Thursday, August 18, 2011

A131836 AMMAR AZHAR BIN IZHAM LJ04 MOTIVATIONMAN

            Assalamualaikum, salam ramadhan dan salam sejahtera. Pada 17 Ogos 2011, saya telah menghadiri kuliah keempat ZZZT2253 Pengurusan Emosi dan jurnal ini merupakan jurnal pembelajaran saya yang keempat berdasarkan pengalaman kuliah tersebut. Pada permulaan kuliah, Dr. Zamri telah memberikan penjelasan terperinci mengenai tugasan kedua pelajar iaitu tugasan kumpulan. Beliau telah memberikan kebenaran kepada para pelajar untuk mewujudkan kumpulan tugasan berdasarkan kumpulan PBL pelajar perubatan yang sedia ada, di mana terdapat sebanyak 10 orang ahli untuk setiap satu kumpulan. Setiap kumpulan juga diberikan kebebasan untuk memilih kepelbagaian topik tugasan berdasarkan beberapa cadangan topik yang dibuat oleh Dr. Zamri. Kebanyakan pelajar berasa gembira dengan kebebasan yang diberikan oleh Dr. Zamri dan semua bersetuju dengan cadangan Dr. Zamri kerana dilihat dapat meringankan tugasan kumpulan kami dan hal ini juga memberi masa yang lebih kepada kami untuk menumpukan perhatian kepada pembelajaran modul perubatan. Setelah itu, Dr. Zamri memulakan kuliah yang pertama yang menceritakan dua perkara yang saling berkaitan iaitu emosi dan motivasi.

Dr. Zamri menerangkan definisi emosi dan motivasi, komponen emosi, pendapat sesetengah tokoh mengenai emosi dan motivasi, dan teori-teori yang menghubungkaitkan emosi dan motivasi. Emosi boleh didefinisikan sebagai sesuatu yang positif, negatif dan tidak neutral. Manakala, motivasi pula boleh didefinisikan sebagai perasaan yang kuat yang mendorong kita melakukan sesuatu untuk mencapai tujuan tertentu. Terdapat empat komponen dalam perkataan emosi iaitu perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi, dan tingkahlaku berkaitan. Emosi dan motivasi diilihat saling berkaitan dan ramai pihak bersetuju emosi boleh mewujudkan motivasi. Berdasarkan pendapat sesetengah tokoh, seperti Baron dan Logan 1993 mengatakan emosi juga tidak dapat dipisahkan dari motivasi. Di samping itu, Lang et al 1992 pula mengatakan emosi sebagai motivasi kepada tingkahlaku dan motif. Namun begitu, tidak semua emosi menjadi pendorong kepada motivasi. Hanya sesetengah emosi dilihat dapat memberikan motivasi yang tinggi dan seterusnya semangat untuk mencapai matlamat tertentu. Sebagai contoh, salah satu emosi yang dilihat banyak memberikan motivasi kepada pelajar perubatan tahun dua ialah emosi takut. Setiap pelajar dilihat takut gagal dalam peperiksaan akhir semester dan tidak dapat meneruskan tahun pengajian seterusnya. Oleh itu, kami berasa motivasi disebabkan emosi takut ini dan berusaha dengan gigih serta tidak kenal erti penat lelah dalam mengulangkaji pelajaran ketika minggu "Study". Ada di antara kami sanggup tahan lapar dan tidak tidur seharian hanya untuk belajar. Begitulah bagaimana emosi takut membantu dan member motivasi kepada kami untuk menghadapi peperiksaan akhir semester.
Aspek lain yang turut menjadi pendorong kepada motivasi selain emosi ialah keadaan sekeliling.  Sesetengah pihak berpendapat yang mendorong seseorang  untuk bertindak adalah disebabkan keadaan sekeliling seperti kemiskinan tegar, hidup sebatang kara, kemusnahan tempat tinggal dan sebagainya. Sebagai contoh, peperangan yang berlaku di Gaza, Palestin telah menyebabkan kebanyakan hilang tempat tinggal dan kehilangan orang tersayang. Hal ini telah mendorong mereka, untuk turut sama terlibat berkorban dalam mempertahankan tanah tercinta daripada taklukan luar. Selain itu, saya juga ingin menceritakan seorang yang sangat berpengaruh yang saya telah temui pada masa lalu iaitu Tuan Haji Ariffin, bekas pengetua sekolah saya yang tercinta, Sekolah Tuanku Abdul Rahman. Kisah hidup beliau ketika beliau masih kecil sangat menyentuh perasaan saya. Beliau telah biasa melalui keperitan hidup dengan menetap di kawasan perladangan getah bersama keluarganya sejak kecil. Sejak daripada itu, beliau telah berazam untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai cita-citanya dan seterusnya dapat mengubah nasib keluarganya. Hal ini jelas menunjukkan selain emosi, keadaan sekeliling kita turut menjadi pendorong kuat untuk mencapai kejayaan.
            
Dr. Zamri meneruskan sesi kuliah dengan menerangkan konsep-konsep berdasarkan motivasi dan teori motivasi. Teori motivasi seperti Instinct menjelaskan motif adalah semulajadi. Teori Arousal pula mendorong kita untuk mengekalkan aras kebangkitan yang optimum. Dalam erti kata lain, kebangkitan (arousal) dimana ia melibatkan perubahan riak wajah dan perubahan badan, otak, perasaan, dan keupayaan terhadap sesuatu tindakan. Hal ini bermaksud emosi boleh bertindak sebagai respon badan terhadap sesuatu kejadian dan menjadi satu alat untuk berkomunikasi dengan orang lain. Emosi menyebabkan kita bergerak, mengambil keputusan atau tindakan, dan mengadaptasikan diri dengan persekitaran. Arousal adalah keadaan psikologi dan fisiologi untuk sentiasa dalam keadaan sedar.

Dalam Teori Humanistik, Abraham Maslow berpendapat bahawa motif seseorang boleh dibahagikan kepada beberapa tahap iaitu keperluan asas, keperluan psikologikal dan kehendak yang memenuhi sendiri iaitu keperluan untuk kepuasan. Teori ini diceritakan dengan lebih terperinci selepas sesi rehat.
            
Ketika sesi rehat selama dua minit, Dr. Zamri memaparkan satu sedutan video klip lagu nyanyian Halim Yazid, pensyarah Universiti Malaya yang bertajuk Bangkit Asal. Video klip ini mempunyai maksud yang tersirat dan tersurat mengenai emosi dan motivasi. Dalam video klip ini, Halim Yazid menceritakan segala penderitaan yang dia alami dan lalui ketika dia masih setahun jagung, dan bagaimana dia berjaya sehingga hari ini. Marilah kita sama-sama hayati lirik lagu Halim Yazid, Bangkit Asal dan percayalah segelintir daripada kita akan menitiskan air mata mengenang kepayahan hidup yang dihadapi oleh setiap daripada kita untuk berjaya sehingga hari ini. Terdapat banyak pengajaran dan pedoman yang dapat kita ikuti daripada video klip ini.

Selepas itu, Dr. Zamri meneruskan sesi kuliah dengan menerangkan dengan lebih terperinci mengenai keperluan asas, keperluan psikologikal dan kehendak yang memenuhi sendiri. Keperluan asas boleh didefinisikan sebagai aspek fisiologi seperti kita makan, minum, rehat dan tidur serta aspek keselematan yang merangkumi jagaan dan keselamatan. Dalam kehidupan seharian kita keperluan asas ini memainkan peranan yang sangat penting kerana tanpa keperluan asas ini, sudah tentu kita tidak mampu untuk bertahan walaupun untuk jangka masa yang pendek dalam kehidupan ini. Oleh itu, Kita perlu memastikan kita mendapat keperluan asas yang mencukupi dan seimbang. Sebagai contoh, amalkan gaya hidup pemakanan yang sihat yang berlandaskan pyramid makanan yang telah disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Selain itu, minum sekurang-kurangnya  8 gelas air mineral sehari bagi memastikan kandungan dan tahap air dalam badan kita mencukupi. Di samping itu, kita perlu mempunyai masa tidur yang secukupnya iaitu sekurang-kurangnya sehari 6 hingga 8 jam. Aspek senaman dan aktiviti riadah juga harus diberikan penekanan di mana kita diharuskan untuk bersenam sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu. Berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang pelajar perubatan, waktu tidur dilihat tidak mencukupi kerana kami terpaksa mengulangkaji pelajaran hingga ke lewat malam. Oleh hal yang demikian, sejumlah besar daripada kami tertidur ketika sesi kuliah pada keesokan harinya.
Dalam aspek keperluan psikologikal pula, boleh dibahagikan kepada dua perkara yang saling berkaitan iaitu rasa kepunyaan dan kasih sayang. Dalam erti kata lain, sudah pasti kebanyakan daripada kita ingin mempunyai seseorang yang istimewa dalam hidupnya dan berasa dihargai serta disayangi sepenuhnya. Sebagai contoh, mempunyai kekasih atau buah hati. Pada pendapat saya, perkara yang paling berharga dalam hidup kita ini ialah apabila kita menyayangi dan disayangi. Bukan mudah untuk kita menyayangi seseorang dan bukan mudah juga untuk kita disayangi. Apabila kita berjaya menyayangi seseorang dan disayangi semula, bersyukurlah kerana bukan mudah untuk perkara itu berlaku dengan hidup kita. Kita sudah mempunyai keluarga yang saying akan kita, tetapi hal ini berbeza dengan mempunyai seseorang yang istimewa seperti di atas. Kasih sayang memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian dan dapat mengubah perwatakan seseorang itu.
Selain dua aspek di atas, keperluan kepuasan perlu menjelaskan tingkah laku manusia yang membawa kepada kegembiraan dan keinginan diri. Sebagai contoh, saya amat meminati pasukan bola sepak Liverpool sejak kecil dan ingin melihat mereka bermain secara 'live'. Alhamdulillah baru-baru ini, saya telah berjaya menonton perlawanan di antara Liverpool dan Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil. Walaupun harga tiket yang agak mahal, namun saya sanggup membayarnya hanya untuk memenuhi kepuasan saya dalam melihat pasukan bola sepak kegemaran saya bermain. Setiap orang dilihat mempunyai kepuasan yang berbeza dan hal ini bergantung kepada pemikiran masing-masing.

Secara kesimpulannya, perkara utama yang saya telah pelajari ketika sesi kuliah yang lepas ialah motivasi. Motivasi boleh mendorong seseorang itu mencapai kejayaan, namun bukan senang untuk mendorong motivasi dalam diri kita. Hal ini demikian kerana, motivasi bukanlah seperti Durian Runtuh yang datang bergolek di depan mata tanpa sebarang usaha. Banyak perkara yang boleh memotivasikan diri kita. Sekian terima kasih.

No comments:

Post a Comment