Saturday, August 20, 2011

A131322 MOHAMAD IHSANUDDIN BIN ROSDI LJO4 MOTIVASI PENJANA EMOSI YANG SIHAT

Assalamualaikum dan salam sejahtera, hari ini 17hb ogos 2011 saya berpeluang sekali lagi untuk menghadiri kuliah Pengurusan Emosi ZT yang kelima. Kali ini saya telah mengarang jurnal ini secara langsung ketika kuliah ini disampaikan oleh Dr. Zamri, satu pendekatan yang berbeza yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini.
Permulaan kuliah kami dimulakan dengan penerangan Dr. Zamri mengenai tugasan kumpulan yang kami perlu  lakukan bagi melengkapkan salah satu keperluan untuk lulus modul ZT ini. Kami perlu melakukan satu kajian mengenai emosi, di mana kumpulan ini terdiri daripada kumpulan PBL yang sedia ada. Kami mendengar dengan teliti kerana iannya merupakan satu panduan yang amat berguna dan untuk kemudahan kami untuk melakukan kajian di masa hadapan.
Tajuk pertama yang kami pelajari pada hari ini adalah mengenai emosi dan motivasi. Emosi boleh didefinasikan berdasarkan penyampaian secara langsung, dan iannya boleh jadi positif ataupun negatif serta tidak akan menjadi neutral sama sekali. Motivasi adalah aspek tingkahlaku yang mendorong seseorang untuk melakukan sesuatu. Emosi dan motivasi tidak dapat dipisahkan (Baron & Logan, 1993). Ada juga yang berpendapat bahawa emosi boleh menjadi motivasi kepada tingkah laku dan motif boleh menjadi emosional (Lang et al, 1992). Melalui emosi, kita sanggup berkorban apa sahaja termasuklah harta dan nyawa sekalipun tetapi tidaklah kesemua perkara akan menjadi pertimbangan untuk kita berkorban. Perubahan fisiologikal, penilaian kognitif, perasaan, tingkahlaku untuk bertindak kebanyakannya dipengaruhi oleh budaya dan geografi. Emosi yang dianggap positif, negatif, dan bagaimana kita hendak meluahkan emosi itu sendiri.
Motivasi ialah di mana kita memilih apa tindakan yang bakal dilakukan (Bickhard, 1997). Terdapat faktor-faktor luaran dan dalaman yang mendorong seseorang untuk melakukan sesuatu. Antara konsep-konsep yang berkaitan dengan emosi adalah Drive-desakan dalaman yang mengaktifkan tingkahlaku untuk melakukan sesuatu. Yang kedua adalah Incentif-matlamat luaran yang menolak atau menarik sesuatu kecenderungan untuk bertindak.Yang ketiga pula merupakan Incentive yang merupakan matlamat seseorang untuk menampilkan sesuatu perangai ataupun emosi itu. Teori lain pula ada menyebut seperti Instinct yang bermaksud motif adalah semulajadi. Arousal-kita didorong untuk mengekalkan aras kebangkitan yang optimum. Teori  Humanistic (Abraham Maslow) pula  mencadangkan kita perlu memenuhi keperluan asas terlebih dahulu seperti keperluan keselamatan,sosial seperti kawan ataupun kahwin dan keperluan estem.
Di tengah-tengah kuliah itu,kami disajikan oleh lagu dikir barat yang bertajuk Bangkit Asal nyanyian oleh Halim Yazid, pensyarah di Universiti Malaya. Lagu ini menceritakan bagaimana seorang pelajar yang sangat susah pada waktu kecilnya, menghadapi dugaan dan cabaran dalam belajar sehinggalah beliau mendapat sarjana di Universiti Malaya. Beliau mempunyai emosi yang pelbagai yang mampu meruntuhkan semangatnya tetapi hasil dorongan dan motivasi daripada ibu-bapanya, beliau bangkit untuk membuktikan bahawa seorang anak kampong juga mampu untuk menggengam segulung ijazah. Hal ini telah berlaku kepada diri saya sendiri. Sewaktu saya melangkah ke alam persekolahan menengah di salah sebuah sekolah berasrama penuh di Kelantan, saya juga turut mempunyai emosi yang memang saya akui agak sukar untuk saya menerimanya. Abang saya pernah mendaftar di sekolah yang sama pada tahun yang sebelumnya tetapi akibat daripada tekanan emosi dan juga hasil perangai liar senior sekolah tersebut yang suka mendenda pelajar-pelajar junior, abang saya terpaksa memohon untuk keluar dari sekolah terbabit. Apabila saya mula-mula menerima surat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di sekolah yang sama abang saya pernah belajar, saya berasa agak berat untuk memberikan jawapan yang segera. Saya terfikir, apakah kesudahan saya nanti sama seperti nasib abang saya? Emosi saya pada ketika itu agak kacau sedikit, bingung tentang apa yang harus saya lakukan. Tetapi mujurlah emak saya telah cuba mendekati saya pada ketika itu dan bertanyakan kepada saya adakah saya mampu untuk menanggung risiko untuk ke sekolah itu. Beliau cuba menyelami perasaan saya dan berikhtiar agar saya membuat keputusan yang terbaik. Emak saya juga telah memberikan motivasi kepada saya dengan berkata " Angah, angah rasa boleh tak menyahut cabaran untuk belajar di sekolah ini? Walaupun setelah apa yang telah berlaku kepada abang sebelum ini. Emak rasa angah boleh buat, cuba buktikan kepada pelajar-pelajar di sana yang angah bukan seperti abang kamu, dan sebagai pengganti kepada abang." Saranan dan motivasi inilah yang membuatkan emosi saya kembali stabil dan berasa membuak-buak untuk menyambung pelajaran ke sekolah itu. Jadi pada pendapat saya, motivasi memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan emosi seseorang.   
Sesi kedua kuliah ini, kami diajarkan mengenai teori Fisiologikal, kognitif dan psikoanalitik. James-Lange Theory menerangkan situasi akan mengstimulasikan fisiologikal badan untuk bergerak dan meransang emosi. Walter Cannon's mengkritik teori James-Lange tersebut dan mendakwa sistem organ hanya mempengaruhi emosi dengan kadar yang perlahan sahaja. Reaksi fisiologi datang terlalu lambat untuk menghasilkan emosi. Teori ini juga menyatakan bahawa jantung dan perut tidak dapat menghasilkan emosi yang berbagai-bagai. Kadar tekanan jantung, tekanan darah dan proses penghadaman tidak berupaya untuk menentukan mana satu emosi yang sedang dialami. Manusia yang telah menjalani pembedahan pembuangan system saraf masih akan mempunyai emosi. Cannon dan Philip Bard mendakwa (Cannon-Bard Theory) rangsangan akan menghasilkan cas dan akan dihantar  ke otak. Emosi dan perubahan tubuh badan akan dihasilkan pada masa yang sama. Seseorang akan bertindak kepada sesuatu rangsangan dan mengalami emosi itu pada amsa yang sama. Misalnya, jika seseorang takut kepada ketinggian, semasa dia berada dalam tempat yang tinggi, dia akan mengalami emosi takut. Seseorang itu akan bertindak terhadap ketinggian itu. Jack Panksepp(1982,1992) mendakwa bahawa emosi berkait rapat dengan sel otak. Dia mencadangkan empat emosi asas, iaitu takut, berang, panik dan mencari-cari.
 Magda Arnold (1960) mengkritik teori Panksepp dengan mengatakan bahawa hard-wired circuit berkemungkinan tidak begitu fleksibal untuk menjadi asas neurologi bagi penghasilan emosi. Dalam teori kognitif, Schachter's Cognitive Labeling Theory, misattribution, transfer of excitation dan cognitive appraisal theories telah menyokong teori yang telah dicadangkan oleh James-Lang tetapi beliau telah menambahkan faktor kognitif dalam teorinya. Suatu situasi akan mencetuskan tindak balas badan dan selepasnya menghasilkan emosi dan penilaian kognitif. Sebagai contoh, emak saya pada waktu saya kecil dahulu sangatlah garang orangnya. Beliau selalu mendidik kami adik-beradik dengan tegas sekali. Kadang-kala beberapa pukulan hinggap di badan kami yang sangat degil untuk menurut segala arahan yang diminta oleh emak kami. Walaupun begitu jauh di dalam hatinya, saya yakin yang beliau sebenarnya amatlah sayangkan kami semua kerana tidak mahu kami menerima nasib yang serupa dengannya. Sambil beliau memukul kami, emak kami juga menangis, barangkali sedih memikirkan apakah yang akan berlaku terhadap kami semua jika kami masih tetap berdegil dan lalai daripada tujuan kami untuk berjaya di dalam kehidupan dan juga menggapai kejayaan di akhirat dengan menjadi anak yang soleh.
Secara kesimpulannya, motivasi amatlah penting di dalam kehidupan peribadi seseorang kerana ianya mampu untuk membawa kita kembali kepada landasan hidup yang benar-benar membawa kita ke arah kehidupan yang gemilang. Motivasi mampu mengubah emosi seseorang itu dan mampu mengubah emosi seseorang yang lain yang berdekatan dengannya. Kita mestilah belajar untuk mengawal emosi supaya emosi kita akan sentiasa di dalam keadaan yang terbaik. Sekian terima kasih.     

No comments:

Post a Comment