Assalamualaikum dan Salam sejahtera.
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita bertemu kembali dalam penulisan jurnal saya yang kelima iaitu yang terakhir. Saya amat bersyukur kerana tidak perlu lagi untuk menulis jurnal sepanjang 1000 patah perkataan setiap minggu. Bagi saya hal ini amat membebankan kerana saya bukanlah seorang pelajar yang gemar menaip. Tetapi jutaan terima kasih terus diucapkan kepada semua yang menyokong dan terus membaca jurnal saya ini. Minggu ini saya akan berceloteh sedikit mengenai Emosi, Personaliti, dan Tingkahlaku.
Dalam kuliah ini, Dr Zamri telah menunjukkan satu video yang menarik, iaitu video daripada seseorang yang pernah mengalami kemurungan yang bertajuk "childhood experience" Video ini menceritakan pengalaman seseorang yang mengalami depressi dan cara-caranya menangani masalah dengan mengubah perspektif iaitu pandangan beliau terhadap kehidupan. Dalam video ini, dia telah menunjukkan kekecewaan terhadap hidupnya yang tidak adil. Ini menjelaskan kekecewaan dia terhadap orang di sekelilinginya sehingga beliau tidak lagi mempercayai kawan-kawan dan orang di sekelilingnya dan beranggapan mereka tidak mempedulikannya. Hal seperti ini sering berlaku dalam kehidupan samada terhadap kita ataupun orang disekeliling kita. Kita harus teguh dengan pendirian sendiri, kepercayaan kita dan jangan sesekali mengubah diri sendiri kerana pengaruh negative ataupun tanggapan negative kita terhadap orang lain. Sesetengah orang yang menghidap penyakit 'Schizophrenia' akan hilang kepercayaan terhadap diri sendiri dan juga terhadap orang disekeliling akibat daripada masalah pemikiran yang mereka alami. Pemikiran dan persepsi kita semasa kecil berbeza dengan apabila kita meningkat usia dewasa. Jika sewaktu kecil kita hanya menganggap kehidupan penuh dengan kegembiraan dan hanya kemanisan sahaja, mentaliti kita sering berubah dengan kematangan usia kepada pendapat kita terhadap kehidupan yang sebenar-benarnya apabila meningkat dewasa. Realiti kehidupan perlu difahami dan diadaptasi agar kita pandai menyesuaikan diri dalam dunia kehidupan dewasa.
Setelah itu, kami menerima tugasan. Tugasan pertama yang diberikan ialah untuk menghubungkaitkan klip video tersebut dengan The Psychoanalytic Theory. Teori yang diusulkan oleh Sigmund Freud ini menekankan betapa pentingnya peristiwa pada zaman kanak-kanak dan pengalaman ketika proses pembesaran. Semasa kecil, kita menganggap semua yang berlaku akan berakhir dengan indah, jauh sekali kita mengenal erti kesusahan dan kesedihan. Apa yang dapat saya manfaatkan daripada klip video ini, ialah pengalaman dan pembelajaran kita memberi impak kepada bagaimana kita melihat dunia dari perspektif berbeza. Namun, kita seharusnya sentiasa melihat dunia dari sudut yang positif, kerana tidak semua yang berlaku akan kekal menjadi musibah dan segala yang berlaku sentiasa ada hikmahnya. Tidak kira apa yang berlaku, kita harus sentiasa pandang ke hadapan dan meneruskan kehidupan dengan lebih positif tanpa mengenang perkara yang sudah lepas; seperti yang dinyatakan dalam klip video tersebut:
"Even if those friends betray me, I'll find new ones
Even if the beggar cheats me, I'll keep being generous
Even if the light I see isn't the sun, I'll keep looking for it until I can warm my frozen heart in its warmth.
A long time ago, when I was just a child, I believed that my life was great and that nothing could ever go wrong, I believed that no matter how bad things got there was always a light at the end of the tunnel.
And you know what?
I still believe that."
Dalam kuliah ini, kami turut diperkenalkan dengan dua jenis personaliti yang lazim kita gunakan untuk mengkelaskan sifat-sifat manusia, Iaitu personality jenis A and personality jenis B. Orang yang mempunyai personaliti A merupakan individu yang bercita-cita tinggi, agresif, mengawal, berdaya saing, tidak sabar, mementingkan status, dan mementingkan masa. Biasanya mereka ialah golongan yang selalu bercita-cita tinggi yang suka membuat beberapa tugas pada satu-satu masa ataupun multitasking. Mereka tidak suka membazir masa dan pandai menggunakan masa dengan betul. Mereka tidak suka pada kelewatan dan penentangan. Mereka tidak suka menangguhkan sesuatu kerja dan akan menghabiskan sesuatu tugas dengan segera, jika tidak, mereka akan berasa tidak selesa. Selain itu, mereka akan memaksa diri sendiri untuk menghabiskan sesuatu tugasan menjelang tarikh akhir kerana mereka amat mematuhi disiplin dan sangat mementingkan kesempurnaan. Orang yang berpersonaliti jenis B pula secara umumnya sabar dan tenang. Oleh yang sedemikian, ciri-ciri ini telah menyebabkan individu jenis B selalu digambarkan sebagai mereka yang acuh tak acuh terhadap sesuatu tetapi ini tidak bermaksud mereka tidak bertanggungjawab. Mereka hanya lebih leka dan mungkin menangguhkan sesuatu kerja,tetapi mereka akan juga melaksanakan tanggungjawab mereka di akhir hari dan menyiapkan tugasan mereka. Mengikut kajian yang dijalankan, Orang yang berpersonaliti jenis A lebih pendek umur berbanding dengan orang yang berpersonaliti jenis B. Hal ini kerana orang yang berpersonaliti jenis A mengalami lebih banyak stress berbanting dengan orang yang berpersonaliti jenis B. Ini adalah kerana mereka sering memberi matlamat yang tinggi terhadap diri sendiri dan mempunyai permintaan tinggi terhadap diri sendiri sedangkan itu melebihi batasan kemampuan mereka. Oleh itu, apabila tugasan yang diberi tidak dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan, mereka akan stress. Sebagai pelajar perubatan, kami menyedari pengaruh negatif stress terhadap kesihatan. Justeru, orang yang berpersonaliti jenis A lebih mudah mendapat penyakit berbanding dengan orang yang berpersonaliti jenis B.
Seterusnya, kami mengambil ujian personaliti Myers-Briggs Type Indicator (MBTI) untuk menentukan jenis personaliti kami. MBTI membahagikan personality kepada empat bahagian seperti yang dinyatakan di dalam MBTI® Manual: A Guide to the Development and Use of the Myers-Briggs Type Indicator®. Pertama, cara kita bergaul samada cenderung dengan dunia luar atau hidup dengan dunia sendiri; Extraversion (E) atau Introversion (I). Kedua ialah information, di mana individu tersebut lebih suka menerima informasi seadanya, atau menginterpretasi informasi tersebut: Sensing (S) atau Intuition (I). Seterusnya adalah berkaitan dengan membuat keputusan, sama ada membuat keputusan berdasarkan logik ataupun terpulang kepada situasi dan siapakah orang yang terlibat: Thinking (T) atau Feeling (F). Yang terakhir ialah struktur, sama ada kita mahu menerima sesuatu seadanya atau sentiasa mencari informasi dan pilihan yang lain: Judging (J) atau Perceiving (P). Selepas mengambil ujian MBTI, saya mendapat tahu bahawa saya tergolong dalam kategori ESFP. ESFP turut dikenali sebagai The Performers – iaitu orang yang berprestasi tinggi.
Seterusnya ialah The Big Five Theory yang dikategorikan kepada extraversion, agreeableness, conscientiousness, neuroticism dan openness. Melalui soal selidik ini, saya mendapat keputusan Personality A, iaitu untuk agreeableness. Menurut ulasan tentang teori ini, individu yang mempunyai agreeableness yang tinggi dalam soal selidik ini adalah peramah, mudah bekerjasama, dan berdedikasi. Selain itu, mereka adalah orang yang optimistik. Ciri-ciri ini amat tepat dengan saya. Hal ini kerana saya adalah orang yang sangat optimistik. Saya sentiasa berfikir positif walaupun apabila menghadapi kegagalan. Sebagai contoh, apabila saya gagal didalam sesebuah perkara, saya tidak pernah menangisi kegagalan saya dan tidak pernah merasa stress dengan peperiksaan. Sebaliknya, saya mencari punca kenapa saya gagal, dan sentiasa memandang kehadapan dan membuat yang terbaik dalam apapun berdasarkan pengalaman yang ada.
Kuliah kali ini amat menarik kerana dapat mengenali diri sendiri dan bagi saya ujian personality ini sangat seronok untuk dibuat. Saya juga dapat mengenalpasti tentang personality diri dan menyedari bahawa tiap manusia mempunyai perspektif yang berbeza dalam kehidupan. Sekian dari saya dan sebelum saya mengundur diri, di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya untuk semua dan Maaf Zahir Batin atas segala salah silap saya.
Hakcipta Terpelihara,
Hafizul Bin Mohamed Wadzir
A131251
LJO5
No comments:
Post a Comment