Friday, August 12, 2011

Eng Yii Hern A131737 LJ03

            Salam sejahtera. Jurnal ketiga saya ini merupakan ulasan tentang kuliah pengurusan emosi ZT2253 pada 10 Ogos yang lalu. Pertama sekali saya berasa amat bersyukur kerana dapat mempelajari banyak benda baharu dengan menghadiri kuliah pengurusan emosi ini. Sebelum ini, setiap kuliah ZT semata-matanya berteraskan konsep lecture sahaja dan inilah merupakan  kali pertama kuliah diselitkan dengan video, kuiz dan pembentangan. Dalam kuliah ini, Dr. Ahmad Zamri Mansor menjelaskan tentang " Emosi Negatif " serta teori " Solomon " Sebelum kuliah dimulakan, doktor telah menunjukkan dua video kepada kami. Video pertama menceritakan kemuliaan seorang ibu yang tidak jemu mendidik anak-anaknya. Video kedua pula menceritakan tentang kesan peperangan. Dalam video tersebut, ramai orang telah mengalami penderitaan akibat peperangan. Pada pendapat saya, peperangan sememangnya bukan cara penyelesaian yang paling efektif apabila sesebuah negara mengalami konflik dengan negara lain. Perundingan haruslah dipentingkan demi mengelakkan pertumpahan darah dalam sesebuah negara.

 

           Selepas itu, doktor memulakan kuliah tentang emosi negatif. Emosi negatif melibatkan takut, malu, sedih dan marah. Ketakutan merupakan sejenis emosi yang berkait rapat dengan keadaan yang berbahaya dan kebimbangan. Namum demikian, ketakutan amat penting kerana ia merupakan respons manusia terhadap rangsangan negatif dalam situati yang bahaya. Sehubungan dengan itu, kita boleh memastikan keselamatan kita tidak diancam dengan adanya ketakutan sebagai mekanisme survival. Emosi ketakutan boleh dihasilkan melalui beberapa perkara. Seseorang akan berasa takut disebabkan pengalaman yang tidak menyenangkan. Sebagai contoh, apabila seseorang pernah digigit oleh anjing, seseorang itu akan berasa takut apabila dia terjumpa anjing. Selain daripada unsur fizikal melalui pengalaman, manusia menghasilkan emosi ketakutan disebabkan unsur abstrak. Misalnya, seseorang akan mempunyai perasaan takut terhadap kehilangan kawalan terhadap sesuatu. Hal ini akan mengakibatkan seseorang itu berasa fobia terhadap ejekan, celaan sosial, kritikan serta penolakan. Walaupun kedua-dua unsur tersebut akan mempunyai hasil yang sama terhadap emosi seseorang, tetapi perasaan takut hasil daripada unsur abstrak memerlukan jangka masa yang panjang untuk pulih.

         Di samping itu, perasaan takut boleh dikesan malalui expresi muka seseorang. Apabila seseorang berasa takut, terdapat beberapa perubahan di muka orang tersebut yang akan mencerminkan perasaan takutnya. Antaranya ialah pembesaran pupil yang membolehkan lebih banyak cahaya masuk. Bulu kening seseorang akan bergerak ke bahagian dalam. Selain itu, bibir orang dalam ketakutan akan terhulur mendatar. Perasaan ketakutan sebenarnya mempunyai impak yang besar terhadap manusia. Emosi ini akan membuatkan seseorang memenuhi kehendak orang lain tanpa mengambil berat tentang keinginan diri. Sekiranya perasaan takut mencapai tahap yang maksimum, seseorang itu akan bertindak ganas dan mungkin akan membawa kemudaratan kepad dirinya atau orang lain.

         Seterusnya, saya belajar tentang emosi malu. Setahu saya selama ini, perasaan malu lahir secara semula jadi kerana persekitaran yang mengawalnya. Misalnya, seseorang akan berasa malu apabila disoal di depan orang ramai .Perasaan malu boleh dikenali sebagai sesuatu tahap emosi disebabkan perbuatan sosial atau profesional yang tidak mendapat persetujuan. Dalam perasaan malu, ia berkait rapat dengan kehilangan kehormatan dan maruah. Biasanya perasaan malu akan terhasil daripada perbuatan sosial yang tidak boleh diterima. Sebagai contoh, apabila seseorang tersilap pakai kasut, seseorang tersebut akan berasa malu. Perbuatan tersilap pakai kasut tidak salah dari segi moral, tetapi ia tidak boleh diterima dari segi sosial. Selain itu, perasaan malu amat subjektif dan ia berlainan dalam setiap individu.

          Emosi malu boleh dibahagikan kepada dua jenis,iaitu personal dan profesional. Perasaan malu jenis personal iaitu jenis individu adalah disebabkan oleh perhatian yang tidak diingini terhadap perkara persendirian ataupun kesalahan peribadi. Misalnya, seseorang akan berasa malu apabila dia didapati membohong. Perasaan malu personal diiringi dengan cirri-ciri seperti tersipu-sipu, berpeluh, tergagap-gagap dan gelisah. Seseorang yang mengalami perasaan malu biasanya akan cuba menyembunyi emosinya dengan senyuman. Malu profesional pula akan dirasai apabila kenyataan yang mengambarkan keyakinan seseorang tidak diambil berat. Perasaan ini biasanya akan dialami di tempat bekerja. Dengan erti kata lain, perasaan malu profesional boleh dikatakan sebagai malu akibat kegagalan menjalankan tugas.

         Emosi negatif ketiga merupakan kesedihan. Kesedihan adalah perasaan yang berkait rapat dengan kekurangan dan kehilangan. Apabila kesedihan seseorang mencapai tahap yang tinggi, ia akan menyumbang kepada kemurungan. Seseorang akan berkelakuan senyap, kurang aktif dan mengasingkan diri daripada orang lain ketika berada dalam keadaan sedih. Antara tanda-tanda kesedihan adalah menundukkan kepala, memuncungkan bibir dan kurang aktif. Perasaan ini bertentangan dengan perasaan gembira. Tambahan itu, kesedihan boleh didapati dalam emosi lain seperti sayu, murung, muram dan suram. Kesedihan sebenarnya akan memberi kesan yang negatif terhadap seseorang individu. Menurut Forgas 1992, 1994, individu yang gembira memerlukan masa yang singkat untuk memproseskan maklumat dalam otak berbanding kepada individu dalam keadaan sedih.

       Sekiranya seorang individu mempunyai ketidakpuasan hati terhadap sesuatu atau keinginan diri tidak tercapai, emosi marah akan diwujudkan. Ini merupakan satu tindak balas psikofisiologi yang ditunjukkan selepas seorang individu mengalami situasi yang mencabarkan. Misalnya, seseorang akan berasa marah apabila mengalami pengkhianatan, konflik, penghinaan, serta kecuaian. Kemarahan boleh ditunjukkan secara aktif ataupun pasif. Secara aktifnya, seorang individu akan mengeluarkan kata-kata yang kasar atau melakukan serangan fizikal terhadap sasarannya. Seseorang yang menunjukkan kemarahan secara pasif akan berkeadaan senyap dan mengasingkan diri daripada orang lain. Tahap kemarahan biasanya akan ditingkatkan melalui kegusaran yang ditimbulkan oleh sesetengah situasi. Di samping itu, doktor turut menerangkan fisiologi marah. Menurutnya, marah akan mengakibatkan peningkatan tekanan darah, denyutan jantung dan kadar bernafas. Pada pendapat saya, pengawalan kemarahan amat penting kerana ia membolehkan seseorang berfikir secara waras dan tidak akan bertindak berasakan pemikiran yang tidak rasional.

      Kuliah pada hari tersebut diteruskan dengan Theori Tahap Adaptasi. Teori ini mengatakan setiap individu mempunyai tahap adaptasi yang tersendiri dan akan memberi tindak balas yang berlainan terhadap persekitaran yang sama. Selain itu, tahap adaptasi akan ditingkatkan apabila seseorang mencapai sesuatu melebihi tahap adaptasinya. Tambahan itu, teori Soloman mengatakan bahawa setiap emosi yang kita alami akan menimbulkan emosi yang lain. Sebagai contoh, tahap ketakutan seseorang akan menurun sekiranya seseorang itu menghadapi cabaran ataupun kesusahan yang sama secara berulangan. Sehubungan dengan itu, seseorang itu dapat mencapai pengawalan emosi yang baik.

       Selepas menghadiri kuliah ini, saya telah memahami pelbagai emosi negatif dalam diri manusia termasuklah perasaan takut, malu, sedih dan marah. Selain itu, saya turut mempelajari tentang teori tahap adaptasi. Pada pendapat saya, saya berasa pengurusan emosi amatlah penting bagi setiap individu kerana emosi bersifat negatif akan membawa impak negatif dalam kehidupan seharian kami. Oleh sebab itu, kita haruslah sentiasa bersikap positif dalam menghadapi segala cabaran dan dugaan dalam lumrah hidup.

     

   

     

         

No comments:

Post a Comment