Thursday, August 18, 2011

A131869 NG YUN FOONG LJ04 KEAJAIBAN EMOSI

Selamat sejahtera  kepada pensyarah dan rakan-rakan. Kali ini merupakan kali yang keempat saya menulis jurnal bagi kursus pengurusan emosi. Tajuk saya pada kali ini ialah Keajaiban Emosi.

Terdapat dua topik yang dibincang pada kali ini , iaitu pengalaman emosi dan hubungannya dengan motivasi. Bagaimanakah manusia mengalami emosi dalam kehidupan seharian? Antara teori-teori yang dapat memberi penerangan tentang perkara ini ialah teori fisiologi , teori kognitif , teori psikoanalitik , dan lain-lain lagi.

Dalam teori fisiologi , pakar-pakar dalam bidang tersebut  menekankan bahawa emosi itu ialah sesuatu hasil daripada otak dan sistem saraf manusia. Emosi wujud akibat daripada reaksi fisiologi tubuh badan manusia terhadap rangsangan di sekelilingnya. Bagi menyokong teori fisiologi tersebut , timbulnya teori James-Lange , teori Cannon-Bard ,teori psikobiologi dan sebagainya. Dalam Teori James-Lange yang diformulasikan oleh William James dan disokong oleh Carl Lange ini , satu hipotesis telah dijana. Hipotesis tersebut menyatakan bahawa  reaksi fisiologi badan terhadap sesuatu bahan rangsangan dapat merangsangkan pengalaman sesuatu emosi. Dengan pendek kata , emosi hanya akan timbul berikutan reaksi tubuh terhadap sesuatu situasi. Sebagai contohnya , seseorang itu sedang menonton filem seram pada waktu malam. Jantungnya akan berdebar-debar dengan kadar yang lebih cepat apabila sampai babak-babak yang mempunyai unsur-unsur suspens  dan ngeri. Dengan ini , dia akan berasa takut.

Bagi teori Cannon-Bard pula  , Cannon dan Philip Bard mencadangkan bahawa stimuli dalaman dan luaran boleh membawa kepada penghantaran impulse sensori ke korteks otak dan kemudiannya pengalaman sesuatu emosi dapat dihasilkan. Oleh itu , hal ini bermakna mereka memberi idea bahawa sesuatu stimuli dapat membawa kepada reaksi tubuh tertentu dan pengalaman emosi pada masa yang sama. Dengan jelasnya , teori ini adalah berlainan daripada teori James-Lange. Urutan yang sepatutnya ialah sesuatu situasi akan diikuti dengan pengalaman emosi dan kemudiannya barulah diikuti dengan reaksi tubuh. Sebagai contohnya , berita tentang kematian seseorang saudara telah disampaikan kepada seseorang individu. Dia akan berasa sedih dan kemudiannya menangis.

Selain itu , teori psikobiologi pula menyatakan bahawa terdapat 4 emosi asas yang merangkumi emosi ketakutan , keberangan , panik dan expectancy dan kesemua emosi tersebut adalah berhubung kait dengan sistem command dalam otak kita. Teori ini telah dijana oleh Jack Panksepp. Beliau juga mencadangkan emosi lain akan terhasil daripada interaksi antara sistem-sistem command yang berbeza ini. Dari segi fisiologi , neurotransmitter yang spesifik adalah penting untuk mengaktifkan sistem command tersebut. Sebagai contohnya , neurotrasmitter acetylcholine dapat mengawal sistem command bagi emosi keberangan. Contoh neurotransmitter yang lain yang turut memberi pengaruh kepada sistem-sistem dalam otak ialah serotonin , noradrenaline , dopamine dan banyak lagi. Namun demikian , teori ini telah dibantah oleh pakar-pakar yang lain seperti  Magda Arnold dan James Averill yang menyatakan bahawa "hard-wired" circuit berkemungkinan tidak begitu fleksibel untuk menjadi basis neurologi bagi penjanaan emosi.

Walaubagaimanapun , emosi ini mempunyai hubungan dengan motivasi . Emosi boleh digambarkan sebagai sesuatu kemunculan keadaan yang melibatkan perubahan reaksi muka dan tubuh , pengaktifan bahagian otak , cognitive appraisal ,  perasaan subjektif dan kecenderungan terhadap sesuatu tindakan yang ditentukan oleh hukum-hukum dalam sesuatu budaya.  Emosi juga berfungsi sebagai respons adaptasi badan manusia terhadap peristiwa-peristiwa di sekelilingnya dan membantu dalam menyampaikan intensi kita kepada pihak lain. Hal ini bermakna emosi boleh mempengaruhi kita dari segi tindakan untuk bergerak , melaksanakan sesuatu perkara dan menyesuaikan diri dalam sesuatu situasi yang mencabar atau juga dikenali sebagai motivasi.

Oleh itu , motivasi akan menentukan keputusan seseorang dalam melaksanakan sesuatu aktiviti seharian. Konsep motivasi mengandungi pelbagai komponen. Antaranya ialah insentif , naluri , daya tuju , dan sebagainya. Insentif merupakan satu faktor yang dapat menimbulkan motif bagi hala tuju sesuatu tindakan atau pemilihan keputusan. Insentif ini boleh diklasifikasikan dalam 2 bentuk , iaitu financial dan non-financial. Contoh insentif dalam bentuk financial ialah hadiah wang tunai , gaji yang tinggi , kereta berjenama yang mahal , dan lain-lain lagi . Contoh insentif dalam bentuk non-financial pula ialah nilai ajaran moral , peluang  bertemu dengan artis kegemaran , janji tentang perkahwinan daripada kekasih , perlindungan , dan sebagainya.

Apakah sebenarnya naluri? Naluri ialah sesuatu gerak hati yang diwarisi dari generasi ke generasi. Naluri bukan sesuatu yang boleh dipelajari. Naluri juga boleh digambarkan sebagai  sesuatu bentuk respons perbuatan yang tetap terhadap stimuli tertentu yang juga diwarisi dari generasi terdahulu. Naluri dapat jelas dilihat dalam kehidupan seharian haiwan. Sebagai contohnya , cara haiwan berinteraksi dengan haiwan yang sama atau berlainan seperti  hidup berkelompok , terlibat dalam perlawanan , dan sebagainya. Haiwan-haiwan juga mampu menggunakan naluri untuk mencari makanan dengan menentukan sama ada sesuatu makanan mengandungi racun yang berbahaya dan membawa maut atau sebaliknya.  Bagi manusia pula , naluri amat penting apabila kita hilang hala tuju dalam sesuatu peringkat hidup. Namun demikian , naluri tersebut tidak semestinya tepat pada setiap masa. Kadang kala , naluri seseorang boleh membantu seseorang itu untuk mengenal pasti pembohongan yang telah dilakukan oleh pihak lain.

Di samping itu , dalam Humanistic Theories , Abraham Maslow mencadangkan bahawa motif boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat , iaitu dari keperluan hidup asas sehinggalah keperluan psikologi dan self-fulfillment. Dalam teori ini , keperluan hidup asas perlu dipenuhi sebelum mencapai  keperluan di peringkat seterusnya yang lebih tinggi. Peringkat yang tertinggi dalam segi tiga Maslow ialah self-actualization. Self-actualization ini boleh membantu dalam perkembangan nilai-nilai murni dan motivasi seseorang individu. Apabila sampai ke peringkat tersebut , seseorang itu mampu mengembangkan potensinya ke tahap maksimum. Dengan ini , keyakinan dalam diri  dapat ditunjukkan.

Tambahan pula , motivasi itu merupakan elemen yang amat penting untuk meneruskan kehidupan kita. Dalam banyak kes ,  apabila kita berasa gembira dan seronok semasa melakukan sesuatu , motivasi untuk meneruskan perkara itu akan timbul and kita akan melakukannya dengan usaha yang tinggi dan bukannya melakukannya secara sambil lewa. Dengan ini , aktiviti yang kita lakukan itu akan berjaya. Sebagai contohnya , dalam filem 'Ice Princess' , watak utamanya Casey yang biasa menghabiskan masanya belajar teori fizik telah menemui minatnya semula apabila dia ingin mencari tajuk bagi projeknya. Dia memilih 'figure-skating' sebagai bahan yang dibincangkan dalam projeknya. Semasa dia menjalankan kajian hukum fizik yang boleh membantu dalam aktiviti figure-skating , dia turut cuba melakukan aktiviti tersebut and hal ini mengingatkannya betapa sukanya dia terlibat dalam skating semasa kecil. Sejak hari tersebut , dia berlatih untuk memperbaikkan kemahiran skatingnya dengan mengaplikasikan hukum fizik yang dipelajarinya selama ini serta meminta tunjuk ajar daripada pelatih dan rakan-rakan yang dikenali olehnya seperti Gennifer. Dia berasa gembira dan seronok serta dapat kepuasan yang tinggi apabila dapat melakukan pergerakan yang sukar dalam figure skating. Emosi tersebut seterusnya yang meningkatkan motivasinya itu  membawanya ke peringkat yang lebih jauh semasa  bertanding.  Akhirnya , dia telah melakukan pergerakan yang sungguh mengagumkan semasa pertandingan dijalankan dan menyebabkan dia berjaya mendapat tempat kedua dalam pertandingan peringkat Sectional  yang seterusnya mendapat peluang untuk bertanding di peringkat kebangsaan. Filem ini telah banyak memberi inspirasi kepada saya.

Kesimpulannya , emosi  dapat menunjukkan pelbagai keajaibannya terutamanya dapat memberi motivasi kepada kita untuk terus melakukan sesuatu yang kita gemari dengan lebih baik dan dengan sedaya upaya.
 

No comments:

Post a Comment