Sunday, September 4, 2011

DAPHNE DINDU ANAK JAMAU (A131924) LJ05 - PERSONALITI DIRI

Salam sejahtera. Pada Rabu, 24 Ogos 2011, saya telah menghadiri Kursus Pengurusan Emosi yang telah dikendalikan oleh Dr. Ahmad Zamri Mansor. Namun sesi kali ini agak berlainan dengan sesi-sesi yang sebelumnya kerana tiada topik yang dibentangkan pada kali ini. Jadi sesi kali ini lebih santai dan hanya mengambil masa selama satu jam setengah. Kami telah diberi pelepasan awal berbanding dengan sesi-sesi sebelum ini kerana sesi kali ini tamat pada pukul 3.30 petang. Namun kehadiran pada kali ini agak kurang kerana terdapat segelintir pelajar tidak menghadirkan diri. Beberapa slaid pembentangan telah ditunjukkan kepada kami serta diselitkan juga video-video pendek. Kali ini kami dikehendaki untuk menjawab beberapa soalan yang ditunjukkan di dalam slaid. Ini untuk menguji serta mengenalpasti personaliti kami. Disebabkan tiada topik yang dibentangkan, jadi dalam jurnal kelima ini, iaitu penulisan jurnal kami yang terakhir, kami dikehendaki untuk mengulas personaliti kami berdasarkan ujian karakter yang telah kami buat serta turut kehendaki membincangkan personaliti kami berdasarkan penerangan daripada slaid-slaid yang ditunjukkan. Berikut merupakan tugasan yang perlu kami laksanakan pada sesi ini :
Tugasan 1 : Kami dikehendaki membaca slaid tentang Teori Psikoanalitik dan menonton klip video pertama yang ditayangkan tepat jam 2 petang. Seterusnya, kami harus mengaitkan apa yang ditayangkan dalam video dengan teori psikoanalitik.
Tugasan 2 : Kami dikehendaki menjawab soal selidik MBTI. Di akhir ujian ini, kami akan mendapat tahu kategori personaliti kami masing-masing dan hendaklah dibincang dalam LJ05.
Tugasan 3 : Kami dikehendaki menjawab soalselidik Teori Besar Lima (Big Five Theory). Di akhir ujian ini, kami akan mendapat tahu kategori personaliti kami dan hendaklah dibincangkan dalam LJ05.
           
            Dalam tugasan 1, kami dipertontonkan dengan sebuah klip video. Namun saya kurang mengerti apa maksud di sebalik klip video tersebut dan tidak dapat mengaitkannya dengan Teori Psikoanalitik. Apa yang saya perhatikan klip video tersebut adalah tentang pengalaman masa kecil (childhood experience) di mana pengarangnya semasa kecil berasa bahawa hidupnya berada di landasan yang betul. Beliau berasa bahawa tiada apa yang tidak diingini akan berlaku dan semua masalah akan ada penyelesaiannya.. Namun apabila meningkat dewasa, pengarang mula berubah fikiran. Beliau mendapati tidak semua masalah akan menemukan jalan penyelesaiannya dan berkata bahawa kita tidak patut mempercayai semua orang. Beliau berasa sangat sunyi dan selalu keseorangan kerana orang-orang di sekelilingnya telah mengkhianatinya. Beliau penat memikirkan hal-hal dunia yang zahirnya tidak serupa dengan sifatnya yang sebenarnya. Namun beliau bertekad untuk mengubah fikirannya menjadi lebih positif. Akhirnya beliau sekali lagi berasa bahawa apa yang dikatakannya semasa kecil iatu semua masalah akan ada penyelesaiannya adalah benar. Setelah membaca beberapa teks tentang Teori Psikoanalitik dari Internet, saya mendapati teori ini adalah tentang consious dan  unconsious mind. Conscious mind merangkumi semua benda kita kita sedari termasuklah memori kita. Ini adalah aspek proses mental yang dapat kita fikir dan perkatakan secara rasional. Unconscious mind pula adalah perasaan, fikiran dan ingatan di luar kesedaran kita. Kebanyakkan kandungannya adalah sesuatu yang tidak dapat diterima atau sesuatu yang tidak menyenangkan seperti rasa sakit, risau atau konflik. Ini akan mempengaruhi kelakuan dan pengalaman kita. Apa yang dapat saya kaitkan antara klip video tersebut dengan Teori Psikoanalitik ini ialah pandangan pengarang tentang kehidupan telah dipengaruhi oleh pengalamannya yang pernah disakiti dan disisihkan. Apa yang beliau alami ini termasuk dalam kategori unconscious mind. Namun setelah beberapa ketika, beliau mula berfikir secara rasional dan ini satu contoh conscious mind.
           
Dalam tugasan yang kedua, video Type A and Type B Personality pula ditayangkan. Berpandukan kriteria-kriteria yangditayangkan dalam klip video tersebut, saya mendapati bahawa saya adalah Personaliti Jenis B. Ciri-ciri seorang yang mempunyai Personaliti Jenis B adalah penyabar, bersahaja dan lebih kepada ciri-ciri seorang yang pasif. Selesai tayangan klip video tersebut, kami dikehendaki menjawab soal-selidik Myers-Briggs Type Indicator atau singkatannya MBTI. Penilaian MBTI adalah satu bentuk soalselidik psikometrik yang digunakan untuk mengukur kecenderungan psikologikal seseorang dalam mentafsir sesuatu dan dalam membuat keputusan. Terdapat bebrapa perbezaan psikologikal dalam MBTI dan ianya dibahagikan kepada empat pasangan yang berlawanan. Contohnya ESTJ: extraversion (E), sensing (S), thinking (T), judgment (J) dan lawannya adalah INFP: introversion (I), intuition (N), feeling (F), perception (P). Terdapat 16 pasangan yang boleh dibentuk daripada komponen-komponen tersebut. Setelah menjawab soal-selidik tersebut, pasangan yang saya dapat adalah ISFJ yang bersifat sebagai The Nurturer. Menurut Myers-Briggs, seseorang yang bersifat ISFJ ini inginkan ketenteraman dan keharmonian dalam setiap aspek kehidupan. Mereka juga sabar serta teliti dalam mengendalikan tanggungjawab. Walaupun bersifat pendiam, mereka adalah seorang yang setia dan sangat taat. Bukan sahaja mereka mengetahu secara mendalam tentang seseorang, tetapi mereka juga mengambil kira serta menghormati perasaan orang lain. Mereka digambarkan sebagai seseorang yang bertimbang rasa dan boleh dipercayai oleh keluarga dan rakan-rakan. Menurut Keirsey pula, The Nurturer ini amat mengambil berat tentang orang lain dengan cara menjaga dan memastikan keselamatan mereka terjamin. Mereka adalah penjaga yang bersifat sederhana dan tidak mengharapkan balasan daripada orang lain dalam melakukan sesuatu tugasan. Walaupun mereka seorang yang penuh belas kasihan serta penyabar, namun kerana sifat malu mereka, mereka selalu disalah anggap sebagai individu yang tidak mesra. Individu jenis ini hanya berasa selesa bercakap dengan ahli keluarga atau orang yang mereka kenali sahaja. Walaupun mereka suka menjaga orang lain, namun mereka tidak gemar memberikan arahan dan adalah seorang yang serius serta memiliki etika kerja yang kuat. Sifat-sifat tersebut memang ada dalam diri saya di mana saya adalah pemalu serta gemarkan keadaan yang tenang dan damai. Di samping itu, saya juga amat mengambil berat tentang orang lain dan akan menghulurkan bantuan sekiranya diminta. Namun disebabkan sifat saya yang pemalu, saya lebih suka berbicara dengan ahli keluarga dan teman-teman yang rapat sahaja. Apabila bekerja dalam kumpulan, saya lebih cenderung untuk menerima arahan daripada memberikan arahan. Sebagai tambahan, apa yang menarik perhatian saya semasa membaca tentang individu ISFJ ini adalah saya mendapat tahu bahawa Mother Theresa, seorang tokoh wanita yang amat saya kagumi turut memiliki personaliti The Nurturer.
           
Dalam tugasan yang ketiga, kami sekali lagi dipertontonkan sebuah klip video lagu yang bertajuk Right Here Waiting nyanyian Bryan Adam. Klip video ini ditayangkan kerana Dr. Zamri inginkan kami mengaitkan Teori Besar Lima dengan kandungan video tersebut. Namun tiada seorang pun yang dapat mengaitkannya. Setelah ditunjukkan slaid-slaid tentang Teori Lima Besar, barulah kami mengetahui perkaitannya iaitu OCEAN. OCEAN adalah akronim bagi lima factor-faktor Besar (The Big Five factors) iaitu Openness, Conscientiousness, Extraversion, Agreeableness dan Neuroticism. Setelah menjawab 5 jenis soalselidik, markah tertinggi yang saya dapat adalah 17 markah iaitu Agreeableness. Ciri-ciri individu dalam kategori ini adalah memiliki sifat belas kasihan dan tidak suka berasa sangsi atau memusuhi orang lain. Individu tersebut umumnya bertimbang rasa, mesra, murah hati, suka menolong dan optimistik. Meraka percaya bahawa individu lain pada dasarnya adalah jujur, sopan dan boleh dipercayai. Mereka juga dapat merasai perasaan orang lain dan sering bersimpati. Sifat-sifat Agreeableness ini tidak dinafikan memang ada dalam diri saya. Ciri-ciri Agreeableness ini mempunyai persamaan dengan ciri-ciri The Nurturer dalam MBTI dan kedua-dua personaliti tersebut bertepatan dengan sifat-sifat yang ada pada diri saya.
           
Sebagai kesimpulan untuk jurnal kali ini, sekali lagi saya telah mendapat ilmu baru dalam kuliah Kursus Pengurusan Emosi yang keenam ini. Selain dapat mengenali personality diri saya sendiri, saya juga dapat mengenali personaliti rakan-rakan saya yang lain. Sememangnya setiap individu dilahirkan dengan sifat-sifat yang unik dan adalah penting bagi setiap orang untuk memahami serta menghormati insan-insan lain. Janganlah kita cepat menghakimi serta mempersendakan mereka yang berbeza sifat dan personality dengan kita. Di sini ingin saya selitkan untaian kata daripada Albert Schweitzer yang berbunyi "Only those who respect the personality of others can be of real use to them". Sekian sahaja penulisan jurnal saya pada kali ini. Terima kasih.
 

No comments:

Post a Comment