Friday, August 12, 2011

A131855 Koay Mei Jun LJ03

Salam sejahtera. Ini merupakan jurnal ketiga saya dalam kursus ZT2253 selepas menghadiri kelas pengurusan emosi pada 10 Ogos 2011. Dalam kuliah ini, Dr. Ahmad Zamri Mansor menjelaskan tentang tajuk " Emosi Negatif " dan juga membincangkan teori " Solomon ".

Pensyarah memulakan kelas dengan membuat reflektif tentang kelas yang sebelum ini iaitu berkenaan dengan kebahagiaan ( emosi positif ) dengan menayangkan satu lagu video yang menonjolkan perasaan kasih sayang penyanyi kepada ibunya.

Seterusnya, kelas diterusnya dengan kuliah yang bertajuk " emosi negatif ". Emosi negatif sebenarnya menyatakan percubaan dan niat seseorang untuk mengelakkan sesuatu perkara. Dalam kuliah ini, emosi negatif yang pertama sekali dibincangkan ialah takut. Berdasarkan penjelasan pensyarah, takut merupakan salah satu tindak balas emosi kepada perkara bahaya yang akan berlaku. Biasanya, ketakutan berlaku sebagai tindak balas kepada rangsangan negatif yang tertentu. Ketakutan sering dikaitkan dengan beberapa jenis emosi yang termasuk kebimbangan, keganasan dan sebagainya.

Seperti emosi positif juga, emosi negatif dapat diluahkan melalui aksi muka. Aksi-aksi muka yang menunjukkan ketakutan termasuklah perubahan dalam komponen-komponen badan seperti mata, bibir dan juga kening. Semasa seseorang itu berada dalam ketakutan, matanya akan bertambah luas supaya dapat melihat kawasan yang lebih luas untuk menyenangkan seseorang itu cabut lari. Selain itu, bahagian atas bibir akan naik dan bertambah lebar dan kening mata akan menghala ke bahagian dalam muka.

Manusia boleh menjadi seseorang yang amat berlainan disebabkan oleh ketakutan terhadap sesuatu, yang menyebabkan mereka mengikut apa saja keinginan orang lain tanpa mengutamakan kepentingan diri sendiri. Malah, seseorang itu boleh menjadi ganas yang menunjukkan mereka berlainan daripada biasa kerana ini merupakan reaksi spontan yang disebabkan oleh peningkatan paras adrenalin dalam badan dan bukannya berdasarkan keputusan yang fikir secara rasional.

Meskipun ketakutan digambarkan sebagai sesuatu yang negatif, namun ketakutan juga akan memanfaatkan kita. Menurut para penyelidik psikologi dari Universiti Washington di St. Louis yang memaparkan hasil kajian mereka pada risalah universiti tersebut, menyatakan bahawa melalui pemerhatian terhadap sesuatu yang akan menimbulkan perasaan takut akan meningkatkan daya ingatan seseorang.

Menurut Professor Bridgid Finn, PhD, postdoctoral penyelidik psikologi dalam bidang Sastera dan Sains, pembelajaran seseorang akan dipertingkatkan melalui emosi negatif. Hal ini demikian kerana daya ingatan kita merupakan labil dan dinamik. Maka, sesuatu yang ngeri yang dapat menimbulkan ketakutan akan meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam daya ingatan kita. Para penyelidik psikologi di Universiti Washington telah menjalankan kajian dengan menyediakan satu gambar yang menunjukkan seseorang yang menghala pistol ke arah pemerhati dan satu gambar neutral yang menunjukkan kerusi yang biasa. Hasil daripada kajian itu, kebanyakkan responden dapat mengingatkan balik gambar yang menunjukkam seseorang yang menghala pistol ke arah pemerhati berbanding dengan mereka yang dapat mengingatkan balik gambar yang menunjukkan kerusi yang biasa selepas satu jangka masa yang panjang. Hasil kajian telah membuktikan bahawa gambar yang memberi perasaan ketakutan kepada seseorang dapat memberi kesan yang mendalam pada diri seseorang dan secara tidak langsung, teknik ini dapat diaplikasikan dalam pembelajaran kita bagi meningkatkan daya ingatan. Namun, kajian yang lebih mendalam masih sedang dikaji oleh para penyelidik psikologi.

 Selain itu, malu juga merupakan salah satu contoh emosi negatif. Perasaan malu merupakan perasaan negatif yang timbul dalam diri seseorang apabila sedar bahawa diri sendiri melakukan sesuatu yang kurang baik, terutamanya apabila perlakuan itu didedahkan kepada orang lain. Perasaan malu dapat diklasifikasikan kepada dua bentuk, iaitu personal dan professional. Malu yang berbentuk personal merupakan perasaan malu terhadap tindakan diri sendiri. Sebagai contoh, seseorang itu pakai baju secara terbalik dan apabila dia sendiri sedar bahawa kesilapan itu, dia telah diketawa oleh ramai orang. Hal ini menyebabkan perasaan malu yang lahir dari dirinya yang merupakan salah satu contoh malu personal. Perasaan malu secara professional atau official pula merupakan kesilapan pihak kerajaan dalam melakukan sesuatu. Sebagai contoh, seorang di jabatan kerajaan yang makan rasuah telah menyebabkan kemaluan di pihak kerajaan.

Untuk lebih memahami perasaan malu, saya telah melayari internet dan mendapati bahawa malu mempunyai tiga lapis pengertian, iaitu malu sebagai perasaan, malu sebagai tanda harga diri dan juga malu sebagai fungsi kawalan sosial. Malu sebagai perasaan merupakan "rasa malu " seseorang terhadap sesuatu. Dalam istilah-istilah melayu pula, malu sebagai perasaan termasuk "berasa aib", "rasa segan" dan juga "segan silu". Seseorang itu akan menunjukkan perasaan malu terhadap kekurangan yang ada pada diri sendiri apabila dibandingkan dengan orang lain. Malu sebagai tanda harga diri pula dikaitkan dengan maruah, harga diri dan air muka seseorang. Malu dianggap sebagai tanda harga diri apabila seseorang itu dapat merasai maruah dan harga dirinya diancam. Dalam pada itu, kedudukan sosial seseorang itu mungkin terjejas yang mungkin disebabkan oleh perlakuannya sendiri dan juga oleh tekanan sosial. Malu sebagai fungsi kawalan sosial pula mengambarkan malu merupakan satu perasaan negatif yang timbul daripada kesedaran diri seseorang mengenai perlakuan yang tidak senonoh yang menyebabkan seseorang itu elak daripada melakukannya. 

Di samping itu, sedih dan juga marah juga merupakan emosi negatif. Sedih merupakan salah satu emosi apabila kita berdepan dengan situasi yang mengecewakan, dan muncul akibat daripada penderitaan. Biasanya, seseorang itu akan menjadi muram malah menangis disebabkan oleh perasaan sedih. Marah pula merupakan sesuatu perasaan panas hati, berang, gusar dan murka akibat daripada sesuatu yang terjadi di luar dugaan yang tersinggung perasaan seseorang itu. Marah boleh diklasifikasikan kepada dua jenis iaitu aktif dan pasif. Bagi marah yang berjenis aktif, seseorang itu akan meluahkan perasaan marahnya. Sebagai contoh, seseorang itu mengambil keputusan untuk membalas dendam apabila sesuatu yang tidak diinginkan berlaku pada diri yang dilakukan oleh orang lain demi meluahkan perasaan marahnya. Bagi marah yang berjenis pasif pula, contohnya, seseorang itu menyimpan perasaan marah di dalam hati. Cuma mungkin terdapat sedikit perubahan pada dirinya seperti menjadi seorang pendiam. Memandangkan marah itu merupakan emosi yang negatif, oleh itu seseorang patut menangani perasaan marah dengan meluahkannya dengan cara yang baik dan sesuai supaya tidak tersinggung orang lain dan juga tidak menyimpan perasaan negatif dalam hati.

Pensyarah juga mendedahkan kita kepada teori Solomon yang dinamakan Solomon Opponent Process Theory yang dikeluarkan oleh Richard Solomon pada tahun 1980. Berdasarkan teori Solomon, seseorang itu dapat didedahkan ke arah titik neutral bukan sahaja dalam jangka masa panjang tetapi juga dalam jangka masa yang pendek. Teori itu juga menyatakan bahawa setiap emosi menyebabkan emosi yang bertentangan dengannya berlaku berdasarkan dua peringkat di mana peringkat pertama, seseorang itu akan menghadapi emosi sama ada emosi positif atau emosi negatif dan pada peringkat yang kedua, emosi bertentangan dengan emosi di peringkat pertama pula berlaku. Sebagai contoh, seseorang itu akan berasa bosan apabila berhadapan dengan buku teks yang tebal ketika belajar dan akan menghargai segala yang diperlajarinya pada masa depan kerana segala ini dapat diaplikasikan dalam kehidupan harian.

Secara kesimpulannya, selepas menghadiri kuliah pengurusan emosi yang ketiga, saya dapat mendalami pengetahuan saya mengenai emosi negatif dan juga teori-teori yang mengambarkan emosi tertentu selepas mendengar penjelasan pensyarah dan juga atas pembacaan sendiri untuk lebih memahaminya.

 


 

 

Awan yang mendung
Rabu lalu bertanggal  10hb Ogos 2011, seperti hari-hari rabu minggu lalu kuliah zt diadakan lagi. Pada kali ini tajuk kuliah adalah mengenai emosi negatif. Emosi negative contohnya seperti marah , takut, malu, sedih dan takot. Tajuk ini Nampak agak ringan kerana semua orang pernah mengalami perasaan sebegitu rupa. Dr. Azmi ada mengungkapkan, "never trouble troubles till troubles trouble you". Haha sepantas teringat kawan lamaku juga pernah memberikan ayat ini kepadaku pada kad raya empat tahun lalu. Sudah empat tahun sudah berlalu dan hubungan kami terhenti. Entah bagaimana keadaan dia sekarang. Baiklah, ini bukanlah contoh perasaan negatif. Ini adalah contoh perasaan rindu.

Seterusnya Dr. Azmi juga ada menyatakan, "action speaks louder than words". Sangat benar ayat ini. Pada minggu ini, banyak perkara yang berlaku. Perkara-perkara yang tidak terjangkau oleh pemikiranku. Aku rasa sepanjang minggu ini aku berasa seperti seorang yang sangat negative. Seorang yang cepat marah, sedih dan takut. Mungkin Allah ingin aku lebih memahami perasaan ini kerana kuliah zt juga ada mengajarkan perasaan ini. Terpukul dengan kuliah sendiri.
Aku sangat sedih dengan diriku pada minggu ini. Mutabaah tidak terjaga. Mutabaah adalah amalan-amalan sunat seperti mengerjakan solat sunat dhuha, tilawah al-quran, istighfar dan membaca mathurat serta tahajjud. Aku berasakan iman aku sangat lemah. Mungkin kerana itu aku menjadi sangat negatif, iaitu cepat melenting dan marah. Selepas aku sedar bahawasanya aku berada dalam keadaaan marah, aku teringat pesan Rasulullah saw,

Dari Abu Hurairah Radliyallaahu 'anhu bahwa ada seseorang berkata: Wahai Rasulullah, berilah aku nasihat. Beliau bersabda: "Jangan marah." Lalu orang itu mengulangi beberapa kali, dan beliau bersabda: "Jangan marah." Riwayat Bukhari.
 
 
 Hati aku juga tersentuh tatkala mendengar firman Allah,

"Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu." [Ali 'Imran:159]

Aku terasa sayu dan air mataku perlahan-lahan menitis. Aku telah menzalimi diri aku sendiri. Kerana sikap negatifku, kawanku terasa hati. Sekarang ukhuwah antara aku dan dia tidak sekuat dahulu. Aku terasa ada renggangan antara kami dan aku amat menyesali keadaan itu.
Allahlah yang menjadikan manusia tertawa dan menangis. Dalam firman-Nya,

"Dialah yang menjadikan manusia tertawa dan menangis." (53:43)

Daripada Allahlah semua perasaan datang. Marah juga adalah makhluk Allah. Seperti yang dinyatakan dalam artikel di intermet,
Marah sebahagian daripada makhluk, ia adalah sesuatu yang menyerap di dalam hati, ada yang mahmud (terpuji) ada yang madzmum (tercela); tercela (apabila) bukan pada tempatnya, manakala yang terpuji (apabila digunakan) di sisi agama dan kebenaran.

Ayat ini dipetik oleh Ibnu Manzur.

Tetapi banyak sekali aku menyalahgunakan nikmat perasaan yang diberi itu bukan pada tempatnya. Sesungguhnya manusia itu tidak lari daripada melakukan kesalahan namun aku berasa terlalu menggunung dosa-dosaku terhadap manusia apatah lagi kepada Pencipta-ku.
Sewaktu tepat jam 3.00pm, Dr. Azmi memberi kami ruang untuk berehat seketika sebelum masuk kepada sesi kuiz. Dalam masa rehat yang diberi selama 5 minit itu, Dr. Azmi mengulang tayang video lagu mengenai kekejaman Amerika dan Israel terhadap palestin.
Apa yang aku dapat pelajari adalah kerana perasaan marah dan sedih juga boleh membangkitkan semangat dalam kalangan umat palestin dan umat islam terhadap kekejaman yang ditonjolkan oleh kedua-dua pihak yang zalim itu. Aku juga secara peribadinya berasa sangat marah akan hal tersebut. Kadang-kadang terdetik juga ingin turut serta berperang disana namun walaubagaimanapun itu bukanlah satu tindakan yang bijak.
Hal ini kerana menurut pandangan Prof Yusof Al-Qardawi,

"Islam menyebut jihad melawan kezaliman dan kerosakan di dalam masyarakat mesti lebih didahulukan daripada jihad melawan kekufuran dan musuh di luar Islam"
 
[Dr. Yusuf Qardhawi, Fiqh Jihad, m/s 112 (Mizan)]
 
Semakin hari masalah masyarakat semakin berleluasa. Tidak pernah menunjukkan tanda-tanda ingin surut dari pandagan media. Setiap hari ada saja berita tentang pembuangan bayi, hubungan sejenis, rogol, rompakan dan terlalu banyak lagi untuk dinyatakan. Berita terbaru yang aku dapat daripada laman web sosial adalah seorang pelajar sekolah di tangkap dan dirogol ketika berjalan pulang ke rumah. Perkara itu terjadi pada bulan puasa dan itu benar-benar memalukan umat islam umumnya. Keprihatinan dan sikap sopan santun meluntur dalam kalangan masyarakat. Masalah umat bertimbun-timbun. Aku berasa sedih dan terasa bagai disapa apabila membaca firman Allah,

"Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka)? Dan janganlah mereka (menjadi) seperti orang-orang yang telah menerima Kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras, dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang fasik." [QS Al-Hadid, 57:16]

Bilakah lagi umat islam akan bersatu hati. Aku tahu aku tidak boleh hanya pandai bertanya dan termenung dengan persoalan yang aku ungkap sendiri. Sesuatu harus dilakukan. Pembaikan perlu berkekalan.
Tiba-tiba aku mendengar Dr. Azmi akan memulakan sesi kuiz. Aku meninggalkan sebentar pemikiran tadi. Kelihatan temanku sudah bersiap sedia menulis nama pada kertas yang bakal dihantar akhir sesi nanti.
aku agak bimbang kerana aku tidak sempat membaca nota-nota pada kuliah lepas lantaran peperiksaan akhir modul. Namun walaubagaimanapun, markah yang diperolehi tidaklah teruk sangat. Terlalu banyak perkara yang perlu diselesaikan pada minggu lalu dan emosiku bekerja dengan sangat keras. Dan kelemahanku adalah aku tidak mampu mempertahankan kestabilannya.

Pada hari itu tiada sesi pembentangan di depan. Aku berasa sangat gembira dengan keadaan itu kerana aku mengimpikan kuliah yang ringan dan tidak membebankan fikiran sehingga memelukan otakku untuk bekerja keras merumuskan pembelajaran dalam masa 2 jam.
Pada hari itu aku belajar mengenai teori asas adaptasi. Ini merupakan tajuk ke-5 kuliah kami. Teori adaptasi menceritakan mengenai tindakbalas terhadap stimulasi berdasarkan aras adaptasi. Hal ini merupakan penilaian kognitif terhadap sesuatu peristiwa. Contohnya, sewaktu aku mula-mula pindah ke bilik baru, kipas bilikku berbunyi dengan agak kuat sehingga dapat mengganggu tumpuanku. Tetapi disebabkan aku menghadapinya setiap hari, maka kini aku tidak mengendahkan lagi bunyi tersebut bak kata pepatah "alah bias tegal biasa". Otakku sudah mula dapat memberikan perhatian kerana sudah biasa dengan keadaan bising seperti itu.
Manakala Solomon mengeluarkan teori proses berlawanan Solomon. Teori ini menyatakan bahawa emosi bergerak ke arah titik neutral dalam jangka masa panjang dan juga pendek. Contohnya, setelah mendapat keputusan peperiksaan Ali berasa sangat gembira tetapi di sebalik kegembiraan itu terpalit rasa sedih yang mencengkam kerana terpaksa berpisah jauh dengan ibu bapanya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Aku harap dengan penulisan ini, aku dapat menghadapi hari-hari yang mendung dengan lebih bijak.
 
 
 
 
A good head and a good heart are always a formidable combination.

A131577 Heng Miao Ching LJ03




 

              Salam sejahtera saya ucapkan kepada semua. Kuliah minggu lepas telah memfokuskan tentang emosi positif manakala kuliah pada minggu ini (10/8/2011), saya telah belajar tentang emosi negatif. Kuliah kali ini dimulakan dengan  menyaksikan satu video yang menceritakan tentang kemuliaan seorang ibu yang tidak jemu mendidik anak- anaknya. Video kedua pula menceritakan bahawa peperangan telah menyebabkan orang yang  tidak bersalah merana. Sebenarnya, peperangan tidak membawa apa-apa manfaat melainkan kemusnahan dan kecederaan yang tiada batas dan seterusnya akan turut membantut perkembangan ekonomi dan politik dalam sesebuah negara itu.             

 

              Selepas menyaksikan video, kuliah disambungkan dengan tajuk-tajuk yang seterusnya, iaitu emosi negatif: takut, malu, sedih dan marah. Pertama sekali,  kami telah didedahkan dengan topik "takut".  Menurut pengetahuan saya, ketakutan ini akan wujud apabila seseorang berada dalam keadaan yang berbahaya dan keselamatannya terancam serta berada dalam keadaan kebimbangan, keganasan dan sebagainya. Ketakutan adalah satu mekanisme survival yang biasanya berlaku sebagai tindak balas kepada rangsangan negatif yang tertentu. Saya bersetuju bahawa seseorang akan hilang kawalan dan mengaktifkan sistem "fight and flight" dalam badan kita akibat daripada penambahan sistesis quantiti adrenalin. Contohnya, apabila saya dikejar anjing liar, saya akan berlari dengan sedaya upaya untuk menjauhkan diri daripadanya tanpa menghiraukan apa-apa di sekeliling. Namun, perasaan takut dan tahap ketakutan itu sesungguhnya tidak sama bagi semua orang kerana terdapat banyak factor yang menyebabakan ketakutan berlaku. Selain itu, perasaan takut boleh disebabkan oleh pengalaman menghadapi kemalangan yang traumatic sebelum ini. Sebagai contoh, jika seseorang tersebut telah pernah dipatuk ular, dia akan berasa sangat takut dan phobia terhadap spesies reptilia-reptilia. Di samping itu, manusia juga mempunyai perasaan takut pada konsep-konsep yang lebih abstrak selain daripada benda-benda fizikal. Sebagai contoh, perasaan takut kehilangan kuasa kawalan terhadap sesuatu objek atau takut pada ejekan atau celaan sosial seperti kritikan dan penolakan. Akan tetapi,  perubahan tingkah laku dalam dua konteks yang berbeza ini adalah sama dan bagi faktor abstrak, ia mengambil masa yang lama untuk pulih.

 

            Sebenarnya, perasaan takut dapat dikesan melalui perubahan mimic muka manusia dan ekspresi wajah seseorang individu. Antara perubahannya melibatkan mata terbeliak, pupil seseorang juga akan membesar bagi membolehkan lebih cahaya masuk. Kening seseorang yang berada dalam ketakutan juga akan ke dalam. Bibirnya juga akan terhulur mendatar. Manusia boleh menjadi sangat tertekan dengan perasaan takut sehingga mereka mengikut keinginan orang lain begitu sahaja tanpa mengambil berat terhadap input dirinya sendiri. Mereka juga mungkin akan menjadi ganas sehingga mungkin akan membawa kemudaratan dan maut kepada seseorang.

Topik yang seterusnya adalah berkaitan dengan perasaan malu. Perasaan malu adalah satu tahap emosi tidak menyenangkan yang dialami oleh seseorang apabila perbuatan sosial atau profesional yang tidak mendapat persetujuan, telah didedahkan kepada orang lain. Pada kebiasaannya, terdapat unsur kehilangan kehormatan atau maruah yang terlibat, tetapi tahap dan jenis kemaluan ini memang bergantung kepada situasi tertentu. Selain itu, perassan malu biasanya boleh membawa konotasi yang disebabkan oleh sesuatu perbuatan yang semata-mata tidak boleh diterima dari segi sosialnya, dan bukannya salah dari segi moral. Rasa malu ini juga sangat subjektif, iaitu, sesuatu keadaan yang dikatakan memalukan oleh seseorang individu tidak semestinya akan menjadi memalukan bagi individu yang lain.

            

             Perasaan malu juga boleh diklasifikasikan kepada dua jenis, iaitu personal dan profesional. Perasaan malu jenis personal boleh disebabkan oleh perhatian yang tidak diingini kepada perkara-perkara persendirian atau kecacatan peribadi atau kemalangan. Kadang-kala, perasaan malu ini disebabkan oleh tindakan peribadi yang negatif, seperti terperangkap dalam satu pembohongan atau membuat sesuatu kesilapan, atau kalah teruk dalam sesuatu pertandingan, dan sebagainya. Seseorang yang tidak ingin mengundang malu pada dirinya sendiri tidak harus melakukan sesuatu yang mungkin akan membawa malu kepada orang lain. Tambahan pula, perasaan malu jenis profesional dapat dirasai terutamanya selepas kenyataan yang menggambarkan keyakinan seseorang telah sengaja tidak dipedulikan. Perasaan malu ini akan bertambah dalam keadaan yang melibatkan tugasan rasmi atau kemudahan tempat kerja, jumlah wang atau bahan yang banyak, atau kehilangan nyawa manusia. Misalnya, malu kerana tidak berupaya menyiapkan tugas dengan sempurna, seperti mana yang mungkin akan berlaku dalam kerjaya seorang doktor perubatan. Contoh-contoh yang lain termasuklah pelaksanaan dasar keajaan yang telah gagal, pendedahan amalan rasuah atau kelakuan peribadi selebtiti yang tidak dapat diterima oleh norma masyarakat atau berhadapan dengan tindakan undang-undang dan sebagainya.

             

             Seterusnya, emosi negatif yang ketiga ialah kesedihan. Menurut kefahaman saya , kesedihan ialah perasaan yang akan wujud apabila seseorang telah kerugian atau kehilangan sesuatu yang amat berharga kepadanya. Perasaan sedih yang melampau boleh membawa kepada kemurungan yang mungkin memerlukan campur tangan oleh profesional yang berkelayakan dalam usaha menyelesaikannya. Kebiasaannya seseorang yang sedih akan menjadi senyap, kurang bertenaga dan mendiamkan diri. Secara fizikalnya,kita dapat melihat tanda-tanda sedih seseorang seperti,menundukkan kepala,memuncungkan bibir,tidak begitu aktif dan sebagainya. Perasaan ini adalah sebenarnya bertentangan dengan perasaan gembira. Contohnya, apabila saya berasa sedih, saya akan mendiamkan diri dan kurang bersosial dengan orang lain kerana saya sedang membuat refleksi dan berfikir cara-cara yang berkesan untuk mengurangkan tahap kerisauan saya.

 

            Menurut kajian yang telah dijalankan, orang yang gembira dapat memproses informasi dengan lebih tepat dan cepat berbanding dengan orang yang berada dalam kesedihan. Selain itu, menurut Isen, kemampuan seseorang untuk memproses data dan informasi adalah bergantung kepada perasaan atau emosi individu tersebut. Dalam konsep Halo effect, jika seseorang itu menujukkan kesedihannya, orang lain akan turut akan menganggapnya sebagai seorang yang lemah dan tidak dapat mengatasi masalah yang dihadapi.

 

           Marah merupakan satu emosi yang biasa ditunjukkan ketika seseorang itu mempunyai ketidakpusan hati terhadap sesuatu atau benda yang diingini tidak dapat dicapai. Ini merupakan satu respons psikofisiologi yang ditunjukkan selepas individu tersebut mengalami situasi yang mencabarkan sama ada berbentuk ugutan seperti sikap tidak adil pada seseorang, memalukan diri seseorang itu serta perasaan pengkhianatan ataupun mengalami kesakitan. Sesungguhnya, perasaan marah dapat ditunjukkan dalam segi aktif dan pasif. Secara aktif, orang yang marah akan mengeluarkan kata-kata yang kasar ataupun cuba melakukan serangan fizikal terhadap musuhnya. Secara pasif pula, orang tersebut akan berkeadaan senyap dan kelihatan stress dan mengurungkan diri daripada sosial luar.

 

            Seterusnya, kuliah ini diteruskan dengan Theori Tahap Adaptasi. Theori ini mengatakan bahawa setiap orang mempunyai tahap adaptasi yang tersendiri dan akan memberi respond yang berlainan terhadap persekitaran yang baru dialami. Manusia bertindak terhadap sesuatu rangsangan atau insiden yang baru dengan menggunakan peringkat adaptasi yang sedia ada dalm diri mereka. Di samping itu , theory Solomon juga memaparkan bahawa setiap emosi yang kita dialami akan menyebabkan kewujudan emosi yang lain. Dengan erti kata lain, semakin banyak anda menghadapi cabaran dan dugaan yang sama, semakin kurang tahap ketakutan anda dan seterusnya dapat mengawal emosi dengan baik.

       

             Dalam kuliah ini,saya telah dapat mempelajari pelbagai emosi negatif dalam diri kita dan juga dapat mengaitkannya dengan pengalaman saya  dan ini memang menyedarkan saya tentang kepentingan pengurusan emosi dengan baik dalam kehidupan harian kita. Kita harus berfikiran positif dan optimistik serta berkeyakinan terhadap diri sendiri agar segala cabaran dan dugaan akan dapat diatasi dengan baik.