A130089 RISQ ATIQAH MUNIRAH LJ05: EMOSI DAN TEORI PSIKOANALITIK
Psikologi merupakan analisis mengenai proses mental dan struktur daya ingat untuk memahami perilaku manusia, Richard Mayer (1981). Menurut Chaplin (1972), dalam Dictionary of psychology, psikologi ialah ilmu pengetahuan mengenai perilaku manusia dan juga haiwan. Memahami psikologi manusia adalah sesuatu yang sangat menarik dan mencabar, ini kerana pada pendapat saya setiap manusia mempunyai cara bahasa penyampaian yang berbeza. Sebagai contoh, ada orang yang melepaskan kemarahan dengan cara menjerit sekuat hati, malah ada juga yang melepaskan kemarahan dengan cara menangis sekuat hati, sehubungan dengan itu, kita dapat lihat bahawasanya manusia ini sangat bervariasi. Namun, kajian demi kajian telah dijalankan oleh pakar psikologi, dan berdasarkan sebuah laman web hasil coretan saudara rizarulham, terdapat 3 aliran utama dalam psikologi iaitu psikoanalitik, behaviorisme dan juga eksistensial-humanistik.
Melalui jurnal kali ini, saya ingin lebih menekankan mengenai teori psikoanalitik yang mana psikoanalitik itu sendiri membawa maksud satu model perkembangan keperibadian, falsafah mengenai sifat manusia dan metode terapinya. Teori psikoanalitik ini telah diketengahkan oleh seorang neurologis yang berasal dari Austria; Sigmund Freud (1856-1939). Secara umumnya, teori "Psikoanalisis Freud" ini memusatkan perhatian pada pentingnya pengalaman awal masa kanak-kanak. Menurut pandangan ini, permulaan dan bibit-bibit gangguan psikologis sudah ditanam sejak dari tahun-tahun awal pertumbuhan. Teori ini juga lebih menekankan kepada emosi-emosi negatif iaitu, 4 jenis emosi; antaranya bimbang dan marah, dimana emosi yang dirasai biasanya adalah datang daripada unconscious process yang mana merujuk kepada personality yang mempunyai emosi, motif dan juga memori yang terdahulu. Perkara-perkara ini berlaku tanpa kita sedari dan ia memberi sumbangan kepada tindak-tanduk kita.
Pada pandangan saya mengenai isu ini ialah, sememangnya psikologi semasa kanak-kanak akan memberi kesan psikologi kepada seseorang pada dewasanya. Sebagai contoh saya, semasa saya kecil, saya pernah dicakar oleh kucing peliharaan saudara saya, malah saya selalu melihat kakak saudara saya yang juga takut akan kucing melompat ke atas meja apabila melihat kucing tersebut. Justeru itu, apabila saya meningkat dewasa, perasaan fobia dan takut kepada kucing itu menyebabkan saya terikut-ikut ekspresi kakak saudara saya, seperti melompat meja, naik ke atas kerusi dan tidak turun-turun sehinggalah kucing tersebut berlalu pergi. Malah lebih memalukan adalah apabila saya ke restoran bersama keluarga, kadang-kadang kami akan terserempak dengan kucing-kucing yang suka mengiau dan menggesel-geselkan badannya ke kaki kami, dan jika perakara tersebut berlaku, saya akan menjerit dengan kuat. Saya tidak berniat untuk menjerit, namun tindakan yang berlaku tersebut adalah satu tindakan refleks yang mana terjadi tanpa saya sedari, dan di luar kawalan saya. Berdasarkan pengalaman ini, saya percaya bahawa ketakutan terhadap sesuatu itu bermula sejak dari zaman kanak-kanak dan ia diterapkan sejak dari awal. Lantaran itu, teori Sigmund Freud itu ada benarnya dan sangat tepat mengenai personaliti saya.
Menurut teori psikoanalitik Sigmund Freud, terdapat tiga elemen keperibadian; iaitu id, ego, superego yang mana ketiga-tiga elemen tersebut bekerja sama untuk mencipta peirlaku manusia yang kompleks. Elemen pertama iaitu Id adalah satu-satunya komponen keperibadian yang hadir sejak lahir. Id juga adalah sumber segala tenaga psikik termasuklah komponen utama keperibadian. Ia didorong oleh prinsip kesenangan, yang berusaha untuk mendapat kepuasan segera. Sebagai contoh, keadaan rasa lapar atau haus akan menghasilkan keinginan segera untuk makan atau minum, sepertimana apabila bayi lapar ataupun berada dalam keadaan tidak selesa, bayi tersebut akan terus menangis sehinggalah tuntutan id nya dipenuhi. Id ini sangat penting pada peringkat permulaan hidup kerana ia memastikan keperluan bayi tersebut dipenuhi.
Komponen kedua pula iaitu ego, ialah komponen keperibadian yang bertanggungjawab untuk menangani dengan realiti. Menurut Freud, ego berkembang dari id dan memastikan bahawa dorongan dari id dapat dinyatakan dalam cara yang dapat diterima di dunia nyata. Ego bekerja berdasarkan prinsip realiti, yang berusaha untuk memuaskan keinginan id dengan cara-cara raliti dan sosial yang sesuai. Prinsip realiti biasanya merujuk kepada suatu tindakan sebelum kita memutuskan untuk bertindak atau meninggalkan impuls. Kebanyakan kes, impuls id itu dapat dipenuhi melalui proses menunda kepuasan, ego yang pada akhirnya akan memungkinkan perilaku tetapi hanya dalam waktu yang tepat dan tempat. Komponen ketiga pula ialah superego. Superego ini adalah satu komponen di mana a memberi panduan untuk kita membuat penilaian terhadap sesuatu, sama ada benar atau salah. Superego adalah hati nurani (conscience), yang mana merupakan internalisasi daripada norma-norma sosial dan corak masyarakat, dan ia akan memaksa ego untuk menekan hasrat-hasrat yang tidak berlainan kea lam bawah sedar. Secara konklusi, dalam psikoanalitik perilaku manusia merupakan interaksi antara komponen biologis (Id), komponen psikologis (ego) dan komponen sosial (superego). Menurut Freud juga, ketidakseimbangan di antara ketiga-tiga komponen ini akan menyebabkan ketidakseimbangan dalam psikologi manusia. Justeru itu, di sini dapat kita lihat betapa pentingnya kita memahami teori psikoanalitik ini, setiap komponennya dan berusaha untuk mengawal serta menganalisis diri sendiri agar personaliti kita seimbang.
Pada hemat saya, mempelajari psikologi dan personaliti manusia adalah kompleks. Psikologi kanak-kanak pada saya adalah komponen yang paling menarik untuk dipelajari dan paling penting untuk difahami, kerana, perkembangan yang paling penting berlaku semasa kanak-kanak. Apa yang dialami semasa kanak-kanak biasanya lebih diingati berbanding dengan semasa dewasa. Saya pernah bertanya kepada seorang pensyarah daripada Jabatan Fisiologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Aminuddin Abdul Hamid Karim, dan beliau berkata, jika ditanya tentang perkara yang berlaku pada zaman mudanya, dia masih lagi ingat setiap detik yang pernah berlaku, namun jika ditanya mengenai sesuatu yang berlaku pada zaman sekarang pada usianya yang mencecah separuh abad, beliau kurang mengingatinya. Saya sendiri mengalami perkara yang sama, semasa saya masih bersekolah, semua nombor telefon saudara-mara saya, saya ingat dan jika ditanya, saya masih ingat sehingga ke hari ini. Namun, oleh kerana teknologi yang semakin hebat, kemudahan telefon bimbit telah menyebabkan saya semakin kurang dalam bab ingat-mengingati kerana semua maklumat hanya diisi dan disimpan di dalam laptop mahupun telefon bimbit. Justeru itu, pada saya, teknologi yang canggih adlaah bagus kerana dapat menyimpan data dan menyenangkan tugas manusia, namun, ia menyebabkan manusia kurang kemahiran mengingat dan lebih suka depending kepada teknologi berbanding berfikir menggunakan otak sendiri. Sebagai contoh, untuk menghasilkan jurnal pada kali ini, saya hanya perlu menekan keyboard dan menaip tentang teori psikoanalitik, dan saya dapat berbagai maklumat daripada berbagai sumber, namun, jika dibandingkan dengan zaman ayah dan ibu saya semasa mengambil first degree, saya sering mengikut mereka ke perpustakaan untuk menemani mereka mencari buku rujukan di perpustakaan dan pada saya, situasi itu sangat membahagiakan dan saya masih ingat akan keseronokannya pada hari ini. Dan situasi yang saya alami itu juga menyebabkan saya mempunyai semangat yang tinggi untuk masuk ke universiti, namun hampanya, apabila saya memasuki universiti, budaya seperti itu sukar untuk saya lihat mahupun praktikkan sendiri, kerana pada zaman moden ini, orang lebih memilih untuk berada di bilik masing-masing dan mencari maklumat menggunakan laptop dan internet. Mungkin saya bersifat konvensional, namun saya rindu akan situasi ke perpustakaan, membawa buku yang banyak, menyelak berbagai jenis buku dan pelbagai sumber, dan meneruskan tugasan untuk membuat jurnal mahupun tesis. Saya cukup ingin melihat situasi itu di universiti. Walaupun begitu, saya tetap bersyukur kerana diberi peluang untuk menjadi seorang mahasiswa perubatan di UKM ini, dan saya berjanji kepada diri sendiri, untuk mendalami apa itu manusia, memahami, emosi, psikologi dan personaliti manusia, agar saya dapat praktikkan satu hari nanti apabila saya berhadapan dengan pesakit-pesakit mahupun rakan sekerja dan juga bos-bos saya. Sekian.
No comments:
Post a Comment