Tanggal 17 Ogos 2011 merupakan hari yang terasa amat perlahan masa berlalu bagi saya. Pada hari ini juga, merupakan kuliah ZT2253 iaitu kuliah pengurusan emosi yang kelima yang telah saya hadiri dan seperti biasa pensyarahnya merupakan seorang yang senang membuatkan emosi pelajar berubah-ubah mengikut masa dan keadaan iaitu Dr Ahmad Zamri Mansor. Kuliah pada hari ini dimulakan agak lewat kerana pensyarah tiba agak lewat juga akibat kesesakan lalulintas jelas beliau. Keadaan dewan kuliah menjadi riuh rendah ketika ketiadaan Dr di situ kerana setiap pelajar membincangkan tentang tugasan 2 yang perlu dilaksanakan bagi kursus pengurusan emosi ini dalam kumpulan masing-masing. Keadaan yang sedemikian di campur pula dengan keadaan kesihatan saya yang kurang sihat lebih-lebih lagi setelah penat menghadiri kuliah daripada jam 8 pagi lagi telah membuatkan emosi saya bercampur aduk dan telah mengakibatkan saya terpaksa menanggung sakit kepala yang sederhana serius. Namun, dengan kehadiran Dr pada jam 2.37 petang di dewan kuliah itu, sakit kepala saya beransur-ansur reda mungkin kerana fikiran saya telah membayangkan dengan kehadiran Dr, kuliah akan dimulakan dan seterusnya akan cepat tamat dan saya akan dapat berehat. Hal ini saya berfikir sendiri dalam minda untuk menenangkan emosi saya yang bercampur aduk tadi dengan menggantikan segala keresahan saya tadi dengan pemikiran yang lebih menggembirakan. Kuliah dimulakan dengan penjelasan mengenai tugasan 2 yang perlu dilaksanakan oleh setiap kumpulan.
Seterusnya, kuliah pengurusan emosi pada hari ini diteruskan dengan memperkenalkan bab yang baru tetapi pengisiannya telah pun dibincangkan pada kuliah yang pertama secara sambil lalu apabila Dr memperkenalkan tentang apa itu emosi dalam kuliah beliau yang pertama. Bab ini menyentuh tentang emosi dan hubungkaitnya dengan motivasi. Bagi mengaitkan emosi dan motivasi, definisi atau maksud sebenar motivasi itu perlu didalami dahulu. Motivasi merupakan satu aspek tingkah laku yang mendorong seseorang itu untuk melakukan sesuatu yang dirasakan perlu oleh untuk dilaksanakan berdasarkan emosi-emosi yang tertentu. Contohnya seperti seseorang itu mempunyai perasaan atau emosi kasih mahupun sayang kepada rakannya yang lain sehingga emosi itu mendorong orang itu untuk membeli hadiah yang mahal kepada rakannya itu sempena hari jadinya atau hari-hari yang istimewa seperti hari ulangtahun perkahwinan bagi suami isteri dan sebagainya. Namun, emosi seseorang itu juga bukan sahaja mampu memberi motivasi yang positif kepada diri kita tetapi juga mampu untuk menimbulkan motivasi yang negatif kepada kita. Walaubagaimana pun, mengikut pengalaman saya, emosi yang mendorong kepada motivasi yang negative dan positif ini bergantung kepada individu itu sendiri. Sebagai contoh apabila seseorang itu gagal dalam peperiksaan yang penting baginya. Bagi sesetengah orang, kegagalan itu akan membentuk satu emosi sedih yang kemudiannya akan bertukar kepada tekad, cekal, tabah dan lain-lain lagi yang akhirnya akan mendorong pelajar itu bermotivasi kepada dirinya sendiri supaya lebih rajin dan bersungguh-sungguh bagi memperbaik kembali keputusan peperiksaan bagi peperiksaan-peperiksaan yang akan datang dan ini merupakan motivasi positif yang terhasil. Berbeza pula bagi kelompok pelajar yang lain, apabila mereka gagal dalam peperiksaan, mereka akan merasa sedih pada awalnya, tetapi tidak menghiraukan kegagalan itu dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Mereka menunjukkan motivasi yang negatif kerana emosi semasa kegagalan itu tidak mampu mendorong mereka untuk berusaha dengan lebih gigih bagi mencapai kecemerlangan. Motivasi mereka adalah seperti apabila telah gagal sekali, mereka akan merasa biasa dan kesedihan kerana kegagalan itu akan semakin lama semakin tidak terasa kerana bagi mereka, alah bisa tegal biasa.
Setelah meneliti teori yang mengatakan emosi ini berkait rapat dengan motivasi, saya telah dapat menghubungkaitkan isi kuliah pada hari ini dengan secebis daripada perjalanan hidup saya yang telah saya lalui daripada kecil hinggalah sekarang lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan alam pembelajaran. Sepanjang perjalanan saya sebagai seorang pelajar, pelbagai onak dan onar terpaksa dilalui dan segala susah payah dalam menuntut ilmu itu benar-benar menguji kesabaran diri ini. Daripada dulu, sejak zaman persekolahan hinggalah di universiti sekalipun, terpaksa menghadapi peperiksaan-peperiksaan besar yang benar-benar mengganggu emosi. Kadang-kadang terkeluar emosi marah, kadang-kadang sedih, adakalanya juga terkeluar emosi kecewa lebih-lebih lagi terhadap diri sendiri kerana terpaksa belajar hingga larut malam akibat suka menangguhkan ulangkaji pelajaran. Namun begitu, semua emosi-emosi ini menjadi semangat dan motivasi kepada saya untuk terus belajar dengan tekun dan tidak berputus asa dalam menghadapi peperiksaan yang mendatang seterusnya mengecapi kejayaan dalam setiap peperiksaan itu. Namun, sebagai seorang manusia biasa, saya juga pernah gagal dan kecundang dalam beberapa peperiksaan. Memanglah, apabila telah gagal, pelbagai emosi bercampur aduk dalam diri ini. Perasaan marah, kecewa, sedih akan menyelubungi diri tatkala itu dan kadang-kadang perasaan untuk menyerah diri itu ada hadir tetapi dapat saya tangani. Lebih-lebih lagi apabila mendengar lagu-lagu yang berkaitan dengan kasih dan korban ibu bapa yang telah banyak berjasa kepada kita. Sebagai contoh, lagu 'buatmu ibu' nyanyian aieman. salah satu rangkap lagu ini adalah seperti berikut :-
'BIARPUN..KEPAHITAN TELAH ENGKAU RASAKAN..
TIDAK PUN KAU MERASA JEMU...
MENGASUH..DAN MENDIDIK KAMI SEMUA, ANAKMU..
DARI KECIL HINGGA DEWASA...'
Saya sering menitiskan airmata apabila mendengarkan lagu ini lebih-lebih lagi apabila sampai di rangkap seperti di atas. Saya akan teringat kepada pengorbanan ibu saya dan tidak lupa juga kepada bapa saya yang telah banyak berkorban demi kejayaan saya. Emosi-emosi sebeginilah yang telah memberi motivasi kepada saya supaya terus bangkit dan berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh serta tidak cepat mengalah dalam kehidupan ini. Dengan motivasi yang tercetus inilah telah menimbulkan kesedaran kepada saya betapa susah payahnya ibu bapa saya telah menghantar saya ke sekolah semasa kecil dan mereka berpesan supaya rajin-rajin belajar. Emosi sedih, terharu sebegini akan mencetuskan motivasi kepada saya supaya berusaha untuk membalas jasa baik ibu bapa saya walaupun saya tahu pada hakikatnya tidak mampu saya hendak membalasnya tetapi cukuplah sekadar senyuman mereka apabila mereka berasa gembira dengan kejayaan anak mereka ini.
Kuliah diteruskan dengan mengaitkan emosi dan motivasi dengan kesesuaian keadaan sekeliling. Walaupun emosi merupakan motivasi kepada tingkah laku kita, namun kesesuaian tindakan kita itu perlulah kena pada tempatnya. Sebagai contoh, apabila seseorang itu berada dalam majlis yang formal, perlulah mengawal tindakannya walaupun emosi dan motivasi yang tercetus dalam diri itu merupakan yang sebaliknya- jika marah, perlulah bertenang dan tidak melakukan tindakan yang melulu seperti biasa dilakukan di luar majlis formal contohnya.
Justeru itu, emosi dan motivasi memang berkait rapat dengan kehidupan seharian kita. Emosi merupakan kunci yang menjadi pembuka jalan kepada motivasi diri yang seterusnya motivasi itu digunakan sebagai pacuan atau insentif diri untuk melakukan sesuatu tindakan yang baik dan sempurna.
No comments:
Post a Comment