Sunday, September 4, 2011

A131744 AISYATUL NADIAH BT. MOKHTAR ALFAKARI LJ05 - PERSONALITI SAYA

A131744 AISYATUL NADIAH BT. MOKHTAR ALFAKARI LJ05 – PERSONALITI SAYA
 
            Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada Dr. Zamri dan rakan-rakan yang sudi membaca jurnal terakhir saya ini iaitu LJ05 yang akan menyentuh tentang personaliti. Pejam celik sekejap sahaja telah sampai ke siri jurnal terakhir bagi Tugasan 1 Kursus ZT2253 – Pengurusan Emosi. Pada minggu lepas, kami diperkenalkan dengan tajuk kuliah berkenaan personaliti. Bagi  saya tajuk ini adalah yang paling menarik berbanding tajuk-tajuk kuliah sebelum ini dan saya yakin juga rakan-rakan yang lain yang hadir pada hari tersebut. Oleh itu, amat rugi bagi mereka yang tidak menghadirkan diri pada kuliah tersebut. Saya peroleh bahawa dari emosi hingga personaliti terdapat banyak teori-teori yang dihasilkan dan dikemukakan.
Permulaan kuliah kami diperdengarkan video bertajuk 'Freedom' dan dr. meminta kami menghayatinya kerana perkaitannya dengan kuliah pada hari tersebut. Video tersebut berkenaan dengan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestine. Saya tidak sanggup melihat video tersebut kerana lahir perasaan yang amat geram dan sedih terhadap penderitaan yang mereka alami kerana ketamakan dan kepentingan diri manusia yang tidak berperikemanusiaan tetapi saya mula berasa amat bersyukur dengan kehidupan saya sekarang yang mempunyai keluarga dan tidak perlu sentiasa mendengar letupan dan dalam keadaan berhati-hati. Ibu, bapa, adik-beradik dan saudara-mara yang sentiasa di sisi. Tiada tangisan pilu.  Saya tidak pasti bagaimana mengaitkan video tersebut dengan Teori Psikoanalisis. Hal ini kerana melalui nota kuliah yang saya baca, ia menyatakan teori ini menekankan pengalaman emosi itu berlaku secara kita tidak sedar dan ia lebih mengutamakan kepada emosi negatif seperti bimbang dan marah tetapi berlaku tanpa sebab. Bukankah menonton video tersebut menjadi sebab kepada lahirnya emosi tersebut. Adakah yang dimaksudkan lahirnya marah tersebut ialah semula jadi dan mempengaruhi tingkah laku.
Video seterusnya tentang personaliti jenis A and B. Saya mengkategorikan diri ini tengah-tengah antara dua jenis tersebut. Terdapat sikap saya yang dinyatakan dalam ciri-ciri A seperti seorang sempurna, tidak sabar, hendak cepat, tersusun dan bersaing manakala bagi jenis B hanya ada satu ciri sahaja yang berkaitan iaitu saya seorang yang makan perlahan tetapi kadang-kadang rakan saya mengatakan saya makan laju. Oleh itu, kebanyakan sikap saya menunjukkan lebih ke arah personaliti jenis A. Orang A ini kerap dikaitkan mengalami tahap stress tinggi yang boleh membawa pada risiko sakit jantung. Saya hendak ubah tetapi sikap tersebut berlaku tanpa sedar dan percaya berlaku kerana pengaruh peristiwa-peristiwa lampau. Sikap-sikap tersebut membentuk personaliti saya sendiri.
Kemudiannya, kami diminta menjawab soalan-soalan berkaitan 2 ujian personaliti iaitu MBTI dan TBF. Bagi ujian MBTI, kami diharuskan menjawab 4 bahagian soalan. Setiap bahagian terdiri daripada 2 ciri yang harus dipilih iaitu yang paling mendekati ciri diri sendiri. Contohnya bahagian 1, antara 'extraverted' dan 'introverted'. Bagi saya, diri lebih menyerupai ciri-ciri 'introverted' walaupun terdapat 1 ciri 'extraverted' mengenai diri saya iaitu saya seorang yang bertindak dahulu baru berfikir atau bermuhasabah kemudiannya. Kerap perkara seperti berlaku kepada saya. Saya sentiasa bertindak melulu tanpa berfikir secara mendalam sama ada betul dan terbaik atau sebaliknya. Oleh itu, ramai menyatakan melakukan kesilapan itu kadang-kadang mengajar kita menjadi seorang yang lebih matang terutamanya dalam menyelesaikan masalah. Saya mempunyai ciri-ciri 'introverted' iaitu memerlukan sentiasa masa untuk bersendirian, saya lebih minat hubungan secara 'one-to-one'  begitu juga dari segi komunikasi. Bagi bahagian 2 pula antara 'sensing' dan 'intuitive' dan saya memilih 'sensing' sebagai ciri yang sepadan dengan diri saya iaitu saya mudah mengingati peristiwa-peristiwa mahupun fakta-fakta. Bukan terlalu detail tetapi saya lebih mudah mengingati wajah-wajah yang berada di sekeliling saya ketika itu. Saya sangat tidak suka meneka sekiranya faktanya masih tidak jelas.
Seterusnya bahagian 3 pula antara 'thinking' dan 'feeling'. Berbanding berfikir, saya lebih kepada rasa iaitu saya lebih memikirkan perasaan orang lain berbanding diri sendiri sebab seperti yang saya pernah katakan bahawa saya benci pada bergaduh. Saya rasa setiap perbincangan terutamanya bagi menyelesaikan masalah dapat diselesaikan tanpa konflik sekiranya setiap orang bekerjasama. Sensitif ialah sikap paling tidak boleh diubah pada sesiapa. Bahagian terakhir ialah antara 'judging' dan 'perceiving'. Pada bahagian ini saya tidak pasti yang mana lebih menyerupai diri sendiri dari nama sahaja saya ingat diri ini dalam kategori  'perceiving' tapi setelah menjawab soalan kebanyakannya pada 'judging' iaitu saya selalu lebih fokus pada 1 kerja dan menyiapkannya terlebih dulu sebelum mula pada yang baru tetapi saya bukan seorang yang tidak stress sekiranya bekerja 'last minute' seperti yang dikatakan dalam ciri-ciri 'judging'.
 Setelah menjawab soalan-soalan tersebut maka terbentuk 4 huruf iaitu ISFJ yang berdasarkan MBTI ini mewakili personaliti saya sorang Pembela atau Pemelihara. MBTI mengatakan bahawa saya seorang  bertanggungjawab terhadap setiap yang ditugaskan kepada saya waktu sekarang dan saya amat mementingkan orang lain terutama memerlukan bantuan. Ia juga menyatakan bahawa ISFJ merupakan teratur, mengambil berat dan berdikari dalam setiap dilakukan. Memang ciri-ciri yang dinyatakan tidak semua mengenai diri saya tetapi kebanyakan serupa. Saya seorang yang amat serius terhadap kerja yang perlu dilaksanakan sebab itu kadang-kadang orang takut dengan saya. Seterusnya ialah kami perlu menjawab soalan-soalan berkenaan ujian personaliti TBF ( Theory Big Five). Ujian tersebut memerlukan kami menjawab 5 bahagian yang setiap bahagian mempunyai soalan-soalan tersendiri dan juga diwakili satu personaliti. Bahagian yang mempunyai markah tertinggi mewakili personaliti diri. Contohnya bahagian A  mewakili personaliti keterbukaan, bahagian B pula berhemat, bahagian C bagi personaliti 'extraversion', bahagian D kepada orang mengenangkan dan bahagian E merujuk kepada mereka yang mempunyai emosi tidak stabil atau nama lain 'neuroticism'.
Saya mendapat bahagian E markah tertinggi yang merujuk diri saya seorang yang 'neuroticism' Saya bersetuju dengan ujian ini kerana berdasarkan penerangan bagi personaliti ini banyak dapat dikaitkan dengan saya. Saya sedar bahawa personaliti diri saya lebih bersikap negatif. Mungkin sebab saya sensitif menjadikan saya seorang mudah mengalami perubahan mood. Selain itu, saya paling tidak suka diganggu terutamanya pada waktu malam dan bersendirian. Semasa saya tidur, saya sangat sensitif pada sebarang bunyi yang mengganggu saya terutamanya sekiranya ketika itu saya tidur lewat. Pasti keesokannya saya akan menjadi 'bad mood'. Senyum tidak dan rasa macam hendak marah sahaja. Selain itu, saya jenis pelupa dan sentiasa akan lupa setelah meletakkan barang di suatu tempat. Kemudian saya akan cepat menggelabah sekiranya tidak dapat mencarinya. Berdasarkan penerangan diberikan, yang tidak ada pada diri saya ialah apabila beremosi negatif selalunya tidak berlaku dalam jangka masa panjang cuma saya jenis tidak mudah melupakan walaupun setelah dimaafkan.
Saya mudah membayangkan sesuatu walaupun kadang-kadang rakan lain agak sukat menggambarkan apa yang saya boleh gambarkan. Mungkin kerana saya suka menonton banyak cerita dan movie. Saya suka pada corak yang abstrak. Abstrak merupakan perkara yang menarik dan cantik bagi saya. Saya tidak menyukai menyelerakkan barang kerana merimaskan dan memeningkan kepala. Saya mempunyai rakan sedemikian. Memang rasa hendak lemas dan saya tertanya bagaimana dia boleh secara begitu. Penuh satu meja buku-buku. Saya jenis orang yang akan menyusun barang secara teratur agar mudah bagi saya mencapai dan mengelakkan terlupa kedudukannya tetapi saya tidak suka mengikut peraturan. Saya suka membuat perkara mengikut kehendak sendiri tanpa melibatkan atau menyusahkan orang lain. Personaliti 'extraversion' paling tidak sesuai dengan saya. Hal ini kerana saya seorang pendiam dan hanya aktif setelah diaktifkan oleh benda lain. Saya amat kekok sekiranya bersama orang yang lebih tua dari saya. Saya hanya bercakap banyak dengan mereka saya sangat kenali dan terus terang saya katakan bahawa saya seorang yang banyak cakap.
  Apabila mereka mengatakan diri seorang sensitif mungkin saya boleh katakan mereka seorang yang berhati lembut. Sukar menerima sebarang tingkah laku atau perkataan yang negatif. Saya amat benci sekiranya saya bercakap orang yang mendengar tersebut tidak layan atau buat kerja lain. Ini menjadikan saya seorang yang tidak suka di'isolate'kan. Saya yakin tidak sesiapa pun suka. Emak saya selalu kata bahawa kelemahan saya ialah saya mudah simpati kepada orang lain. Simpati itu satu ciri yang bagus tetapi saya ini terlebih sehingga mudah di tipu oleh orang lain. Banyak kali berlaku kepada saya terutamanya dilakukan oleh sahabat yang sangat saya percayai dan sayangi. Perkara tersebut menjadikan saya takut untuk menjalinkan hubungan erat dengan rakan-rakan lain. Kesimpulannya, ujian-ujian yang dilakukan tidak semestinya tetap menggambarkan seseorang. Ia sekadar bagi pendapat saya bertujuan untuk kita memahami sikap manusia itu sendiri.  

No comments:

Post a Comment