Thursday, August 11, 2011

A131846, AMNOR AIDILIANA BINTI AMIR, LJ03: CEQ NAK JADI POSITIF

CEQ NAK JADI POSITIF

 

Assalamualaikum dan selamat sejahtera diucapkan kepada pengujung Blog Jurnal Pengurusan Emosi. Alhamdulilah saya berjaya menghadiri kuliah ZT emosi seperti biasa. Hari ini merupakan hari kesebelas bagi umat Islam mengerjakan ibadah puasa. Saya ingin berkongsi sedikit coretan yang saya baca di Facebook sebelum pergi ke kandungan kuliah pada hari ini. 10 Ramadhan merupakan hari terakhir dalam sepertiga pertama kita mengerjakan ibadah puasa.

Sabda Nabi s.a.w "Inilah bulan yang pada permulaannya membawa rahmat Allah, pertengahannya memperoleh keampunan (maghrifah) dan penghujungnya mendapat kebebasan dari api neraka" (H.R Ibn Khuzaimah)


Sekarang mari kita kembali kepada tujuan asas penulisan jurnal. Hari ini bersamaan 10 Ogos 2011, kami diajar dua buah tajuk dalam pengurusan emosi iaitu Emosi Negatif dan Teori Asas Adaptasi. Sebelum kuliah bermula,kami didendangkan dengan lagu  Baby, nyanyian Justin Bieber yang telah dimelayukan liriknya. Sungguh kelakar bila kami nyanyi beramai-ramai di dalam dewan tadi. Bahagian korus yang paling kelakar di mana, dalam lirik sebenar ialah:- baby,baby,ohh-,tetapi apabila dimelayukan,ia menjadi ummi,ummi,ohh. Tiba-tiba,saya teringat emak di rumah. Oh,alangkah seronoknya jika dapat pulang ke rumah dan menyambut Ramadhan Al- Mubarak di samping keluarga tersayang.


Dalam tajuk yang pertama iaitu,Emosi Negatif,kami membincangkan beberapa jenis emosi negatif iaitu takut,malu,sedih dan marah. Setiap insan pasti mempunyai dan mengalami sendiri baik emosi positif dan emosi negatif. Namun demikian, cara seseorang mengatasi emosi negatif tidak semestinya sama bagi semua orang. Sebelum itu, saya ingin menerangkan secara ringkas emosi negatif itu sendiri.

  

Pertama ialah emosi takut. Takut ialah tindak balas emosi terhadap situasi bahaya yang ada kaitan dengan perasaan bimbang. Bilakah selalunya emosi takut itu mengganggu seseorang itu? Sebagai contoh, kita pasti akan berasa takut apabila berada di kawasan pelik dan menyeramkan seperti berada di tengah – tengah hutan belantara pada waktu malam dan keseorangan. Sudah pasti,ketika itu,emosi takut itu menguasai diri masing-masing sehingga tidak boleh duduk diam dan mula memikirkan perkara-perkara negatif seperti makhluk asing,haiwan buas dan sebagainya. Perasaan takut dalam situasi ini hanyalah mainan minda kita sendiri. Sekiranya,kita yakin dan berani, segala dugaan yang kita hadapi pasti dapat diatasi dengan baik. Sebagai contoh,dalam video yang ditunjukkan hari ini iaitu video mengenai kesengsaraan hidup rakyat Palestin dan Gaza. Mereka pasti sangat takut apabila berada dalam situasi yang sangat bahaya itu di mana tembakan di merata-rata, musuh berkeliaran secara ganas,namun perasaan takut itu mereka berani mengatasi emosi takut itu untuk membela keagamaan dan kesejahteraan mereka. Jadi bagi saya,untuk mengatasi emosi takut,kita harus berani dan yakin bahawa kita sebagai seorang Islam harus hanya takut pada Allah. Kita dapat mengenali bila seseorang itu sedang berasa takut dengan melihat ekspresi muka mereka yang terdiri daripada mata terbuka luas,bibir atas naik kening mengarah ke atas dan ke dalam.


Kedua ialah emosi malu. Malu ialah emosi yang dapat dirasai apabila melakukan sesuatu yang tidak diterima dalam masyarakat atau juga disebabkan melakukan sesuatu yang secara sosialnya tidak diterima. Malu terdiri daripada dua kategori,iaitu personal dan professional. Bagi kategori personal, malu bila perhatian orang lain tertumpu kepada hal-hal peribadi seperti kesalahan diri sendiri,dan kecacatan anggota badan. Manakala bagi kategori malu professional pula ialah malu yang melibatkan urusan pekerjaan seperti malu tidak dapat jalankan tugas dengan baik. Bagi pendapat saya,dalam diri saya lebih banyak kategori malu professional kerana saya masih banyak yang harus dipelajari untuk menjadi seseorang yang berkaliber. Saya mengalami masalah untuk bercakap di hadapan orang ramai kerana setiap kali saya disuruh bercakap di hadapan,sudah pasti tangan saya jelas kelihatan menggeletar dan suara saya akan sedikit berubah seperti suara orang takut. Namun demikian, saya masih dalam usaha untuk mengatasi masalah ini dengan mengawal emosi malu saya dengan mengingati pesanan ibu bapa saya iaitu, malu bertanya,sesat jalan nanti.

  

Ketiga ialah emosi sedih. Sedih menggambarkan perasaan kerugian dan kehilangan dan jika serius boleh membawa kemurungan. Tanda-tanda yang sering dilihat apabila mengalami kesedihan ialah muka tunduk,badan condong ke hadapan, bibir ke dalam dan fizikal yang lemah serta pergerakan yang perlahan. Selain itu, orang yang sedang bersedih akan memproses maklumat dengan lebih perlahan dan kurang tepat. Kebiasaannya, orang yang sedang berduka lara,tidak dapat berfikir dengan rasional  dan setiap tingkah lakunya serba tidak kena. Bagi saya,perasaan sedih itu harus dibuang jauh-jauh dalam hidup masing-masing dan sekiranya kesedihan itu tidak dapat dielakkan seperti kehilangan orang tersayang,janganlah kita terbawa-bawa dengan kesedihan itu,terimalah ia sebagai cabaran. Hal ini kerana perasaan sedih yang dalam sudah tentu susah pudar, dan pasti akan meninggalkan kesan yang mendalam  jika tidak dikawal atau dibuang, dan seterusnya akan mengakibatkan datangnya perasaan ingin membalas dendam dan stres. Jalanilah hidup dengan tabah dan ceriakan hari-hari anda. Kebahagiaan yang kita cari di dunia sudah pasti menjanjikan kesenangan di akhirat jika berlandaskan ajaran yang bernas dan benar.


Yang terakhir ialah emosi marah. Marah ialah suatu reaksi terhadap kesengsaraan,kesakitan dan keancaman. Marah boleh diekspresi secara aktif atau pun pasif. Marah secara aktif  ialah marah yang dilepaskan secara fizikal manakala marah secara pasif ialah melepaskan kemarahan secara mendiamkan diri. Setelah mengetahui yang marah terdiri daripada pasif dan aktif, saya menilai diri saya. Rupanya saya lebih banyak melepaskan marah secara pasif. Tetapi saya jarang mengalami emosi marah, kerana personality saya lebih kepada pasif bukan agresif. Jujurnya, saya tidak tahu bagaimana untuk memarahi orang lain. Saya lebih banyak mendiamkan diri dan membiarkan masa membawa pergi kemarahan saya.


Kuliah bersambung dengan tajuk yang kedua iaitu Teori Asas Adaptasi. Ketika kuliah ini diberikan,saya berasa mengantuk sedikit. Saya ingin memohon maaf pada Dr. Zamri kerana tidak berjaya memberi sepenuh perhatian semasa kuliah bagi tajuk ini. Setelah mengulang kaji berkenaan tajuk ini sebentar tadi, baru saya faham mengenai teori ini. Tahap adaptasi seseorang bergantung kepada tahap adaptasinya terhadap sesuatu perkara yang spesifik. Apa yang saya faham dengan pendapat Lazarus, Kanner dan Folkman 1980, tahap adaptasi ialah seperti sempadan neutral. Perkara yang baik yang melepasi sempadan ini akan mendatangkan kebahagiaan kepada seseorang itu. Dan cara kita menyesuaikan diri dengan sesuatu situasi itu akan mempengaruhi emosi kita sendiri.

 

Jadi setelah mempelajari emosi negatif ini, saya lebih memahami emosi negatif yang selalu dilihat di sekeliling saya. Saya juga turut mengalaminya sekejap semasa kuliah tadi di mana saya beremosi sedih dan malu apabila rekod saya dalam semakan kelayakan masuk peperiksaan mempunyai masalah. Saya sendiri tidak tahu di mana silap saya  dan Alhamdulilah saya tidak menangis kali ini. Saya teringat pesanan ibu bapa saya, jangan malu untuk bertanya dan saya berjumpa dengan Dr Zamri di akhir kuliah. Rupanya saya tidak mengisi borang kehadiran pada minggu lepas. Di sini saya ingin menekankan atasilah kelemahan anda dan berani menghadapi reality dengan menjauhi segala emosi negatif.

 

SekianJ

No comments:

Post a Comment