Bebaskan Diri Dari Emosi Negatif
Pada hari ini (10 ogos 2011), doktor telah menyampaikan kuliah yang merupakan sambungan dari topik minggu lepas iaitu emosi positif dan negatif. Pada kali ini, topik yang dibincangkan ialah emosi negatif. Selain itu, topik baru iaitu teori aras adaptasi turut dibincangkan. Kuliah yang disampaikan kali ini juga turut menarik perhatian dan minat saya kerana emosi negatif sering ditonjolkan dan kerap dilihat dalam kalangan pelajar. Emosi negatif meliputi emosi takut, malu, sedih dan marah. Sebelum saya mengulas dengan lebih lanjut mengenai topik pada minggu ini, terlebih dahulu saya ingin memberi pandangan mengenai kuliah pada kali ini. Kuliah kali ini agak santai dan seperti biasa, doktor akan menayangkan beberapa video menarik yang mana ada kaitan dengan topik yang bakal dibincangkan. Video yang ditayangkan pada minggu ini ialah mengenai peperangan, kesedihan dan lagu untuk ibu. Apa yang dapat saya perkatakan mengenai video-video yang telah ditayangkan ialah semua video ini sudah pasti membuatkan kami berasa marah dan sedih yang mana kedua-dua emosi ini merupakan sebahagian daripada emosi negatif. Selepas doktor memberikan kuliah, seperti biasa kami diminta menjawab soalan kuiz secara berkumpulan. Aktiviti ini benar-benar membuatkan kami menjadi segar dan sedikit terhibur dengan melihat gelagat kawan-kawan. Sama seperti minggu lalu di mana kumpulan yang mendapat markah tertinggi, mereka mendapat markah penuh bagi kehadiran. Tetapi berbeza sedikit pada minggu ini kerana kumpulan yang mendapat markah kuiz kedua tertinggi juga mendapat markah penuh bagi kehadiran. Selain itu, pembentangan secara individu mengenai topik yang dibincangkan juga tidak diadakan.
Emosi takut adalah salah satu daripada emosi negatif yang mana merupakan tindak balas apabila kita berasa terancam kerana berada dalam keadaan bahaya yang berkaitan dengan risau atau pun perasaan ingin tahu. Apabila kita berasa takut, kadar pernafasan kita meningkat dan kita akan berasa berdebar-debar dan berpeluh. Perasaan takut ini penting terutamanya apabila kita berada dalam keadaan bahaya seperti dikejar anjing. Takut juga boleh dikaitkan dengan peristiwa lalu yang menyebabkan kita trauma atau pun fobia seperti fobia pada air (hydrophobia). Kadangkala perasaan takut juga boleh timbul disebabkan perkara-perkara yang kita dengar seperti tahyul yang dibawa dari turun-temurun, biasanya adalah hantu atau makhluk halus yang mempunyai wajah yang amat menyeramkan. Menonton cerita seram juga boleh menimbulkan perasaan takut. Berdasarkan pengalaman peribadi saya mengenai perkara seperti ini adalah ketika saya mula tinggal di hostel semasa belajar di matrikulasi. Blok kediaman saya di katakan keras dan selalu sahaja kami mendengar cerita mengenai pelajar-pelajar yang ternampak kelibat benda-benda halus ini dan selalunya berhampiran tangga. Kedudukan kolej kediaman kami agak terpencil dan dikelilingi hutan. Saya sendiri pernah mengalami peristiwa pelik tetapi kadangkala saya merasakan perkara ini berlaku mungkin disebabkan saya berasa takut atau pun penat. Kebiasaannya apabila kita penat, kita mudah ternampak benda yang membuatkan kita menganggap benda itu adalah makhluk halus atau pun peristiwa pelik seperti saya yang mana pernah terlihat pintu bilik saya seolah-olah terbuka sendiri walhal saya yakin ianya hanyalah imaginasi saya kerana terlalu penat berfikir dan kerana tidur terlalu lewat. Tetapi pernah juga kawan baik saya berjaya merakam kelibat makhluk halus ini atau lebih tepat digelar hantu ketika menangkap gambar bersama-sama rakannya ketika jamuan di salah sebuah dewan di situ. Bagi saya perkara ini mungkin boleh berlaku dengan izin Allah tetapi kita sebagai umat Islam perlulah berpegang teguh kepada al-Quran dan yakin kepada Allah. Kita perlulah memohon kepada-Nya supaya dijauhkan dari hasutan iblis dan bisikan syaitan supaya kita tidak terpedaya dengan perkara-perkara tahyul seperti ini kerana mereka juga makhluk Allah yang ditugaskan untuk menyesatkan kita tetapi jika kita hanya mengharapkan pertolongan dari Allah sudah pasti kita selamat dengan izin-Nya. Selain itu, kita juga mungkin takut disebabkan kesalahan yang kita lakukan atau pun takut mengenai sesuatu yang berkaitan dengan masa depan kita. Contohnya, takut dengan keputusan peperiksaan yang mana menentukan sama ada kita layak untuk memohon jurusan yang kita kehendaki seperti doktor perubatan atau pun tidak. Inilah yang saya alami ketika berada di matrikulasi tetapi syukur kerana saya berjaya juga mencapai impian yang saya impikan selama ini iaitu ingin menjadi seorang pelajar perubatan dan akhirnya menjadi seorang doktor.
Emosi negatif yang kedua ialah perasaan malu. Perasaan malu merupakan satu keadaan yang membuatkan kita berasa tidak selesa keliru atau segan yang mana berkaitan dengan maruah diri kita. Malu boleh timbul disebabkan kesilapan kita yang menyebabkan ianya sukar untuk diterima oleh orang lain. Antaranya, malu kerana terjatuh di khalayak ramai, malu kerana dipersendakan oleh rakan-rakan disebabkan kesilapan yang disengajakan atau pun kesilapan besar yang boleh menyebabkan kita disisihkan dan boleh menjatuhkan maruah kita seperti melakukan jenayah. Malu terbahagi kepada dua iaitu peribadi dan professional. Contoh bagi peribadi ialah perasaan malu disebabkan perhatian yang diberikan kerana kita digosipkan atau menjalinkan hubungan dengan seseorang, biasanya orang berpengaruh dan terkenal seperti artis atau pun orang kenamaan. Apabila seseorang itu berasa malu, biasanya kita akan melihat orang itu kelihatan tersipu-sipu(pipi kelihatan merah), berpeluh, berdebar-debar, percakapan tidak lancar dan tergagap-gagap serta gelisah. Biasanya perasaan malu akan cuba disembunyikan dengan berpura-pura senyum atau ketawa yang dibuat-buat. Perasaan malu yang timbul dari segi professional ialah apabila kita gagal melaksanakan tanggungjawab atau tugas yang telah diberikan kepada kita disebabkan mereka yakin dengan kebolehan dan keupayaan kita tetapi mungkin disebabkan perkara yang tidak diingini atau pun sebab-sebab tertentu kita gagal menyiapkan tugas yang telah dipertanggungjawabkan. Bagi saya, perasaan malu timbul apabila saya tidak dapat menjawab soalan yang diberikan oleh doktor kepada saya dihadapan kawan-kawan. keadaan ini membuatkan saya berasa seperti diperhatikan dan seolah-olah mereka memandang rendah kepada saya. Tetapi malu juga boleh lahir secara semulajadi biasanya bagi kaum hawa yang mana perasaan malu itu merupakan sifat peribadi yang berlaku secara sendirinya.
Sedih berlaku apabila emosi kita tidak stabil disebabkan kita kehilangan sesuatu yang berharga yang mana boleh membawa kepada keadaan yang lebih buruk iaitu kemurungan. Jika ianya tidak dirawat boleh membawa kepada perasaan ingin membunuh diri bagi mereka yang hilang pertimbangan, putus asa atau pun tidak dapat berfikir secara rasional. Kebiasaan mereka yang kerap berasa sedih akan menjadi seorang yang pendiam, kurang bertenaga, suka mengasingkan diri atau yang paling jelas adalah menangis. Saya bukan lah seorang yang mudah sedih atau pun menangis tetapi sekiranya saya terlalu tertekan atau pun rasa seperti berputus asa disebabkan gagal dalam peperiksaan, saya akan menzahirkan perasaan kecewa itu dengan mendiamkan diri atau pun menangis.
Emosi negatif yang terakhir ialah marah yang mana mungkin disebabkan kesakitan, penderitaan, tertekan atau ancaman. Kita berasa marah disebabkan masalah dalaman seperti konflik dan terbahagi kepada pasif dan aktif. Emosi marah yang aktif menyebabkan seseorang itu melepaskannya secara kasar melalui pertuturan atau pun tingkah laku manakala pasif pula adalah dengan cara memendam di dalam hati dan tidak menonjolkan emosi itu kepada sesiapa yang memyebabkan \kemarahan itu timbul. Marah juga boleh berlaku disebabkan tadak mendapat perhatian atau pun diganggu. Marah boleh membawa kesan buruk terutamanya kepada mereka yang menghidapi darah tinggi dan sakit jantung. Perasaan marah boleh dikawal jika kita bersabar dan berfikir atau berbincang terlebih dahulu jika berlaku salah faham. Dalam Islam sendiri menyatakan sabar itu separuh daripada iman. Jadi umat Islam perlulah mengawal kemarahan mereka dengan banyakkan beristighfar dan mengingati Allah kerana marah banyak membawa kesan buruk kepada kita seperti memutuskan hubungan atau pun pergaduhan yang berpanjangan. Saya mudah marah terutamanya apabila tertekan dan tidak sihat, tetapi saya tidak melepaskan kemarahan saya secara melulu tetapi sebaliknya saya akan bersabar dan mendiamkan diri bagi meredakan kemarahan saya terlebih dahulu supaya saya tidak mengguris hati kawan-kawan saya. Melepaskan kemarahan bukanlah salah satu cara menyelesaikan masalah yang terbaik sebaliknya berbincang adalah cara yang lebih baik untuk menyelesaikan sesuatu masalah.
Bagi topik teori aras adaptasi, saya kurang memberikan fokus semasa kuliah disampaikan kerana terlelap. Jadi, saya kurang faham mengenai topik ini. Topik ini saya akan bincangkan dalam jurnal seterusnya.
Kesimpulannya, emosi negatif juga merupakan emosi semulajadi yang biasa dialami oleh pelajar disebabkan tekanan perasaan dan perkara-perkara lain. Walau bagaimanapun, kita perlulah bijak mengawal emosi kita supaya ianya tidak menjejaskan kesihatan dan pembelajaran kita. Mungkin dengan mengimbau kenangan yang indah-indah atau pun melakukan aktiviti yang membolehkan kita lupa akan masalah kita seperti menonton wayang, membeli-belah atau pergi berjalan-jalan di kawasan pantai dapat membuatkan kita berasa gembira dan akhirnya dapat menghilangkan perasaan sedih kita.
No comments:
Post a Comment