Friday, August 19, 2011

A131422 AMIR BIN ABDUL RAHMAN LJO4 EMOSI MENJADI MOTIVASI UNTUK INSPIRASI KE ARAH APRESIASI

          


              Assalamamualaikum,selamat sejahtera untuk semua.Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana masih diberi peluang untuk hidup dan dapat meneruskan penulisan jurnal untuk kali yang keempatnya.Semalam adalah hari yang sangat mencabar bagi saya kerana buat kali pertamanya saya rasakan waktu bergerak terlalu pantas dari kebiasaannya dan sukar diduga apa yang mungkin berlaku.Pada hari itu,kami dikhabarkan bahawa kuliah akan bermula lambat kerana pensyarah kami,Dr Zamri tersekat dalam kesibukan jalan raya.Tidak hairanlah kerana pada waktu-waktu sebegitu tambahan lagi di bulan puasa,semua orang sudah mula meninggalkan tempat kerja untuk menuju ke bazaar buat membeli juadah berbuka puasa.Kuliah pada hari itu berakhir pada pukul 5.00 petang.ketika itu juga,hujan mulai turun secara renyai-renyai.Saya meramal hujan pada petang itu hanya sementara.Pada pukul 6.00 petang,saya mula bergerak ke bazaar.Malangnya,sesudah sampai di bazaar,hujan turun dengan selebat-lebatnya ditambah lagi dengan kilat sabung menyabung.Walaubagaimanapun,saya tetap meneruskan perjalanan pulang ke kolej kerana sekiranya saya menunggu hujan reda,alamatnya ditengah jalanlah saya berbuka.Oleh sebab itu,dengan tidak semena-mena,motor saya rosak dimasuki air hujan yang memenuhi jalan ketika itu.Alhamdulillah,saya sempat sampai dulu di kolej dan baru menyedari akan kerosakan itu.Saya basah lencun dihujani air dan perasaan saya ketika itu adalah sangat gembira kerana masih berpeluang mandi hujan seperti waktu zaman kanak-kanak dulu.
 
 
              Sudah habis bercerita panjang,seterusnya saya akan mengulas serba sedikit tentang isi penting dalam kuliah yang bertajuk Emosi dan Motivasi.Bagaimanakah kedua-dua elemen ini memberi kesan dalam  kehidupan seharian sama ada dari sudut positif ataupun negatif?Antara teori-teori yang dapat memberi penerangan tentang perkara ini ialah teori fisiologi , teori kognitif , teori psikoanalitik , dan lain-lain lagi. Dalam teori fisiologi ,ahli-ahli bijak pandai telah menekankan bahawa emosi itu ialah satu penghasilan daripada otak dan sistem saraf manusia.Jadi,reaksi fisiologi tubuh badan manusia terhadap rangsangan di sekelilingnya akan menghasilkan 'product' berbentuk emosi.Bagi menyokong teori fisiologi ini,timbulnya pelbagai teori yang berlainan pendapat tapi pada dasarnya adalah sama iaitu berkisar perkaitan emosi dan motivasi.Teori-teori tersebut ialah teori James-Lange ,teori Cannon-Bard ,teori psikobiologi dan sebagainya.Dalam Teori James-Lange yang didukung oleh William James dan disokong oleh Carl Lange ini,mereka menyatakan bahawa  reaksi fisiologi badan terhadap sesuatu bahan rangsangan dapat merangsang pengalaman sesuatu emosi. Dalam kata yang lebih mudah,emosi hanya akan wujud selepas reaksi tubuh terhadap sesuatu situasi. Sebagai contohnya,seorang penunggang motosikal memandu dengan laju ketika hari hujan dan gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas dan merempuh pembahagi jalan.Pada mulanya,penunggang tersebut tidak akan lagi merasai kesakitan walaupun sudah berlumuran dengan darah kerana penunggang itu masih tidak sedar akan keadaan dirinya.Selepas beberapa minit,badan akan menjalankan proses fisiologinya dan barulah penunggang itu sedar akan keparahan dirinya.Pada waktu itu jugalah kesakitan akan dirasai dan secara automatiknya,penunggang itu akan meraung kesakitan dan menjerit meminta tolong.Inilah yang dikatakan normal fisiologi badan yang memerlukan stimulasi untuk menghasilkan respons.
 
 
          Seterusnya bagi teori Cannon-Bard ,Cannon dan Philip Bard memberi pendapat bahawa stimulasi dalaman dan luaran boleh membawa kepada penghantaran impulse sensori ke korteks otak dan kemudiannya pengalaman sesuatu emosi dapat dihasilkan.Bagi teori ini,saya mengalami sedikit masalah untuk memahaminya kerana ia seakan-akan bercanggah dengan teori James-Lange.Berdasarkan teori ini,penggabungan stimulasi dari luar dan dalam akan dibaca oleh sistem saraf dan akan diterjemahkan dalam bentuk pengalaman emosi bersama reaksi tubuh badan.Sebagai contoh,sekiranya orang yang melatah dicucuk di bahagian pinggangnya,secara refleksinya,dia akan tersentak dan mengeluarkan kata-kata diluar kawalan pada waktu yang sama.Pada hemah saya,situasi ini jarang berlaku untuk manusia yang normal dan kemungkinan besar berlaku pada orang yang mempunyai masalah pada sistem sarafnya.
 
 
           Dalam pada itu,teori psikobiologi pula menyatakan bahawa terdapat 4 emosi asas yang merangkumi emosi ketakutan,kemarahan,panik dan tanggapan dan kesemua emosi ini mempunyai pertalian dan hubung kait dengan sistem kawalan dalam otak kita.Jack Panksepp telah mencadangkan teori ini dan turut menambah cadangan bahawa emosi lain akan terhasil daripada interaksi antara sistem-sistem kawalan yang berbeza ini.Dari segi fisiologi,neurotransmitter yang spesifik adalah penting untuk mengaktifkan sistem kawalan tersebut. Sebagai contohnya , neurotransmitter acetylcholine dapat mengawal sistem kawalan bagi emosi kemarahanSelain itu,terdapat juga neurotransmitter lain yang akan memberi pengaruh kepada sistem-sistem dalam otak ialah serotonin,noradrenaline,dopamine dan ini adalah sebahagian daripada hormone yang terdapat dalam badan manusia.Namun demikian,teori ini telah dibantah oleh pakar-pakar yang lain seperti  Magda Arnold dan James Averill yang menyatakan bahawa "hard-wired" circuit berkemungkinan tidak begitu fleksibel untuk menjadi asas neurologi bagi penghasilan emosi.
 
 
           Di sini ingin pula saya terangkan hubung kait emosi dengan motivasi.Emosi boleh digambarkan sebagai sesuatu kemunculan keadaan yang melibatkan perubahan reaksi muka dan tubuh,pengaktifan bahagian otak,penilaian kognitif,perasaan subjektif dan kecenderungan terhadap sesuatu tindakan yang ditentukan oleh hukum-hukum dalam sesuatu budaya.Emosi juga berperanan sebagai respons adaptasi badan manusia terhadap peristiwa-peristiwa di sekelilingnya dan membantu dalam menyampaikan kekuatan dan keinginan kita kepada pihak lain.Hal ini bermaksud emosi boleh mempengaruhi kita dari segi tindakan untuk bergerak,melaksanakan sesuatu perkara dan menyesuaikan diri dalam sesuatu situasi yang mencabar atau juga dikenali sebagai motivasi.Oleh itu,motivasi akan menentukan keputusan seseorang dalam melaksanakan sesuatu aktiviti seharian.Sebagai contoh,kanak-kanak yang selalu dimarahi oleh ibu bapanya kerana kenakalannya akan bertindak untuk mengurungkan diri di dalam bilik dan mengelak untuk tidak bertemu dengan sesiapa sahaja sebagai tanda protes dan tidak puas hati terhadap layanan mereka berdua.Apa yang lebih membahayakan lagi sekiranya kanak-kanak ini mengambil keputusan untuk melarikan diri dari rumah dan mengikut sesiapa sahaja yang dirasai sesuai dan lebih memahami.Semua tindakan ini bergantung kepada emosi samada menambah motivasi ataupun melunturkan motivasi.  
 
            Berdasarkan rujukan,konsep motivasi mengandungi pelbagai komponen.Antaranya ialah insentif , naluri,daya tuju,dan sebagainya.Insentif merupakan satu faktor yang dapat menimbulkan motif bagi hala tuju sesuatu tindakan atau pemilihan keputusan.Insentif ini boleh diklasifikasikan dalam 2 bentuk,iaitu kewangan dan bukan kewangan.Contoh insentif dalam bentuk kewangan ialah hadiah berupa wang tunai, gaji yang tinggi,kereta berjenama yang mahal,dan lain-lain lagi.Contoh insentif dalam bentuk bukan kewangan  pula ialah nilai pengajaran,peluang  bertemu dengan artis kegemaran,janji tentang perkahwinan daripada kekasih,perlindungan,dan sebagainya. 
 
 
        Secara keseluruhannya,emosi memainkan peranan penting dalam memotivasikan diri kita sebagai manusia.Manusia memerlukan motivasi untuk terus bersemangat menjalani kehidupan seharian.Sebagai contoh,seorang pekerja akan lebih bermotivasi sekiranya rakan sekerjanya memberi layanan yang baik di tempat kerja.Pekerja akan lebih bersemangat lagi sekiranya bos berbesar hati untuk menaikkan gaji dan pangkat atas kerajinan dan sikap profesional ketika bekerja.Teringat saya pada zaman kanak-kanak dahulu apabila tiba masanya emak menyuruh saya membeli barang di kedai.Apa yang memotivasikan diri saya untuk pergi ke kedai walaupun jauh dengan berjalan kaki tanpa keletihan ialah nilai wang 0.50 sen.Walaupun nilainya kecil,dengan wang itulah saya dapat membeli gula-gula kegemaran saya iaitu gula-gula udang.Terima kasih emak atas memori yang sangat bermakna itu.Sekian,terima kasih.
 
 

No comments:

Post a Comment