Sunday, August 28, 2011

A 129883 Khazila Binti Khalid LJ05 Teori Dan Emosi

 

Teori Dan Emosi

Pada hari ini (24 Ogos 2011) doktor telah membincangkan topik mengenai teori-teori fisiologikal, kognitif dan psikoanalitik. Kuliah kali ini merupakan sambungan daripada kuliah minggu lepas.

Pengenalan bagi tajuk ini membincangkan mengenai teori tentang emosi (experience of emotion). Melalui teori ini, perkembangan atau pengalaman mengenai emosi mula diperbincangkan dan dikaji serta dibahagikan kepada beberapa komponen oleh para penyelidik. Teori evolusi tidak menyatakan mengapa kita boleh gembira dan sedih dalam keadaan atau situasi yang berbeza. Teori ini juga tidak memberitahu mengenai proses-proses atau detik-detik yang berlaku apabila kita mengalami sesuatu perasaan. , bagaimana emosi kognitif dikaitkan dengan emosi subjektif, dan hubungan antara emosi dan perangai atau kelakuan.

Major teori bersetuju bahawa emosi terbahagi kepada beberapa komponen iaitu perasaan subjektif , kognitif, fisiologikal, ekspresi motor atau pergerakan badan dan keupayaan motivasi atau perlunya bertindak berdasarkan emosi. Walau bagaimanapun, teori ini berbeza dari segi kepentingan relatif dalam beberapa komponen dan susunan komponen-komponen ini yang muncul dahulu dalam rantaian proses yang mana melibatkan tindak balas emosi. Maksudnya, dari teori utama atau major teori tadi, teori-teori yang dihasilkan oleh para penyelidik adalah berbeza dari segi susunan proses yang berlaku sewaktu berlakunya sesuatu emosi dalam diri seseorang itu. Selain itu, teori ini juga berbeza yang mana ditekankan dari segi asas fisiologi, fungsi kognitif dan fungsi tidak balas di luar sedar yang mana merupakan teori psikonanalitik.

Teori fisiologi menyatakan teori ini menekankan emosi adalah hasil dari dua organ dan sistem penting dalam badan manusia iaitu otak dan sistem saraf. Dalam teori ini dinyatakan bahawa emosi merupakan satu hasil tindak balas terhadap sesuatu rangsangan. Antara penyokong kepada teori ini adalah James-Lang, Cannon-Bard dan juga disokong oleh teori psikobiologikal. Hipotesis yang dikemukakan dalam James-Lang teori ialah reaksi fisiologikal terhadap sesuatu rangsangan menjana atau menghasilkan sesuatu emosi. Teori Cannon-Bard pula merupakan percanggahan dari teori James-Lang iaitu sistem organ yang menghasilkan sesuatu emosi bertindak sangat perlahan terhadap rangsangan dan reaksi emosi yang terhasil adalah sangat cepat didahului dengan rangsangan. Jadi, reaksi fisiologikal adalah terlalu lambat untuk menghasilkan tindak balas emosi. Selain itu, teori ini kuat menyatakan bahawa jantung dan perut tidak boleh menghasilkan emosi yang pelbagai manakala kadar denyutan jantung, tekanan darah dan fungsi penghadaman tidak berupaya mengenalpasti sesuatu emosi yang dialami. Cannon and Phillip Bard yang telah menghasilkan Teori Cannon-Bard dan mereka menekankan bahawa rangsangan dari luaran dan dalaman membawa kepada tindak balas saraf yang kemudiannya menghantar rangsangan itu ke korteks di bahagian otak dan kemudiannya terhasil lah emosi. Rangsangan ini secara serentak menjana kedua-dua tindak balas untuk reaksi badan dan perasaan atau emosi. Reaksi yang bertindak kepada rangsangan yang spesifik dan pengalaman emosi yang berkaitan berlaku secara serentak. Oleh itu, apabila sesorang itu takut kepada ketinggian, dia akan mengalami emosi yang sama iaitu takut atau gayat apabila terpaksa menaiki kapal terbang untuk pergi ke sesuatu tempat. Kesimpulannya, teori ini, memberitahu kita bahawa persepsi terhadap sesuatu emosi (takut) mempengaruhi tindak balas seseorang itu terhadap rangsangan (ketinggian). Sebagai contoh yang boleh saya kaitkan dalam kehidupan seharian saya ialah saya menganggap cerita-cerita seram merupakan antara cerita yang sangat menarik dan saya berasa gembira dan puas apabila dapat menonton sesuatu cerita seram sehingga habis manakala kawan saya menganggap cerita seram merupakan suatu cerita yang tidak sesuai untuk ditonton lebih-lebih lagi pada waktu malam kerana akan menimbulkan emosi takut dan rasa tidak selesa dalam diri mereka. kebiasaannya, mereka tidak menonton cerita itu sehingga habis. Pada persepsi saya. Sudah pasti saya akan menganggap mereka agak bosan kerana tidak berani menonton cerita berunsur seram. Terdapat persamaan di antara teori ini dengan situasi yang saya hadapi iaitu cerita yang sama (cerita seram) yang mana merupakan rangsangan boleh menghasilkan emosi yang berbeza antara saya dan kawan saya.

Teori psikobiologikal dihasilkan oleh Jack Panksepp (1982, 1992). Beliau menekankan mengenai empat asas emosi (fear, rage, panic and expectancy) , yang mana setiap satu mempunyai kaitan dengan sistem dalam otak kita. Kempat-empat asas emosi ini berinteraksi antara satu sama lain untuk menghasilkan emosi lain. Panksepp juga mencadangkan bahawa bahan kimia spesifik yang dihasilkan oleh saraf berkemungkinan berkait rapat dengan beberapa emosi dalam sistem badan kita, sebagai contoh, penghasilan dopamin berkait rapat dengan 'expectancy system' (sistem jangkaan) kita.

Teori kognitif merupakan perkembangan dari teorifisiologikal.Sesetengah pakar pembuat teori menyatakan kognitif atau anggapan adalah peranan utama dalam menghasilkan dan mengawal emosi dan menentukan emosi apa yang dialami oleh seseorang itu (Schachter's Cognitive Labeling Theory ). Selain itu, kesilapan dalam menganggap (misattribution) juga ada dinyatakan dalam teori ini yang mana kita selalu salah membuat anggapan mengenai emosi dan emosi sentiasa dikaitkan dengan punca yang tidak tepat. Teori ini juga menyatakan mengenai penghantaran atau pemindahan emosi yang mana suatu keadaan yang menyebabkan kita terangsang (excitation) seperti emosi gembira di mana mempersoalkan cara penghasilan, penghantaran keadaan ini dari satu sumber ke sumber yang lain. Cognitive appraisal theories pula menyatakan proses terhasilnya sesuatu anggapan mempunyai peranan utama dalam mencetuskan kedua-dua reaksi emosi dan perbuatan yang mana dihasilkan untuk menghadapi sesuatu situasi yang melibatkan emosi.

Teori Schachter menyatakan susunan dan hubung kait antara situasi, reaksi tubuh dan emosi. Schachter mengemukakan cara kita memahami atau menjelaskan mengenai reaksi fisiologikal adalah berdasarkan petanda-petanda yang terdapat dalam situasi itu dan juga berdasarkan pengalaman kita yang lalu.

Contoh yang mana boleh menunjukkan kaitan, perbandingan dan perbezaan bagi teori-teori yang telah dinyatakan di atas ialah emosi yang menyebabkan rasa takut. Susunan atau proses (sequence) yang berlaku dalam Teori common-sense ialah, situasi diikuti dengan emosi dan reaksi badan kita, begi Teori James-Lange pula dimulai dengan situasi, diikuti dengan reaksi badan dan emosi manakala Teori Schachter adalah sama susunannya dengan Teori James-Lange.


Schachter's cognitive labeling menyatakan semua emosi adalah lebih kurang sama bagi semua tidak balas yang berlaku pada badan kita dan sebagai contoh, peningkatan kadar denyutan jantung lebih dikaitkan dengan emosi negatif berbanding emosi positif. Teori ini melabelkan emosi terhasil bergantung kepada pengalaman lalu atau memori dan bukannya faktor situasi yang berlaku dengan pantas. Anggapan di mana mengatakan bahawa semua emosi yang terhasil melibatkan neurokimia yang sama terbukti tidak benar dalam teori ini dan terdapat dua kesilapan dalam membuat anggapan iaitu terbahagi kepada 'attribution' ( menganggap sesuatu hasil daripada sesuatu yang lain) dan 'misattribution' (kesilapan dalam menganggap). Misattribution yang dicadangkan oleh Schachter adalah sesuatu emosi yang dialami oleh individu itu adalah berfungsi dalam proses melabel dan contohnya, apabila kawan saya mempunyai emosi yang tidak stabil atau murung dan cuba menjauhkan diri dari saya atau menjadi pendiam dan kurang bercakap dengan saya, saya akan menganggap bahawa saya telah menyinggung perasaannya walaupun mungkin bukan saya yang menjadi punca dia bersikap sedemikian. Ini merupakan salah satu contoh 'misattribution'. Kesilapan saya membuat anggapan mungkin boleh mempengaruhi emosi saya juga dan menimbulkan konflik serta memberi kesan buruk kepada kami. Contoh lain adalah stereotaip. Kita mungkin menganggap semua orang kaya berlagak atau suka menunjuk-nunjuk padahal tidak semua mempunyai perangai yang negatif seperti itu. Terdapat pelbagai kajian yang dilakukan bagi menguji kebenaran teori-teori ini. Antaranya yang dilakukan oleh Zillman dan rakannya (transfer of excitation) yang menyimpulkan apabila seseorang itu penat apabila mengayuh basikal, perasaan marah boleh timbul disebabkan kepenatan yang dialami oleh sistem dalam badannya.

Teori psikoanaliktik mengemukakan bahawa emosi yang dialami merupakan satu proses di luar kesedaran kita. Makna di luar kesedaran kita ialah mencerminkan personaliti yang mempunyai emosi, motif dan ingatan atau memori mengenai pengalaman lalu yang mana kita tidak sedar secara langsung mempengaruhi perbuatan atau kelakuan kita dan merupakan sumber utama bagi emosi dan motivasi. Penekanan teori ini adalah kepada emosi-emosi negatif terutamanya bimbang dan marah mungkin disebabkan berlakunya konflik di paras tidak sedar (unconscious). Contohnya, saya kerap berasa sedih dan tertekan tanpa sebab yang munasabah yang mana mungkin adakalanya disebabkan keadaan fisiologi saya seperti tidak sihat dan saya tidak sedar akan perubahan ini.

Perbandingan Teori yang melibatkan Teori James-Lange dan Teori Cannon-Bard adalah seperti berikut:- Teori James-Lange menjangka pengalaman emosi bergantung sepenuhnya dari tindak balas sistem saraf (autonomic and somatic nervous system). Teori Cannon-Bard menjangka ekspresi adalah bebas dan tidak berkaitan langsung dengan sistem saraf (autonomic and somatic signals). Sebagai contoh, kita akan lebih peka terhadap bunyi pada waktu malam berbanding waktu siang disebabkan faktor persekitaran dan bunyi bising. Secara keseluruhannya, kedua-dua teori ini dan teori dari sudut yang moden adalah mengenai pengaruh emosi atau perasaan kita terhadap persepsi dan perubahan fisiologikal.

Kuliah kali ini agak kompleks dan sukar difahami jika dibandingkan dengan kuliah –kuliah sebelum ini kerana melibatkan banyak teori yang mana mempunyai sudut pandangan yang berbeza dan juga sukar untuk dikaitkan dengan kehidupan seharian kita kerana memerlukan pemahaman yang cukup mengenai teori-teori ini..


No comments:

Post a Comment