Thursday, August 4, 2011

VITTARINO BIN JOHNNY, A131865, LJ02, EMOSI & KEBAHAGIAAN HIDUP

PENGURUSAN  EMOSI (ZT2253)
VITTARINO BIN JOHNNY, A131865, LJ02, EMOSI & KEBAHAGIAAN HIDUP
Salam sejahtera, salam perpaduan dan salam satu Malaysia saya ucapkan kepada rakan-rakan sekalian dan pensyarah kita, Dr. Zambri. Jika pada minggu lepas, kita telah mempelajari tentang pengenalan dan juga struktur dan ekspresi emosi, manakala pada minggu ini pula kita mempelajari selebihnya tentang struktur dan ekspresi emosi serta tentang kebahagiaan. Pada pendapat saya, kuliah pada minggu ini lebih menyeronokkan berbanding minggu lepas khususnya kuliah tentang kebahagiaan. Tambahan pula, terdapat kuiz yang dijalankan. Meskipun tidak mendapat markah penuh daripada kesemua 20 soalan tetapi cukup menyeronokkan dan mencabar kerana melatih minda kami untuk mengingati semula apa yang telah kami pelajari pada minggu lepas. Malahan, kuiz ini juga melatih semangat bekerjasama antara kumpulan.
Pertama sekali saya ingin berkongsi tentang apa yang kami telah pelajari tentang sambungan kuliah minggu lepas, struktur dan ekspresi emosi. Kami telah mempelajari tentang teori 'Izard's Innate Facial Expression' dan 'Learning & Experience Theories'. 'Izard's Innate Facial Expression' menyatakan bahawa emosi itu adalah semula jadi, pembelajaran hanya mempunyai impak yang kecil dalam pengalaman emosi. Dua kajian telah dibuat iaitu kajian terhadap bayi yang baru dilahirkan sama ada mereka pandai bersenyum atau tidak dan kajian rentas budaya. Misalnya, bayi setelah lahir akan tahu untuk bersenyum, apabila semakin membesar menjelang tiga atau empat bulan akan mempunyai perasaan marah dan terperanjat, apabila berumur lima atau enam bulan mempunyai perasaan takut dan malu, apabila berumur satu tahun akan pandai berasa puas dan apabila berumur dua tahun mula tahu berasa bersalah setelah melakukan kesalahan. Semua ini jelas kelihatan melalui ekspresi muka mereka. Namun demikian, kajian ini mendapat kritikan contohnya, apabila kita melihat bayi itu senyum tidak semestinya dia berasa gembira. Mungkin dia senyum kerana melihat kita senyum terhadapnya. Seterusnya tentang kajian rentas budaya. Ekman telah membuat kajian di beberapa buah negara antaranya ialah Amerika, Brazil, Chile, Argentina dan Jepun. Dia membuat soal selidik dengan bertanya kepada para responden untuk mengenali emosi yang ditunjukkan dalam setiap gambar. Sama seperti kajian yang pertama (kajian terhadap bayi yang baru dilahirkan), kajian ini tidak terlepas daripada kritikan. Krtikan yang diberikan ialah, semua negara tempat kajian itu dijalankan merupakan negara-negara yang berpendidikan tinggi. Hal ini bermaksud respondennya ialah orang yang berpelajaran dan amat mudah untuk mereka menjawab soalannya itu. Ekman terus mengadakan lebih banyak kajian di beberapa tempat yang lain seperti di Borneo dan New Guinea. Hasilnya, keputusan menunjukkan apa yang dipercayai olehnya betul. Paul Ekman (1994) menyokong kenyataan bahawa kesejagatan mimik muka dengan emosi. Dia juga menyatakan ekspresi emosi itu bukanlah seratus peratus semula jadi kerana ekspresi emosi juga boleh dipengaruhi oleh pengalaman budaya yang dialami. Analisa tentang gambar-gambar ekspresi muka (Pilowsky & Katsikitis, 1994) telah digunakan dalam kajian-kajiannya (Ekman, 1971 – di Borneo dan New Guinea). Dia turut mendapat tahu bahawa wajah gembira (95 – 100%) adalah lebih dominan dan mudah dikenal pasti berbanding dari wajah takut (54-85%). Kajian yang dijalankan oleh Ekman disokong oleh kajian yang dijalankan oleh Scherer dan Wallbott (1994) yang meneliti kajian meliputi 37 buah negara dan 5 buah benua di seluruh dunia. Mereka mendapati bahawa konsep kesejagatan emosi wajah adalah mantap dan stabil. Apa yang berbeza hanyalah bagaimana sesuatu emosi itu dialami dan dikawal, bukan bagaimana emosi itu dihasilkan. Teori yang terakhir dalam struktur dan ekspresi emosi ialah 'Learning & Experience Theories'. Teori ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu berdasarkan pandangan biologi dan teori pembelajaran. Dalam pandangan biologi menyatakan pembelajaran memainkan peranan yang kecil dalam emosi. Plutchik berkata emosi ialah ekspresi daripada potensi genetik seseorang, belajar untuk mengubahnya. Matsumoto pula mengatakan emosi yang asas adalah sama tetapi terdapat perbezaan yang halus berdasarkan pengalaman budaya. Izard turut berpendapat bahawa setiap emosi mengajar bayi itu akan keadaan sekelilingnya. Emosi berlaku disebabkan oleh suatu rangsangan. Proses kognitif berbeza mengikut orang. Sememangnya, emosi itu adalah semula jadi dan dipengaruhi oleh pembelajaran. Menurut teori pembelajaran, setiap emosi diperolehi melalui pembelajaran. Contohnya dalam kajian yang dijalankan oleh Miller terhadap tikus, mendapati kesemua tikus itu mempelajari perasaan takut. Dalam kajian yang dijalankan Albert pula menunjukkan perasaan takut boleh didapati melalui pembelajaran.  
Seterusnya saya ingin berkongsi pula berkenaan kuliah kebahagiaan. Kebahagian itu sesuatu yang baik ditambah dengan keseronokan dan kegembiraan. Pelbagai aspek boleh kita kaitkan dengan kebahagiaan. Sebagai contoh dalam suatu keluarga yang hidup dengan penuh kebahagiaan. Sememangnya kebahagiaan merupakan sesuatu yang diidami oleh setiap keluarga sama ada suami isteri mahupun anak-anak. Mereka berharap agar dapat hidup penuh sihat sejahtera, penuh kegembiraan, penuh keseronokan, aman, damai dan ditambah dengan kesenangan. Malahan, saya juga berharap agar keluarga saya dapat hidup dengan penuh kebahagiaan, sentiasa sihat sejahtera, aman dan gembira. Meskipun saya berada jauh dari keluarga tersayang, mereka tetap berada dalam hati saya selalu. Mereka sering berdoa dan berharap agar saya sentiasa dalam keadaan yang baik di sini dan saya juga sentiasa berharap kesemua ahli keluarga saya sentiasa dalam keadaan baik juga. Walaupun bukan berasal dari keluarga yang berada, dapat hidup dengan penuh kebahagiaan dan kegembiraan sudah cukup bermakna bagi saya. Pada pandangan saya, sesebuah keluarga itu dikatakan bahagia apabila semua ahli keluarganya sentiasa saling menyayangi, sentiasa berusaha, tolong-menolong, kuat beragama, mempunyai kepercayaan antara satu sama lain, bersikap baik sesama mereka dan juga dengan saudara-mara mahupun jiran tetangga. Jika kita bandingkan satu keluarga berpendapatan sederhana yang tinggal di kawasan kampung yang hidup dengan penuh kegembiraan dengan satu keluarga yang tinggal di kawasan bandar, yang mempunyai harta yang banyak tetapi hubungan antara ahli keluarganya rapuh, sudah pasti keluarga yang berpendapatan sederhana dan hidup penuh kegembiraan akan menjadi keluarga bahagia. Hal ini bermaksud, kekayaan bukanlah penentu segalanya untuk sesebuah keluarga itu menjadi bahagia. Untuk menjadi keluarga yang bahagia mesti melibatkan setiap ahli keluarga. Misalnya, ibu bapa harus mendidik dan membesarkan anak-anak mereka dengan baik dan pastikan mereka tidak menjadi jahat apabila besar nanti manakala anak-anak pula haruslah menghormati ibu bapa mereka dan membalas jasa mereka apabila besar kelak. Seperti apa yang diperkatakan oleh Freud, hubungan kita dengan ibu bapa adalah penting yang akan menentukan kebahagiaan keluarga kita.
Dalam kuliah ini juga saya telah mempelajari bahawa orang yang bahagia akan lebih mudah menyesuaikan diri dengan orang lain dan dalam apa jua keadaan. Vanfossen pula mengatakan lelaki dan wanita mendapat kebahagiaan daripada perkahwinan. Orang yang berkahwin akan lebih bahagia berbanding mereka yang tidak berkahwin.  
Konklusinya, banyak informasi yang saya dapat dalam kuliah ini. Saya dapat mengetahui bahawa kebahagiaan adalah sesuatu yang sangat penting dalam sesebuah keluarga dan perkahwinan. Kebahagiaan itu bukan akan datang bergolek kepada kita begitu saja tanpa usaha. Masalah dan pergaduhan akan berlaku dalam setiap keluarga tetapi kita tidak boleh menganggap hal ini sebagai satu beban yang akan merosakkan dan merapuhkan keluarga kita. Kita perlu sentiasa mengejar kebahagiaan dalam hidup.
Sekian dan terima kasih.  
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment