Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Bertemu kembali untuk jurnal yang terakhir. Cepat sungguh masa berlalu. Rasanya baru semalam saya memerah otak untuk menulis jurnal saya yang pertama yang bertajuk "pengenalan kepada emosi". Sudah sampai ke penghujungnya tugasan menulis jurnal saya. Saat ini pasti dirindui. Saya amat bersyukur kerana diberikan peluang mengambil subjek pengurusan emosi ini. Ini kerana tanpa subjek ini pasti seumur hidup saya, tidak pernah terlintas untuk menulis jurnal. Setiap jurnal yang saya tulis walaupun walaupun pada orang lain tidak bermakna namun ia tetap memberikan memori yang cukup manis untuk saya ingati. Dalam kesibukan saya menolong ibu saya menyiapkan persiapan hari raya yang bakal menjelang tiba. Sempat saya mencuri sedikit masa untuk menulis jurnal ini. Terima kasih kepada Dr Zamri kerana telah banyak bersabar dalam mendidik kami semua. Pada kuliah kali ini Dr Zamri memberikan sedikit kelainan. Kuliah pada kali ini diisi dengan pelbagai soal selidik berkaitan personaliti. Jika tidak salah, kali terakhir saya menyertai soal selidik seperti ini adalah ketika saya menjadi Pembimbing Rakan Sebaya iaitu pada 3 tahun yang lepas. Kuliah kali ini, kami diberikan 3 tugasan. Antaranya ialah
- menonton video dan mencari perkaitan tentang video tersebut dengan teori personaliti
- menjawab soal selidik MBTI untuk mengetahui kategori personaliti saya
- menjawab soal selidik Teori Besar Lima.
Sebelum saya mengulas lebih lanjut tentang video yang dipertontonkan, saya ingin menerangkan sedikit sebanyak tentang makna personaliti itu sendiri. Personaliti adalah kombinasi physiologi yang kita gunakan untuk mengelaskan atau menghuraikan tentang perwatakan seseorang sebagai contoh pasif dan aggresif. Video yang pertama mengenai pengalaman pencerita ketika kecil. Jika dihayati video ini memberikan impak yang cukup besar. Video ini menggambarkan harapan dan sikap tidak berputus asa. Jika kita diberikan ujian. Pasti ada segelintir individu yang menyalahkan Allah atas ujian itu. Namun sebaiknya kita perlu ada sikap berharap. Ini kerana harapan itu memberikan sinar kebahagiaan. Seperti didalam video ini. Pencerita asyik menyoal kenapa terjadinya perkara seperti ini dalam hidupnya. Namun pencerita tetap mempunyai semangat dan harapan untuk menhadapinya. Beliau tetap mencari sinar kebahagiaan dalam kepahitan menjalani sebuah kehidupan. Pada pedapat saya, video ini amat menarik. Kerana "every cloud have silver lining". Itu yang cuba disampaikan dalam video ini. Di dalam video ini pencerita mencari jawapan bagi setiap soalan yang diutarakan. Guru saya pernah berkata "kebahagiaan itu perlu dicari bukan ditunggu". Berbekalkan kata-kata itu, saya juga turut meneruskan kehidupan yang mendatang dengan hati yang terbuka. Jika dilihat pencerita merupakan seorang yang bersikap terbuka. Setiap ujian yang mendatang pasti ada hikmah disebaliknya. Video yang kedua mengenai Type A dan Type B personaliti. Video ini memperlihatkan perbezaan antara dua jenis personaliti. Jika dihayati daripada video tersebut. Saya merupakan Type B personaliti. Walaupun terdapat pertindihan personaliti saya antara Type A dan Type B. Namun saya dengan yakin dan pasti bahawa saya adalah Type B personaliti.
Saya akan menerangkan lebih lanjut lagi tentang personaliti diri saya iaitu Type B personaliti. Individu yang tergolong dalam personaliti ini ialah individu yang tenang. Pada saya walaupun saya makan dan bercakap dalam keadaan yang cepat namun itu tidak bermakna saya seorang Type A personaliti. Saya merupakan seorang yang sabar dan saya tidak suka akan program yang terlalu berprotokol. Menurut personaliti ini individu berpersonaliti Type B merupakan seorang yang ceria dan lebih menikmati kemanisan sebuah kehidupan berbanding Type A personaliti. Namun ada sesuatu perkara yang merisaukan saya iaitu stress. Ini kerana saya jarang mengalami stress dan menurut rakan saya itu yang menyebabkan saya malas berusaha. Pada saya usaha itu pasti ada namun sejauh mana kita berusaha dan tahap pencapaian kita adalah rezeki Allah. Setiap yang diberikan pasti bersebab. Type B personaliti seorang yang informal, berkeyakinan diri, sabar, tenang dan mencapai kejayaan tanpa stress yang terlampau. Namun Type A personaliti seorang yang formal, tergesa-gesa dan mempunyai kadar stress yang tinggi. Menurut kajian individu yang mempunyai Type A personaliti mempunyai kadar kematian yang tinggi dan lebih cenderung mendapat sakit jantung, keletihan dan sebagainya. Namun setiap personaliti itu pasti ada kelebihan mereka masing-masing.
Tugasan yang kedua ialah menjawab soalan soal selidik MBTI. Ketika tugasan ini dijalankan saya mendapat ENTP iaitu seorang yang berwawasan. Pada mulanya saya hanya ketawa mengenangkan kategori personaliti yang saya dapat melalui soalan soal selidik ini. Namun jika difahami, itulah saya. Mungkin bagi saya perkataan berwawasan itu agak gah bunyinya. Menurut kajian yang dibuat individu berpersonaliti seperti ini amat memberikan perhatian mereka kepada dunia luar dalam penglibatan mereka dalam pelbagai aktiviti luar, bertemu dengan orang baru dan suasana yang baru. Selalunya individu yang berpersonaliti seperti ini bertenaga, bersemangat dalam menjalani kehidupan dan cepat menyesuaikan diri. Mungkin jika dibandingkan dengan diri saya, pasti ada kekurangannya. Namun saya lebih senang menyesuaikan diri dalam keadaan yang baru dan saya lebih gemar memulakan sebarang perhubungan. Mungkin ada segelintir individu mengatakan saya seorang yang banyak cakap atau seorang yang tergesa-gesa. Namun pada saya menjadi seorang yang peramah dan mudah mesra itu tiada mendatangkan kerugian. Bukan sahaja mendapat lebih ramai kawan namun turut meningkatkan tahap keyakinan diri kita. Jika difikirkan sampai bila kita harus menunggu orang lain memulakan sesuatu hubungan dengan kita. Kenapa tidak kita? Itulah yang sering saya fikirkan. Dan apabila berfikir seperti itu dapat memberikan motivasi kepada saya. Daripada pengalaman hidup saya, saya pernah digelar becok oleh guru-guru, keluarga dan rakan terdekat saya. Malah saya pernah berazam untuk menjadi seorang yang pendiam ketika pada hari pertama saya menjejakkan kaki di sekolah berasrama. Namun ia tidak menjadi. Menyandang jawatan sebagai Naib Presiden Pembimbing Rakan Sebaya memerlukan saya berkomunikasi dengan pelbagai orang. Memerlukan kemahiran berkomunikasi yang tinggi untuk menguruskan program-program di sekolah. Saya bersyukur saya dikurniakan kelebihan seperti ini. Hal ini dapat meningkatkan lagi tahap keyakinan diri saya. Seterusnya mempersiapkan diri saya untuk menghadapi kehidupan mendatang.
Tugasan yang ketiga ialah soal selidik mengenai Teori Besar Lima. Menurut kajian ini saya seorang yang adaptive atau lebih mudah menyesuaikan diri. Menurut kajian individu didalam kategori ini merupakan seseorang yang mudah kasihan dan tidak mudah bermusuhan atau mencurigai orang lain. Mereka seorang yang bertimbang rasa, mesra, murah hati, suka menolong dan sedia bekerjasama untuk kepentingan diri dan orang lain. Mereka juga mempunyai pandangan yang optimistik. Mereka juga seorang yang jujur dan boleh dipercayai. Jika dilihat dari kajian yang dilakukan mungkin ada sebahagian sifat yang ada pada saya. Walaupun tidak semua, mungkin ada sesuatu perkara yang perlu diubah menjadi lebih baik. Daripada kajian ini saya lebih mengenali diri saya. Saya merasakan kuliah pada kali ini memberikan impak yang amat besar dalam hidup saya. Sekaligus memberikan motivasi kepada saya untuk menjadi lebih baik. Terima kasih kepada Dr Zamri atas segala-galanya dan Selamat Hari Raya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment