Sunday, August 28, 2011

A131853 Ezza Amirah binti Ruslan LJ05 Kenali diri anda yang sebenarnya

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Jurnal pembelajaran yang kelima ini adalah tugasan jurnal terakhir yang diberikan kepada kami, sebelum tugasan yang seterusnya iaitu tugasan berkumpulan. Alhamdulillah, saya dapat menghadiri kuliah Pengurusan Emosi pada minggu ini iaitu pada hari Rabu, 24 Ogos 2011.  Kuliah pada minggu ini adalah sangat menarik dan interaktif jika dibandingkan dengan kuliah-kuliah sebelum ini. Sayang sekali, hampir separuh daripada jumlah pelajar perubatan tidak dapat sama-sama menghadiri kuliah untuk kali ini oleh sebab hal-hal yang tidak dapat dielakkan. Kuliah pada minggu ini berkisar tentang personaliti manusia dan The Big Five Theory.

Pada permulaan kuliah, Dr Zamri telah menayangkan klip video "The Childhood Experience". Ternyata, mentaliti kita berkembang sepanjang kita meningkat dewasa. Dalam klip video ini, mesej yang cuba disampaikan oleh pencipta klip video ini ialah bagaimana persepsi kita terhadap kehidupan semasa kecil, berbeza dengan di alam dewasa. Semasa kita kecil, dunia ibarat fantasi. Kita hanya melihat kemanisan kehidupan, dan menganggap "all stories have a happy ending". Cerita-cerita dongeng yang sering kita baca dan dengar semasa kecil selalunya berakhir dengan kata-kata "… And they live happily ever after" banyak mempengaruhi persepsi kita terhadap kehidupan sebenar.

Tugasan pertama yang diberikan ialah untuk menghubungkaitkan klip video tersebut dengan The Psychoanalytic Theory. Menurut www.belajarpsikologi.com, teori yang diusulkan oleh Sigmund Freud ini menekankan betapa pentingnya peristiwa pada zaman kanak-kanak dan pengalaman. Semasa kecil, kita menganggap semua yang berlaku akan berakhir dengan indah, jauh sekali kita mengenal erti kesusahan. Apa yang dapat saya manfaatkan daripada klip video ini, ialah pengalaman dan pembelajaran kita memberi impak kepada bagaimana kita melihat dunia. Namun, kita seharusnya sentiasa melihat dunia dari sudut yang positif, kerana tidak semua yang berlaku akan kekal menjadi musibah. Tidak kira apa yang berlaku, kita harus sentiasa pandang ke hadapan dan tidak mengenang perkara yang sudah lepas; seperti yang dinyatakan dalam klip video tersebut:

"Even if those friends betray me, I'll find new ones
Even if the beggar cheats me, I'll keep being generous
Even if the light I see isn't the sun, I'll keep looking for it until I can warm my frozen heart in its warmth.
A long time ago, when I was just a child, I believed that my life was great and that nothing could ever go wrong, I believed that no matter how bad things got there was always a light at the end of the tunnel.
And you know what?
I still believe that."

Klip video kedua yang ditayangkan ialah tentang Personality Types. Seperti yang kita ketahui, setiap individu adalah unik dan mempunyai personaliti yang berbeza antara satu sama lain. Terdapat dua jenis personaliti iaitu Type A dan Type B Personality. Individu yang mempunyai Type A Personality lebih cenderung untuk sentiasa pantas dalam melakukan sesuatu perkara, termasuk semasa makan dan memandu melebihi had kelajuan. Mereka selalunya bersikap agresif, tegas dan bukanlah orang yang penyabar. Ciri-ciri lain ialah mereka bangun di awal pagi, always in a hurry, organised, perfectionist, dan sentiasa memandang jam kerana takut masa dihabiskan begitu sahaja. Ini bertentangan dengan Type B Personality di mana individu yang mempunyai personaliti ini lebih tenang, penyabar dan easy going. Tambahan pula, mereka memandu mengikut had laju, tidak gopoh semasa makan, tidak selalu risau, dan sentiasa dalam keadaan relaks. Selepas melihat klip video ini, saya mendapati ciri-ciri yang terdapat dalam diri saya menepati kebanyakan kriteria untuk Personality Type B. Saya tidak suka melakukan kerja dalam keadaan tergopoh-gapah dan sentiasa relaks walaupun ketika timbulnya masalah. Namun, pada pendapat saya, saya seharusnya mempraktikkan beberapa kriteria Personality Type A supaya seimbang, kerana saya mendapati jika terlalu relaks, saya akan mengambil masa yang lama untuk menyiapkan sesuatu kerja! Terdapat teori yang mengatakan jenis darah seseorang mempunyai kaitan dengan personaliti seseorang. Dalam kes saya, saya mempunyai darah jenis B, dan sememangnya menepati teori ini. Walaubagaimana pun, tidak semua orang mempunyai jenis darah yang sama dengan personaliti mereka.

Seterusnya, kami mengambil ujian personaliti Myers-Briggs Type Indicator (MBTI) untuk menentukan personality type kami. MBTI membahagikan personality kepada empat bahagian seperti yang dinyatakan di dalam MBTI® Manual: A Guide to the Development and Use of the Myers-Briggs Type Indicator®. Pertama, sama ada kita lebih gemar bergaul dengan dunia luar atau hidup dengan dunia sendiri; Extraversion (E) atau Introversion (I). Kedua ialah information, di mana individu tersebut lebih suka menerima informasi seadanya, atau menginterpretasi informasi tersebut: Sensing (S) atau Intuition (I). Seterusnya adalah berkaitan dengan membuat keputusan, sama ada membuat keputusan berdasarkan logik ataupun terpulang kepada situasi dan siapakah orang yang terlibat: Thinking (T) atau Feeling (F). Yang terakhir ialah struktur, sama ada kita mahu menerima sesuatu seadanya atau sentiasa mencari informasi dan pilihan yang lain: Judging (J) atau Perceiving (P). Selepas mengambil ujian MBTI, saya mendapat tahu bahawa saya tergolong dalam kategori ESFP. ESFP turut dikenali sebagai The Performers – iaitu orang yang berprestasi tinggi. Bagi ESFP, mereka gemar mencari pengalaman baru dan "relive" atau mengulangi peristiwa lepas yang membawa kenangan manis. ESFP gemar melibatkan diri mereka dalam aktiviti-aktiviti yang baru selain mencari kenalan baru. Mereka mempunyai sifat belas kasihan yang mendalam terhadap orang lain. Selain itu, mereka sangat bertenaga dan lebih mudah menerima kehidupan seadanya daripada mengkritik setiap benda yang berlaku dalam kehidupan mereka. Melalui pembacaan saya di www.personalitypage.com, saya mendapati bahawa apa yang tertulis di situ adalah sama dengan personaliti saya. Saya suka melakukan perkara yang sama yang pernah saya lalui dahulu, hanya untuk merasai kegembiraan yang pernah saya rasai. Saya juga sering menjaga hati orang lain, kerana saya akan menjadi sangat risau dan serba salah jika rakan saya tiba-tiba berubah mood.

Seterusnya ialah The Big Five Theory yang dikategorikan kepada extraversion, agreeableness, conscientiousness, neuroticism dan openness. Melalui soal selidik ini, saya mendapat keputusan Personality A, iaitu untuk agreeableness. Menurut ulasan tentang teori ini, individu yang mempunyai agreeableness yang tinggi dalam soal selidik ini adalah peramah, mudah bekerjasama, dan berdedikasi. Selain itu, mereka adalah orang yang optimistik. Saya mendapati bahawa saya menepati kriteria tersebut. Hal ini kerana saya adalah orang yang sangat optimistik. Saya sentiasa berfikir positif walaupun apabila menghadapi kegagalan. Sebagai contoh, apabila saya gagal salah satu End of Module Exam (EOM), saya tidak pernah menangisi kegagalan saya. Sebaliknya, saya mencari punca kenapa saya gagal, dan sentiasa memandang kehadapan dan membuat yang terbaik untuk ujian yang akan datang, tidak kira apa yang berlaku.

Kesimpulannya, saya rasa kuliah kali ini sangatlah bermanfaat buat diri saya. Saya dapat mengenali diri saya dengan lebih mendalam. Sememangnya tiada seorang pun yang sempurna. Dengan mengetahui apakah kekuatan dan kelemahan saya, saya akan cuba untuk memperbaiki diri saya supaya dapat menjadi insan yang terbaik. Untuk jurnal yang terakhir ini, saya ingin mengambil kesempatan memohon maaf kepada Dr Zamri dan rakan-rakan seperjuangan sekiranya ada salah dan silap, atau terkasar bahasa. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri! Maaf zahir dan batin.

No comments:

Post a Comment