PENGURUSAN EMOSI (ZT2253)
VITTARINO BIN JOHNNY, A131865, LJ03, DUNIA EMOSI NEGATIF.
Salam sejahtera, salam perpaduan dan salam satu Malaysia saya ucapkan kepada rakan-rakan sekalian dan pensyarah kita, Dr. Zambri. Jika pada minggu lepas, kita telah melapangkan diri kita dengan pembelajaran tentang emosi positif khususnya tentang kebahagiaan dan kegembiraan misalnya kebahagiaan dalam sesebuah keluarga, kasih sayang yang terjalin, kegembiraan yang dialami dan juga kaitannya dengan keagamaan. Kuliah pada minggu lepas sememangnya mengingatkan saya tentang keluarga saya di rumah, apatah lagi kini berada jauh daripada mereka. Saya juga masih lagi ingat akan cerita, '50$ an hour', bagaimana seorang anak itu hendak makan bersama dengan ayahnya lalu dia pun minta 25$ dari ayahnya tetapi dimarah oleh ayahnya. Saya juga teringat tentang cerita burung murai yang turut bertemakan kepentingan keluarga dan kasih sayang. Pada minggu ini pula kami mempelajari tentang emosi negatif, apa perbezaannya dengan emosi negatif. Kami juga mempelajari kegunaan emosi negatif, takrifannya dan banyak lagi. Sebenarnya setiap manusia mempunyai kedua-dua emosi negatif dan positif. Contoh bagi emosi negatif ialah sedih, marah, malu dan takut. Dalam kuliah ini juga kami telah menonton satu tayangan video mengenai kesan peperangan yang berlaku d negara Palestin. Banyak kemusnahan telah berlaku, ada yang kehilangan orang yang tersayang, kehilangan tempat bergantung, kehilangan tempat tinggal dan sebagainya. Sememangnya apabila melihat tayangan video itu, saya terasa sangat tersentuh hati kerana ternampak kesedihan yang mereka alami disebabkan pelbagai kemusnahan. Ada yang berasa seperti hidup di dunia tidak bermakna lagi. Saya juga terbayangkan keadaan di negara sendiri, dan jika hendak dibandingkan dengan keadaan di negara Palestin negara kita, Malaysia lagi dalam keadaan baik. Oleh itu, kita seharusnya bersyukur.
Pertama sekali saya ingin bincangkan tentang perasaan takut. Perasaan takut sering kali dikaitkan dengan keadaan bahaya, gementar dan bimbang. Perasaan ini sebenarnya dikawal oleh sistem saraf kita, apabila kita berada dalam sesuatu keadaan yang menakutkan atau menyeramkan, semua deria kita akan mengesan rangsangan (contohnya, apa yang kita lihat, kita dengar dan kita rasa) untuk dihantar kepada sistem saraf kita yang kemudiannya akan menghasilkan satu tindak balas. Bayangkan anda tengah berjalan pulang dari kerja setelah kerja sehingga lewat, anda melalui satu lorong jalan kaki yang sunyi. Tiba-tiba anda terdengar sesuatu bunyi yang pelik di belakang dan apabila anda paling ke belakang anda seperti terlihat satu bayang-bayang sedang bergerak. Bulu roma anda pun menegak. Mata anda pun membesar, bibir anda pun memanjang dan kening anda ke dalam. Tanpa berfikiran panjang anda pun terus berlari menyelamatkan diri. Saya juga sering mengalami perasaan takut misalnya apabila dipanggil ke depan untuk bercakap sesuatu, melakukan kesilapan, berjumpa dengan seseorang yang profesional (VIP) dan sebagainya. Orang lain juga mempunyai perasaan takut misalnya takut dengan darah, tikus, serangga kecil khususnya lipas atau cacing, apabila berada di tempat yang gelap ataupun tinggi dan sebagainya.
Seterusnya pula perasaan malu. Dalam Bahasa Inggeris, malu disebut sebagai 'shy', 'ashamed' dan 'embarrased'. Umumnya, kita akan berasa malu apabila melakukan sesuatu yang tidak diterima oleh orang lain atau sesuatu yang menyentuh tentang maruah dan kehormatan. Umpamanya, apabila kita tengah berjalan di depan orang ramai, kita tiba-tiba terjatuh dan kita pun berasa malu. Selain itu, apabila kita tersilap memakai kasut atau memakai baju secara terbalik, kita pun akan berasa malu. Malahan adakalanya, sesetengah orang akan berasa malu apabila berjumpa dengan seseorang. Terdapat dua jenis rasa malu. Pertama, secara peribadi (personal embarrasment) dan yang kedua secara profesional (professional embarrasment). Dari segi peribadi, malu berlaku apabila berlakunya sesuatu yang tidak diingini yang melibatkan hal-hal peribadi kita sendiri. Misalnya, apabila kita telah diketahui menipu atau melakukan kesalahan. Apabila ini berlaku, kita akan tersipu-sipu, berpeluh, gementar, tergagap-gagap dan gelisah. Bagi sesetengah orang, mereka akan berpura-pura menyembunyikan perasaan malu mereka, ada yang akan berpura-pura ketawa ataupun senyum dan ada juga yang akan bercakap tentang perkara lain supaya orang lain tidak akan sedar yang mereka telah berasa malu. Dari segi profesional pula lebih melibatkan pekerjaan seperti apabila seseorang iti didapati menggelapkan duit syarikat, mengambil rasuah, melakukan perbuatan yang tidak beretika, melanggar peraturan ataupun undang-undang dan sebagainya.
Perasaan sedih bertentangan dengan perasaan gembira. Perasaan ini selalunya berlaku apabila kita mengalami musibah, kehilangan orang yang tersayang, kehilangan harta benda disebabkan bencana, kehilangan kerja, putus cinta, gagal dalam peperiksaan, kalah dalam pertandingan dan sebagainya. Kebiasaannya orang yang tengah sedih akan bersikap muram, murung, sayu, pasif, diam dan lemah. Menurut Forgas, 1992, 1994, orang yang gembira lebih mudah untuk memproses maklumat dengan betul dalam jangka masa yang pendek berbanding dengan orang yang sedih. Manakala Islen, 1987 menyatakan keupayaan seseorang untuk memproses maklumat bergantung pada keadaan emosinya (mood). Kajian (Halo effect) membuktikan apabila seseorang itu dapat mengetahui emosi yang ditunjukkan oleh orang lain, mereka akan mengaitkan ciri-ciri tambahan terhadap orang lain itu. Saya juga pernah berasa sedih apabila kalah dalam sesuatu pertandingan contohnya syarahan dan debat, gagal dalam ujian atau peperiksaan, kehilangan orang yang tersayang dan kehilangan sesuatu barang yang saya miliki. Saya juga sering mendengar lagu-lagu sedih yang menyentuh hati saya contohnya lagu 'Berita Dari Kawan' yang dinyanyikan oleh Ebiet G Ade. Lagu ini berkaitan dengan kejadian bencana alam yang menimpa keluarga seorang kanak-kanak. Dia berasa sangat sedih. Dia pun pergi ke tepi pantai dan melepaskan semua yang dirasanya. Dia ada terfikir apakah sebab berlakunya kejadian tersebut, adakah disebabkan oleh sikap mereka sendiri. Selain lagu 'Berita Dari Kawan' ini, saya juga pernah terdengar satu lagu yang disiarkan di televisyen iaitu di TV3 yang dinyanyikan oleh sekumpulan penyanyi Malaysia yang menceritakan tentang pembunuhan, penindasan dan peperangan. Lirik yang menyentuh hati saya ialah,' Pembunuhan, penindasan milik jiwa keegoan. Keamanan, kebebasan impian kekal impian. Leburkan rantai penghalang harapan kita. Semarakkan, perjuangan kedamaian'. Lagu ini menunjukkan kepada kita bagaimana disebabkan ingin mendapat kuasa, seseorang itu sanggup melakukan apa sahaja sehingga mengorbankan ramai orang yang tidak bersalah.
Akhir sekali ialah perasaan marah. Marah merupakan tindak balas apabila mengalami kesakitan, kesusahan, tekanan dan ancaman. Seseorang juga akan berasa marah disebabkan ketidakadilan, penghinaan, pengkhianatan dan sebarang konflik. Perasaan marah boleh diluahkan secara aktif (memarahi orang secara terus) mahupun pasif (memarahi orang secara senyap). Bagi saya, keadaan yang membuatkan saya berasa marah akan seseorang ialah apabila seseorang itu memarahi saya tanpa alasan yang munasabah, menuduh saya melakukan kesalahan yang saya tidak lakukan, menghina saya, merosakkan barang kepunyaan saya secara sengaja dan banyak lagi.
Kesimpulannya, setiap kita mempunyai emosi positif dan negatif. Kedua-duanya mempunyai kepentingan tersendiri. Bagi emosi negatif, adalah menjadi tanggungjawab kita sendiri untuk mengawalnya. Sekiranya tidak dikawal mungkin akan mendatangkan masalah kepada kita.
Sekian dan terima kasih.
No comments:
Post a Comment