Saturday, August 27, 2011

A131876 Sim Linger LJ05 Personaliti





Salam sejahtera. Saya telah menghadirkan diri ke kuliah ZT2253 pada 24 Ogos 2011 dan jurnal kelima ini merupakan jurnal saya yang terakhir bagi ZT2253. Tajuk kuliah hari ini ialah emosi dan personaliti dan ia bermula dari 2.00 hingga 3.30 petang. Kuliah ini amat berbeza kerana kami didedahkan dengan aktiviti yang menarik dan diberikan tugasan untuk diselesaikan sepanjang kuliah ini. Kami dikehendaki membaca slide tentang Teori Psikoanalitik (Psychoanalytic Theory) dan menonton video yang ditayangkan. Kami juga dikehendaki menjawab kuiz personaliti Myers Briggs Type Indicator (MBTI) dan juga Big Five Personality test. Saya tidak pernah menjawab soal selidik personaliti tersebut sebelum ini.

            Video yang ditayangkan hari ini adalah berkaitan dengan kehidupan seorang kanak-kanak. Video mengisahkan bahawa kanak-kanak ini mempunyai zaman kanak-kanak yang gembira dan sempurna. Oleh itu, dia tidak pernah menempah sebarang kesusahan dan cabaran dalam kehidupannya. Namun begitu, apabila kanak-kanak ini semakin besar dan menjadi dewasa, dia mendapati bahawa dunia ini bukanlah begitu sempurna seperti yang dia bayangkan. Dia menyedari bahawa bukan semua orang yang boleh dipercayai dan pengkhianatan telah menyakitkan hatinya.Dia berasa sangat sedih dan kecewa kerana kenyataan adalah begitu kejam. Walau bagaimanapun, kemurungan ini hanya untuk sementara waktu, dia masih berfikiran positif dan optimistik terhadap kehidupannya. Dia masih akan berbaik hati dengan pengemis dan mendermakan wang walaupun pengemis pernah menipu dia. Klip video ini telah dikaitkan dengan Teori Psikoanalitik dan membawa mesej kepada kita bahawa kita haruslah tabah menghadapi apa-apa jua cabaran dengan berfikiran positif sekiranya kita menghadapi cabaran.

            Teori yang berorientasikan fisiologi dan kognitif mengandaikan sifat sedar pengalaman emosi. Sigmund Freud tidak bersetuju dan berpendapat bahawa pengalaman emosi itu merupakan proses secara tidak sedar. Mungkin kita tidak sedar dengan kenangan lalu, tetapi memori lama itu akan mempengaruhi kelakuan kita hari ini. Teori psikoanalitik yang dibentangkan oleh Sigmund Freud menerangkan kepentingan pengalaman zaman kanak-kanak kerana ia akan mempengaruhi kehidupan seseorang sehingga dia menjadi dewasa. Penekanan teori ini adalah kepada emosi-emosi negatif, terutamanya bimbang dan marah.

            Selepas itu, video yang mengisahkan personaliti jenis A dan jenis B telah ditayangkan. Bagi jenis A, mereka melakukan aktiviti seharian dengan kadar yang cepat, contohnya kurang sabar, makan dengan cepat, pandu dengan laju, bangun pagi dan kompeten. Jenis A mementingkan kesempurnaan dalam tugasan mereka dan tidak dapat menerima sebarang kesilapan dalam hasil kerja mereka. Oleh sebab itu, mereka mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidapi sakit jantung dan berasa tertekan. Bagi jenis B pula, ia bertentangan dengan jenis A dan mereka melakukan aktiviti mereka dengan kadar perlahan seperti makan dengan perlahan, pandu dengan perlahan, penyabar dan berada dalam keadaan yang tidak tergesa-gesa. Selepas menonton video ini, barulah saya mendapati bahawa saya mempunyai jenis A personaliti kerana saya seorang yang tidak dapat menerima kesilapan dalam tugasan saya, saya akan berusaha lagi untuk mencapai kesempurnaan. Saya juga makan dengan cepat dan memandu dengan laju. Saya berasa saya haruslah berubah kepada lebih tenang dan relax supaya tidak membebankan diri sendiri dan juga cuba untuk memandu dengan perlahan demi keselamatan.  

            Seterusnya, kami telah diberikan soal selidik Myers Briggs Personality Test (MBTI). Myers Briggs Personality Test merupakan satu soal selidik psikometri yang bertujuan untuk mengukur kecenderungan psikologi orang dalam membuat keputusan. Myers dan Briggs telah mendalami teori MBTI daripada karya Carl Jung, Psychological Types. MBTI membahagikan perbezaan psikologi kepada empat pasangan yang bertentangan atau dichotomies, menyebabkan adanya enam belas jenis personaliti. Empat pasangan dichotomies yang dikatakan tadi adalah seperti berikut: extroversion (E) dan introversion (I), sensing (S) dan intuition (N), thinking (T) dan feeling (F) serta judgement (J) dan perception (P). Jung telah mendefinisikan enam belas jenis personaliti, iaitu ESFP, ESTP, ISTJ, ISFJ, ENFP, ENTP, INFJ, INTJ, ESTJ, ENTJ, ISTP, INTP, ESFJ, ENFJ, INFP dan ISFP. Orang yang extroverted ialah orang yang pandai sosial dan bergaul. Introverted pula orang yang pendiam dan menyimpan perasaan. Sensing bermakna orang yang lebih berpraktikal dan intuition ialah orang yang tidak begitu realiti. Jenis thinking merujuk kepada orang yang menggunakan logik dalam fikiran dan penyelesaian masalah, manakala feeling ialah orang yang membuat sesuatu megikut perasaaan dan emosi. Orang jenis judgement ialah orang yang lebih berdisiplin manakala orang jenis perception merujuk kepada orang yang fleksibel dan boleh mengubah prinsipnya mengikut situasi.

            Keputusan soal selidik MBTI menunjukkan saya mempunyai personaliti ENTP (extroverted, intuitive, thinking, perceiving). Orang yang ada dalam kategori ini dipanggil sebagai "the visionaries". Mod utama hidup saya fokus kepada luaran (external), di mana saya mengendalikan perkara saya mengikut intuisi. Mod kedua saya ialah dalaman (internal), di mana menguruskan perkara dengan rasional dan logik. Mengikut personality test ini, minat utama ENTP  ialah memahami dunia yang mereka mendiami. ENTP merupakan orang yang sentiasa menyerap idea dan imej mengenai situasi yang mereka bentangkan dalam kehidupan. Mereka menggunakan intuisi untuk menguruskan maklumat dan mereka biasanya cepat dan tepat dalam keupayaan untuk menganggarkan situasi. Saya berpendapat bahawa soal selidik ini agak tepat kerana saya agak fleksibel dan dapat menyesuaikan diri dalam pelbagai tugas. Dengan intuitif, saya sedar akan kemungkinan yang ada dan ini menyebabkan saya resourceful dalam menyelesaikan masalah. Saya kurang berminat dalam membuat pelan tindakan atau membuat keputusan jika berbanding dengan menjana idea-idea dan kemungkinan.

            Selepas ini, kami dikehendaki menjawab kuiz persoanliti yang seterusnya, iaitu the Big Five Theory. 5 faktor yang ada dalam Big Five Theory ialah openness, conscientiousness, extraversion, agreeableness, dan neuroticism (OCEAN). Openness melibatkan imaginasi aktif, kepekaan estetik, perhatian kepada perasaan dalaman dan rasa ingin tahu secara intelektual. Orang yang mempunyai conscientiousness bersifat cermat, teliti dan berhati-hati dan orang jenis ini boleh dipercayai. Extraverts suka bergaul dan berminat untuk mencari keseronokan. Orang yang agreeableness akan lebih menyenangkan dan bertolak ansur dalam keadaan sosial. Mereka sangat mesra, berbelas kasihan dan bekerjasama. Neuroticism pula merupakan personaliti sifat asas dalam kajian psikologi. Orang yang mempunyai skor tinggi dalam neuroticism akan mengalami lebih banyak perasaan seperti keresahan, kemarahan, rasa bersalah dan perasaan tertekan. Hasil soal selidik saya ialah agreeableness. Saya memang mesra dengan kawan saya dan akan memberi bantuan kepada mereka yang mengalami kesusahan. Saya juga mempercayai bahawa kebanyakan orang adalah jujur, sopan dan boleh dipercayai.

            Kesimpulannya, setiap orang mempunyai personaliti yang berbeza dan personaliti dapat diketahui dengan jelas melalui ujian personaliti. Seseorang mesti menjawab dengan jujur dalam ujian tersebut supaya keputusannya akan menjadi lebih tepat. Sekian, terima kasih dan Selamat Hari Raya kepada rakan-rakan Melayu saya. 

No comments:

Post a Comment