Assalamualaikum dan selamat sejahtera diucapkan kepada Dr Ahmad Zamri Mansor selaku pensyarah kursus ZT2253 yang tidak jemu dalam membaca jurnal-jurnal hasil coretan pelajar-pelajar perubatan tahun 2 UKM dan tidak lupa juga kepada para pembaca sekalian secara umumnya. Pada 10/08/2011, saya telah menghadirkan diri ke kuliah pengurusan masa yang ke empat dan ini merupakan jurnal saya yang ketiga. Dr Ahmad Zamri telah memperkenalkan beberapa teori lagi pada hari ini disamping mengulas kembali mengenai isu kebahagiaan yang telah diketengahkan pada minggu lepas. Pada kuliah ini, saya telah berjaya mengaitkan emosi dan perasaan serta tindakan dengan kehidupan seharian yang telah saya lalui.
Pada permulaan kuliah, Dr Zamri seperti biasa telah membuka klip video lagu yang berkaitan dengan hubungan antara anak dan ibunya yang telah diubahsuai dan diadaptasi daripada penyanyi Justin Bierber. Klip yang mengisahkan tentang seorang anak yang telah membuat salah kepada ibunya dan mengatakan bahawa dia telah menyesal atas perbuatan dia dahulu dan ingin berjumpa dengan ibunya untuk meminta maaf kepada ibunya. Tidak salah saya mengatakan air mata saya telah menitis semasa menghayati lirik lagu yang dimainkan. Perasaan saya berbaur tatkala lirik lagu sampai di bahagian penyanyi menyanyikan 'ummi..ummi..ummi..'. Saya berasa sungguh sedih lebih-lebih lagi memang saya menggunakan gelaran 'ummi' untuk memanggil mak saya. Saya terkenang semula beberapa peristiwa suka duka antara saya dan ibu. Saya juga berasa terharu kerana penyanyi mengatakan bahawa dia ingin meminta restu dan maaf ibunya apabila mereka berjumpa. Setelah mempelajari kuliah-kuliah yang lepas, memang benarlah bahawa setiap orang akan menzahirkan emosi dengan cara yang tersendiri. Setelah meneliti, walaupun rakan saya telah kehilangan ibu beliau, namun beliau masih mampu tersenyum dan ketawa melihat klip video ini. Namun,perasaan sebenarnya hanya beliau dan Allah yang tahu. Ini adalah kerana, beliau telah menyibukkan diri dengan hal lain semasa video dimainkan. Mungkin kerana ingin lari daripada emosi sedih yang timbul.
Seterusnya, Dr telah menunjukkan beberapa slaid yang membezakan antara negara miskin dan kaya. Menurut beliau, kekayaan sesebuah negara itu bukanlah terletak kepada umur negara itu, ataupun keluasan atau sumber semula jadi yang ada di negara itu. Tetapi, faktor yang utama yang menjadi asas kepada pembangunan serta kekayaan sesebuah negara itu adalah 'ATTITUDE' atau sikap rakyat negara itu sendiri. Beberapa sikap-sikap positif telah ditunjukkan oleh rakyat negara yang kaya dan membangun. Dr telah menerangkan slaid ini untuk dikaitkan dengan kuliah yang lepas berkaitan dengan kebahagiaan dan kekayaan. Namun saya masih lagi belum berganjak daripada pendapat saya bahawa kekayaan mendorong kepada kebahagiaan. Sebelum ke topik yang seterusnya, Dr telah menayang semula video mengenai peperangan yang telah dimainkan minggu lepas. Video ini ditunjukkan bagi mengaitkan perasaan emosi yang bakal dipelajari dan juga dikaitkan dengan kebahagiaan hidup dan jelas terpampang di gambar bahawa mereka yang dalam peperangan tidak menunjukkan ekspresi kebahagiaan walaupun sedikit.
Seterusnya, kuliah diteruskan dengan membicarakan tentang perasaan atau emosi yang berkait rapat dengan kehidupan manusia secara amnya. Emosi atau perasaan takut yang mula-mula sekali diketengahkan. Emosi ini boleh terhasil melalui pengalaman atau penceritaan seperti yang telah dikatakan dalam teori pembelajaran dan pengalaman sebelum ini. Sebagai contoh, apabila seseorang itu ternampak hantu, perasaan takut akan menyelebungi diri walaupun pada hakikatnya, dia sendiri tidak tahu sama ada yang dia nampak itu adalah hantu atau pun tidak. Ini mungkin kerana melalui penceritaan orang dahulu kala, hantu itu teruk rupanya dan berpakaian serba putih. Oleh yang demikian, apabila seseorang itu terlihat sahaja kelibat yang sedemikian rupa, maka secara automatik perasaan takut akan timbul dan seterusnya orang itu akan membuka langkah seribu dan lari sebagai tindakan terakhir akibat daripada perasaan takut itu.
Perasaan seterusnya adalah malu. Mengikut kajian yang dilakukan, setiap manusia mempunyai level tahap emosi yang tertentu. Hal ini begitu penting kerana emosi akan membentuk tindakan yang akan diambil seterusnya seperti yang telah diterangkan dalam contoh emosi takut tadi. Apabila seseorang begitu takut, akhirnya dia akan lari. Namun jika orang itu tahap ketakutannya rendah iaitu seorang yang berani, maka mungkin orang itu tidak akan lari malah berkata-kata dengan kelibat hantu itu seperti yang banyak kita tontonkan di panggung wayang. Berbalik kepada emosi malu, ianya merupakan suatu perasaan yang timbul apabila kita melakukan sesuatu perkara yang tidak di senangi oleh orang lain walaupun sesuatu perkara itu tidak salah dari segi undang-undang atau hukum agama. Perasaan malu ini seterusnya akan membawa kepada satu lagi perasaan iaitu kepura-puraan. Apabila kita telah melakukan sesuatu yang memalukan, kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menutup malu kita itu dengan mengatakan perkara-perkara lain yang pada asalnya bukan niat kita. Contohnya, yang sering berlaku dalam kehidupan saya daripada zaman sekolah rendah hingga ke hari ini adalah apabila seseorang itu telah tersilap memakai sarung kaki atau stokin. Contohnya stokin biru di kaki kanan, dan stokin hitam di kaki kiri. Apabila terdapat orang menegur si pemakai itu, dia akan mengatakan yang dia seorang yang mengikuti fesyen terkini dan mengatakan orang lain tidak tahu akan fesyen yang terkini padahal adalah semata-mata untuk menutup malu apabila dia tersilap pakai stokin yang berlainan warna.
Emosi yang seterusnya ialah sedih. Sedih merupakan perasaan yang sinonim dalam kehidupan kita. Setiap manusia pasti akan berasa sedih walaupun sekali dalam satu tahap kehidupan mereka. Jika tidak, pasti seseorang itu mempunyai masalah dengan sistem saraf yang mengawal perasaan mereka. Perasaan sedih ini berbeza-beza mengikut jenis dan peristiwa yang berlaku. Perasaan sedih kebanyakannya akan berakhir dengan titisan air mata. Namun, menitiskan air mata tidak semestinya kita sedang bersedih. Melalui pengalaman sendiri, perasaan sedih akan akan berbeza mengikut keadaan apa yang menyebabkan kita sedih. Contohnya, apabila saya mendengar ceramah-ceramah keagamaan, saya akan berasa sedih kerana takut dengan balasan Allah daripada dosa-dosa yang telah saya lakukan. Berbeza pula perasaan saya apabila saya mendengar lagu-lagu yang lebih berunsur kekeluargaan seperti 'buatmu ibu-aiman' atau 'di pondok kecil-aiman ft bazli unic'. Perasaan sedih saya pada ketika itu lebih kepada terkenang kembali jasa-jasa ibu dan ayah saya yang telah membesarkan saya. Pada kuliah ini juga, Dr Zamri telah mengingatkan kembali sebuah lagu yang dahulunya pernah menjadi kegemaran saya pada zaman sekolah ialah 'joni don't cry'. Lagu yang berkisarkan alam percintaan ini lebih mengingatkan saya kepada kawan-kawan sekolah saya dahulu dan lahir perasaan sedih dan rindu kerana sudah lama tidak bersua muka.
Akhir sekali, Dr telah meneruskan kuliah beliau dengan mengutarakan mengenai emosi marah. Emosi marah perlu diatasi kerana ianya mendatangkan keburukan sehinggakan Nabi SAW pernah bersabda:-
'orang yang kuat bukanlah orang yang mampu mengalahkan lawannya. Sesungguhnya orang yang kuat adalah orang yang mampu menguasai dirinya ketika marah' ( hadis riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a)
Oleh sebab itu, kita perlulah menahan kemarahan kita dengan sebaik-baiknya dengan mengikuti cara mengatasi kemarahan yang telah diajar oleh Nabi SAW kerana apa yang disampaikan oleh Nabi itu mestilah yang terbaik untuk umatnya. Walaupun kadang-kala kita perlu marah, namun kita perlulah marah dengan berhikmah dan tidak keterlaluan sesuai dengan keadaan tempat dan keadaan semasa tetapi apabila kita dapat memaafkan adalah lebih baik lagi.
Saya anggap emosi seperti takut, marah, malu dan sedih serta perasaan lain adalah seperti satu puzzle perasaan dalam diri setiap manusia yang setiap perasaan itu merupakan setiap cebisan-cebisan puzzle yang berselerakan yang perlu disusun dengan kemas dan rapi supaya membentuk sesuatu yang cantik yang kadang-kala ada orang yang akan letakkan di dalam 'frame' gambar. Emosi yang disusun dan dijaga dengan elok akan melengkap antara satu sama lain dan akan membentuk 'puzzle of feelings' yang sempurna.
No comments:
Post a Comment