SIAPA SAYA?
Assalamualaikum dan selamat sejahtera diucapkan kepada pengujung Blog Jurnal Pengurusan Emosi. Saya tidak dapat menghadiri kuliah kali ini kerana terlibat dengan raptai penutup Ihya' Ramadhan. Oleh hal yang demikian, saya telah diberitahu bahawa tiada kuliah dan Dr Zamri memberi tugasan khas untuk penulisan jurnal kali ini. Jadi saya telah merujuk kepada Facebook
Emosi dan tugas-tugas khas tersebut ialah:
Task 1: Baca slide dan teks tentang Psychoanalytic Theory. Dengar dan tonton klip video pertama yang akan ditayangkan pada jam 2pm. Kaitkan apa yang ada dalam video tersebut dengan teori.
Task 2: Jawab soalselidik MBTI. Di akhir ujian, anda akan dapat tahu kategori personaliti anda. Dalam LJ05, bincangkan personaliti anda.
Task 3: Jawab soalselidik Teori Besar Lima (Big Five Theory). Di akhir ujian, anda akan dapat tahu kategori personaliti anda. Dalam LJ05, bincangkan personaliti anda.
Jadi,mari kita lengkapkan tugasan pertama dahulu. Teori psikoanalistik diasaskan oleh Sigmund Freud dan dalam teorinya, Freud membuat hipotesis bahawa pengalaman-pengalaman yang begitu emosional adalah sebahagiaan besarnya hasil daripada proses-proses yang tanpa sedar. Freud menspesifikasikan keadaan yang tanpa sedar ialah satu kawasan personality yang mengandungi emosi,motif dan kenangan masa lampau yang tidak disedari tetapi mempengaruhi tingkah laku kita. Contohnya, zaman kanak-kanak ialah satu kawasan di mana-mana prosesnya merupakan tanpa sedar. Dalam video yang ditayangkan, watak utama (A), percaya bahawa hidupnya sentiasa bahagia dan terbaik dan tiada masalah dan yakin bahawa setiap keburukan ada kebaikannya dan ada penyelesaian pada setiap masalah yang dihadapi. Watak A mempercayainya sehinggalah dewasa walaupun telah mengharungi pelbagai rintangan dalam proses kedewasaanya. Freud juga berpendapat bahawa keadaan tanpa sedar merupakan sumber emosi dan motivasi yang berkuasa di mana boleh menyebabkan kita merasai dari mana datangnya emosi tersebut dan mempengaruhi kita mengambil tindakan yang tidak ada tujuan yang jelas.
Bagi saya, zaman kanak-kanak merupakan zaman yang paling seronok bagi seseorang. Hal ini kerana, semasa kita di usia kanak-kanak, berapa banyaklah yang kita tahu, apa yang kita tahu, gembira dan gembira. Namun demikian, bagi kanak-kanak yang tidak berupaya fizikalnya dan tidak berkemampuan hartanya atau sebagainya, mereka turut merasakan kebahagiaanya tetapi dengan cara yang berbeza. Persoalannya di sini, adakan mereka sedar atau tidak sedar. Jadi Teori Psikoanalistik ini memang ada kaitannya dengan video yang ditayangkan dan ada kaitan dengan kehidupan kita.
Semasa kita di usia kanak-kanak, kita hanya melihat dan merasai emosi yang kita hadapi. Kita akan berasa gembira apabila mendapat perhatian dan memperoleh sesuatu yang kita suka. Pada masa yang sama,kita juga akan merasa sedih kerana sebaliknya atau sebagainya. Namun demikian, kita tidak sedar sebenarnya emosi tersebut dihadapi kerana sesuatu yang berlaku. Apabila usia kita meningkat sedikit menjadi seorang dewasa, kita mula berfikir mengapa kita sedih,gembira dan sebagainya. Hal ini kerana, diri kita sudah diisi dengan ilmu dan pengalaman. Ini semua adalah tambahan pada emosi dan motivasi yang mempengaruhi tingkah laku kita sendiri untuk mempertingkatkan mutu kehidupan. Saya sangat bersetuju dengan teori ini. Kenangan zaman kanak-kanak membangkitkan semangat saya untuk memperbaiki kehidupan saya. Kehidupan kita sebagai seorang manusia harus mempunyai matlamat dan jangan mudah putus asa. Jangan biarkan stimulasi negatif dari luar mempengaruhi kita mengubah pedoman hidup. Kita harus yakin kehidupan kita di dunia hanyalah sementara dan semua itu pinjaman yang harus dibayar di akhirat kelak.
Seterusnya,mari kita melengkapi tugasan yang kedua iaitu jawab selidik MBTI. Saya telah menjawab soal selidik MBTI. Keputusannya, saya merupakan seorang yang berkriteria ISTJ. Personaliti ISTJ ini ialah seorang yang bertanggungjawab dalam melaksanakan tugasan yang diberi dan menepati masa. Cara orang berpersonaliti ISTJ ini melaksanakan dan mengendalikan tugas sangatlah teliti dan sistematik. Kebiasaanya, orang ISTJ ini membuat keputusan berdasarkan pengalaman mereka sendiri dan berlandaskan apa yang mereka lihat sendiri. Selain itu, mereka juga merupakan golongan yang sangat komitmen dengan sesuatu organisasi. Mereka menerima tugasan mereka dengan serius dan teliti dan yakin bahawa orang sekelilingnya harus sepertinya.
Berdasarkan keputusan ini, saya mula sedar bahawa dalam diri saya mempunyai semua kriteria di atas. Saya sangat serius dalam melengkapkan tugas saya, terutama tugas yang melibatkan organisasi. Hal ini kerana, kerja bersama orang lain atau organisasi tidak boleh dipandang ringan . Apabila tidak dapat kerjasama dalam satu organisasi, pergerakan satu organisasi tersebut tidak dapat berjalan dengan lancar. Saya juga berharap orang yang terlibat dalam satu organisasi dengan saya akan jadi seperti saya bagi memastikan gerak kerja organisasi berjalan dengan baik. Bukan sahaja dalam organisasi, malah kerja individual juga kalau boleh saya ingin menyiapkannya dengan segera. Sebagai contoh, jurnal ZT Emosi ini, saya ingin menyiapkan dan menghantarnya pada hari Rabu juga. Saya ingin menyiapkan segala urusan pada hari tersebut dilengkapkan juga pada hari tersebut. Jika PBL hari Selasa, saya ingin mencari informasi pada hari itu juga. Sekiranya, saya tidak berjaya, saya akan rasa tidak lengkap dan tidak senang serta susah untuk fokus pada kerja lain. Saya juga amat susah untuk menerima dan mempercayai informasi yang tidak bersumber terutama dari mulut ke mulut kerana saya tidak yakin dan risau jika saya ditipu. Oleh hal yang demikian, saya hanya mempercayai sesuatu yang mempunyai bukti dan dengan apa yang saya lihat sendiri.
Akhir sekali, mari kita lengkapkan tugasan yang ketiga iaitu jawab soal selidik Lima Teori Besar (Big FiveTheory). Hasil soal selidik ini,saya dapati markah saya tertinggi untuk personality A. Berdasarkan rujukan yang diberi A untuk agreeableness. Ciri-ciri Personaliti A merangkumi optimis, mudah bekerjasama dan bersama orang lain, suka berkawan dan percaya pada orang lain. Selain itu, boleh dikatakan personaliti A ini baik-baik belaka dan tidak mudah berprasangka buruk dan antagonis terhadap orang lain.
Sekali lagi, hasil kaji selidik ini menepati ciri-ciri dalam diri saya. Bukanlah saya nak tekankan di sini yang saya seorang yang baik. Setiap orang ada kelemahan dan keburukannya. Walaupun saya rasa saya dah cukup baik, saya tetap ingin melengkapi dan memperbaiki kelemahan yang saya mungkin sedar mahu pun tidak yang terdapat dalam diri saya. Bagi saya mudah sahaja, jika orang berbuat tidak baik pada kita, janganlah kita membalasnya dengan kejahatan juga. Hal ini telah ditekankan dalam Al-Quran. Dan setiap apa yang kita lakukan, pasti akan mendapat balasan daripada-Nya di akhirat kelak. Konsepnya sama juga dengan sekarang. Jika kita ingin orang sekeliling kita berbuat baik pada kita, janganlah kita melakukan sesuatu yang mereka tidak suka. Elakkan lakukan perkara yang kita sendiri rasa orang lain tidak suka.
Akhir sekali, bagi saya ujian personaliti ada kalanya boleh diterima dan ada kalanya tidak menepati sikap kita sendiri. Alhamdulilah, kaji selidik yang disyorkan oleh Dr Zamri menepati saya. Pada masa yang sama, saya juga rasa kaji selidik seperti ini membantu kita mengenali kelemahan kita sendiri dan boleh memperbaikinya dari sekarang. Di kesempatan ini, memandangkan ini jurnal yang terakhir, saya ingin memohon maaf pada Dr Zamri dan rakan-rakan seperjuangan jika ada terkasar bahasa,tersilah tingkah laku dan segala masalah mahupun kesilapan yang timbul sama ada sengaja atau tidak sengaja,sama ada sedar atau tidak sedar dari hujung rambut sehingga hujung kaki.Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
No comments:
Post a Comment