Thursday, August 11, 2011

jurnal 3

FATIN MASTURAH BINTI MUSTAFFA       A132107
BERSEMANGATNYA AKU!!!
Assalamualaikum pembuka bicara…

                Hari ini (10.Ogos.2011) aku sangat bersemangat untuk menyiapkan jurnal ke-3 kerana aku nampak Dr.Zamri sangat bertenaga dan bersemangat tanpa menunjukkan rasa jemu untuk memberi kuliah pada petang tadi. Aku sememangnya kagum dengan kesabaran Dr.Zamri dalam memberi ilmu kepada kami walaupun ramai di antara kami yang tidak memberikan sepenuh perhatian terhadap apa yang diperkatakan. Kuliah hari ini merangkumi 3 tajuk sekaligus iaitu emosi negatif, teori aras adaptasi dan teori Solomon. Seperti biasa, pada awal kuliah doktor akan menyajikan mata kami dengan beberapa video yang berkaitan dengan tajuk kuliah yang akan dibincangkan. Tersayat juga hati aku melihat kesengsaraan yang dihadapi orang rakyat Palestin yang ditindas sebegitu kejam oleh Israel.  Apa yang boleh aku katakan, bangsa Israel laknatullah itu sememangnya mempunyai perasaan benci terhadap umat Islam kerana mereka mempunyai tanggapan bahawa bangsa selain bangsa Yahudi adalah bangsa yang patut dikeji dan dibunuh. Malangnya, mereka tidak sedar sikap dan perbuatan mereka  yang terlalu  taksub dengan ajaran agama Yahudi dan  mendorong kepada kehancuran dan kebinasaan kerana mereka gagal membuat pertimbangan yang bijak untuk menilai semula akan tindak-tanduk yang dikatakan dalam kitab mereka dan menerimanya bulat-bulat tanpa ada sebarang bantahan. Memang terlihat jelas,mereka terlalu mengikutkan perasaan benci dan dendam mereka yang membuatkan mampu. Justeru, kita haruslah bijak mengawal emosi negatif yang ada dalam diri kita pada tempat dan masa yang bersesuaian agar masalah yang tidak diundang dapat dielakkan.

                Kuliah emosi negatif pada petang tadi amat memberi kesan kepada kami lebih-lebih aku yang sememangnya mempunyai banyak emosi negatif, salah satu daripadanya, aku sangat mudah melenting dan seorang panas baran.  Dr.Zamri juga ada menyelitkan beberapa tips untuk mengelakkan rasa marah, contohnya apabila kita sedang marah, kita harus menenangkan diri dulu walaupun mengambil masa yang lama dan kita juga disarankan agar tidak membuat sebarang keputusan dalam keadaan marah kerana dikhuatiri keputusan yang diambil dipengaruh oleh emosi dan tidak rasional. Selain itu juga, doktor juga memberi buah fikiran lain dalam mengawal perasaan marah iaitu dengan menangguhkan rasa marah yang ada. Misalnya, jika kita marah pada hari ini, tapi kita buat keputusan untuk marah orang tersebut pada esok hari. Secara tidak langsung, perasaan marah itu lama-kelamaan akan hilang atau kita juga secara tidak sengaja boleh terlupa akan perasaan amarah kita pada orang tersebut.  Doktor juga ada menekankan kesan-kesan yang mungkin terjadi apabila kita gagal mengawal emosi negatif yang menguasai diri kita dan berpotensi untuk mendorong kita melakukan perkara yang tidak diingini. Bukan itu sahaja, setelah kita bertindak, imbas kembali apa yang telah kita alami dan tindakan anda untuk tujuan membaiki diri.Satu-persatu butir kata doktor mengena pada batang hidung aku sendiri dan seakan menyindir aku tapi semua itu sedikit sebanyak menyedarkan aku dari kesilapan lampau. Memang banyak informasi yang berguna untuk aku mengaplikasikan dalam hari-hari yang akan datang. =)
 
                Dalam perenggan ini, aku berminat untuk mengulas serba sedikit tentang maklumat baru yang baru aku dapat petang tadi. Perasaan sedih, takut, malu, benci, dengki, marah dan sebagainya adalah merupakan contoh emosi negatif yang lahir dalam diri seseorang individu apabila ada keadaan yang tidak menyenangkan. Ramai yang beranggapan emosi negatif itu adalah sesuatu yang tidak baik padahal emosi negatif itu sendiri masing-masing mempunyai kebaikan dan keburukan, tetapi bergantung kepada sesseorang itu untuk mengawal keadaan emosinya. Sebagai contoh, seseorang individu wajar berasa takut jika nyawanya dalam keadaan terancam, jadi dengan perasaan takut yang ada akan mendorong individu tersebut untuk mencari jalan menyelamatkan dirinya . Contoh lain, kita juga wajar berasa marah jika melihat penindasan yang dilakukan oleh orang yang berkuasa terhadap orang yang lemah seperti yang dipaparkan dalam video yang ditunjukkan oleh doktor pada awal kuliah tadi. Jadi, dari sini boleh kita lihat dalam keadaan yang bagaimana harus kita tonjolkan emosi negatif tersebut dan bagaimana kita mengawal diri kita supaya mengambil tindakan yang rasional dan bersesuaian dengan keadaan itu.

Selain itu, perasaan malu juga adalah satu perasaan yang perlu ada dalam diri setiap insan supaya ia menjadi benteng untuk membataskan cara percakapan, penampilan serta perlakuan kita di depan khalayak ramai. Terdapat dua jenis perasaan malu iaitu 'personal embarrassment' dan 'professional embrassment'. 'Personal embarrassment' adalah sesuatu perasaan malu yang timbul disebabkan apabila berlaku kejadian yang seseorang itu tidak mahu ianya diketahui. Contohnya, kalah dalam pertandingan, gagal dalam peperiksaan, terkentut di khalayak ramai dan sebagainya. Keadaan sebegini membuatkan seseorang itu gelisah, gementar, berpeluh-peluh dan tersipu-sipu. 'Professional embarrassment' pula adalah keadaan yang memalukan apabila seseorang itu memberi maklumat salah ketika sedang bekerja, gagal menjalankan kerja dengan baik dan apa sahaja keadaan yang berkaitan kerjaya. Walaubagaimanapun, perasaan malu yang keterlaluan juga boleh menyebabkan seseorang itu kurang keyakinan untuk menampilkan diri serta menyuarakan pendapat, kesannya individu tersebut tidak mampu berdaya saing dengan orang di sekelilingnya dan menyebabkan dia menjadi individu yang tidak berjaya.

Emosi juga boleh dikesan dengan beberapa perubahan fizikal terhadap seseorang individu. Misalnya, jika seseorang itu sedang bersedih, kita dapat lihat seseorang  itu menangis, tidak bersemangat dan mengasingkan diri. Perasaan sedih yang keterlaluan menyebabkan individu tersebut hilang fokus dan menyebabkan dia gagal untuk memberikan komitmen yang baik terhadap sesuatu perkara. Sebagai contoh, jika kita gagal dalam peperiksaan, kita jangan terlalu kecewa sebaliknya menjadikan ia sebagai satu cabaran untuk kita berusaha dengan lebih kuat dan tekun sehingga kita berjaya. Seandainya, kita gagal mengawal perasaan kecewa dan sedih itu, kita akan hilang semangat untuk berusaha, rasa putus asa, rendah diri dan akhirnya mendorong kita melakukan perkara yang di luar kawalan sperti membunuh diri. Perkara-perkara ini sudah lazim berlaku di kalangan pelajar di Malaysia yang membunuh diri kerana gagal dalam peperiksaan. Justeru kita dapat lihat bukan kecerdikan tetapi hati yang menjadi pengukur kemampuan kita mengawal emosi. Sesunguhnya, hati yang kosong tanpa iman dan panduan adalah hati yang lemah dan mudah terjerumus dalam kancah kehinaan dan kehancuran. Oleh itu, kita harus menggunakan emosi-emosi negatif itu dan meluahkannya dengan cara yang bersesuaian dan terbaik.

Setelah itu, kuliah diteruskan dengan teori aras adaptasi. Teori ini mengetengahkan pendapat bahawa proses adaptasi seseorang kepada sesuatu keadaan adalah bergantung kepada ransangan yang ada. Contohnya, seseorang berada di tempat baharu atau baru ditempatkan memerlukan ransangan daripada rakan sekerja untuk mula mengadaptasikan diri. Sekiranya individu itu mendapat ransangan yang kurang baik atau negatif maka proses adaptasi diri di tempat kerja akan agak perlahan. Sebaliknya jika individu itu mendapat ransangan yang positif maka proses adaptasi akan berjalan dengan sempurna. Selepas itu, kami juga didedahkan dengan teori Solomon Opponent Process yang merupakan hasil ubahsuaian teori Aras Adaptasi. Melalui pemahamanku, teori ini pula mengetengahkan semakin kerap kita merasakan perasaan itu, semakin kuat perasaan bertentangan akan timbul. Contohnya, pada mula kita berjoging, kita akan rasa bosan tapi lama-kelamaan kita akan rasa seronok bila kita dapat rasa kesan yang baik kepada kesihatan kita.

Kesimpulannya, sama ada emosi positif ataupun emosi negatif, kedua-dua emosi ini memang sering hadir dalam diri kita, tanpa kita mampu untuk mengawal kehadirannya. Oleh itu, kita seharusnya bijak mengawal emosi agar kita lebih rasional untuk menghadapi sesuatu keadaan itu.  

No comments:

Post a Comment