Sunday, August 28, 2011

Muhamad Fadzlan bin Fadzil A132072 LJ05 - Emosi dan Personaliti

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Mungkin masih belum terlambat untuk saya ucapkan salam Ramadhan kepada semua pembaca yang beragama Islam, semoga Ramadhan tahun ini menjadi titik permulaan bagi nadi perubahan diri kita. Sekali lagi kita bertemu kembali dalam jurnal penulisan saya yang kelima dan mungkin ini merupakan penulisan jurnal terakhir saya bagi subjek  ZT2253, Pengurusan Emosi pada tahun ini. Sebelum bibir mengukir kata, sebelum madah membuka bicara, saya ingin memohon ampun dan maaf kepada pihak Dr. Ahmad Zamri kerana ketidakhadiran saya pada kuliah beliau yang lepas pada tarikh 24 Ogos 2011 bersamaan 24 Ramadhan 1432 Hijrah. Hal ini kerana saya bersama sama beberapa orang rakan perubatan saya terlibat dalam menguruskan sebuah majlis bertemakan Ramadhan di kolej kami iaitu Majlis Penutup 'Ihya Ramadhan yang telah dilangsung dengan jayanya pada malam hari kejadian itu juga. Oleh hal demikian, saya disini ingin berterima kasih kepada Dr. Zamri kerana kesudian beliau member pelepasan kepada pihak kami.
Saya telah difahamkan oleh beberapa orang rakan saya mengenai tajuk kuliah pada miggu ini yang berkisarkan tentang emosi, personaliti dan tingkahlaku. Saya sempat mentelaah nota-nota yang telah disediakan oleh beliau dan melakukan beberapa pembacaan bagi mendapatkan gambaran dan idea dalam penulisan saya untuk kali ini. Saya difahamkan bahawa Dr. Zamri juga telah memainkan sebuah klip video yang bertajuk " The Chilhood Experience." Namun malangnya saya tidak berkesempatan menonton video tersebut berikutan talian internet kawasan saya kurang memuaskan. Namun, mendengar apa yang diceritakan oleh rakan-rakan saya, apa yang saya dapat simpulkan daripada klip video tersebut ialah mentaliti kita berubah mengikut peredaran masa. Jika ketika kecil, kita fikirkan jalan-jalan kehidupan semuanya indah-indah belaka tanpa langsung tidak terlintas difikiran liku-liku yang tersisip sepanjangnya. Namun semakin kita meniliti dewasa, kita mula sedar akan perihnya kehidupan ini dan kepahitan dalam hidup ini menjadi pedoman kepada kita malah menjadi warna corak dalam penceritaan diari hidup kita. Kematangan menjadikan kita lebih berfikir baik dan buruk dengan lebih rasional dan menjadikan kita lebih memahami dunia dalam erti yang sebenar dan lebih bermakna.
Dalam kuliah yang lepas juga kami dikehendaki menjalankan satu tugasan iaitu mencari hubungan diantara klip video tersebut yang mana saya tidak pernah menontonnya walaupun sekali dengan "The Psychoanalytic Theory". Saya akan cuba melakukan perkaitan ini berdasarkan pemahaman berlandaskan pembacaan saya sebelum ini. Berdasarkan teori yang dikemukakan oleh Sigmund Freud, peristiwa sewaktu zaman kanak-kanak, begitu juga pengalaman adalah penting sekali. Pada zaman kanak-kanak, kita seringkali hanya memikirkan tentang indahnya kehidupan dan jarang mengenal erti kepayahan hidup. Dengan kematangan dan pengalaman kita setakat ini, kita sebenarnya harus menyedari dan belajar untuk memahami erti kehidupan dunia yang sebenar dan bagaimana permainan dunia ini dimainkan oleh jejari kita sebagai pengemudinya sepanjang permainan. Walaupun kita terpaksa mengharungi pelbagai rintangan dan halangan dalam hidup, kita tidak seharusnya mempunyai sikap mudah berputus asa kerana sedarlah wahai teman masih ada insane dimuka bumi ini yang lebih dreita berbanding kita sekarang. Kita seharusnya mengambil sikap sentisa berfikiran positif dalam menangani semua permasalahan yang timbul. Sikap kecewa, bermasam muka, sedih dan berputus harap seharusnya perlu dijauhi dalam hidup bagi meningkatkan produktiviti kehidupan kita.
Sebelum mengupas dengan lebih lanjut perkaitan diantara emosi denagan personaliti manusia, saya sekali lagi ingin menyatakan tiga komponen asas dan utama dalam emosi iaitu perasaan, perubahan tubuh yang sangat berhubung rapat dengan sistem saraf badan dan kecenderungan tindakan yang mempunyai intensiti yang berubah-ubah mengikut keadaan. Secara zahirnya, manusia dilihat  seakan-akan sama diluar mata pandangan kasar manusia namun secara batinnya manusia berbeza dari segi reaksi emosi walaupun pada peristiwa yang sama dialami oleh dua insane yang berbeza. Sebagai contoh insan A berasa tersangat teruja dengan kehadiran Syawal namun terdapat juga sekumpulan insane berduka mengenangkan Ramadhan yang makin menuju pada pengakhirannya memberi peluang kepada Syawal yang bakal menjelma. Perbezaan sebegini mempunyai kaitan yang kuat dengan personaliti yang dimiliki oleh individu. Oleh itu, emosi sangat berguna dalam menilai personaliti seseorang individu. Berbalik kepada personality. Personaliti pula sebenarnya merupakan kombinasi kepelbagaian psikologikal individu yang digunapakai untuk mengklasifikasikan dan mentafsir seseorang individu dalam erti bentuk sikapnya samada seseorang itu seorang yang pendiam, aggresif, peramah atau sebagainya. Menurut indikasi yang dijalankan didalam kajian Myer-Briggs Type Indicator, individu telah diklasifikasikan kepada 4 kumpulan personaliti. Antaranya ialah "Extraversion" (E) yang menggambarkan orang yang gemar bergaul dengan dunia luar, manakala "Introversion" (I) pula membincangkan tentang individu yang suka hidup dalam dunia sendiri. Seterusnya, personaliti dikaitkan dengan cara seseorang itu memutuskan sebarang keputusan, sama ada berkeputusan mengikut logiknya seperti dinyatakan dalam personaliti jenis "Thinking" (T)  ataupun berdasarkan kepada situasi dan orang yang terlibat seperti dalam personaliti jenis "Feeling" (F). Akhir sekali, personaliti yang berdasarkan struktur, iaitu sama ada ingin menerima sesuatu seadanya ataupun selalu mengambil initiatif untuk mencari maklumat dan pilihan yang lain; "Judging (J) atau Perceiving (P)".
                Selain klip video pertama yang telah saya nyatakan diatas, kami juga telah dihidangkan dengan klip video yang kedua yang berkisarkan tentang "Personality Types."  Bagi klip video ini, saya beruntung kerana dapat menonton dan menikmatinya kerana rakan saya ada memuat turun di dalam komputer peribadinya. Setiap manusia mempunyai ragam mereka yang tersendiri dan ini yang membezakan mereka dengan individu yang lain. Ragam ini juga membezakan kembar seiras dengan pasangannya.  Kita seharusnya bersabar dengan kerenah rakan-rakan kita kerana manusia sebenarnya ibarat kepingan jigsaw yang saling melengkapi sesama sendiri. Kita tidak mampu berdiri sendiri tanpa dipangku oleh manusia yang lain. Oleh itu, tuhan menciptakan manusia berpasangan untuk saling melengkapi dalam hidup. Terdapat dua jenis personaliti yang berjaya saya pelajari di dalam kuliah yang singkat melalui ruangan maya ini, iaitu type A dan type B. Seseorang yang berpersonaliti jenis A selalu melakukan sesuatu perkara dengan pantas. Golongan ini termasuklah orang yang suka makan dengan laju dan memandu kenderaan melebihi had kelajuan. Mereka dikaitkan dengan sikap agresif dan tegas. Antara sifat-sifat yang lain ialah mereka sering tergesa-gesa, bersikap teratur, mengejarkan kesempurnaan dalam melakukan sesuatu tugasan dan memerhatikan jam kerana takut masa dihabiskan dengan melakukan perkara yang sia-sia. Individu yang mempunyai "Type B Personality" adalah bertentangan dengan personaliti yang telah dibincangkan sebelum ini. Individu ini lebih bersifat kepada tenang, penyabar dan senang untuk mengadaptasikan diri dalam apa jua keadaan. Selain itu, mereka mengikuti had laju kenderaan yang telah ditetapkan, tidak tergopoh-gopoh sewaktu makan, tidak mudah risau dan sering dalam keadaan yang tenang atau relaks. Pada pandangan saya, kedua-dua jenis personaliti ini mempunyai kontraindikasinya antara satu sama lain. Tidak semua cirri-ciri yang terdapat didalam jenis A itu buruk dan tidak semua jenis B itu baik diamalkan. Bagi saya setelah meneliti cirri-ciri yang terdapat didalam kedua-dua jenis personaliti ini saya merasakan saya mempunyai personaliti kombinasi kedua-duanya. Saya tidak mempunyai kecenderungan kepada mana-mana spesifikasi berikut.  Selain didedahkan dengan "Myer-Briggs Type Indicator" kami turut didedahkan dengan " The Big Five Model" yang membahagikan personaliti kepada "extraversion", "agreeableness", " conscientiousness" , " neuroticism" dan " openness." Setelah meneliti ciri-ciri yang terdapat didalam setiap pembahagian ini dan melakukan soal selidik yang dijalankan, saya mendapati saya mempunyai personaliti type A dan tergolong dalam kumpulan "agreeableness." Berdasarkan teori ini, individu yang berpersonaliti seperti berikut mempunyai sifat "agreeableness" yang tinggi seperti seorang yang peramah, mudah berkerjasama dan berdedikasi yang tinggi. Tambahan pula, mereka juga merupakan orang yang optimistik dan sentiasa berpandangan terbuka. Namun dibenak fikiran saya, masih terfikir adakah begini sebenarnya diriku? Sehingga detik penulisan ini pun saya masih musykil atas kesahihan soal selidik ini. Tapi biarkan sahaja kerana ia hanya teori semat-mata.
                Kesimpulannya, kita seharusnya lebih memahami personaliti kita. Ini penting dalam menilai kekuatan dan kelemahan diri kita bagi tujuan penambahbaikan di masa akan datang. Kita jugan seharusnya bersyukur bukan sahaja dengan kelebihan yang dimiliki malah kelemahan diri kerana semua komponen inilah menjadikan kita berbeza dan istimewa berbanding individu yang lain. Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk membaca setiap penulisan yang dikeluarkan oleh saya. Akhir kata, salam lebaran dari saya. Moga Syawal tahun ini disambut dengan penuh kesyukuran.

No comments:

Post a Comment