Wednesday, August 17, 2011

A131708 Janis Lioh Kee Ying LJ04

Selamat sejahtera saya ucapkan. Ini merupakan jurnal keempat saya bagi tugasan satu kursus Pengurusan Emosi. Dr Zamri memulakan kelas pada pukul 3 petang dan menerangkan serba sedikit tentang tugasan kumpulan. Beliau juga menayangkan sebuah video muzik yang lirik lagunya menggunakan loghat Kelantan. Selepas itu, Dr Zamri pun memulakan kuliah. Tajuk bagi kuliah hari ini ialah 'Emosi dan Motivasi'. Teori-teori Fisiologikal, Kognitif dan Psikoanalitik juga diterangkan.


Dalam kuliah ini, kami mempelajari beberapa topik yang berhubung kait dengan topik-topik yang kami pernahnpelajari dalam kuliah sebelum. Apakah itu motivasi dan kaitannya dengan emosi? Emosi merangkumi makna yang lebih luas berbanding perasaan, kita boleh membahagikan emosi kepada dua kategori, emosi positif dan emosi negatif. Emosi neutral tidak wujud. Emosi yang dipaparkan dalam manusia termasuklah empat komponen yang penting, iaitu,  perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan tingkahlaku yang berkaitan.


Di sebalik itu, motivasi pula dikaitkan dengan kajian atau pembelajaran tentang pelbagai aspek tingkah laku. Atau dalam Bahasa Inggeris, 'the study of directional and energizing aspects of behaviours'. Motivasi sebenarnya bermaksud sesuatu yang akan memberi arah tuju dalam tindakan seseorang sama ada secara positif ataupun negatif. Menurut Baron & Logan (1993), emosi tidak dapat dipisahkan dari motivasi. Selain daripada itu, emosi juga berperanan sebagai satu motivasi kepada tingkah laku dan motif boleh menjadi emosional. Pendapat ini diutarakan oleh Lang et al pada tahun 1992. Contoh emosi sebagai motivasi yang benar-benar berlaku pada saya ialah semasa peperiksaan menjelang, saya akan mengulang kaji dengan lebih berusaha gigih kerana saya bimbang akan gagal. Untuk mengelakkan daripada gagal dalam peperiksaan, emosi bimbang dan takut ini memotivasikan saya supaya mengulang kaji dengan lebih berusaha.


Beberapa teori seperti Teori James-Lange, Cannon's Challenge, dan Teori Two-Factor telah diperkenalkan oleh Dr Zamri. Dalam teori-teori yang dibincangkan, kebanyakan falsafahwan bersetuju tentang beberapa komponen yang menentukan emosi: perasaan subjektif, proses kognitif, arousal fisiologikal, pergerakan badan dan motivasi. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan antara teori-teori berdasarkan kepentingan dan urutan komponen tersebut.


Teori James-Lang merupakan teori psikologi yang paling bersejarah dan paling lama digunakan. Teori James-Lang dihasilkan oleh Willian James (1884) dan disokong oleh Carl Lange (1887). Teori ini mengatakan bahawa perubahan fisiologikal dalam badan kita terhadap sesuatu rangsangan yang melahirkan emosi. Contohnya, apabila seseorang berjalan di dalam lorong yang gelap. Tiba-tiba, satu orang menepuk bahunya. Tepukan pada bahu yang tidak disangka itu merupakan rangsangan 'stimulus'. Orang itu akan terkejut dan aktiviti fisiologikalnya dirangsang dan membawa perubahan seperti denyutan jantung lebih cepat, mengigil dan berpeluh. Orang tersebut juga akan berasa takut atas rangsangan itu lalu berlari dan menjerit sekuat-kuatnya. Fenomena ini disebabkan 'physiological arousal' dan 'conscious emotion'. Dengan contoh ini, kita mengatakan bahawa emosi merupakan reaksi adaptasi yang dilahirkan dari badan kita untuk menyesuaikan diri dalam keadaan. Emosi yang terhasil ini boleh membantu kita berkomunikasi dengan orang lain dan menyediakan diri untuk mengambil tindakan seperti menjerit, melarikan dari, dan sebagainya.


Malangnya teori James-Lang ditentang oleh Walter Cannon berdasarkan tiga sebab, iaitu, penghasilan emosi dari organ-organ tertentu berdasarkan rangsangan adalah sangat lambat, emosi selalunya berlaku dengan cepat selepas rangsangsan, dan reaksi fisiologikal terlalu lambat untuk menghasilkan reaksi emosi. Oleh sebab itu, Teori Cannon–Bard diperkenalkan. Teori Cannon-Bard mengatakan bahawa rangsangan akan melahirkan emosi dan selepas itu baru ada reaksi sama ada fizikal ataupun fisiologikal.

Teori yang seterusnya ialah Teori Fisiobiologikal yang diulaskan oleh Jack Panksepp (1982, 1992) mengatakan bahawa terdapat empat emosi asas iaitu ketakutan, kemarahan, kecemasan, dan kejangkaan. Keempat-empat emosi ini boleh berinteraksi antara satu sama lain untuk menghasilkan emosi lain. Namun begitu, teorinya ditentang oleh Magda Arnold (1960) dan James Averill (1982). Manakala dalam Teori Kognitif pula, ahli falsafahwan mengatakan bahawa pemikiran itu yang melahirkan emosi. Teori-teori yang menyokong Teori Kognitif termasuklah Schachter's Cognitive Labeling Theory, Misattribution, Transfer of Excitation dan Cognitive Appraisal Theory.


Dalam Schachter's Cognitive Labeling Theory, ia bersetuju dengan Teori James-Lang secara keseluruhannya tetapi beliau telah mengubah serba sedikit dengan menambahkan faktor kognitif ke dalam teori itu. Schachter berpendapat bahawa interpretasi reaksi fisiologikal itu berdasarkan keadaan dan pengalaman dulu. Ini merupakan proses kognitif dan proses ini akan mendorong kita untuk menghasilkan emosi. Sebagi satu contoh, apabila kita terlihat sesuatu benda atau haiwan seperti lipas atau ular, bukan sahaja badan kita akan mengalami perubahan fisiologikal, malahan minda kita juga akan terfikir tentang kebahayaan yang dibawa oleh objek atau haiwan tersebut. Dengan menggabungkan perubahan fisiologikal dan pemikiran atau minda kita, barulah emosi takut dihasilkan.

Seterusnya, Teori Misattribution diterangkan dalam kuliah. Misattribution membawa maksud kesilapan dalam menganggap sesuatu yang hasil daripada sesuatu yang lain. Contoh yang dibincangkan dalam nota kuliah ialah penganggapan terhadap sindrom premenstrual. Kadang-kala, kita akan tersilap menganggap bahawa seseorang wanita berada dalam sindrom premenstrual ini apabila dia menunjukkan kemarahan dan kemurungan secara tiba-tibanya. Pada halnya, wanita tersebut tidak mempunyai sindrom premenstrual dan emosi yang ditunjukkan oleh wanita tersebut langsung tidak berkaitan dengan sindrom itu.


Selepas itu, Dr Zamri meneruskan kuliah dengan tajuk berkenaan dengan motivasi. Menurut Bickhard, 1997, motivasi adalah satu pemilihan dari aspek proses. Motivasi juga merupakan jangkaan kepada apa yang akan berlaku atau berkemungkinan. Oleh itu, Mook mengatakan bahawa motivasi ialah penyebab seseorang melakukan sesuatu perkara pada tahun 1996. Konsep dan teori motivasi termasuklah motivasi, dorong dan insentif. Motivasi ialah faktor-faktor dalaman dan luaran sesuatu benda hidup yang menyebabkan ia untuk bertingkah laku sebegini pada suatu masa yang tertentu. Manakala, dorongan ialah satu keadaan atau situasi dalaman yang menyebabkan tingkah laku untuk mengurangkan sesuatu kehendak dan memulihkan homeostasis. Insentif pula bermakna faktor dari luar yang 'menolak' atau 'menarik' sesuatu tingkah laku.


Selain itu, teori-teori lain yang berkaitan dengan motivasi diterangkan oleh Dr Zamri. Sebagai contoh, Teori Naluri 'Instinct', Teori Arousal dan Teori Kemanusiaan 'Humanistic' mengatakan bahawa motivasi ini adalah secara semula jadi di badan kita dan kita tidak akan sedar tentang kewujudan motivasi itu. Teori Naluri mengatakan bahawa motivasi ini datang secara semula jadi seperti motivasi untuk mendapat makanan dan melarikan diri dari kesusahan. Dalam Teori Arousal, 'arousal' merupakan fisiologikal dan psikologikal yang diaktifkan. Dalam Teori Kemanusiaan, Abraham Maslow berpendapat bahawa motif seseorang boleh dibahagikan kepada beberapa tahap: keperluan asas, keperluan psikologikal dan kehendak yang memenuhi sendiri. Secara kesimpulannya, emosi lebih menekankan dalam aspek 'arousal' manakala motivasi lebih menekankan dalam tingkah laku seseorang.


Secara kesimpulannya, kita haruslah pandai mengawal emosi kita kerana emosi menjejaskan tingkah laku kita. Sekian, terima kasih.


No comments:

Post a Comment