Wednesday, August 10, 2011

A131736 Lim Wei Kuan LJ03 Emosi Negatif

A131736               Lim Wei Kuan                     LJ03        Emosi Negatif

Salam sejahtera saya mengucapkan kepada Dr. Zamri dan rakan-rakan saya. Ini merupakan jurnal ketiga saya dalam khusus Pengurusan Emosi.

Sebelum bermula kuliah, pensyarah menyiarkan satu lagu dari YouTube yang berkaitan dengan kasih ibu. Selain itu beliau juga memberi kami sedikit idea tentang perbezaan antara negara kaya dan negara miskin. Walaupun negara seperti Jepun mempunyai keluasan yang kecil tetapi Jepun sangat kaya dan merupakan antara negara-negara yang termaju di dunia. Ini disebabkan oleh sikap rakyat Jepun yang positif seperti tekun, jujur, baik hati dan sebagainya. Saya juga berpendapat sebegitu kerana kemajuan sesebuah negara itu ditentukan oleh perpaduan dan tanggungjawab rakyat negara itu. Jikalau semua rakyat Malaysia berusaha memajukan negara dengan menjalankan tugasan-tugasan sebagai seorang rakyat yang bertanggungjawab, tentunya ekonomi mahupun sosial negara kita boleh dimajukan ke tahap yang setanding dengan negara besar seperti US dan China.

Selepas itu bermulanya kuliah hari ini dengan tajuk "Emosi Negatif: Takut, Malu. Sedih dan Marah". Pada pendapat saya emosi negatif ini merupakan jenis emosi yang tidak sihat kepada badan dan fikiran kita selain menjejaskan hubungan dengan orang lain. Menurut kuliah ini, takut merupakan emosi yang dijanakan apabila kita berada di keadaan yang bahaya dan kerisauan. Ketakutan itu dijanakan supaya kita boleh memberi tindak balas menyelamatkan diri sendiri dalam situasi bahaya. Contohnya apabila terdapat anjing yang ganas menyalak pada saya, saya akan berasa takut kerana risau anjing itu akan menggigit saya dan emosi ini menyebabkan saya menjauhkan diri dari anjing itu. Faktor ketakutan itu bukan sahaja berasal dari objek fizikal tetapi juga objek abstrak seperti peperiksaan, ketinggian, hantu dan sebagainya. Pada pendapat saya walaupun kewujudan hantu masih belum mendapat persetujuan ahli ahli sains tetapi saya juga takut kepada hantu kerana dipengaruhi oleh wayang hantu yang mengerikan.

Malu ialah emosi negatif yang menggambarkan tindak laku yang tidak dapat diterima oleh masyarakat. Kemaluan ini boleh dibahagi kepada kemaluan persendirian dan kemaluan profesional. Kemaluan persendirian ini disebabkan oleh ketidaksengajaan seseorang dan kebanyakan mereka mencuba untuk menyembunyikannya. Contohnya saya berasa malu apabila zip seluar saya terlupa tutup dan dinampak oleh orang lain. Atas perasaan malu itu saya akan menutupkan zip itu secepat mungkin dan membuat-buat seperti tiada perkara berlaku. Kemaluan profesional pula disebabkan oleh kegagalan dalam bidang pekerjaannya. Contoh dalam nota ialah apabila terdapat ahli politik yang terlibat dalam kes rasuah, dia akan berasa malu atas kesilapan yang dia lakukan.

Seterusnya ialah kesedihan. Kesedihan merupakan satu emosi yang memaparkan kehilangan atau kekurangan sesuatu yang dihargai atau diimpiankan. Orang yang sedih akan menjadi lebih diam dan tidak suka bersosial dengan orang lain. Selain itu kesedihan seseorang juga dapat kita lihati dari mukanya yang kurang senyuman, muram dan badan yang semakin tidak sihat. Saya rasa orang yang sedih lebih senang bersakit kerana mereka tiada "mood" untuk makan atau bersenam semasa mereka bersedih dan akibatnya sistem imuniti mereka merosot. Menurut Forgas, 1922, 1994, orang yang lebih gembira boleh mengintepretasi maklumat dengan lebih tepat dan cepat berbanding dengan orang yang sedih. Keupayaan menganalisis maklumat dipengaruhi oleh emosi kita (Isen, 1987). Semasa dalam kesedihan minda kita akan terpengaruh oleh perkara yang menyedihkan dan susah untuk kita berfokus dalam pembelajaran dan pengingatan.

Menurut nota kuliah, marah merupakan tindakan psikofisiologi terhadap kesakitan, stress, ataupun ancaman. Orang yang marah akan memaparkan sama ada dalam aktif atau pasif kemarahan. Dalam aktif kemarahan orang itu akan bertindak kasar, bercakap kasar, dan melakukan sesuatu yang terlibat keganasan. Contohnya, apabila seseorang yang marah terhadap ibubapanya dia mungkin akan menjerit pada mereka atau melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya seperti memukul mereka. Dalam pasif kemarahan pula orang itu akan berdiam sahaja. Dia akan bertindak dengan lebih pasif seperti tidak mahu mempedulikan orang lain dan sebagainya. Secara fisiologi, kemarahan ini distimulasikan di otak kita dan neurotransmitter yang mengawal emosi kita akan diaktifkan. Fizikal kita pada masa kemarahan juga berubah seperti tekanan darah menjadi tinggi, muka menjadi merah, kadar pernafasan meningkat dan sebagainya.

Kuliah diteruskan dengan teori aras adaptasi. Teori ini mengata bahawa kita akan bertindak terhadap stimulasi baru dengan keupayaan adaptasi kita pada masa itu. Maknanya kita akan biasa dengan sesuatu rangsangan jika kita berada dalam keadaan itu dalam tempoh masa yang panjang. Setelah kita berada dalam situasi tertentu dalam masa yang panjang minda kita akan menentukan satu titik neutral sebagai piawai dan rangsangan yang lebih tinggi daripada titik itu baru boleh menyebabkan kita berasa gembira. Contohnya, kita yang selalu mempunyai makanan tidak akan berasa gembira dengan memakan makanan yang sama setiap hari kerana titik neutral kita ditetapkan di tahap "saya sudah biasa dengan makanan itu" dan jika kita mempunyai makanan yang lebih sedap (rangsangan yang lebih tinggi), kita akan berasa lebih selesa dan gembira.

Teori Solomon yang dicadangkan oleh Richard Solomon (1980) merupakan teori yang diubahsuai dari teori aras adaptasi. Dalam teori Solomon ini keseimbangan emosi dikawal oleh emosi yang berpasangan tetapi bertentangan antara satu sama lain. Contohnya saya berasa gembira dan takut apabila saya naik ke pentas dalam majlis penyampaian kerana ramai orang di bawah pentas sedang menonton saya. Emosi gembira (emosi positif) dan takut (emosi negatif) terdapat dalam diri saya walaupun mereka bertentangan.

Dalam teori ini terdapat dua tahap: tahap pertama dan tahap lawan. Pada tahap pertama ialah pada masa kita pertama kali menghadapi sesuatu keadaan dan emosi pada masa itu adalah dijana semula jadi dalam badan kita. Menggunakan contoh di atas, pada kali pertama saya naik ke pentas saya berasa sangat takut kerana saya tidak tahu apa yang perlu saya buat di situ. Tahap lawan pula ialah selepas kita menyesuaikan diri dengan keadaan tertentu. Pada masa itu emosi yang bertentangan dengan emosi yang dilahirkan pada tahap pertama akan bertambah kuat dan lebih lama manakala emosi di tahap pertama akan semakin kurang. Selepas beberapa kali saya naik pentas ketakutan saya semakin kurang dan saya menjadi lebih senang hati di atas pentas.

Sebagai kesimpulannya, saya telah belajar tentang emosi negatif, teori aras adaptasi dan teori Solomon. Ketiga-tiga teori ini mengajar saya bahawa setiap orang mempunyai emosi positif dan negatif dan tidak mungkin seseorang dapat memaparkan emosi positif atau negatif sahaja. sebagai manusia memangnya biasa kita akan mempunyai emosi negatif dan emosi ini haruslah kita menguruskan dengan cara yang bijak supaya kesihatan, hubungan dan prestasi kita tidak terjejas.

Sekian terima kasih.

No comments:

Post a Comment