Sunday, August 28, 2011

A132058 Nurul Dayana bt Azmi LJ05 Which Personality Suits You Best?

Assalamualaikum and salam sejahtera sekali lagi saya tujukan kepada Dr. Ahmad Zamri Mansor dan pembaca-pembaca jurnal yang dihormati sekalian. Sebelum saya memulakan jurnal saya yang kelima dan terakhir ini bagi kursus ZT2253, saya ingin meminta ampun ke atas ketidakhadiran saya pada hari Rabu lepas iaitu bersamaan dengan 24 hb Ogos 2011. Hal ini demikian kerana saya dan beberapa rakan sekuliah telah terlibat  dalam penganjuran Majlis Penutupan 'Ihya Ramadhan yang telah dilangsungkan pada malam rabu itu. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr. Ahmad Zamri Mansor sekiranya beliau bersetuju untuk menerima surat pelepasan kami.

 

            Saya telah difahamkan oleh rakan-rakan yang telah menghadiri kuliah minggu lepas bahawa Dr. Ahmad Zamri telah pun menyampaikan kuliah yang berkisar tentang emosi, personaliti dan tingkahlaku di samping telah meminta kami untuk melakukan beberapa tugasan-tugasan kecil sepanjang kuliah berlangsung. Dr. Zamri telah memulakan kuliah dengan memainkan klip video yang berjudul "The Childhood Experience". Setelah menonton video tersebut, saya dapati bahawa pemikiran dan persepsi kita semasa kecil lagi berbanding dengan apabila kita meningkat usia dewasa adalah amat berbeza. Jika sewaktu kecil kita hanya menganggap kehidupan penuh dengan suka duka dan hanya kemanisan sahaja, mentaliti kita sering berubah dengan kematangan usia kepada pendapat kita terhadap kehidupan yang sebenar-benarnya.

 

            Dengan itu, kami dikehendaki untuk menjalankan tugasan pertama iaitu mencari hubungan di antara klip video tersebut dengan "The Psychoanalytic Theory". Berdasarkan teori yang dikemukakan oleh Sigmund Freud, peristiwa sewaktu zaman kanak-kanak, begitu juga pengalaman adalah penting sekali. Pada zaman kanak-kanak, kita seringkali hanya memikirkan tentang indahnya kehidupan dan jarang mengenal erti kepayahan hidup. Klip video ini telah membuka pandangan saya terhadap kehidupan dunia yang sebenar. Walaupun kita terpaksa mengharungi pelbagai halangan dan dugaan hidup, namun kita tidak semestinya berputus asa tetapi seharusnya menanganinya dengan cara yang positif.

 

            Kami juga telah melihat klip video kedua yang berkisah tentang "Personality Types". Setiap manusia memiliki personaliti yang pelbagai ragam. Oleh itu, kita hendaklah bersabar dan bertoleransi antara satu sama lain supaya kehidupan harmoni dapat dinikmati oleh semua. Saya telah mempelajari dua jenis personaliti iaitu "Type A Personality" dan "Type B Personality". Seseorang yang berpersonaliti jenis A selalu melakukan sesuatu perkara dengan pantas. Golongan ini termasuklah orang yang suka makan dengan laju dan memandu kenderaan melebihi had kelajuan. Mereka dikaitkan dengan sikap agresif dan tegas. Antara sifat-sifat yang lain ialah mereka sering tergesa-gesa, bersikap teratur, mengejarkan kesempurnaan dalam melakukan sesuatu tugasan dan memerhatikan jam kerana takut masa dihabiskan dengan melakukan perkara yang sia-sia. Individu yang mempunyai "Type B Personality" adalah bertentangan dengan personaliti yang telah dibincangkan sebelum ini. Individu ini lebih bersifat kepada tenang, penyabar dan senang untuk mengadaptasikan diri dalam apa jua keadaan. Selain itu, mereka mengikuti had laju kenderaan yang telah ditetapkan, tidak tergopoh-gopoh sewaktu makan, tidak mudah risau dan sering dalam keadaan yang tenang atau relaks. Pada pandangan saya, bukan semua sifat-sifat yang terdapat pada "Type A Personality" adalah tidak baik dari segi kesihatan dan mentaliti. Justeru kita hendaklah mengimbangi kedua-dua jenis personaliti mengikut keadaan yang kita harungi. Bagi saya, personaliti saya lebih cenderung ke arah "Type B Personality".

 

            Kuliah diteruskan lagi dengan ujian personaliti Myers-Briggs Type Indicator (MBTI) bagi mengetahui jenis personaliti kami. Menurut MBTI, personaliti dikategorikan kepada empat bahagian seperti yang telah dinyatakan di dalam MBTI® Manual: A Guide to the Development and Use of the Myers-Briggs Type Indicator®. Antaranya ialah "Extraversion" (E) yang menggambarkan orang yang gemar bergaul dengan dunia luar, manakala "Introversion" (I) pula membincangkan tentang individu yang suka hidup dalam dunia sendiri. Seterusnya, personaliti dikaitkan dengan cara seseorang itu memutuskan sebarang keputusan, sama ada berkeputusan mengikut logiknya seperti dinyatakan dalam personaliti jenis "Thinking" (T)  ataupun berdasarkan kepada situasi dan orang yang terlibat seperti dalam personaliti jenis "Feeling" (F). Akhir sekali, personaliti yang berdasarkan struktur, iaitu sama ada ingin menerima sesuatu seadanya ataupun selalu mengambil initiatif untuk mencari maklumat dan pilihan yang lain; "Judging (J) atau Perceiving (P)".

 

            Melalui kuliah, kami turut didedahkan kepada "The Big Five Theory" yang membahagikan personaliti kepada "extraversion", "agreeableness", "conscientiousness", "neuroticism" dan "openness.". Setelah menjalankan sebuah soal selidik, saya mendapati bahawa saya mempunyai personaliti type A atau dalam kata lain, saya digolongkan dalam "agreeableness". Berdasarkan teori ini, individu yang berpersonaliti seperti berikut mempunyai sifat "agreeableness" yang tinggi seperti seorang yang peramah, mudah berkerjasama dan berdedikasi yang tinggi. Tambahan pula, mereka juga merupakan orang yang optimistik dan sentiasa berpandangan terbuka.

 

            Konklusinya, saya berpendapat bahawa kuliah ini telah memberi banyak pengajaran dan kebaikan kepada diri saya. Selepas membuat beberapa pembacaan daripada nota kuliah dan laman web, saya lebih mengenali personaliti diri saya dan saya menerima sebarang kelemahan dan kekuatan diri saya dengan hati yang terbuka. Saya akan membuat yang terbaik untuk menangani kekurangan saya bagi menjadi seorang individu yang berguna kepada masyarakat dan Negara. Terima kasih kerana meluangkan masa anda bagi membaca jurnal saya.

No comments:

Post a Comment