Kuliah ke empat pada minggu lepas, Dr Zamri telah menyentuh tentang tajuk emosi dan motivasi. Beliau telah mengaitkan komponen emosi fungsian dalam penjelasannya mengenai pengenalan terhadap tajuk ini. Faedah daripada penerangan beliau boleh disimpulkan dengan lebih ringkas dan tepat iaitu, perasaan yang dialami oleh individu akan mempengaruhi tingkah laku seseorang. Emosi boleh ditakrifkan oleh keberkesanan nadanya sama ada positif atau negatif dan tidak pernah neutral. Manakala motivasi pula umumnya dianggap sebagai kajian dalam aspek arah dan tenaga tingkah laku. Seperti apa yang telah diulaskan oleh Dr Zamri sebelumnya, emosi dan motivasi berkait rapat dengan semua komponen emosi iaitu perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan juga tingkah laku. Menurut Baron dan Lagon (1993), emosi dan motivasi tidak dapat dipisahkan dan saling berinteraksi serta memenuhi antara satu dengan yang lain.
Antara pengajaran yang menarik perhatian saya pada minggu ini ialah berkenaan dengan konsep motivasi. Konsep ini boleh terbahagi kepada lima bahagian iaitu motivasi, pemacu, insentif, naluri dan juga kebangkitan. Motivasi ini berkonsepkan faktor luaran yang mempengaruhi tingkah laku seseorang pada masa yang tertentu. Sebagai contoh yang paling mudah, ketika di bulan puasa sangat mudah orang Islam untuk bersabar padahal di luar bulan puasa tabiatnya jauh terlalu panas baran. Sekiranya dikaji dengan lebih lanjut, hal ini adalah disebabkan oleh adanya kata kata yang mengatakan pada bulan puasa tidak boleh marah marah. Maka walaupun penyebab kemarahan itu sama sahaja sama ada pada bulan puasa ataupun bukan, tanggapan ataupun persepsi seseorang itu telah dikuasai oleh faktor luaran. Oleh itu, tingkah lakunya juga berubah mengikut keadaan waktu. Secara tidak langsung dalam hal ini, nasihat untuk bersabar di bulan puasa menjadi satu motivasi walaupun persepsi seperti ini adalah salah kerana sabar itu sebenarnya perlu dipupuk dan dilatih di bulan puasa supaya kelak keluar dari bulan puasa sifat sabar itu terus ada.
Konsep pemacu pula adalah keadaan dalaman atau gerak hati yang mengaktifkan tingkah laku untuk mengurangkan keperluan dan memulihkan homeostasis. Homeostasis pula merujuk kepada kebolehan atau kecenderungan organisma atau sel untuk mengekalkan keseimbangan dalaman dengan menyesuaikan proses fisiologi. Seperti apa yang saya jelaskan dalam jurnal saya yang pertama, fisiologi dalam konteks ini merujuk kepada perubahan dari segi sistem dalaman manusia seperti perubahan kadar pernafasan dan degupan jantung. Sekiranya badan kita Cuma bergantung kepada keperluan fisiologi untuk menyelaraskan homeostasis dan tidak melalui cara alternatif, maka perubahan fisiologi yang melampau boleh memundaratkan seseorang. Seseorang individu itu akan dirujuk sebagai homeostasis yang tidak seimbang. Oleh itu tingkah laku sangat penting sebagai alat dan medium alternatif semula jadi untuk membantu memperbaiki sistem homeostasis.
Insentif pula merujuk kepada penerimaan atau penolakan kepada sesuatu tingkah laku. Konsep ini sangat sukar untuk difahami kerana makna yang ingin disampaikan adalah sangat kabur. Oleh yang demikian, saya bersenang hati untuk mencari lebih lanjut apakah yang dimaksudkan dengan insentif dalam konteks pembelajaran ini. Apa yang saya perolehi Sullivan, arthur; Steven M. Sheffrin (2003) menjelaskan insentif merujuk kepada mana mana faktor yang menyediakan motif bagi sesuatu tindakan serta diambil kira sebagai sebab untuk membuat pilihan berdasarkan kecenderungan perasaan. Sebagai inferensnya ia merujuk kepada harapan yang menggalakan seseorang untuk berkelakuan dengan tingkah laku yang tertentu. Sebagai contoh, lulus peperiksaan dengan harapan mendapat ganjaran daripada ibu dan bapa. Ini akhirnya akan membentuk motivasi kepada seseorang untuk berkelakuan rajin belajar supaya memperolehi ganjaran yang diharap harapkan tadi. Harapan inilah yang dirujuk sebagai motif kepada tingkah laku seseorang itu.
Naluri pula berkonsepkan sesuatu tindak balas yang semula jadi terhadap sesuatu rangsangan. Sebenarnya saya tidak faham mengapa naruli dikira sebagai salah satu struktur kepada emosi atau motivasi. Sekiranya motivasi ini didefinisikan sebagai faktor luaran yang mempengaruhi tingkah laku seseorang, jadi apakah tingkah laku yang dimaksudkan dalam definisi ini hasil daripada didikan seperti sekolah atau kuliah? Ya. Sekiranya dianalisis, motivasi ini mempunyai dua peringkat. Peringkat yang pertama merujuk kepada tindak balas spotan serta bersifat semula jadi terhadap sesuatu rangsangan. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu putus cinta buat pertama kalinya maka emosi yang dialami ialah sedih. Putus cinta ini merupakan faktor luaran yang pertama. Peringkat yang kedua pula ialah wujudya faktor luaran yang kedua menindas faktor pertama. Sebagai contoh dalam hal ini, kawan memujuk supaya bersabar. Pujukan inilah merupakan faktor kedua dan motifnya adalah cenderung kepada kesabaran untuk melawan kesedihan yang dialami. Maka inferensnya ialah yang dimaksudkan dengan motivasi adalah faktor kedua manakala faktor pertama merupakan apa yang dikatakan sebagai naluri.
Konsep yang terakhir adalah kebangkitan. Konsepnya menegaskan bahawa keadaan fisiologi dan psikologi perlu dijaga di tahap optimum, tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah. Konsep ini juga sangat mengelirukan. Berkenaan dengan fisiologi saya telah huraikan di dalam perenggan yang sebelumnya. Psikologi ini merujuk kepada pembelajaran sains keadaan mental dan tingkah laku. Ianya berperanan untuk mengaitkan kesinambungan antara fungsi mental dengan fungsi tingkah laku. Bagi individu yang memiliki persediaan mental yang kuat, tidak kira apa jenis halangan di dalam hidupnya semuanya dapat di lepasi. Lebih mudah saya katakan ia sebagai semangat untuk terus hidup yang kuat. Sebagai contoh, sesetengah individu berjaya menempuhi segala keperitan dalam hidupnya sebagai pelajar perubatan dan individu yang lain tidak berjaya. Perbezaannya adalah banyak berkait rapat dengan persediaan mental kerana segala tingkah laku adalah diasaskan oleh keadaan mental. Sering kali saya dengar pesakit mental berkelakuan aneh dan tidak betul. Sekiranya terlebih daripada tahap optimum, segala yang negatif pula diterima bulat bulat. Jika kurang akan menyebabkan seseorang itu sangat lemah semangat pula. Kesimpulannya, segalanya bergantung kepada keadaan mental.
Perkara yang terakhir saya pelajari daripada Dr Zamri adalah untuk tidak menduakan minda. Maksud yang ingin disampaikan oleh beliau ialah jangan menduakan fokus iaitu kepada kuliah dan juga kepada nota nota perubatan. Nasihat ini penting kerana sekiranya kita menduakan minda kita, maka hasil daripada duduk selama tiga jam di dalam bilik kuliah adalah tidak sedikitpun bermanfaat, melainkan menahan diri di dalam bilik kuliah. Demikian itu Dr Zamri menegaskan untuk menumpukan perhatian kepada kuliah beliau sambil menulis jurnal untuk minggu ini. Secara tidak langsung saya pelajari dari Dr Zamri ialah kesabaran serta tabahnya beliau dalam sepanjang kuliah terhadap mereka yang enggan berkerjasama. Sekiranya saya mengaplikasikan ilmu yang beliau asuhkan, kesabaran ini menunjuk bertapa berpengalamannya Dr Zamri dan ini membuktikan beliau sangat kuat daya tahanan mental. Oleh itu, Dr Zamri merupakan contoh terbaik kepada beberapa konsep emosi dan motivasi. Sesuai dengan tajuk kursus, Dr Zamri sememangnya arif dalam menguruskan emosi. Sekiranya saya pada tempat beliau untuk menyampaikan kuliah, sudah pasti saya akan melepaskan geram kepada pelajar.
Sebagai kesimpulannya, kursus ini walaupun agak membebankan saya kerana kesibukan namun faedah yang saya perolehi daripada kuliah kuliah pengurusan emosi setakat ini cukup bermakna bagi saya. Ini kerana boleh jadi apa yang kita tidak suka tetapi baik bagi kita dan apa yang kita suka sebenarnya tidak baik bagi kita. Adalah menjadi kesilapan besar bagi kita melihat ilmu ini sebagai suatu yang sia sia kerana tidak mungkin Allah menjadikan sesuatu tanpa sebab. Segala puji pujian yang baik bagi-Nya.
No comments:
Post a Comment