Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Hari ini tiada kuliah disampaikan oleh Dr. Zamri. Walau bagaimanapun, kami dikehendaki memenuhi tugasan yang diberikan sehingga tamat masa. Terdapat tiga tugasan yang perlu dipenuhi oleh kami. Yang pertama, satu video muzik ditayangkan dan kami dikehendaki mengaitkan video tersebut dengan Teori Psychoanalytic. Kemudian, kami diberi soal selidik untuk mengetahui personaliti masing-masing. Soal selidik yang pertama adalah melalui MBTI manakala soal selidik yang kedua melalui Teori Besar Lima (Big Five Theory). Kedua-dua teori ini digunakan bagi mengenal pasti personaliti sesorang itu. Namun begitu, kedua-dua teori ini mempunyai pendapat dan cara yang berbeza untuk memilai personality seseorang. Huraian serta interpretasi mengenai cirri-ciri personaliti juga berbeza.
Untuk tugasan yang pertama, video yang ditayangkan adalah berkaitan emosi seseorang semasa zaman kanak-kanak serta semasa beliau sudah dewasa. Melalui video ini, apa yang dapat saya lihat adalah sewaktu zaman kanak-kanak, kita sentiasa berfikiran positif di mana kita melihat semuanya baik. Sebagai contoh yang ditunjukkan dalam video ini, sewaktu kecil kita menganggap semua orang ingin berkawan dengan kita walhal pada hakikatnya tidak semua orang menyukai kita. Melalui video ini juga saya dapat melihat percanggahan antara pemikiran sewaktu kecil dengan pemikiran sewaktu dewasa. Sewaktu kecil kita menganggap ibu bapa kita jahat kerana sering melarang apa yang kita ingin lakukan, tetapi bila dewasa kita menyedari bahawa ada sebab tertentu mengapa ibu bapa kita melakukan sedemikian.
Selain itu, semasa kecil kita lebih cenderung untuk berpura-pura menjadi orang lain. Sebagai contoh, kita sentiasa ingin menjadi orang yang baik dan menjaga perasaan orang lain seperti kwan rapat kita walaupun pada hakikatnya hati kita sakit dan memberontak. Setelah dewasa, kita sedar bahawa kita tidak perlu menjadi orang lain hanya untuk menjaga perasaan orang lain sedangkan perasaan kita sendiri terabai. Ramai antara kita, termasuk saya beranggapan bahawa kita tidak boleh hidup tanpa rakan atau sahabat. Apabila seorang sahabat mengkhianati kita, kita tidak tentu arah sedangkan perkara ini tidak seharusnya berlaku. Kita harus akur bahawa tidak semua orang gemar atau selesa berkawan dengan kita. Sekiranya perkara tersebut berlaku, kita seharusnya mencari penyelesaian yang lebih baik di mana kita boleh mencari orang lain yang betul-betul ikhlas ingin berkawan dengan kita. Rakan tersebut seperti apa yang dia mahukan.
Seterusnya, kami diberi pendedahan mengenai cirri-ciri personaliti Type A dan Type B. Antara ciri-ciri individu Type A adalah makan dengan cepat, selalu dalam keadaan terburu-buru, bangun pada awal pagi, tidak sabar dan teratur. Mereka juga mementingkan kesempurnaan, selalu melihat jam dan memandu lebih laju daripada biasa. Individu Type A mempunyai hidup yang lebih teratur dan sentiasa berada dalam kekemasan. Berbeza pula dengan individu Type B. Mereka lebih suka berasa dalam keadaan tenang dan tidak terburu-buru. Individu-individu ini juga makan dengan lebih perlahan, memandu dengan had kelajuan yang terhad, lebih sabar dan tidak terburu-buru. Selain itu, individu Type B juga tidak mementingkan kesempurnaan dan kehadirannya disenangi oleh orang sekeliling. Mereka lebih selesa berada dalam keadaan santai tetapi yakin dengan diri mereka sendiri. Melalui huraian diatas, saya dapati personaliti saya lebih cenderung kepada Type B. Saya lebih suka melakukan kerja dalam keadaan tenang dan tidak terburu-buru. Dengan cara ini, saya dapat mengelak daripada stress yang melampau.
Aktiviti seterusnya adalah menjawab soal selidik MBTI. Terdapat 8 fungsi dalam soal selidik ini, iaitu "Extraversion (E), Introversion (I), Sensing (S), iNtuition (N), Thinking (T), Feeling (F), Judging (J), and Perceiving (P)". Kami dikehendaki memilih empat (4) fungsi daripada lapan (8) diatas. Keempat-empat fungsi tersebut akan digabungkan dan diberi penjelasan mengenai personaliti masing-masing berdasarkan empat (4) fungsi yang dipilih. Lapan watak di atas adalah berpasangan dimana 'E' dengan 'I', 'S' dengan 'N', 'T' dengan 'F', dan 'J' dengan 'P'. Kami dikehendaki satu daripada setiap pasangan menjadikan hanya empat fungsi yang dipilih. Melalui soal selidik yang telah saya jawab dalam kuliah, saya mendapat karakter 'ISFP' yang diberikan penjelasan sebagai "Introvertes Feeling". Huraian mengenai 'ISFP' boleh didapati melalui laman sesawang yang berikut:
Melalui huraiannya, individu ISFP mempunyai perasaan sayang dan ambil berat yang mendalam terhadap hidupan yang lain, digabungkan dengan personaliti yang suka bermain dalam diam serta kadang-kadang gemarkan pendekatan yang mencabar untuk hidup dan pengalamannya. Individu ISFP tidak menunjukkan sayang mereka dengan kata-kata, sebaliknya mereka meluahkan melalui tingkah laku serta perbuatan kerana mereka lebih gemarkan tindakan daripada perkataan. Kebimbangan mereka tidak ditunjukkan secara terbuka tetapi melalui kiasan yang sukar ditafsirkan oleh orang lain. Mereka juga senang menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling dan berjiwa bebas. Kesemua huraian di atas benar dan sangat tepat dengan perwatakan saya yang sebenar. Saya merupakan seorang yang sukakan cabaran tetapi dalam masa yang sama saya tidak suka keadaan yang formal dan lebih suka keadaan yang tenang dan bebas. Saya juga sukar meluahkan perasaan saya secara langsung tetapi meluahkannya melalui cara yang sukar ditafsirkan oleh orang lain. Kesimpulannya, cirri-ciri ISFP amat sesuai dengan diri saya.
Akhir sekali, untuk tugasan yang ketiga, kami diminta untuk menjawab soal selidik 'Big Five Theory'. Teori ini mempunyai lima (5) domain personaliti yang digunakan untuk menerangkan personaliti seseorang itu. Lima faktor tersebut adalah openness, conscientiousness, extraversion, agreeableness dan neuroticism. Akronim yang dberi untuk lima faktor tersebut ialah OCEAN. Soal selidik ini dijawab dengan menulis skala yang diberikan, iaitu:
0 – don't agree or not sure
1 – agree a little
2 – agree moderately
3 – agree strongly
Kami dikehendaki menjawab soalan yang diberi menggunakan skala di atas. Terdapat lima seksyen yang perlu dijawab. Setiap seksyen mewakili lima faktor di atas. Seterusnya, semua skala atau markah ditambah mengikut seksyen. Seksyen yang memiliki nilai yang tertinggi dipilih sebagai personaliti individu tersebut. Skor yang tertinggi saya peroleh adalah 18 iaitu untuk seksyen B. seksyen B mewakili faktor conscientiousness. Huraiaan bagi kesemua faktor boleh didapati melalui laman web di bawah:
Conscientiousness merupakan keupayaan individu tersebut untuk mempamerkan disiplin diri, menjalankan tugas dengan baik, dan mempunyai matlamat untuk pencapaian di luar jangkaan. individu dengan personaliti ini juga mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi dan teratur. Melalui teori ini juga saya berpendapat ianya bertepatan dengan personaliti saya yang sebenar. Saya berupaya mendisiplinkan diri saya dalam apa jua keadaan sesuai dengan peredaran masa. Selain itu, saya juga akan menjalankan tugas saya dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Dengan ini, saya mengklasifikasikan diri saya sebagai individu dengan personality conscientiousness.
Melalui aktiviti atau tugasan pada hari ini, saya dapat mengenal pasti identity atau personaliti diri saya yang sebenar. Kesimpulannya, saya merupakan individu dengan Type B personality, ISFP individu serta conscientiousness. Saya dapati kuliah atau sesi pada hari ini amat menarik. Hal ini kerana saya dapat mengenali dir saya sendiri serta memperoleh pengetahuan yang baru mengenai jenis-jenis personaliti yang ada dalam diri setiap orang. Setiap individu memiliki personaliti yang berbeza dan mempunyai kelebihan dan keburukan yang tersendiri. Dengan perbezaan personaliti yang ada, kita dapat melengkapi antara satu sama lain. Dengan ini, saya akhiri jurnal saya pada kali ini. Percayalah bahawa setiap apa yang kita miliki ada hikmah yang tertentu. Jadilah diri anda sendiri tanpa perlu memikirkan orang lain atau kelebihan orang lain. Sesungguhnya, Allah jadikan setiap hambanya dengan kelebihan yang tertentu dan percayalah bahawa kita juga mempunyai kelebihan yang tiada pada orang lain.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment