Sunday, September 4, 2011

A131896, Nur 'Ain Diyana Ismail, LJ05, Personaliti Diri

                  Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang sudi singgah untuk membaca jurnal saya. Tanpa saya sedari, akhirnya saya telah berjaya menyiapkan empat jurnal sebelum ini dan jurnal kali ini merupakan jurnal saya yang terakhir bagi modul pengurusan emosi ini. Pada 24 ogos 2011 yang lalu, kuliah yang disampaikan oleh Dr. Zamri adalah sedikit berbeza berbanding kuliah-kuliah yang telah disampaikan oleh beliau sebelum ini. Kami telah diberikan tiga tugasan untuk jurnal yang terakhir ini iaitu:

                              i.         Menonton sebuah tayangan video dan mengaitkannya dengan Teori Psikoanalitik yang pernah dipelajari dalam kuliah sebelum ini.

                            ii.         Mengenalpasti dan membincangkan kategori personaliti diri berdasarkan ujian MBTI yang telah dijalankan.

                           iii.         Mengulas kategori personaliti diri berdasarkan soal selidik Teori Besar Lima (Big Five Theory).

                  Dalam jurnal saya yang lepas, saya juga ada menerangkan sedikit tentang Teori Psikoanalitik ini. Teori ini telah diperkenalkan oleh Sigmund Freud, beliau berpendapat bahawa tingkahlaku manusia dipengaruhi oleh proses psikologi yang kita sendiri tidak sedar. Freud juga yakin bahawa pengalaman mental manusia tidak ubah seperti gunung Es yang terapung di samudera yang hanya kelihatan sebahagian kecil sahaja sedangkan sebahagian besarnya tersembunyi di bahagian bawah. Begitulah juga fikiran, perasaan dan keinginan bawah sedar yang tidak dialami secara langsung tetapi mempengaruhi tingkahlaku manusia. Contohnya, alam kanak-kanak yang tanpa kita sedar mampu mempengaruhi cara hidup kita apabila menjangkau dewasa. Berdasarkan video yang telah ditayangkan kepada kami pada waktu awal kuliah, video ini menceritakan tentang pengalaman dan kisah hidup seseorang dari zaman kanak-kanaknya hinggalah ke alam dewasa.

 

                   Disebalik maksud tersirat lagu ini, ianya menerangkan bahawa ketika di alam kanak-kanak, kita tidak perlu memikirkan tentang masalah kerana kita sendiri tidak sedar bahawa kita berhadapan dengan masalah, dan beranggapan bahawa masalah tersebut pasti dapat diselesaikan dengan mudah seperti mendapat bantuan dari orang yang lebih dewasa. Selain itu, segalanya diatur oleh kedua-dua ibu bapa kita atau penjaga semasa kita masih kecil, oleh itu, mereka yang mempengaruhi fikiran kita sejak kecil hingga dewasa. Tetapi apabila umur semakin meningkat, masalah pun semakin bertambah dan kita akan mula menyedari bahawa bukan mudah untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Menurut penulis lagi, apabila semakin dewasa beliau sedar bukan mudah untuk mengharungi kehidupan seharian dan melepasi setiap dugaan yang muncul namun begitu hidup masih perlu diteruskan. Sekalipun dugaan itu terlalu kuat, kita perlu sentiasa cuba untuk mengharunginya kerana dalam beratus-ratus percubaan pasti akan ada satu kejayaan. Pengalaman ketika kecil juga akan mempengaruhi pemikiran apabila meningkat dewasa dan pemikiran ini yang dikaitkan dengan Teori Psikoanalitik.

 

                   Kategori personaliti boleh dikenalpasti melalui banyak perkara seperti tarikh lahir, bulan kelahiran, kumpulan darah, cara tidur, horoskop, bentuk tulisan, dan juga melalui tingkahlaku seharian. Dalam kuliah yang lepas, kami telah diperkenalkan dengan dua jenis personaliti iaitu personaliti A dan juga personaliti B. Bagi mereka yang berpersonaliti A, mereka amat menghargai masa dan akan menghabiskan semua tugasan dan pekejaan mereka dengan segera. Kehidupan mereka juga lebih teratur dan sistematik namun kerana sifat kurang sabar, mereka akan menjadi mudah marah dan sikap ini kurang disenangi oleh orang sekelilingnya. Manakala sebaliknya bagi mereka yang berpersonaliti B, mereka seorang yang penyabar, tenang dan tidak suka melakukan sesuatu pekerjaan dengan tergesa-gesa. Mereka juga sering melengah-lengahkan kerja dan gemar membuat tugasan di akhir waktu. Melalui pengkelasan ini, karakter saya lebih menjurus kedalam golongan mereka yang berpersonaliti B. J Selain itu, kategori personaliti juga dapat dikelaskan selepas menjawab  soal selidik MBTI (Myers Briggs Type Indicator), soal selidik ini sering digunakan untuk mengenali personaliti seseorang.

 

                   Ujian ini terbahagi kepada empat bahagian dan mempunyai lapan karakter berbeza seperti yang berikut:  

        I.            Kategori (E/I ) – Extraversion (E) dan Introversion (I)

      II.            Kategori (S/N) – Sensing (S) dan iNtuition (N)

    III.            Kategori (T/F) – Thinking (T) dan Feeling (F)

    IV.            Kategori (J/P) – Judging (J) dan Perceiving (P)

Selepas menjawab soal selidik MBTI ini, saya dapat mengkelaskan bahawa personaliti saya ialah dalam golongan personaliti INFP ( Introversion, iNtuition, Feeling, Perceiving). Golongan ini baik hati dan lembut. Selain itu, apabila mengetuai atau mengikuti sesuatu pasukan, golongan ini adalah golongan yang paling produktif dalam menjalankan tanggungjawabnya samada dalam memberikan idea atau perkhidmatan. Mereka juga akan membuat keputusan yang subjektif berdasarkan nilai-nilai peribadi dan mereka juga tidak suka mengawal atau dikawal orang lain. Golongan ini jarang terlibat dengan eksekutif dalam persekitaran korporat namun berminat dengan gerakan atau institusi yang berpusat di kawasan sekitar atas sebab-sebab sosial.

 

               Bagi tugasan yang ketiga pula, kami perlu menjawab soal selidik Teori Besar Lima ( Big Five Theory) dan mengenalpasti personaliti diri berdasarkan ujian ini. Teori ini terbahagi kepada lima kategori seperti yang diterangkan di bawah (O,C,E,A,N):

·      Openness(keterbukaan) – golongan ini gemar berimaginasi dan sentiasa berwawasan. Mereka yang mempunyai sifat keterbukaan ini juga cenderung untuk mempunyai pelbagai minat yang meluas.

·      Conscientiousness (berhati-hati) – golongan ini sangat bertimbang rasa, mempunyai kawalan ransangan yang baik dan juga kelakuan yang bermatlamat. Mereka yang mempunyai sifat berhati-hati ini cenderung untuk menjadi seorang yang teratur dan prihatin terhadap sesuatu perkara.

·      Extraversion (peramah) – golongan ini mudah terangsang, suka bergaul gemar berkata-kata, asertif dan juga mempunyai ekspresi emosi yang tinggi.

·      Agreeableness (menyenangkan hati) – golongan ini mempunyai sifat amanah, pemurah, baik, berkasih sayang dan lain-lain tingkahlaku yang pro-sosial.

·      Neuroticism (agresif) – golongan ini cenderung untuk mengalami ketidakstabilan emosi, kebimbangan, kemurungan ,cepat marah, dan kesedihan.

 

Personaliti seseorang individu itu dapat dikenalpasti dengan merujuk kepada lima kategori di atas ini. Terdapat lima bahagian dalam ujian ini  dan bahagian yang mempunyai markah tertinggi menunjukkan personaliti individu itu. Berdasarkan ujian besar lima ini pula, personaliti saya tergolong dalam golongan agreeableness,  golongan ini boleh dipercayai, amanah, pemurah baik dan berfikiran terbuka. Persamaan personaliti saya dan hasil ujian ini ialah saya seorang yang berfikiran terbuka dan saya lebih suka mendengar berbanding berkata-kata. Apabila kawan-kawan saya berkongsi masalah mereka dengan saya, saya akan menjadi pendengar yang baik dan ini menjadikan saya salah seorang yang mudah dipercayai . Semua ujian ini mungkin tidak seratus peratus tepat tetapi mungkin sebahagian daripadanya hampir sama dengan personaliti seseorang itu.

 

                   Kesimpulannya, ujian personaliti ini telah dikaji oleh ramai pengkaji dari pelbagai tempat. Mereka telah membahagikan personaliti ini kepada beberapa bahagian melalui pelbagai perspektif. Kita juga dapat mengenalpasti personaliti seseorang yang berada di sekeliling kita dengan meneliti tingkahlaku, kegemaran dan juga karakter mereka. Pengetahuan tentang personaliti ini amat penting dalam menilai diri sendiri dan juga mereka yang berada di sekeliling kita. Apabila kita dapat mengenalpasti personaliti diri, kita dapat mengekalkan kelebihan diri dan mengelakkan keburukan yang akan membuat orang lain kurang senang dengan kita. Beginilah pentingnya pengetahuan tentang personaliti dalam kehidupan seharian J. Sekian.... 

No comments:

Post a Comment