Sunday, August 28, 2011

A131740 LAU CHIN LJ05

Salam sejahtera dan salam satu Malaysia. Ulasan berikut merupakan ulasan jurnal reflektif yang kelima mengenai hasil pembelajaran saya pada 24 Ogos 2011. Pada hari tersebut, Dr. Zamri tidak memberikan kuliah mengenai emosi. Sebaliknya, kami semua dikehendaki membaca slaid dan teks tentang teori psikoanalitikal. Seterusnya, Dr. Zamri menayangkan klip video pada pukul 2 petang. Kami dikehendaki menonton dan mengaitkan teori psikoanalitikal dengan apa yang terkandung dalam video tersebut. Selain itu, kami juga perlu menjawab soal selidik MBTI dan mengetahui kategori personaliti masing-masing di akhir ujian tersebut. Tambahan lagi, kami juga ada menjawab soal selidik Teori Besar Lima (Big Five Theory) dan mengetahui kategori personaliti masing-masing di akhir ujian tersebut.

 

Melalui pembacaan slaid dan teks tentang teori psikoanalitikal, saya mendapat tahu bahawa Sigmund Freud (orang yang mencipta teori tersebut) telah membuat hipotesis bahawa pengalaman emosi adalah satu proses yang berlaku tanpa kesedaran kita sendiri. Dalam kata lain, kita tidak akan menyedari dengan jelas segala emosi, motif, dan pengalaman yang lepas, tetapi benda-benda tersebut akan mempengaruhi perbuatan kita. Kebanyakan pengalaman sewaktu masa kecil adalah secara tidak sedar. Walaupun begitu, teori tersebut menekankan emosi-emosi negatif terutamanya, contohnya seperti kebimbangan dan kemarahan. Kita rasa bimbang dan marah kerana konflik itu berlaku pada paras yang kurang kesedaran.

 

Kemudiannya, Dr. Zamri telah menayangkan satu klip video yang bertajuk 'Childhood Experience'. Video ini mengisahkan seseorang kanak-kanak yang mempunyai pemikiran yang naif tentang kehidupan. Fenomena tersebut sebenarnya adalah sangat biasa kerana pada zaman kanak-kanak, kita biasanya tidak sentiasa risau disebabkan jarang menghadapi pelbagai masalah dan cabaran. Segala masalah biasanya diatasi oleh ibu bapa sendiri. Akan tetapi, keadaan sekeliling akan berubah apabila kita menjadi dewasa. Masalah yang dihadapi akan bertambah banyak dan rumit. Fenomena tersebut kadangkala akan mempengaruhi pemikiran dan personality seseorang secara negatif sekiranya individu tersebut tidak dibimbing secara betul, seperti mana yang berlaku pada watak dalam video tersebut. Dia telah menyuarakan kekecewaan dengan orang di sekelilingnya dan berfikiran secara negative bahawa orang yang berada di sekelilingnya adalah kebanyakannya tidak boleh dipercayai.

 

Daripada video tersebut, teori psikoanalitikal dapat diaplikasikan kerana watak berkenaan mengalami pengalaman lepas yang secara tanpa kesedarannya, telah mempengaruhi perbuatan dan pemikirannya ( iaitu susah dan tidak ingin mempercayai orang di sekelilingnya lagi). Emosinya adalah negative (iaitu kekecewaan). Pada pendapat saya, perbuatan dan pemikiran watak tersebut adalah salah dan hanya akan merugikan diri sendiri, sama ada dalam aspek fizikal atau mental. Pemikiran negative tersebut hanya akan menyumbang kepada kewujudan masalah kemurungan dan seterusnya akan secara tidak langsung membawa kesan negative terhadap kesihatan badannya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa pengalaman dikhianati adalah perit dirasai. Akan tetapi, pengalaman tersebut sebenarnya merupakan ujian yang diberikan oleh Tuhan yang bertujuan untuk membimbing kita untuk menjadi lebih tabah lagi apabila menghadapi cabaran yang lagi besar pada masa akan datang. Pendek kata, kita harus sentiasa berfikir secara positif supaya lebih rasional dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

 

Selepas itu, Dr Zamri menayangkan satu lagi video yang mengenai Personality Type A dan Type B. Melalui video tersebut, saya difahamkan bahawa orang yang mempunyai personality jenis A sentiasa tergesa-gesa dalam melakukan apa jua dalam kehidupan mereka. Segala aktiviti harian dilaksanakan secara tanpa membuang masa dan efisien. Pada pendapat saya, individu yang mempunyai personality tersebut biasanya kurang sabar menunggu dan ingin mencapai sesuatu dengan cepat. Walaupun kehidupan mungkin akan lebih teratur dan masa digunakan secara efisien, tetapi personality tersebut mungkin juga akan meningkatkan risiko memperoleh masalah sakit jantung kerana pada zaman moden sekarang, kebanyakan orang asyik sibuk mengejar masa dan kurang memberi perhatian terhadap amalan pemakanan yang sihat. Personaliti tersebut akan menyumbang lagi masalah stres, dan seterusnya membawa impak yang lagi negative terhadap kesihatan badan kita. Individu yang mempunyai personality jenis B pula sentiasa membuat sesuatu dengan perlahan dan tidak mengejar masa. Mereka lebih bersikap santai dan sabar menunggu. Saya mempunyai personality jenis B. Saya suka membuat kerja secara perlahan tetapi teliti, dan saya tidak perlahan sehingga melengahkan masa. Saya lebih bersikap santai kerana saya berfikir bahawa kehidupan harus dijalankan secara relaks demi kesihatan diri dan perbuatan mengejar masa hanya akan membuatkan kita cenderung mengabaikan orang di sekeliling yang mengambil berat terhadap kita dan juga membuatkan kita miss out benda-benda yang perlu dinikmati dan dihargai.

 

Selain tayangan video, Dr Zamri telah mengemukakan soal selidik MBTI (Myers Briggs Personality Test) untuk kami semua menjawab. Penilaian adalah berdasarkan beberapa kriteria, iaitu Extraversion or Introversion, sensing or intuition, thinking or feeling, dan judging or perceiving. Kriteria yang saya capai adalah extroversion, sensing, feeling, dan  judging. Daripada hasil soal selidik tersebut, saya mendapat tahu bahawa saya memiliki personality ESFJ, iaitu merupakan caregivers. Mengikut analisis mengenai personality ESFJ, saya difahamkan bahawa individu yang memiliki personality tersebut biasanya amat mengambil berat dan prihatin terhadap orang di sekelilingnya dan sentiasa berusaha membawakan harmoni dalam setiap hubungan mereka dengan orang lain. Selain itu, mereka juga bertindak dalam usaha membantu orang yang susah dan berusaha menyempurnakan tugas yang diamanahkan. Mereka juga sentiasa prihatin terhadap kejadian dan hakikat yang berlaku, dan bertindak memberi bantuan dan sumbangan. Di samping itu, mereka juga bersikap serius dalam kerja dan percaya bahawa setiap orang memang harus mempunyai attitude sedemikian.

 

Selain soal selidik MBTI, kami juga dikehendaki menjawab soal selidik Teori Besar Lima. Melalui pembacaan saya dalam internet, saya difahamkan bahawa teori Besar Lima tersebut merupakan lima faktor umum atau dimensi ciri personaliti yang dijumpai melalui kajian empirik. Ia lebih merupakan model deskriptif personaliti, bukan teori, walaupun pakar-pakar psikologi telah mengeluarkan beberapa teori untuk menerangkan teori Besar Lima. Menurut Dr. John A. Jhonson, secara umumnya ciri-ciri personality seseorang individu boleh dikategorikan kepada 5 sifat asas dan mengikut sesuatu konsep yang dikenali sebagai OCEAN. Kelima-lima sifat tersebut adalah : (O) Openness, (C)Conscientiousness, (E) Extroversion, (A) Agreeableness, dan (N) Neuroticism. Setelah membuat soal selidik tersebut, saya mendapat tahu bahawa saya memiliki sifat Agreeableness. Saya amat bersetuju dengan hasil ini kerana saya mengakui bahawa saya memang mempunyai minat untuk membuat analisis terhadap orang dan saya seorang yang berhati lembut. Saya mudah berasa simpati terhadap kesusahan orang lain dan lebih-lebih lagi, saya juga mudah tersentuh dan menangis apabila watak dalam filem yang ditontoni itu ditimpa nasib malang dan mengalami pelbagai kesusahan. Saya juga sentiasa bersedia mendengar suara hati kawan yang sedih menghadapi masalah. Tambahan lagi, saya juga takut diasingkan oleh orang lain. Oleh itu, saya sentiasa menjaga perasaan orang lain apabila berinteraksi dan berkomunikasi supaya tidak menyinggung perasaan mereka, walaupun secara tidak sengaja.

No comments:

Post a Comment