Wednesday, August 10, 2011

Assalammualaikum dan salam sejahtera. Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana atas limpah dan kurnia dari yang Maha Esa, maka saya diberi kesempatan sekali lagi untuk berkongsi serba sedikit apa yang telah dipelajari dalam kuliah ketiga untuk kursus pengurusan emosi. Hari ini, 10 Ogos 2011 bersamaan dengan hari rabu, Dr. Zamri telah menerangkan serba sedikit mengenai emosi negatif. Mengikut pemahaman saya, emosi negatif ini sering kali dikaitkan dengan membawa kesan yang buruk terhadap diri seseorang. Perasaan takut, malu, sedih dan marah antara beberapa contoh emosi yang diketengahkan oleh pensyarah dalam kuliah pada hari ini. Untuk jurnal ketiga ini, apa yang saya ingin coretkan ialah bagaimana emosi negatif ini mampu membawa kesan tidak baik terhadap diri seorang pelajar, baik dari segi fizikal, emosi, rohani dan jasmani. Adalah sangat penting sebagai seorang pelajar khususnya pelajar perubatan untuk belajar kaedah dan teknik untuk menangani emosi negatif ini kerana emosi ini mampu membawa impak yang sangat tidak bagus dalam usaha untuk membentuk diri seorang pengamal perubatan yang cekap dan profesional.
Salah satu daripada contoh emosi negatif adalah perasaan takut. Perasaan ini wujud hasil daripada interaksi pelbagai hormon dalam badan manusia. Dan ianya adalah satu perubahan fisiologi yang sering kali dikaitkan dengan acara-acara yang tidak disukai. Dan perasaan takut ini sebenarnya adalah satu rangsangan emosi terhadap beberapa perkara seperti kemarahan terpendam dan semua ini terjadi disebabkan oleh perasaan gusar dan khuatir. Takut ataupun dalam bahasa Inggeris, fear, merupakan satu mekanisma pertahanan semula jadi. Ianya dirangsang oleh perkara-perkara ataupun stimulus yang selalunya berciri negatif. Umpamanya marah, risau dan sebagainya. Bagaimana perasaan takut ini boleh wujud dalam diri manusia bergantung kepada individu terbabit. Ada sesetengah golongan menjadi penakut akibat pengalaman trauma khususnya ketika masih di usia muda. Perkara ini sering menghantui mereka menyebabkan mereka membentuk perasaan takut apabila melihat sesuatu perkara atau benda. Contoh paling mudah ialah apabila kanak-kanak dikurung di dalam bilik gelap, berkemungkinan besar mereka akan membentuk perasaan takut kepada keadaan gelap atau dalam bahasa saintifiknya, achluophobia. Malah mereka juga boleh menjadi takut untuk berada dalam kawasan bilik yang sempit ataupon kita panggil sebagai claustrophobia. Jadi, bagaimanakah perasaan takut ini mampu mempengaruhi seorang pelajar khususnya pelajar perubatan?
            Apabila seseorang itu sudah sah diterima untuk masuk ke dalam sesebuah fakulti perubatan, maka mereka harus menyedari bahawa mereka sudah tidak boleh untuk mempunyai perasaan takut lagi. Takut melihat darah, takut untuk memegang mayat, takut untuk bercakap di hadapan dan banyak lagi. Semua perkara ini harus mereka singkirkan dari kamus hidup mereka apabila mereka sudah bergelar mahasiswa fakulti perubatan, walaupun mereka hanyalah pelajar tahun 1! Namun, adalah menjadi norma manusia untuk menolak perubahan. Masih terdapat segelintir pelajar yang masih takut untuk bercakap walaupun di hadapan 10 orang sahaja ketika didalam sesi kumpulan kecil. Jadi, perasaan takut ini sebenarnya membataskan pergaulan mereka dalam usaha untuk menuntut ilmu. Seharusnya mereka sedar, bahawa kemahiran berkomunikasi dengan baik tanpa perasaan takut, bimbang dan ragu-ragu adalah salah satu resepi untuk menjadi seorang doctor yang baik. Selain itu, perasaan takut untuk kalah juga merupakan satu perkara yang harus dielakkan oleh seorang pelajar perubatan. Di fakulti perubatan, dengan keadaan pembelajaran yang padat dengan kelas, praktikal dan latihan klinikal, seharusnya mereka ini saling membantu antara satu sama lain. Perasaan takut dikalahkan oleh pelajar lain dalam aspek purata nilai gred kumulatif ataupun PNGK khususnya dapat membawa seseorang itu kepada masalah stress. Hal ini demikian, kerana mereka berasa tercabar dengan kejayaan orang lain, lantas mereka memaksa diri mereka untuk sentiasa belajar tanpa menghiraukan kesihatan diri. Malah mereka turut memencilkan diri di bilik serta tidak menyertai sebarang aktiviti riadah. Akhirnya, perkara ini mampu menjejaskan prestasi akademik pelajar itu sendiri. Situasi ini bukanlah satu situasi yang asing. Ada diantara pelajar perubatan yang belajar 24 jam sehari, tujuh hari seminggu tapi masih tidak mendapat keputusan yang cemerlang. Berbeza dengan orang yang pandai membahagikan masa dengan menyertai aktiviti riadah.
Selain perasaan takut, malu juga merupakan satu masalah ketara dalam kalangan pelajar perubatan. Malu ini sebenarnya perasaan yang dialami apabila seseorang itu melakukan perkara yang tidak dapat diterima oleh norma biasa, baik dari segi sosial mahupun professional, dan perkara yang dilakukan itu terlihat atau dilihat oleh orang lain. Namun, dalam konteks pelajar perubatan, apa yang mereka malukan ialah untuk bercakap di hadapan. Pada mereka, perkara ini adalah sangat memalukan. Tetapi, tanpa mereka sedari, mereka sebenarnya telah mengelakkan peluang keemasan dalam diri mereka. Tujuan diadakan sesi pengucapan umum adalah bertujuan untuk melatih diri seseorang pelajar itu supaya mereka mempunyai tahap keyakinan atau confidence level yang tinggi, justeru membolehkan mereka untuk bercakap dan menyampaikan idea dengan cara yang dapat meyakinkan orang ramai (convincing) .  sebagai seorang doktor, mereka seharusnya tidak mempunyai perasaan malu yang dipanggil sebagai malu tidak bertempat. Mereka seharusnya yakin dengan diri sendiri agar mereka tidak dipanggil sebagai incompetent doctor atau doktor yang tidak mampu untuk bersaing. Bagaimana mahu bersaing kalau mereka ini malu untuk bercakap dengan masyarakat? Sebagai seorang pengamal perubatan, mereka ini seharusnya boleh bercakap dengan yakin tanpa perasaan malu kepada para pesakit. Kerana perkara ini melibatkan kepercayaan pesakit terhadap pegawai perubatan. Sekiranya seorang itu bercakap dengan perasaan malu-malu dan tersipu-sipu, sudah tentu pesakit akan merasakan doktor itu seolah-olah mempermainkan mereka. Justeru, adalah sangat penting untuk seorang pelajar perubatan memadamkan sifat malu dari diri mereka.
Sedih juga turut dikaitkan dengan emosi negatif. Perasaan ini kebiasaannya timbul apabila kita mengalami kehilangan sesuatu yang disayangi ataupun sesuatu yang berharga. Sekiranya perasaan sedih ini tidak dikawal, maka ianya boleh membawa kepada tekanan perasaan. Perkara ini juga sering dialami oleh pelajar-pelajar perubatan khususnya apabila mereka menerima keputusan peperiksaan. Situasi ini terjadi apabila pelajar merasakan mereka sudah buat yang terbaik dan yakin mampu mendapat keputusan yang baik. Namun, apabila keputusan diumumkan, keputusan peperiksaan mereka tidaklah seperti yang diharapkan. Hal ini seringkali terjadi dan menjadi lagi teruk sekiranya seseorang itu mempunyai perasaan takut untuk kalah kepada orang lain seperti apa yang telah saya terangkan di atas. Apabila perasaan sedih ini tidak dikawal, maka mereka seringkali mengalami tekanan perasaan atau depression yang akhirnya membawa kepada stress. Stress merupakan perkara yang mempunyai kebaikan dan keburukan iaitu stress positif dan negatif. Apa yang dibimbangkan ialah sekiranya pelajar ini mempunyai stress negatif. Perkara ini bukan hanya menjejaskan pencapaian akademik semata-mata malah mampu membawa kepada permasalahan yang lebih besar seperti mengambil dadah dan bunuh diri.
Kesimpulannya, kita seharusnya belajar untuk mengawal emosi khususnya emosi negatif. Hal ini disebabkan oleh pembawakan impak negatif terhadap diri seseorang apabila emosi ini tidak dikawal dan diuruskan dengan baik. Menerusi kelas pengurusan emosi, sepatutnya kita harus mengaplikasikan apa yang telah dipelajari seperti perkara-perkara yang boleh membawa kepada emosi negatif serta cara menanganinya. Sekian.

No comments:

Post a Comment