PENGURUSAN EMOSI (ZT2253)
VITTARINO BIN JOHNNY, A131865, LJ04, HUBUNGKAIT ANTARA EMOSI DAN MOTIVASI.
Selamat sejahtera, salam perpaduan dan salam satu Malaysia saya ucapkan kepada pensyarah kita, Dr Zamri dan juga rakan-rakan pelajar perubatan yang saya kasihi sekalian. Bertemu kita lagi pada minggu ini, untuk berkongsi tentang apa yang kita semua telah pelajari dalam kuliah Pengurusan Emosi bagi minggu ini. Cuba kita ingat tentang apa yang telah kita pelajari pada dua minggu yang lepas iaitu berkenaan dengan emosi positif dan juga emosi negatif. Seperti yang saya telah kongsikan pada minggu lepas, kita seharusnya mempunyai kedua-dua jenis emosi ini. Hal ini demikian kerana, kesemua emosi ini amat penting untuk membimbing kita untuk menjadi manusia yang berguna. Malahan, kepentingan untuk mengetahui kesemua emosi ini ialah supaya kita dapat tahu cara terbaik untuk mengawalnya.
Pada minggu ini, kami telah mempelajari sesuatu topik yang mempunyai kaitan dengan apa yang telah kami pelajari sebelum ini, iaitu apakah itu motivasi dan apa kaitannya dengan emosi. Pertama sekali kami telah mempelajari tentang maksud emosi dan motivasi. Emosi mempunyai makna yang luas dari perasaan, di mana kita boleh bahagikan emosi kepada dua, emosi positif dan emosi negatif. Manakala motivasi pula dikaitkan dengan kajian atau pembelajaran tentang pelbagai aspek tingkah laku. Motivasi sebenarnya bermaksud sesuatu yang akan memberi arah tuju dalam tindakan seseorang sama ada secara positif ataupun negatif. Menurut Baron & Logan, 1993, emosi tidak dapat dipisahkan dari motivasi. Emosi juga dianggap sebagai satu motivasi kepada tingkah laku dan motif boleh menjadi emosional seperti diperkatakan oleh Lang et al, 1992. Bagaimana sebenarnya emosi itu dapat menjadi sesuatu motivasi? Di sini saya ingin memberikan beberapa contoh situasi yang pernah saya alami untuk menceritakan bagaimana hal ini boleh terjadi. Jika pada suatu masa keadaan emosi saya adalah baik iaitu mempunyai emosi positif misalnya gembira saya akan terdorong untuk melakukan perkara yang baik. Sebagai contoh, pada waktu pagi selepas saya sampai ke dewan kuliah, jika saya terlihat rakan saya tengah membahagikan nota kuliah untuk setiap kumpulan, saya akan terdorong untuk membantu rakan saya itu apabila saya berada dalam emosi yang positif. Saya akan membantu rakan saya itu mengira nota dan membahagikan nota itu mengikut kumpulan. Namun demikian, sekiranya saya berada dalam keadaan emosi yang negatif misalnya marah ataupun sedih, kemungkinan besar saya tidak akan membantu rakan saya itu. Hal ini demikian kerana emosi marah ataupun sedih saya itu yang menyebabkan saya bertindak sebegitu. Selain itu, saya juga pernah terlihat bagaimana seorang cikgu itu yang berasa marah dan kecewa akan sikap para pelajarnya kerana tidak membuat kerja rumah yang disuruhnya, menghukum para pelajarnya. Di sini dapat kita lihat bagaimana apabila anda dalam keadaan emosi yang positif akan melakukan sesuatu perkara yang baik dan juga sebaliknya. Walaubagaimanapun, tidak semua keadaan ataupun situasi yang kita alami, emosi itu akan menjadi pendorong kita dan juga tidak semua motivasi yang kita dapat berasaskan kepada emosi. Sebagai contoh, seseorang yang belajar dengan rajin untuk mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan dan lulus dengan cemerlang, tidak semestinya kerajinannya itu didorong oleh emosinya.
Emosi juga merupakan satu tindak balas yang kita berikan selepas melalui sesuatu situasi. Bayangkan anda sedang ditemuramah untuk mendapatkan pekerjaan, orang yang menemuramah kita itu menyoal kita banyak soalan dan kita pun berasa takut, gementar dan malu untuk menjawab. Kita pun tergagap-gagap ketika bercakap, jantung kita berdenyut dengan pantas dan kaki kita pun bergetar-getar. Semua ini merupakan tindak balas yang kita lakukan apabila melalui situasi ini. Seterusnya kita pun menyuruh diri kita untuk menjadi tenang agar kita dapat membuatnya dengan baik.
Menurut Bickhard,1997, motivasi merupakan satu aspek dalam pemilihan sesuatu aspek. Motivasi juga merupakan satu andaian dan jangkaan tentang perkara yang mungkin akan berlaku. Menurut Mook, 1996, motivasi ialah apa yang membuatkan seseorang itu melakukan sesuatu perkara dan bagaimana proses pemilihan itu berlaku. Semua perkara ini melibatkan sistem saraf kita, bagaimana sesuatu rangsangan itu menghasilkan satu tindak balas. Terdapat beberapa teori dan konsep yang berkaitan dengan motivasi. Contohnya, insentif merupakan faktor yang memberi motif kepada sesuatu tindakan. Naluri adalah sesuatu yang semula jadi dan diwarisi. Naluri berkaitan dengan tindak balas kita terhadap rangsangan. Contoh teori yang lain ialah 'Arousal Theory' dan 'Humanistic Theory'. Hubungan antara emosi dan motivasi ialah "emotion emphasizes arousal, while motivation emphasizes action".
Kami juga telah mempelajari beberapa teori penting seperti 'James-Lange Theory'. Teori ini menerangkan bagaimana badan kita bertindak dan mengeluarkan tindak balas berdasarkan persepsi kita dan perasaan kita dalam sesuatu situasi. Kesemua deria dan anggota badan kita akan memberikan tindak balas. Umpamanya ketika kita terjumpa dengan seseorang yang mencurigakan dan menakutkan, kita akan mula melihat dan mendengar dengan teliti untuk memastikan sama ada orang itu benar-benar membahayakan atau tidak. Berdasarkan rangsangan ini akan menghasilkan emosi takut dan curiga yang akan menghasilkan tindak balas kita. Antara tindak balas yang boleh berlaku ialah jantung berdegup pantas, kita pun menggeletar dan akhirnya kita pun melarikan diri. James-Lange Theory turut disokong oleh Teori Schater, tetapi dalam Teori Schater, beliau telah memperkenalkan teori atau unsur kognitif. Teori Schater telah mendapat kritikan di mana mereka menyatakan bahawa emosi yang terhasil dari satu situasi sebenarnya adalah berdasarkan dengan pengalaman yang telah kita lalui, bukannya terhasil dari satu respon yang berlaku dalam tempoh masa yang singkat. Teori yang seterusnya ialah 'Misattribution Theory'. Pada pendapat saya, teori ini sering dikaitkan dengan kehidupan kita seharian kerana teori ini berkenaan dengan salah sangka akan sesuatu keadaan. Saya turut pernah tersalah sangka akan seseorang, contohnya saya pernah terlihat seorang pelajar memanjat masuk tingkap di atas pintu sebuah bilik. Permulaannya, saya mengesyaki pelajar itu ingin mencuba mencuri masuk dalam bilik pelajar yang lain, rupa-rupanya bilik itu kepunyaan pelajar itu. Dia cuma tertinggal kunci biliknya ketika hendak ke tandas. Kadangkala 'misattribution' ataupun tersalah sangka boleh menimbulkan masalah apabila kita terlalu cepat untuk membuat andaian dan seterusnya mengambil sesuatu tindakan. Misalnya, sewaktu kita berjalan, tiba-tiba kita terlihat seseorang itu mengikut kita dari belakang, kita pun bergerak dengan lebih laju, dia pun bergerak dengan laju. Kita pun mencari apa-apa barang untuk memukul orang itu kerana menganggap orang itu adalah jahat. Kita pun memukul orang itu dan apabila orang itu pun bercakap, dia cuma hendak meminta tolong untuk menunjukkan jalan ataupun mungkin hendak memberi barang kepunyaan kita yang terjatuh sewaktu kita berjalan. Antara teori lain yang kami turut belajar berkaitan dengan emosi pada minggu ini ialah teori 'Transfer of Excitation'. Apa yang saya faham dengan teori ini ialah bagaimana emosi seseorang itu boleh mempengaruhi emosi orang lain ataupun bagaimana emosi seseorang itu boleh berubah kepada emosi yang lain. Sebagai contoh, kita terlihat ibu atau bapa kita tengah memarahi adik kita kerana ponteng sekolah, melepak di luar sekolah, merokok dan melanggar disiplin di sekolah, kita sebagai abang atau adik turut akan berasa kecewa dan marah dengan sikap negatif adik kita itu, lalu kita pun turut memarahi adik kita. Dalam situasi yang lain pula, apabila kita terlihat seorang bapa yang tidak bertanggungjawab mendera anaknya tak tentu pasal disebabkan tertekan dengan kerja, kita akan berasa kasihan dan sedih terhadap anaknya itu. Malahan, kita juga akan berasa marah dengan bapa yang tidak bertanggungjawab itu dan seolah-olah hendak melakukan sesuatu terhadap bapa itu.
Justeru, setiap situasi yang kita alami akan menghasilkan suatu emosi, dan dari emosi ini akan terhasil sesuatu tindak balas. Dalam sesetengah keadaan, emosi juga boleh menjadi pendorong kepada kita.
Sekian dan terima kasih.
No comments:
Post a Comment