Wednesday, August 10, 2011

A131869 NG YUN FOONG LJ03 KEGELAPAN DALAMAN DIRI

Selamat sejahtera kepada pensyarah dan rakan-rakan. Kali ini merupakan kali ketiga saya menulis jurnal bagi Kursus Pengurusan Emosi. Tajuk jurnal saya pada hari ini ialah 'Kegelapan Dalaman Diri'.

Kenapa kegelapan ? Kegelapan bukan sahaja menunjukkan sesuatu yang buruk , namun kegelapan ini mampu memberi impak yang sangat besar kepada ramai orang. Perkataan 'kegelapan'  telah dipilih kerana tajuk kuliah utama pada hari ini ialah emosi negatif. Emosi negatif merangkumi emosi-emosi yang mampu melemahkan seseorang dan mungkin menjadi halangan dalam kehidupan. Contoh-contoh emosi negatif ialah emosi takut , sedih , marah , dan sebagainya.

Sebelum topik emosi negatif disampaikan oleh pensyarah saya , beliau telah memulakan kuliahnya dengan menunjukkan video muzik yang menjadikan lagu Justin Bieber – Baby versi Indonesia sebagai latar belakang. Video itu juga menunjukkan lirik yang  membolehkan pelajar yang dapat menghayatinya termasuklah saya dapat merasakan emosi positif. Beliau juga mengingatkan kami bahawa segala tindakan yag diambil oleh manusia yang mempunyai emosi ini dipengaruhi oleh sikap seseorang itu.

Kemudian , beliau menunjukkan video yang menunjukkan kejadian peperangan dan penderitaan yang dialami oleh para penduduk Palestin. Video itu menggunakan lagu 'Look Into My Eyes' sebagai latar belakang. Kesan melihat video tersebut adalah dapat menyebabkan kami mempamerkan emosi sedih dan marah. Kesedihan ini menunjukkan sifat empati kami terhadap penduduj-penduduk tersebut manakala kemarahan ini menunjukkan sifat kasih sayang kami terhadap nyawa.
Persoalannya , dalam keadaan apakah yang akan menyebabkan manusia meluahkan emosi negatif?

Salah satu emosi negatif ialah ketakutan. Lazimnya , kejadian yang memberi kesan trauma , kesakitan atau penderitaan akan diikuti dengan emosi ketakutan ini. Sebagai contohnya , seseorang itu jatuh ke dalam sungai atau ke dalam lubang jalan yang dalam. Ketakutan juga boleh dikatakan sebagai sesuatu yang abstrak. Apabila seseorang itu mengalami ketakutan , dia akan melarikan diri dan bersembunyi di tempat yang dipandang selamat atau mengikut kehendak orang lain dan tidak memikirkan keselamatan diri ,misalnya dalam kes perompakan. Manusia biasa akan kehilangan ketenangan dalam pemikiran dan seterusnya menunjukkan sifat tidak rasional semasa mereka berasa takut. Sebaliknya , haiwan yang mengalami ketakutan apabila pihak-pihak tertentu cuba menangkapnya , boleh melawan dengan agresif demi melindungi  nyawanya. Namun demikian , terdapat juga peristiwa-peristiwa yang menunjukkan perubahan sikap dan tingkah laku seseorang yang mengalami ketakutan. Sebagai contohnya , seseorang itu mungkin akan menjerit dalam ketakutan apabila menonton cerita paranormal. Bagi reaksi muka pula , orang yang berasa takut akan menegangkan bibir dan meningkatkan paras kening.

Selain itu , malu juga merupakan contoh emosi negatif. Emosi ini boleh dikelaskan sebagai individu dan profesional. Dalam jenis individu , perhatian orang lain bertumpu kepada hal-hal peribadi seperti kesilapan yang telah kami lakukan seperti didapati bohong , kalah dalam pertandingan , dan lain-lain lagi. Dalam jenis profesional pula , urusan yang berkaitan dengan pekerjaan seseorang adalah amat penting. Sebagai contohnya , kehilangan kuasa atau jawatan yang disandang disebabkan pelanggaran undang-undang boleh menyebabkan pihak yang terlibat itu menjadi malu. Contoh bagi pihak tersebut pula ialah selebriti yang telah memandu dalam keadaan mabuk dan telah melanggar pejalan kaki. Status popularitinya akan terjejas dan emosi malu akan dialami olehnya apabila berita tentang peristiwa tersebut disiarkan melalui media massa. Ciri-ciri seseorang yang malu itu biasanya akan tergagap , berpeluh dan gelisah.

Di samping itu , emosi sedih juga menyumbang kepada emosi negatif seseorang individu. Semasa kuliah , emosi sedih dikatakan sebagai perasaan kerugian dan kehilangan dan menunjukkan bahawa tahap  Emotion Quotient (EQ)  seseorang rendah. Manusia yang sedih mempamerkan ciri pendiam , tidak bersemangat , suka mengasingkan diri dan tidak ingin berjumpa dengan orang lain. Pihak yang sedih akan menjadi lemah dan kurang upaya semasa melakukan sesuatu. Apabila kehilangan sesuatu yang amat berharga dalam kehidupan seperti ahli keluarga , kekasih , haiwan kesayangan , barangan kesayangan , panduan hidup dan sebagainya, seseorang itu mengalami kesedihan. Hal seperti begini adalah sangat biasa dilihat.  Kesedihan itu boleh berlaku sama ada dalam jangka masa pendek atau akan berlanjutan dengan lebih lama sehingga  kesemua fasa kesedihan berakhir. Pada pendapat saya , saya tidak berasa emosi sedih itu adalah lemah. Sebaliknya , emosi ini merupakan komponen yang tidak patut disekat dalam kehidupan seseorang. Hal ini demikian kerana emosi ini boleh membantu kita menjadi insan yang lebih baik dan matang terutamanya kepada mereka yang berjaya melepasi halangan yang merangsangkan emosi kesedihan ini. Manusia yang berasa sedih dan menjadi pendiam dan suka mengasingkan diri kerana mereka memerlukan ruang dan masa untuk menenangkan fikiran sebelum meneruskan hidup di peringkat yang berikutannya. Kebanyakan masanya , pihak yang mengalami kesedihan ini cuba mencari sumber yang dapat melegakan perasaan yang negatif itu. Terdapat orang yang menggunakan makan sekuat-kuatnya sebagai caranya yang tersendiri bagi melegakannya , terdapat juga yang terlibat dalam sukan permainan , menyanyi, menjerit , dan lain-lain lagi. Bagi saya pula , saya cuba mencari seseorang yang boleh menjadi pendengar yang baik untuk berkongsi peristiwa yang menyebabkan kesedihan saya.  Pada pandangan orang yang menggunakan cara ini , dia berasa pendengar yang dicari itu mempunyai  kriteria-kriteria yang tidak formal tertentu seperti mampu menyimpan rahsia dan  boleh dipercayai. Selepas perkongsian masalah yang dihadapi, gelombang-gelombang kesedihan dapat dineutralisasikan sedikit demi sedikit. Proses pemulihan dari kesedihan itu akan berlaku selepas itu dan masa yang diambil untuk pemulihan emosi itu bergantung kepada tahap impak peristiwa itu kepada individu , cara berfikir individu , dan faktor-faktor lain yang berkenaan. Sekiranya seseorang yang sedih cuba menyembunyi dan suppress emosi tersebut tanpa mencari jalan untuk melegakan emosinya dalam jangka masa yang panjang, dia akan mengalami ketidakseimbangan emosi yang amat serius dan mungkin mengakibatkannya menjadi tidak rasional atau tidak siuman. Perkara-perkara seperti pembunuhan diri mungkin berlaku.

Bukan itu sahaja , malah emosi kemarahan juga ialah emosi negatif yang mempunyai pengaruh yang kuat terhadap minda dan tindakan yang diambil oleh seseorang. Kemarahan boleh diekspresikan dalam dua bentuk ,iaitu  aktif (serangan verbal atau fizikal) dan pasif(muka masam atau peperangan dingin). Kemarahan boleh digambarkan sebagai unsur api dalam apa jua bentuk kemarahan itu. 'Mancis' pula boleh digambarkan sebagai punca atau peristiwa yang membawa kepada kemarahan itu.  Dalam setiap badan kita , kandungan air adalah banyak tetapi tidak cukup untuk menghapuskan 'api' tersebut. 'Air' yang diperlukan boleh wujud dalam pelbagai bentuk bagi pihak yang berbeza. Bagi saya , saya cuba memikirkan sesuatu memori yang gembira dan  bermakna untuk merendahkan tahap kemarahan saya. Memori itu dapat berfungsi sebagai 'air' dalam situasi ini dan ini sentiasa berkesan bagi saya.

Kesimpulannya , emosi-emosi negatif ini boleh membawa  kehancuran hidup sekirany tidak terkawal. Emosi-emosi ini perlu dkawal dari semasa ke semasa bagi mencapai keseimbangan diri dari segi emosi. Bagi saya , emosi-emosi negatif tersebut diibaratkan sebagai 'dementor' dalam cerita Harry Potter dan penyelesaiannya atau penawarnya bagi pihak yang mengalaminya seumpama 'Patronus Charm'. Oleh itu , setiap orang mesti  mencari dan   berlatih 'Patronus Charm' itu bagi menjamin kegembiraan, keceriaan dan kebahagiaan hidup.
 
 

No comments:

Post a Comment