Saturday, August 20, 2011

DAPHNE DINDU ANAK JAMAU A131924 LJ04 EMOSI DAN MOTIVASI

Salam sejahtera. Ini merupakan penulisan jurnal yang keempat bagi Kursus Pengurusan Emosi ZZZT2253 yang dikendalikan oleh Dr. Ahmad Zamri Mansor. Dalam kuliah keempat yang diadakan pada Rabu, 17 Ogos 2011, topik "Emosi dan Motivasi" telah dibentangkan.
Kenapa kita perlu menghadiri kelas setiap masa? Kenapa perlu semua pelajar mentelaah buku setiap jam untuk lulus peperiksaan? Kenapa anda memilih untuk memakai baju dan seluar tersebut pada hari ini? Setiap persoalan ini mempunyai jawapannya yang tersendiri, yakni kerana adanya motif di sebalik semua perlakuan ini. Motivasi adalah sebab kenapa kita melakukan sesuatu. Motivasi didefiniskan sebagai satu sifat dalaman (internal state) yang mengaktifkan perlakuan dan mendorong (direct) ke arah pencapaian sesuatu matlamat (goal). Dengan kata lain, motivasi merangkumi perlbagai faktor psikologikal yang menyebabkan seseorang bertindak sedemikian pada satu-satu masa. Emosi pula, seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, didefinisikan melalui "effective tone"nya, samada positif, negative ataupun neutral. Terdapat empat komponen emosi iaitu perasaan (feeling), proses kognitif, perubahan fisiologi dan tingkahlaku berkaitan. Ini bermakna, emosi mempunyai pengertian yang lebih luas daripada perasaan. Seperti yang telah saya ulas dalam jurnal-jurnal yang lepas, emosi dan motivasi tidak dapat dipisahkan dan emosilah yang menjadi motivasi kepada tingkah laku seseorang. Adakalanya tingkah laku tersebut boleh menjadi emosional.
Melalui pembacaan saya dari Internet, terdapat beberapa teori motivasi (theories of motivation). Teori yang pertama ialah teori naluri (Instinct Theory). Pada tahun 1908, William MacDougall menyatakan bahawa manusia didorong (driven) oleh pelbagai naluri (instinct). Naluri bermaksud kecenderungan semulajadi atau yang diwarisi oleh makhluk hidup sebagai tindak balas terhadap ransangan tanpa apa-apa sebab (without reason). Ahli psikologi William James berpendapat bahawa manusia mempunyai naluri seperti kebersihan (cleanliness), ingin tahu, kasih sayang ibu bapa (parental love) dan rasa simpati. Namun, ahli-ahli psikologi akhirnya sedar bahawa terdapat satu kecacatan dalam Instinct Theory tersebut. Ini adalah kerana naluri hanya sebagai tanda (label) sesuatu tingkah laku dan bukanlah sebagai penerangan terhadap tingkah laku tersebut. Teori yang kedua ialah Drive-Reduction Theory. Teori ini mengatakan sesuatu yang memotivasikan kita akan menyebabkan kita melakukan sesuatu tindakan dan ianya didorong (driven) oleh keperluan kita. Keperluan ini terhasil daripada kekurangan atau ketiadaan sesuatu wajib (desirable) atau berguna. Terdapat dua jenis keperluan, iaitu fisiologikal dan psikologikal. Setiap keperluan akan menjurus kepada satu dorongan (drive). Dorongan akan memotivasikan seseorang untuk mencapai matlamat (goal). Sebagai contoh, rasa lapar akan mendorong seseorang untuk makan, manakala rasa penat akan mendorong seseorang untuk berehat buat seketika. Teori yang ketika ialah Teori Insentif (The Incentive Theory). Insentif adalah satu ransangan luaran yang memotivasikan kelakuan. Rasa lapar akan membuatkan kita berjalan ke kafeteria, tetapi insentif untuk tindakan kita adalah nasi yang kita hendak makan. Dalam pembentangan topik "Emosi dan Motivasi" kali ini juga ada dinyatakan tentang Teori Kemanusiaan (Humanistic Theory). Abraham Maslow menyatakan bahawa motif terbahagi kepada beberapa peringkat, bermula daripada keperluan asas kehidupan (basic survival) kepada keperluan psikologi dan keperluan diri sendiri. Keperluan asas kehidupan termasuklah keperluan fisiologikal seperti makanan, minuman dan rehat serta keperluan keselamatan. Keperluan psikologi berada pada peringkat yang kedua yang termasuk keperluan kasih sayang dan keperluan harga diri (esteem) dan pada peringkat yang tertinggi, iaitu peringkat ketiga adalah keperluan diri sendiri (self-fulfillment).
Setelah mengulas serba sedikit tentang teori-teori motivasi, sekarang saya akan mengulas tentang hubungan antara emosi dan motivasi. Saya mulakan ulasan ini dengan beberapa soalan. Apakah yang mendorong (drive) kita untuk mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang? Apa yang kita rasa apabila berjaya mendapat keputusan yang terbaik? Adakah kita berasa gembira, bangga, terharu atau mungkin juga teruja? Selalunya tindakan yang kita pilih adalah berdasarkan emosi kita. Kita memilih tindakan yang patut diambil dengan berpandukan apa emosi yang kita mahukan, dan apa emosi yang kita ingin elakkan. Sebagai contoh, semasa berada di dalam kelas, apakah yang mempengaruhi tindakan kita untuk mengangkat tangan untuk menjawab soalan yang diajukan? Itu bergantung kepada apa yang kita lebih inginkan. Sama ada kita mengangkat tangan untuk menjawab soalan supaya mendapat pujian daripada orang lain apabila dapat menjawab soalan dengan betul atau kita hanya berdiam diri untuk mengelak daripada berasa malu apabila tidak dapat memberikan jawapan yang betul. Kadangkala apabila seseorang tidak dapat mengawal perasan disakiti atau rasa tidak diperlukan (rejection), ianya akan kekal dalam ingatan seseorang dan ini dapat memberi impak terhadap kualiti kehidupannya.
Dalam sesi pembentangan kali ini juga, Dr. Ahmad Zamri sempat mempertontonkan kami sebuah video klip lagu yang dinyanyikan oleh seorang pensyarah dari Universiti Malaya. Video klip ini dinyanyikan dalam dialek Kelantan yang merupakan tempat lahir penyanyi tersebut. Lagi ini berkisar tentang masa silam penyanyi tersebut yang penuh kesusahan serta perit hidupnya semasa zaman kanak-kanak. Beliau berasal daripada kampung kecil di Kelantan namun beliau mempunyai cita-cita yang besar agar dapat membantu menyara ibu bapa serta adik-beradik yang lain. Lalu beliau pun melanjutkan pelajaran ke Kuala Lumpur. Kini beliau telah berjaya menjadi pensyarah di Universiti Malaya dan beliau berasa amat bersyukur terhadap apa yang telah beliau kecapi.
Akhir sekali, emosi dan motivasi memberikan warna dalam kehidupan kita. Hidup tanpa emosi ibarat hidap setengah hidup.  Tindakan yang kita ambil adalah hasil daripada emosi yang kita alami. Mengetahui tentang emosi positif yang perlu kita semai tidak mencukupi tetapi kita perlu menjadikannya sebahagian daripada hidup kita. Namun kebanyakkan individu mengalami kesukaran untuk beremosi positif akibat daripada tekanan di tempat kerja ataupun tekanan semasa belajar. Justeru apa yang penting ialah kebijaksaan dalam mengawal emosi dan tidak terbawa-bawa oleh emosi dalam mengambil sesuatu tindakan. Kawallah emosi anda sebelum emosi mengawal anda.  Untuk mengakhiri jurnal kali ini, saya sertakan beberapa untaian kata – "A work of art which did not begin in emotion is not art" daripada Paul Cezanne, "Any emotion, if it is sincere, is involuntary" daripada Mark Twain dan "The emotions aren't always immediately subject to reason, but they are always immediately subject to action".
Sekian sahaja penulisan jurnal saya pada kali ini. Saya berharap dapat menerima banyak pengetahuan sepanjang mengikuti Kursus Pengurusan Emosi ini. Terima kasih.


No comments:

Post a Comment