Salam sejahtera. Jurnal ini merupakan jurnal ketiga saya, saya akan menghuraikan serba sedikit tentang ilmu yang saya peroleh dalam kuliah yang jatuh pada 3 Ogos 2011 dan juga pengalaman saya tentang tajuk yang dibincang. Pada permulaan kuliah, Dr Zamri telah menayangkan video yang agak menarik dan salah satu daripadanya ialah video yang berkaitan dengan kasih saying ibu. Penyanyi itu telah mengubah lirik lagu Bahasa Inggeris yang sangat terkenal iaitu "Baby"oleh Justin Bieber kepada lirik yang memuji kasih sayang ibu yang mulia. Selain itu, Dr. Zamri juga menayangkan video yang menunjukkan kesan buruk peperangan. Hatiku pilu melihat rakyat-rakyat Palestin hidup merana. Tujuan video-video tersebut adalah untuk menghubungkaitkan dengan tajuk kuliah iaitu: "Emosi Negatif – Takut, Malu, Sedih dan Marah".
Selepas sesi video, Dr. Zamri mula menerangkan tentang emosi 'takut' atau 'fear' dalam Bahasa Inggeris. Berdasarkan keterangan Dr.Zamri, takut merupakan emosi yang muncul apabila kita berada di situasi yang bahaya atau kerisauan. Ketakutan itu muncul supaya kita bertindak balas untuk menyelamatkan diri sendiri daripada situasi bahaya. Simptom-simptom emosi takut boleh dibahagikan kepada fisiologikal atau somatik. Contohnya, ketegangan otot, jantung berdebar-debar, tekanan darah meningkat, bernafas dengan cepat, mulut kering, berpeluh dan bergetar. Terdapat juga symptom emosional. Sebagai contoh, ketakutan, gelisah, berasa seperti diawasi oleh seseorang.
Yang ketiga, simptom kognitif. Contohnya termasuklah kekhuatiran yang tidak realistik bahwa sesuatu yang buruk akan terjadi, sukar untuk menumpukan perhatian, ketakutan yang tidak terkawal, kewaspadaan yang berlebihan. Simptom keempat ialah simptom dari segi tinkah laku. Sebagai contoh, agresif, terpaku, melarikan diri, mengelak, tidak dapat berbicara dan bergerak, ketidakmampuan secara kognitif yang kompleks. Ketakutan ini merupakan emosi negatif kerana kadang kala ia akan menghalangkan kita daripda mencuba sesuatu yang baru kerana kita takut akan risknya dan kegagalan.
Berdasarkan pengalaman saya, ketakutan ini akan wujud apabila seseorang berada dalam keadaan yang berbahaya atau semasa berhadapan dengan sesuatu objek atau situasi yang pernah membawakan pengalaman yang tidak disenangi. Saya ingat semasa saya baru berumur tujuh tahun. Ais panas pernah tersimbah atas kaki saya semasa saya sedang bermain di dapur tanpa diawasi. Kesakitan itu masih saya ingat sehingga sekarang. Oleh itu, saya agak takut kepada air panas mendidih dan saya sentiasa berhati-hati semasa mengendalikan air panas.
Selain itu, kita juga diperkenalkan dengan emosi negative yang kedua, iaitu malu. Malu adalah satu emosi negatif yang timbul dalam diri seseorang akibat daripada kesedaran diri mengenai perlakuan tidak senonoh yang dilakukan oleh dirinya sendiri. Setiap orang yang normal mempunyai perasaan malu. Tetapi setiap masyarakat mempunyai konsep atau pandangan yang berbeza mengenai malu kerana dalam konsep malu dan segan ini sebenarnya bergantung kepada sistem nilai moral dan kepercayaan sesebuah masyarakat itu.
Malu dalam masyarakat Melayu terdiri daripada 3 lapis pengertian, iaitu: 'Malu Sebagai Perasaan, Malu Sebagai Tanda Harga Diri, Malu Sebagai Fungsi Kawalan Sosial'. 'Malu Sebagai Perasaan' merujuk kepada istilah 'rasa malu', berasa segan silu terhadap kekurangan yang ada pada diri sendiri apabila dibandingkan dengan orang lain. Selain daripada itu, 'Malu Sebagai Fungsi Kawalan Sosial' dalam masyarakat Melayu membawa makna seseorang itu bukan sahaja akan menanggung malu daripada perbuatannya sendiri malah akan menanggung malu daripada perbuatan ahli keluarganya. Konsep ini disebabkan masyarakat Melayu mempunyai perasaan kekitaan terhadap keluarganya. Ia juga disebabkan oleh adat masyarakat Melayu yang menganggap bahawa seseorang itu terikat kepada keluarganya. Dalam perkataan yang lebih mudah difahami, jika seseorang anak melakukan sesuatu yang tidak berakhlak, ibu bapanya, malahan seluruh keluarganya juga akan menanggung kejatuhan maruahnya.
Dr. Zamri menerangkan tentang dua jenis emosi malu, iaitu peribadi (personal) dan profesional. Malu yang berjenis peribadi adalah disebabkan oleh perhatian yang tidak diingini dalam perkara persendirian. Respons fisiologi yang boleh dilihat ialah tersipu-sipu, berpeluh, cemas, tergagap-gagap dan gelisah. Sebagai contoh, jika seseorang yang berbohong dan muslihatnya telah diketahui oleh orang lain, semasa ditanya dia akan tergagap-gagap, cemas dan berpeluh semasa menjawab soalan. Malu profesional pula banyak berlaku di tempat berkerja yang melibatkan tugas-tugas rasmi dan individu tersebut akan malu sampai tidak dapat berkerja di tempat tersebut lagi. Sebagai contoh, seseorang hakim telah didapati bersalah dalam kes rasuah dan maruahnya sebagai hakim yang amat terhormat termusnah dan tidak lagi dipercayai, dia akan meninggalkan bidang kerjayanya atas perbuatan yang tidak berakhlak diri sendiri.
Emosi negatif yang seterusnya ialah sedih. Sedih merupakan salah satu emosi akibat berhadapan dengan situasi yang mengecewakan, dan muncul akibat penderitaan kerana luka, derita dan sakit. Tanda-tanda sedih termasuklah tunduk kepala dan fizikal aktiviti yang lambat dan tidak bermaya. Kesedihan juga adalah perasaan yang dipaparkan semasa mengalami kehilangan dan kelemahan. Sedih yang melampau akan menyebabkan kemurungan dan pada masa itu, campur tangan pihak profesional menjadi satu keperluan.
Menurut Forgas (1998), kesedihan melambangkan sesuatu situasi sosial yang bahaya dan memerlukan lebih banyak perhatian, serta memerlukan proses informasi yang lebih tepat. Isen (1984) pula menjelaskan kesedihan motivasi yang kesedihannya menyebabkan mereka memerlukan lebih banyak usaha untuk mengubah situasi negatif yang dihadapi. Menurut Halo effect, jika seseorang menunjukkan kesedihannya, orang lain akan menganggapnya sebagai seorang yang lemah dan tidak dapat mengatasi masalah yang dihadapi. Pada pendapat saya, menunjukkan kesedihan bukanlah satu tingkah laku yang patut dianggap lemah. Ia adalah satu cara untuk meluahkan perasaan yang terpendam dalam hati supaya kita dapat melepaskan diri daripada kesengsaraan yang terlampau. Jika perasaan sedih yang terpendam tidak diluahkan, kemungkinan besarnya kita akan mengalami kemurungan.
Selepas itu, kuliah disambungkan dengan emosi marah. Kemarahan pula merupakan satu tindakan psikofisiologikal kepada kesakitan yang dianggap sebagai kesengsaraan atau tekanan negatif. Menurut pandangan Islam, kemarahan merupakan satu tanda kelemahan. Nabi Muhammad s.a.w mengatakan bahawa kekuatan itu bukan keupayaan untuk menguasai orang lain, tetapi menguasai emosi sendiri apabila berasa marah. Saya amat bersetuju kepada pandangan ini. Jika kita marah kepada seseorang, kita sendirilah yang bersengsara dan memudaratkan kesihatan, bukan orang yang kita marah itu, tiada manfaatnya kita berbuat demikian. Orang yang bijak tidak akan membenarkan emosi-emosi negatif mengawal tingkah lakunya.
Akhirnya, tajuk yang disampaikan ialah Teori Solomon. Teori Solomon adalah pengubahsuaian dari Teori Aras Adaptasi. Teori Solomon mengatakan bahawa emosi akan mengimbang ke arah titik neutral bukan sahaja pada jangka panjang, tetapi juga bagi jangka pendek. Proses lawanan yang terdapat dalam Teori Solomon menghuraikan bahawa setiap emosi menyebabkan berlakunya emosi bertentangan. Apabila salah satu emosi sedang dialami, emosi yang bertentangan akan ditekan dan dikurangkan. Teori Solomon mempunyai 2 peringkat. Peringkat pertama ialah secara automatik dan tidak dipelajari, manakala peringkat kedua ialah peringkat lawanan yang melibatkan emosi yang bertentangan dengan peringkat pertama dan ia menjadi lebih kuat dengan pengulangan. kerana membelanjakan wang itu terlalu cepat.
Secara kesimpulannya, kuliah minggu ini amat bermanfaat kepada kita dari segi kawalan emosi negatif. Kita dapat membuat keputusan dengan rasional dan bertindak dengan cermat teliti tanpa menyesal jika kita dapat mengawal emosi, bukannya membenarkan emosi negatif mengawal kita. Saya berharap untuk menimba lebih banyak ilmu pada kuliah yang seterusnya.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment