Saturday, August 20, 2011

A131707 Low Pui Ching, Patricia LJ04 Akibat Emosi

Selamat sejahtera kepada semua rakan-rakan yang kini juga merupakan pelajar-pelajar perubatan tahun kedua. Pertama sekali, terima kasih kerana anda semua sudi meluangkan masa membaca jurnal yang keempat saya tentang pengurusan emosi  iaitu "Emosi dan Motivasi" secara lebin terperinci iaitu emosi yang positif dan negatif yang membincangkan tentang  emosi-emosi secara lebih mendalam mengenai jenis-jenisnya. Seperti yang rakan-rakan tahu, saya akan membincangkan tentang ilmu yang telah yang pelajari dalam kuliah Dr. Zamri pada kuliah pada 17 Ogos 2011. Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana beliau telah memberikan banyak informasi yang bermanfaat serta menarik dalam kuliah beliau.

Dalam jurnal ini, saya akan bermula dengan membincangkan tentang emosi positif terlebih dahulu dan kemudiannya, emosi negatif. Emosi positif terdiri daripada gembira, bahagia, dan kasih. Gembira yang juga dikenali sebagai "happiness"  merupakan satu emosi yang dikategorikan dalam perasaan "enjoyment", "pleasure", dan "satisfaction." Inilah yang memaparkan kepentingan manusia letak pada "happiness."

Dalam pandangan psilosogikal, Aristotle mengatakan bahawa "happiness is successful pursuit of pleasure", Plato pula mengatakan "source of happiness is virtuous life", Epicurean berpendapat bahawa "happiness is by maximizing pleasure and minimizing pain" dan yang terakhir ialah Mills yang mengatakan "happiness is the appropriateness of all behaviour." Salah satu aksi yang merupakan tanda gembira ialah senyum. Terdapat beberapa kajian yang telah dilakukan untuk mengetahui "happiness" secara lebih mendalam lagi. Kajian "cross cultural" yang dilakukan oleh Veehoven menunjukkan bahawa "happiness" adalah berbeza daripada satu negara kepada negara yang lain. Diener et al pula mengatakan bahawa dalam kultural Asia, kadar kegembiraan adalah lebih rendah daripada negara lain. Menurut Argyle pula, beliau percaya bahawa orang yang paling gembira tinggal di Amerika Utara, Australia dan Europe. Bagaimana kegembiraan diukur? Ada yang mengatakan bahawa orang yang lebih pandai menyesuaikan diri adalah lebih gembira dan orang yang gembira lebih pandai menyesuaikan diri. Selain itu, Rim percaya bahawa orang yang mempunyai tahap penyesuaian yang lebih tinggi lebih cekap dalam menghadapi masalah dan mereka yang mempunyai penghadapan strategi yang lebih tinggi selalunya membuat diri mereka lebih gembira. Terdapat dua faktor utama dalam kegembiraan menurut Kozma at al iaitu "long term affective states" dan "short term affective states." Dalam "long term affective states", penerusan latar belakang emosi adalah stabil dari bulan ke bulan dan emosi telah dibina daripada pengalaman sejak kecil lagi.

Emosi didefinisikan melalui nada yang effektif dan ia boleh menjadi positif, negatif dan tidak pernah neutral. Motivasi pula selalunya merupakan kajian yang "directional" dan "energizing" dalan aspek perlakuan. Terdapat empat komponen dalam emosi iaitu perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan tingkah laku berkaitan. Jadi, ia dipercayai bahawa emosi mempunyai makna yang lebih besar daripada perasaan. Baron dan logan pula percaya bahawa emosi dan motivasi tidak boleh dipisahkan. Motivasi kepada tingkah laku ialah emosi manakala motif boleh dijadikan emosional. Sebagai contoh, ketamakan dan kebencian boleh menjadi motif dalam pembunuhan. Contoh yang lain adalah seperti cinta yang menyebabkan orang selalu menelefon dan member hadiah kepada pasangan mereka.

Dalam pengalaman saya sendiri juga, saya menyedari bahawa emosi boleh mempengaruhi tindakan orang. Walaubagaimanapun, ia terpulang kepada individu yang mengawal emosi mereka. Jika seseorang itu dapat mengawal emosi mereka dengan baik maka, seseorang itu dianggap lebih pandai mengawal emosi mereka. Akan tetapi, mereka ini dilihat sebagai individu yang lebih suka menyembunyikan emosi sebenar mereka dan sukar bagi kita untuk menginterpretasikan fikiran mereka. Kebaikannya pula, mereka akan dilihat sebagai seorang individu yang professional dalam pekerjaaan mereka kerana dapat membezakan emosi dan kerja mereka dalam situasi-situasi tertentu.

Suatu ketika dahulu semasa saya masih bersekolah di sekolah menengah saya, saya dilihat sebagai seorang pelajar yang pendiam dan tidak aktif. Saya tidak menyedari bahawa ini merupakan satu masalah. Saya hanya menyedarinya apabila saya telah berjaya menjadi seorang pengawas sekolah di Tingkatan 1 setelah melalui tempoh percubaan sebagai seorang calon pengawas. Apabila saya ditawarkan jawatan sebagai pengawas sekolah, saya berasa terkejut kerana saya tidak jangka bahawa pelajar seperti saya layak untuk menjadi seorang pengawas. Saya pun menerima tawaran tersebut dan saya berasa gembira pada masa itu.

Namun kegembiraan saya tidak berkekalan, saya menyedari bahawa terdapat beberapa pelajar yang menyangkal kebolehan saya sebagai seorang pengawas. Mereka menyangka bahawa sebab utama saya dapat menjadi seorang pengawas adalah sebab saya mempunyai keputusan peperiksaan yang baik. Saya berasa amat sedih apabila mengetahuinya tetapi saya menyedari bahawa saya tidak boleh mempercayai kata-kata mereka. Oleh itu, saya telah bertekad dan bermotivasi untuk membuktikan kepada mereka bahawa saya dipilih menjadi seoarng pengawas adalah sebab saya mempunyai ciri-ciri seorang pengawas yang baik seperti amanah, bertanggugjawab dan kepimpinan. Sejak dari hari itu, saya amat komited dalam tugas-tugas sebagai seorang pengawas. Dalam perkhidmatan saya sebagai seorang pengawas, saya telah berubah untuk menjadi lebih berani dan yakin terhadap diri saya. Saya lebih berani dalam menyuarakan pendapat saya. Pengalaman saya sebagai seorang pengawas merupakan pengalaman yang paling bermakna bagi diri saya walaupun tidak semua  pelajar yang pernah menjadi seorang pengawas yang akan bersependapat dengan saya.

Saya mempercayai bahawa pengalaman ini telah mempengaruhi saya melalui emosi saya. Disebabkan saya berasa sedih, motivasi dalam diri saya telah dilahirkan secara tidak langsung. Pengalaman menjadi seorang pengawas telah menjadikan saya sebagai seorang pelajar yang amanah di mana kebanyakan guru-guru di sekolah mempercayai saya dalam menjalankan tugas-tugas tertentu. Selain itu, saya berjaya memegang jawatan dalam kelab dan persatuan kerana pelajar lain mula berasa yakin akan kebolehan saya untuk menjadi mengendalikan pengurusan kelab dan persatuan. Yang paling membanggakan dalam perkhidmatan sebagai seorang pengawas adalah semasa dipertanggungjawabkan untuk memegang jawatan bendahari dalam satu projek. Walaupun saya bukan pengawas yang terunggul dalam tingkatan saya tetapi saya percaya bahawa saya telah mencapai matlamat saya kerana wujudnya dorongan daripada emosi saya itu. Pencapaian yang tidak seberapa ini telah memuaskan hati saya kerana saya tidak berasa sedih lagi setelah berjaya menjadi seorang individu yang lebih matang.

Kesimpulannya, emosi dapat mempengaruhi kita dalam banyak aspek kehidupan kita dan yang paling pentingnya ialah tindakan dan tindak laku kami. Oleh demikian, pengurusan emosi adalah amat penting untuk memastikan emosi itu membawa kebaikan kepada kita dan tidak sebaliknya. Pengurusan emosi juga adalah berlainan bagi setiap orang kerana kita semua tidak mentafsir emosi kita dengan perspektif yang sama. Disebabkan itu, terdapat beberapa kesan emosi terhadap kita sebagai manusia.

Pada pandangan saya, kita sepatutnya memanfaatkan emosi kita dan menjadikan sebagai motivasi. Saya percaya ia adalah lebih produktif dan efektif sekiranya kita didorong oleh sesuatu dan dalam jurnal ini, ia adalah emosi kita.

Akhirnya, saya ingin mengakhiri jurnal ini dengan kata-kata motivasi yang saya tahu iaitu, "Control your emotions or it will control you." Sekian.

No comments:

Post a Comment