Salam sejahtera. Ini merupakan jurnal keempat saya dalam kursus ZT2253 selepas menghadiri kelas pengurusan emosi pada 17 Ogos 2011. Dalam kuliah ini, Dr. Ahmad Zamri Mansor menjelaskan tentang tajuk " Emosi dan motivasi ".
Sebelum memulakan kuliah pada hari ini, Dr Zamri memberi taklimat ringkas tentang tugasan kedua kita, yang merupakan tugasan kumpulan. Beliau menjelaskan prosedur-prosedur dengan teliti sehingga terambil masa yang panjang supaya para pelajar jelas tentang tugasan yang akan dijalankan.
Seterusnya, Dr Zamri memulakan kelas dengan membentangkan tajuk kuliah hari ini iaitu "Emosi dan motivasi". Emosi merupakan satu perasaan dalam diri sendiri yang sama ada positif atau negatif. Motivasi pula merupakan satu proses yang menjelaskan intensiti, arah dan ketekunan seseorang untuk mencapai sesuatu maklamat. Bagaimanakah emosi dan motivasi dapat dikaitkan bersama?
Menurut Baron dan Logan, 1993, emosi tidak dapat dipisahkan dengan motivasi. Lang et al, 1992 juga menyatakan bahawa emosi merupakan motivasi bagi tingkah laku dan motif juga boleh menjadi emotional. Sebagai contoh, perasaan kasih sayang seseorang terhadap ibu bapa telah memotivasikannya untuk belajar dengan bersungguh-sungguh supaya tidak menghampakan ibu bapanya yang menaruhkan harapan yang tinggi terhadapnya.
Untuk lebih memahami tentang hubungan antara emosi dengan motivasi, saya telah melayari internet untuk mencari maklumat yang berkenaan. Sebenarnya, apakah maksud emosi dan motivasi? Setelah mempelajari tajuk yang berkaitan dengan emosi sebanyak beberapa kuliah, saya membuat kesimpulan bahawa emosi sebenarnya merupakan satu psychophysiological yang kompleks yang berlaku dalam diri seseorang yang dipengaruhi oleh minda seseorang, berinteraksi dengan kesan biokimia dalam badan seseorang dan juga pesekitaran seseorang yang menyebabkan munculnya emosi yang berlainan dalam diri seseorang. Emosi dapat dikaitkan dengan perasaan, perangai dan juga personality seseorang.
Motivasi pula merupakan satu daya penggerak yang mendorong seseorang untuk mencapai matlamatnya. Motivasi dibahagikan kepada dua jenis iaitu intrinsik dan juga ekstrinsik. Motivasi intrinsik merujuk kepada motivasi yang didorong oleh minat seseorang terhadap tugasan tersebut dan bukan bergantung kepada sebarang tekanan luaran. Motivasi intrinsik telah dikaji oleh ahli-ahli psikologi sejak awal tahun 1970-an. Dalam kajian itu, mereka mendapati bahawa motivasi intrinsik sering dikaitkan dengan pencapaian seseorang dalam pendidikan. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu minat dalam kursus perubatan, sifat minat ini dapat memotivasikannya untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam kursus tersebut. Motivasi ekstrinsik pula merupakan motivasi yang asal dari luaran. Biasanya, motivasi ekstrinsik merupakan ganjaran kepada seseorang seperti wang dan gred, paksaan ataupun ancaman. Sebagai contoh, sesuatu pertandingan biasanya merupakan motivasi ekstrinsik yang umum kerana ia menggalakkan seseorang itu untuk mengalahkan pihak berlawanan supaya dapat menang dalam pertandingan tersebut dan seterusnya menikmati ganjaran yang diberi kepadanya. Lazimnya, motivasi intrinsik akan memberi kesan yang lebih baik berbanding dengan motivasi ekstrinsik kerana motivasi intrinsik merupakan motivasi yang lahir daripada hati seseorang dengan ikhlas dan seseorang akan mempunyai azam yang kuat untuk menyempurnakannya.
Secara umunya, emosi menekankan tentang arousal manakala motivasi menekankan tentang aksi. Motivasi akan mempengaruhi tingkah laku seseorang manakala emosi akan menghasilkan komponen yang afektif dalam motivasi seseorang, sama ada positif atau negatif.
Selain itu, Dr Zamri juga menjelaskan tajuk tentang "Teori-Teori Fisiologikal, Kognitif dan Psikoanalitik" yang meliputi beberapa teori iaitu James-lange theory, Cannon's challenge dan two-factor theory. James-lange theory merupakan satu hipotesis yang menjelaskan sifat emosi dan merupakan salah satu teori bagi emosi yang terawal. Teori ini dikembangkan secara mandiri oleh dua orang cendekiawan pada abad ke-19, iaitu William James dan Carl Lange. Dalam teori ini, ia menyatakan bahawa manusia, untuk menunjukkan tindak balas kepada pengalaman diri sendiri di dunia ini, akan mengaktifkan sistem saraf automatik dalam badan untuk mewujudkan reaksi fisiologi seperti ketegangan otot, peningkatan dalam kadar jantung, berpeluh dan juga mulut menjadi kering. Selepas itu, barulah emosi iaitu perasaan kita akan timbul sebagai hasil daripada perubahan fisiologi dalam badan kita. Justeru, mereka membuat kesimpulan bahawa perubahan vasomotor sistem dalam badan kita yang mempengaruhi emosi kita.
Namun, James-lange theory telah dicabar oleh ahli psikologi seperti Walter Cannon dan Philip Bard, pada tahun 1920 yang mengeluarkan satu teori yang dikenali sebagai Cannon-Bard theory of emotion yang menyatakan bahawa perubahan fisiologi adalah disebabkan oleh pengaruh emosi. Pada tahun 1962 pula, Schacter dan Singer telah mengeluarkan satu teori yang dikenali sebagai two-factor theory of emotion ataupun juga dikenali sebagai Schachter-Singer theory yang menyatakan bahawa emosi merupakan satu fungsi bagi faktor kognitif dan juga arousal fisiologi.
Selepas mempelajari teori-teori ini, apakah sebenarnya kaitan emosi dengan motivasi? Apakah kepentingan hubungan antara emosi dengan motivasi dan kesannya kepada kita? Menurut Napoleon Hil dalam bukunya " Think and Grow Rich ", beliau menyatakan bahawa apabila emosi dan keinginan seseorang muncul dalam jiwa seseorang, ia dapat memotivasikan seseorang dengan memberi dorongan yang sangat kuat. Menurut beliau, emosi dan motivasi akan menguatkan lagi keinginan seseorang untuk mencapai sesuatu dan secara tidak langsung memberi kuasa dan momentum yang kuat bagi seseorang itu untuk menjayakan keinginannya. Sebagai contoh, seseorang yang ingin mendapatkan pujian daripada pihak atasan dalam pejabatnya dan seterusnya mendapat peluang naik pangkat akan dimotivasi oleh keinginannya dan akan berusaha bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugasan-tugasan yang diberi kepadanya supaya keinginannya untuk merealisasikan hasratnya untuk mendapat peluang naik pangkat.
Maka, adalah dikatakan bahawa emosi seseorang amat penting dalam memotivasikan seseorang itu untuk melaksanakan sesuatu. Menurut Tony Robbins, a top success coach dalam bukunya "Awaken The Giant Within", menyatakan bahawa terdapat 10 emosi yang kuat yang mendorong kepada motivasi yang tinggi bagi seseorang untuk berjaya. 10 emosi yang kuat itu ialah love and warmth, appreciation and gratitude, curiosity, excitement and passion, determination, flexibility, confidence cheerfulness, vitality dan contribution. Menurut beliau, kasih sayang dan perasaan cinta merupakan salah satu emosi yang kuat dalam memotivasikan seseorang untuk berjaya. Sebagai contoh yang diberikan oleh saya tadi, kasih sayang seseorang itu terhadap akan mendorongnya belajar bersungguh-sungguh supaya tidak menghampakan keluarganya. Seterusnya, penghargaan dan kesyukuran terhadap kurniaan Tuhan akan mendorong seseorang ke arah kejayaan. Rasa ingin tahu juga memotivasikan seseorang lebih rajin dalam mencari maklumat untuk memenuhi rasa ingin tahunya. Di samping itu, kegembiraan seseorang juga boleh memotivasinya untuk mencapai kejayaan. Sebagai contoh, jikalau seseorang itu berada dalam keadaan emosi yang gembira, dia akan lebih bermotivasi untuk melaksanakan tugasannya dan membawa kepada kejayaan. Di sebaliknya, jikalau seseorang itu sering berada dalam keadaan muram, dia akan kurang bersemangat untuk melaksanakan tugasannya dan secara tidak langsung menjejaskan prestasinya dalam tugasan yang mungkin mendatangkan kegagalan.
Secara kesimpulannya, emosi dan motivasi mempunyai kaitan yang sangat rapat dan pengekalan emosi yang positif dapat memotivasikan seseorang ke arah kejayaan dalam hidup. Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment