Salam sejahtera saya ucapkan kepada semua. Kuliah minggu lepas telah memfokuskan tentang emosi positif manakala kuliah pada minggu ini (10/8/2011), saya telah belajar tentang emosi negatif. Kuliah kali ini dimulakan dengan menyaksikan satu video yang menceritakan tentang kemuliaan seorang ibu yang tidak jemu mendidik anak- anaknya. Video kedua pula menceritakan bahawa peperangan telah menyebabkan orang yang tidak bersalah merana. Sebenarnya, peperangan tidak membawa apa-apa manfaat melainkan kemusnahan dan kecederaan yang tiada batas dan seterusnya akan turut membantut perkembangan ekonomi dan politik dalam sesebuah negara itu.
Selepas menyaksikan video, kuliah disambungkan dengan tajuk-tajuk yang seterusnya, iaitu emosi negatif: takut, malu, sedih dan marah. Pertama sekali, kami telah didedahkan dengan topik "takut". Menurut pengetahuan saya, ketakutan ini akan wujud apabila seseorang berada dalam keadaan yang berbahaya dan keselamatannya terancam serta berada dalam keadaan kebimbangan, keganasan dan sebagainya. Ketakutan adalah satu mekanisme survival yang biasanya berlaku sebagai tindak balas kepada rangsangan negatif yang tertentu. Saya bersetuju bahawa seseorang akan hilang kawalan dan mengaktifkan sistem "fight and flight" dalam badan kita akibat daripada penambahan sistesis quantiti adrenalin. Contohnya, apabila saya dikejar anjing liar, saya akan berlari dengan sedaya upaya untuk menjauhkan diri daripadanya tanpa menghiraukan apa-apa di sekeliling. Namun, perasaan takut dan tahap ketakutan itu sesungguhnya tidak sama bagi semua orang kerana terdapat banyak factor yang menyebabakan ketakutan berlaku. Selain itu, perasaan takut boleh disebabkan oleh pengalaman menghadapi kemalangan yang traumatic sebelum ini. Sebagai contoh, jika seseorang tersebut telah pernah dipatuk ular, dia akan berasa sangat takut dan phobia terhadap spesies reptilia-reptilia. Di samping itu, manusia juga mempunyai perasaan takut pada konsep-konsep yang lebih abstrak selain daripada benda-benda fizikal. Sebagai contoh, perasaan takut kehilangan kuasa kawalan terhadap sesuatu objek atau takut pada ejekan atau celaan sosial seperti kritikan dan penolakan. Akan tetapi, perubahan tingkah laku dalam dua konteks yang berbeza ini adalah sama dan bagi faktor abstrak, ia mengambil masa yang lama untuk pulih.
Sebenarnya, perasaan takut dapat dikesan melalui perubahan mimic muka manusia dan ekspresi wajah seseorang individu. Antara perubahannya melibatkan mata terbeliak, pupil seseorang juga akan membesar bagi membolehkan lebih cahaya masuk. Kening seseorang yang berada dalam ketakutan juga akan ke dalam. Bibirnya juga akan terhulur mendatar. Manusia boleh menjadi sangat tertekan dengan perasaan takut sehingga mereka mengikut keinginan orang lain begitu sahaja tanpa mengambil berat terhadap input dirinya sendiri. Mereka juga mungkin akan menjadi ganas sehingga mungkin akan membawa kemudaratan dan maut kepada seseorang.
Topik yang seterusnya adalah berkaitan dengan perasaan malu. Perasaan malu adalah satu tahap emosi tidak menyenangkan yang dialami oleh seseorang apabila perbuatan sosial atau profesional yang tidak mendapat persetujuan, telah didedahkan kepada orang lain. Pada kebiasaannya, terdapat unsur kehilangan kehormatan atau maruah yang terlibat, tetapi tahap dan jenis kemaluan ini memang bergantung kepada situasi tertentu. Selain itu, perassan malu biasanya boleh membawa konotasi yang disebabkan oleh sesuatu perbuatan yang semata-mata tidak boleh diterima dari segi sosialnya, dan bukannya salah dari segi moral. Rasa malu ini juga sangat subjektif, iaitu, sesuatu keadaan yang dikatakan memalukan oleh seseorang individu tidak semestinya akan menjadi memalukan bagi individu yang lain.
Perasaan malu juga boleh diklasifikasikan kepada dua jenis, iaitu personal dan profesional. Perasaan malu jenis personal boleh disebabkan oleh perhatian yang tidak diingini kepada perkara-perkara persendirian atau kecacatan peribadi atau kemalangan. Kadang-kala, perasaan malu ini disebabkan oleh tindakan peribadi yang negatif, seperti terperangkap dalam satu pembohongan atau membuat sesuatu kesilapan, atau kalah teruk dalam sesuatu pertandingan, dan sebagainya. Seseorang yang tidak ingin mengundang malu pada dirinya sendiri tidak harus melakukan sesuatu yang mungkin akan membawa malu kepada orang lain. Tambahan pula, perasaan malu jenis profesional dapat dirasai terutamanya selepas kenyataan yang menggambarkan keyakinan seseorang telah sengaja tidak dipedulikan. Perasaan malu ini akan bertambah dalam keadaan yang melibatkan tugasan rasmi atau kemudahan tempat kerja, jumlah wang atau bahan yang banyak, atau kehilangan nyawa manusia. Misalnya, malu kerana tidak berupaya menyiapkan tugas dengan sempurna, seperti mana yang mungkin akan berlaku dalam kerjaya seorang doktor perubatan. Contoh-contoh yang lain termasuklah pelaksanaan dasar keajaan yang telah gagal, pendedahan amalan rasuah atau kelakuan peribadi selebtiti yang tidak dapat diterima oleh norma masyarakat atau berhadapan dengan tindakan undang-undang dan sebagainya.
Seterusnya, emosi negatif yang ketiga ialah kesedihan. Menurut kefahaman saya , kesedihan ialah perasaan yang akan wujud apabila seseorang telah kerugian atau kehilangan sesuatu yang amat berharga kepadanya. Perasaan sedih yang melampau boleh membawa kepada kemurungan yang mungkin memerlukan campur tangan oleh profesional yang berkelayakan dalam usaha menyelesaikannya. Kebiasaannya seseorang yang sedih akan menjadi senyap, kurang bertenaga dan mendiamkan diri. Secara fizikalnya,kita dapat melihat tanda-tanda sedih seseorang seperti,menundukkan kepala,memuncungkan bibir,tidak begitu aktif dan sebagainya. Perasaan ini adalah sebenarnya bertentangan dengan perasaan gembira. Contohnya, apabila saya berasa sedih, saya akan mendiamkan diri dan kurang bersosial dengan orang lain kerana saya sedang membuat refleksi dan berfikir cara-cara yang berkesan untuk mengurangkan tahap kerisauan saya.
Menurut kajian yang telah dijalankan, orang yang gembira dapat memproses informasi dengan lebih tepat dan cepat berbanding dengan orang yang berada dalam kesedihan. Selain itu, menurut Isen, kemampuan seseorang untuk memproses data dan informasi adalah bergantung kepada perasaan atau emosi individu tersebut. Dalam konsep Halo effect, jika seseorang itu menujukkan kesedihannya, orang lain akan turut akan menganggapnya sebagai seorang yang lemah dan tidak dapat mengatasi masalah yang dihadapi.
Marah merupakan satu emosi yang biasa ditunjukkan ketika seseorang itu mempunyai ketidakpusan hati terhadap sesuatu atau benda yang diingini tidak dapat dicapai. Ini merupakan satu respons psikofisiologi yang ditunjukkan selepas individu tersebut mengalami situasi yang mencabarkan sama ada berbentuk ugutan seperti sikap tidak adil pada seseorang, memalukan diri seseorang itu serta perasaan pengkhianatan ataupun mengalami kesakitan. Sesungguhnya, perasaan marah dapat ditunjukkan dalam segi aktif dan pasif. Secara aktif, orang yang marah akan mengeluarkan kata-kata yang kasar ataupun cuba melakukan serangan fizikal terhadap musuhnya. Secara pasif pula, orang tersebut akan berkeadaan senyap dan kelihatan stress dan mengurungkan diri daripada sosial luar.
Seterusnya, kuliah ini diteruskan dengan Theori Tahap Adaptasi. Theori ini mengatakan bahawa setiap orang mempunyai tahap adaptasi yang tersendiri dan akan memberi respond yang berlainan terhadap persekitaran yang baru dialami. Manusia bertindak terhadap sesuatu rangsangan atau insiden yang baru dengan menggunakan peringkat adaptasi yang sedia ada dalm diri mereka. Di samping itu , theory Solomon juga memaparkan bahawa setiap emosi yang kita dialami akan menyebabkan kewujudan emosi yang lain. Dengan erti kata lain, semakin banyak anda menghadapi cabaran dan dugaan yang sama, semakin kurang tahap ketakutan anda dan seterusnya dapat mengawal emosi dengan baik.
Dalam kuliah ini,saya telah dapat mempelajari pelbagai emosi negatif dalam diri kita dan juga dapat mengaitkannya dengan pengalaman saya dan ini memang menyedarkan saya tentang kepentingan pengurusan emosi dengan baik dalam kehidupan harian kita. Kita harus berfikiran positif dan optimistik serta berkeyakinan terhadap diri sendiri agar segala cabaran dan dugaan akan dapat diatasi dengan baik.
No comments:
Post a Comment