara iaitu dari segi biologikal dan pembelajaran yang berbeza pendapat. Teori biologikal mengemukakan bahawa pembelajaran itu hanya mempunyai sedikit peranan dalam emosi. Berbanding teori pembelajaran yang mengatakan bahawa emosi itu dapat diperolehi melalui pembelajaran dan pengalaman. Sejauh manakah kebenaran dua teori ini ? Saya lebih menyokong kepada teori pembelajaran. Pada pendapat saya sendiri, melalui pembelajaran itu seseorang akan memperolehi pengalaman yang sangat berharga. Pengalaman itu sudah tentu mempunyai lipatan memori yang mempunyai pelbagai emosi terkandung di dalamnya. Contohnya, melalui pengalaman saya sendiri apabila menyertai pertandingan Amazing Race yang dianjurkan oleh belia GB4B.Perasan sewaktu mengikuti pertandingan itu berubah – ubah daripada teruja, gembira, marah, sedih dan bermacam – macam lagi.Semuanya hasil daripada tugasan yang perlu dijalankan bagi memastikan saya sampai kepada destinasi penamat. Nyata, apabila kita berhadapan dengan sesuatu keadaan kita akan memberikan pelbagai jenis reaksi bergantung kepada cara kita menerima keadaan tersebut.Pelbagai jenis keadaan atau contoh pengalaman lain yang dapat melahirkan emosi secara zahir contohnya menghadiri kuliah,mengendalikan mesyuarat, mengendalikan majlis – majlis yang secara kecil- kecilan mahupun besar – besaran.
Saya pasti semua orang di dunia ini pernah merasai nikmat kebahagiaan yang dapat dizahirkan melalui perasaan gembira. Apa itu bahagia ? Bagaimana untuk mengecapi kebahagiaan ? Kegembiraan dan kebahagiaan itu pada saya bergantung kepada individu itu sendiri bagaimana mereka mengistilahkan definisi kebahagiaan dalam hidup mereka sendiri. Pada sesetengah orang mungkin mereka akan merasa bahagia apabila dapat mengisi perut mereka dengan makanan namun pelik juga bagi mereka yang berasa takut untuk menjamu selera kerana takut berat mereka bertambah. Definisi kegembiraan ini mempunyai skop yang sangat luas dan mengambil kira kesemua benda yang wujud di dalam dunia ini. Namun saya ingin menyentuh kegembiraan yang dapat diperolehi melalui materialisme dan spiritual.
Bagaimana materialisme dapat memberikan kebahagiaan kepada seseorang ? Cuba bayangkan jika seseorang menghadiahkan kepada kita jam yang sangat mahal kepada kita bersempena ulang tahun hari lahir kita, apakah reaksi kita ? Gembira bukan ? Apa jua bentuk material yang kita terima mahupun kita beli atas keperluan kita sendiri sudah tentu dapat memberikan kita peluang untuk merasai nikmat kebahagiaan yang mungkin seketika ataupun kekal. Nikmat kebahagiaan tidak kekal, mungkin hari ini kita dapat jam yang mahal mana tahu besok pulanya jam itu dicuri. Pada saya, harta benda hanyalah antara aparatus ujian yang diberikan kepada hamba – hamba Nya untuk melihat sejauh mana kekuatan iman kita kepada Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki.Adakah dengan segala yang kita perolehi pada hari ini menjadikan kita seorang yang bersyukur di atas muka bumi ini atau menjadikan kita seorang yang kufur nikmat. Adakah bahagia kita itu untuk dunia dan akhirat ?
Firman Allah dalam surah Al – Anfal ayat 28 :
"Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak – anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allah ada pahala yang besar ."
Saya teringat melalui pembacaan kisah – kisah pengajaran umat terdahulu melalui kisah Qarun yang terkenal dengan kekayaannya. Namun disebabkan kekayaan yang dia perolehi itu menjadikan dia seorang yang sangat angkuh dan bongkak kerana dia menganggap segala kekayaan yang dimiliki itu adalah semata – mata hasil jerih payahnya dan hasil kecekapan serta kepadaiannya berusaha dan bukannya atas kurniaan atau pemberian daripada sesiapa pun. Apakah apabila kita mempunyai sesuatu benda itu menjadikan kita seorang yang lebih bahagia atau lebih tertutup hatinya ?
Akhir sekali ,saya ingin menyentuh kebahagiaan yang dapat diperolehi melalui spiritual. Spiritual merupakan ekspresi dalaman ataupun rohani seseorang. Spiritual itu apabila kita sentiasa berbalik kepada perkara asas dalam hidup dengan sentiasa bertanya beberapa soalan utama iaitu tujuan penciptaan di atas bumi ?, ke manakah destinasi kita selepas ini? Pada pengalaman saya sendiri, jika kita mempunyai kebahagiaan spiritual itu sudah cukup untuk memberikan kepada kebahagiaan yang lain seperti kebahagiaan emosi dan lain – lain. Hati ini sentiasa terikat kepada Sang Pencipta dengan sentiasa mengagungi kebesaran yang menciptakan segala –galanya. Dengan itu, datangnya suatu nilai syukur dalam diri dan daripada situ kita akan sentiasa bersikap sederhana dan sudah tentu menjadikan kita seorang yang gembira dalam apa jua keadaan meskipun keadaan itu ketika senang ataupun susah.
No comments:
Post a Comment