Friday, August 12, 2011

A131715 Phillip Goh Jit Tong LJ03

Salam perdana buat semua penyinggah blog kursus ZT2253 Pengurusan Emosi. Tanggal 10hb Ogos 2011, iaitu Rabu ketiga buat kuliah ZT kami, kuliah kali ini berpaksikan Emosi Negatif. Emosi negatif merangkumi perasaan marah , takut, malu, sedih, dan marah. Tampaknya, tajuk ini tidak mendatangkan sebarang kemusykilan kerana sudah menjadi lumrah alam bahawa semua orang mengalami perasaan sedemikian. Setiap seorang daripada umat manusia tidak bebas daripada melakukan kesalahan, begitu juga dengan mengalami emosi negatif. Dr. Zamri telah memulakan kuliah dengan menayangkan video sebuah lagu remix Justin Bieber iaitu 'Baby' yang telah disunting dan disesuaikan seni kata lagunya sebagai penghargaan jasa pengorbanan ibu. Selain itu,Dr. Zamri juga menayangkan video menunjukkan kesan-kesan buruk peperangan. Terkesima saya dan kecewa hati saya bagaikan dihiris sembilu melihat rakyat-rakyat Palestin hidup sengsara. Sesi audio visual bukan sebagai selingan sebaliknya dikaitkan dengan tajuk kuliah yakni "Emosi Negatif  : Takut, Malu, Sedih dan Marah".

Emosi negatif yang dipelajari termasuk takut (fear). Takut adalah suatu maklum balas emosi yang mengamarkan seseorang akan suatu keadaan bahaya. Emosi ini bertindak sebagai mekanisme penakatan dan berperanan sebagai suatu alat untuk bertindak balas kepada sebarang rangsangan negatif. Takut berhubung kait dengan beberapa tahap emosi yang lain seperti keresahan, kebimbangan, keganasan dan sebagainya. Saya berasa takut apabila kawan saya menggelitik saya, dan perasaan takut itu berubah menjadi malu apabila saya melatah jika terus diusik, seterusnya menimbulkan kemarahan saya. Lazimnya juga, perasaan takut dirasai menjelang musim peperiksaan terutamanya bagi mereka yang tidak membuat persediaan secukupnya. Akibatnya, keputusan peperiksaan tidak menyerlah dan mereka yang kecundang akan berasa takut untuk memaklumi ibu bapa tentang berita kegagalan tersebut. Perasaan takut turut membawa makna yang lebih abstrak dan kemujaradannya termasuklah takut hilang kawalan, takut tidak diterima, takut diberi kritikan, dan takut dipersendakan. Ketakutan ini biasanya berlanjutan dan mempunyai kesan fisiologi yang mendalam berbanding ketakutan kepada sesuatu yang konkrit. Saya amat takut diberi kritikan tidak konstruktif sehingga menyebabkan kemurungan yang berlarutan selama berhari-hari.

Melalui pembacaan terdahulu saya, tuntasnya perasaan takut dapat dikaitkan dengan ekstremiti yang digelar sebagai fobia dan ia merupakan suatu ketakutan melampau terhadap sesuatu objek atau situasi yang kebiasaannya tidak melambangkan tahap bahaya yang sebenar. Seseorang itu akan menunjukkan kemerosotan tahap pemikiran sekiranya didedahkan kepada rangsangan fobia. Misalan kata, melalui suatu dokumentari yang pernah saya tonton di layar televisyen, orang yang klaustrofobia boleh mengalami perubahan fisiologi umpamanya, sesak nafas, ketegangan otot badan, tercekik dan trauma berpanjangan sekiranya menggunakan lif atau dikurung di ruang-ruang kecil. Sesetengah orang pula takut melihat darah dan mungkin pengsan apabila ternampak darah. Seseorang boleh berasa sangat tergugat oleh perasaan takut hinggakan dia hilang pertimbangan dan beralah menurut permintaan orang lain lalu mengabaikan kepentingan diri. Ada juga yang bertindak di luar dugaan seperti berlaku ganas tanpa disedarinya.

Perasaan malu pula meliputi keadaan emosi yang dialami seseorang melalui sesuatu tingkah laku yang tidak diterima biasa dalam norma masyarakat seperti kelakuan sosial yang menjengkelkan dan sifat malu boleh menjatuhkan air muka dan maruah diri seseorang secara langsung. Perasaan 'embarrassment' dan 'shame' tidak pernah terlintas fikiran saya selama ini sebagai dua perasaan yang berlainan tetapi hakikinya ialah kedua-duanya berkongsi separa sifat yang serupa. 'Malu' serupa dengan 'embarrassment' kecuali ia hanya melibatkan diri sendiri. Contoh peribahasa yang dapat dikaitkan dengan 'shame' ialah "menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri" yang membawa erti menceritakan caci cela keluarga sendiri tetapi diri juga yang mendapat malu.  "Membuka pekung di dada" pula bererti mendedahkan keburukan diri dan sengaja mencari malu. Kata peribahasa Inggeris, "Never trouble trouble till trouble troubles you" juga sedikit sebanyak relevan dalam situasi ini. Perasaan malu ini dikategorikan kepada dua iaitu personal dan professional. Bagi kategori personal, perasaan malu dialami apabila perhatian orang lain tertumpu kepada hal-hal peribadi seperti ketidaksempurnaan dan kekurangan diri dan juga disebabkan perbuatan kita berbohong dan seterusnya. Saya pernah menghadapi keadaan malu yang teramat sangat  kerana setelah diumumkan sebagai juara pertandingan dan dibanjiri ucapan tahniah, akibat ralat perkiraan markah, kedudukan pertama saya dituntut oleh peserta tempat kedua. Kebiasaannya, sifat malu ini diikuti dengan tanda-tanda seperti tersipu-sipu, berpeluh, gementar, tergugup, dan gelisah. Bagi kategori professional pula, perasaan malu melibatkan urusan yang berkaitan dengan pekerjaan. Sebagai contohnya, seseorang hakim didapati terlibat dalam gejala rasuah. Suatu pengalaman personal yang saya perhatikan ialah apabila seseorang itu berasa malu, antara tindakan yang akan dilakukan ialah menutup sebahagian daripada muka atau menopengkan perasaan malu dengan ketawa. Perasaan malu tidak bersempadan mahupun mempunyai dasar dalam penakrifannya kerana ia juga dilihat dalam sektor badan professional seperti dalam badan kehakiman. Di Malaysia seumpamanya, white-collar  crimes seperti kes merasuah dan korupsi melalui penyogokan sudah pernah dilaporkan secara berleluasa dan hai ini menunjukkan kegagalan melaksanakan tugas secara telus sehingga memalukan pihak yang terlibat dalam musibah tersebut.

Sedih juga turut bercabang daripada emosi negatif. Perasaan ini timbul dalam keadaan serba kekurangan seseorang kehilangan sesuatu yang disayangi dan dihargai. Seseorang yang sedih akan cenderung menjadi murung dalam jangka masa panjang sekiranya gagal dikawal. Perasaan sedih ini banyak dialami oleh penuntut sekolah menengah dan menara gading dalam usaha untuk mencapai keputusan yang terbaik. Orang yang sedang bersedih akan menunjukkan muka selamba, sayu, tidak berdaya motivasi, berjalan menunduk, antisosial, serta terperap dalam bilik tanpa mahu mengambil kisah perlakuan orang di sekitarnya. Namun demikian, kegagalan merupakan punca tunjang yang melahirkan motivasi ke arah kegemilangan pelajar. Keupayaan memproses maklumat dipengaruhi oleh tahap emosi (Isen, 1987). Periang akan menunjukkan prestasi yang lebih memuaskan dalam proses kognitif berbanding orang yang murung.

Menyentuh bab emosi negatif, sukacita saya ingin menyertakan fakta bacaan saya sendiri yang berkait rapat emosi negatif sedih iaitu stress atau tekanan. Stres mempunyai dua komponen iaitu eustres dan destres, masing-masing membawa  takrif stres positif dan stres negatif. Stres positif dialami dalam keadaan di mana seseorang pelajar harapan tinggi untuk melakukan yang terbaik, dan dalam situasi seorang atlet diberikan ganjaran lumayan dalam kemenangan pertandingan. Stres negatif pula adalah seperti pelajar perubatan diberi tugasan berlambak dan menimbulkan keresahan kerana tidak dapat menguruskan masa dengan baik. Menurut Halo effect, seorang yang sedang bersedih akan mempunyai sifat negatif lain seperti kurang berdaya , lemah, pendiam.

'A hungry man is an angry man'. Begitulah bunyinya pepatah Inggeris yang bermaksud seseorang yang gagal mendapatkan benda yang diinginkan akan menjadi marah dan naik berang. Terdapat dua jenis kemarahan. Marah pasif ditunjukkan oleh orang yang menjadi kecil hati dan tidak mahu bercakap, orang yang menjadi gusar dan rengsa akibat diusik lalu menjadi marah. Untuk kemarahan aktif, ia dating dalam bentuk demonstrasi iaitu, orang yang marah akan mengherdik, melemparkan kritikan-kritikan buruk untuk mencaci, dan menggunakan keganasan fizikal untuk mengatasi kemarahannya.



Intiha, telah dihuraikan bahawa orang yang bahagia memproses maklumat dalam masa singkat dan menghasilkan hasil kerja yang lebih tepat berbanding mereka yang sedih (Forgas, 1992, 1994). Oleh itu, nasihat saya : bersedih untuk sesuatu tempoh yang singkat sudah memadai dan tidak seharusnya dibiarkan berlarutan untuk berhari-hari lamanya. Kita harus berfikiran optimistik dan percaya pada diri kita, nescaya segala cabaran dan dugaan akan dapat ditempuhi jua. Tidak dapat dinafikan bahawa seseorang yang marah akan berfikiran tidak menentu arah dan cenderung melakukan sesuatu di luar sangkaan, namun janganlah kita biarkan kemarahan itu memperdayakan  hati nurani kita sebagai manusia. Memang kemarahan mengambil masa yang agak lama untuk reda sekiranya ia meninggalkan impak yang dalam. Sebaik-baiknya, kita memohon maaf zahir dan batin sekiranya sudah berbuat salah=)
 
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment