Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Bertemu kembali dalam penulisan jurnal saya yang kedua. Jurnal saya pada kali ini adalah berlandaskan kepada kuliah kursus ZT2253 pada 3 Ogos yang lalu. Kuliah pada kali ini merupakan gabungan antara sambungan kuliah pada minggu lalu serta tajuk baru, iaitu emosi positif. Kuliah dimulakan dengan sambungan kuliah yang lepas mengenai emosi berkaitan teori yang terakhir, iaitu teori Izard. Dalam kuliah ini, saya telah mempelajari sesuatu yang baru berkenaan "Born to smile study". Dalam kajian ini ada menyatakan bahawa semasa lahir semua bayi memiliki ekspresi emosi. Emosi tersebut akan berkembang dari semasa ke semasa sejajar dengan peningkatan umur mereka. Perasaan marah dan terperanjat wujud ketika usia 3-4 bulan, malu dan takut pada usia 5-6 bulan, ekspresi kepuasan pada usia 1 tahun dan perasaan bersalah pada usia 2 tahun. Sebelum ini, saya tidak pernah tahu mengenai emosi yang muncul dengan peningkatan usia bayi. Walau bagaimanapun, terdapat kritikan bahawa senyuman bayi tidak melambangkan bayi itu gembira, tetapi senyuman bayi merupakan satu alat komunikasi.
Adakah emosi seseorang dapat ditafsir dengan hanya melihat gambar? Kajian Ekman telah menyatakan bahawa persoalan tersebut adalah benar. Namun, terdapat beberapa kritikan telah timbul. Oleh itu, beberapa kajian telah diadakan di Borneo dan New Guinea dan keputusan telah mengesahkan pernyataan tersebut. Ekman menyatakan ekspresi emosi bukan sepenuhnya semula jadi tetapi berubah mengikut pengalaman budaya.Paul Ekman turut menyokong kesejagatan mimik muka dengan emosi. Walau bagaimanapun, wajah gembira adalah dominan dan lebih mudah dikenal pasti dari wajah takut. Melalui pengalaman serta pemerhatian saya, emosi seseorang boleh dibaca melalui mimik muka orang tersebut. Misalnya, sekiranya seseorang itu tengah gembira, pasti mukanya berseri-seri serta dihiasi senyuman sepanjang masa. sekiranya seseorang itu dalam kesedihan pasti mimik mukanya kusam dan tidak bermaya. Namun, senyuman tidak sepenuhnya melambangkan kegembiraan seseorang. Terdapat juga individu yang pandai menyembunyikan kesedihan atau kemarahan mereka melalui senyuman. Sebagai contoh diri saya sendiri. Saya amat sukar memarahi orang lain walaupun saya tahu saya sangat marah terhadap individu tersebut tetapi saya tidak tahu bagaimana hendak meluahkannya. Saya lebih selesa menyembunyikan perasaan marah atau sedih saya dengan senyuman serta ketawa. Oleh itu, pada pandangan saya, tidak semua emosi dapat ditafsir melalui mimik muka. Hal ini bergantung kepada individu tersebut kerana hanya kita yang mengenali diri kita dengan lebih mendalam.
Di bawah teori Izard juga terdapat dua teori, iaitu "biological view of experience" dan "learning theory view of experience". Melalui pandangan biologikal, pembelajaran memainkan peranan yang kecil dalam emosi. Plutchik menyatakan emosi merupakan ekspresi genetik seseorang secara langsung dan dimodifikasi oleh pembelajaran. Izard pula menyatakan emosi muncul pada bulan-bulan pertama kelahiran untuk mempengaruhi tingkah laku bayi tersebut. Emosi timbul melalui rangsangan yang berbeza dalm individu yang berbeza. Sebagai contoh, perasaan takut. Saya ingin mngambil contoh melaui pemerhatian saya sewaktu prosedure kemahiran klinikal pada petang tadi. Setiap orang memiliki perasaan yang berbeza. Terdapat individu yang sangat teruja kerana ini merupakan kali pertama kami belajar mengambil darah orang lain, tetapi ada juga yang sangat takut sejurus saja mereka melihat jarum. Hal ini berlaku mungkin kerana stimulasi yang berbeza oleh setiap individu. Individu yang teruja mungkin tidak pernah mengalami sebarang kecelakaan berkaitan dengan jarum atau apa-apa yang berkaitan, tetapi mungkin individu yang takut mempunyai pengalaman pahit berkaitan jarum atau apa-apa pengalaman berkaitan proses pengambilan darah. Oleh itu, emosi merupakan perasaan semulajadi yang timbul yang dipengaruhi oleh pengalaman. Teori kedua ialah teori pembelajaran. Menurut teori ini, semua emosi adalah dipelajari. Melalui kajian Albert, manusia boleh memperolehi perasaan takut melalui proses pembelajaran.
Kuliah kedua pula berkisar tentang emosi positif. Dalam tajuk ini, Dr. Zamri telah memberi penekanan mengenai kebahagiaan, kasih sayang dan kegembiraan. Kuliah ini juga telah memberi input baru kepada saya mengenai falsafah-falsafah serta pandangan-pandangan yang wujud berkaitan kegembiraan dan kasih sayang. Menurut pandangan Aristotle, kebahagiaan merupakan hasil kepada pencarian ke arah keseronokan, manakala Plato pula menyatakan punca kebahagiaan ialah kehidupan yang mulia. Epicurean turut memiliki pandangannya yang tersendiri, iaitu kebahagiaan wujud dengan memaksimakan kesseronokan dan meminimakan penderitaan. Kajian-kajian telah menunjukkan kebahagiaan berbeza daripada satu negara dengan negara yang lain. Budaya-budaya di Asia, tahap kegembiraan adalah lebih rendah berbanding dengan yang lain, manakala orang yang paling bahagia adalah mereka yang tinggal di Amerika Utara, Australia dan Eropah. Adakah kita bahagia? menurut kuliah yang disampaikan oleh Dr. Zamri, orang yang bahagia adalah lebih pandai menyesuaikan diri dan orang yang tahap penyesuaiannya lebih tinggi adalah lebih baik dalam mengatasi masalah. Kebahagiaan boleh diklasifikasikan kepada dua, iaitu jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Menurut Kozma, kegembiraan bersamaan campuran jangka masa pendek dan jangka masa panjang.
Freud menyatakan hubungan kita dengan ibubapa adalah penting dalam menentukan kebahagiaan dah sejauh mana kita dapat menyesuaikan diri. Pernyataan ini boleh dianggap benar. Sebagai contoh, golongan remaja yang mempunyai masalah sosial pada zaman ini. Apakah punca sebenar kepada masalah sosial remaja masa kini? Sekiranya kita melihat dengan teliti, masalah sosial berpunca daripada ibu bapa -sendiri. Ibu bapa pada masa kini lebih mementingkan kerjaya dan wang ringgit daripada anak-anak. Kurangnya kasih sayang daripada ibu bapa menyebabkan remaja mencari penyelesaian lain bagi mendapatkan perhatian. Penceraian juga menjadi punca utama kepada masalah ini. Anak-anak memberontak apabila mereka tidak mendapat kasih sayang daripada salah seorang ibu atau bapa. Semua masalah ini berpunca daripada kebahagiaan di rumah sendiri. Sekiranya keluarga tersebut bahagia, kecenderungan anak-anak kepada gejala sosial akn berkurang sekaligus mengurangkan gangsterism serta vandalism yang semakin berleluasa kini.Oleh itu, kebahagiaan amat penting dalam kehidupan kita. Namun begitu, kebahagiaan harus dicari kerana kebahagiaan tidak akan datang secara langsung kepada kita. Kasih sayang hendaklah wujud bagi melengkapkan kebahagiaan.
Kuliah diteruskan dengan perkahwinan dan kebahagiaan. Adakah perkahwinan dapat membahagiakan seseorang? Menurut kajian Vanfossen, 1981, lelaki dan wanita mendapat kebahagiaan daripada perkahwinan. Orang yang berkahwin lebih gembira daripada yang tidak berkahwin. Namun, untuk mendapatkan kebahagiaan dalm rumahtangga, mestilah wujudnya kasih sayang yang berpanjangan antara suami dan isteri. Antara kualiti kasih sayang adalah hubungan yang erat, prihatin dan kepercayaan. Sekiranya tiada kualiti-kualiti tersebut maka tidak lengkaplah kasih sayang kita. Terdapt tiga faktor berkaitan kasih sayang, iaitu komitmen, keintiman dan keghairahan. Kesemua faktor ini hendaklah dimiliki oleh setiap pasangan suami dan isteri, jika tidak, tidak lengkaplah sesebuah rumahtangga itu. Namun begitu, mengapa semakin banyak kes penceraian yamg berlaku pada masa kini? Dari pandangan saya, keberantakan sesebuah rumahtangga itu berpunca daripada pasangan suami isteri itu sendiri. Sekiranya mereka memiliki kesemua kualiti dan faktor kasih sayang di atas, maka rumahtangga mereka akan bahagia dunia dan akhirat. Pada saya, kepercayaan merupakan kualiti yang paling penting. Dengan kepercayaan pelbagai masalah dapat diselesaikan tetapi sekiranya kurang kepercayaan pelbagai masalah boleh timbul.
Dengan ini, saya berpendapat bahawa kebahagiaan dan kasih sayang tidak dapat diukur oleh orang lain. Hanya diri kita sendiri yang mengetahui sejauh mana kita bahagia dan sedalam mana kasih sayang kita. Kebahagiaan dan kasih sayang juga tidak dapat dipisahkan. Kebahagiaan timbul apabila timbulnya kasih sayang antara satu sama lain. Dalam kuliah ini juga Dr. Zamri telah mengadakan dua kuiz berlaiatan kuliah yang lepas. Melalui kuiz ini, saya dapat mengukur sejauh mana kefahaman saya mengenai emosi. Walau bagaimanapun, kumpulan saya kurang bernasib baik kerana kami hanya mampu mengumpul 17 daripada 20 markah. Kekalahan pada hari itu tidak bermakna kami akan kalah selama-lamanya. Kami berazam akan melalukan yang lebih baik pada kuiz akan datang. Kami akan lebih bersedia dan lebih berhati-hati sewaktu memilih jawapan. Setakat ini sahaja jurnal saya pada kali ini. Semoga kita bertemu lagi dalam jurnal-jurnal yang akan datang.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment