Saturday, August 20, 2011

A131749 Nurul Fatin Aqma Binti Ismail

EMOSI+MOTIVASI

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada saudara dan saudari yang masih lagi setia melayan coretan saya buat kali ini. Alhamdulillah saya panjatkan kepada Allah kerana masih lagi memberi saya waktu dan peluang untuk bersama dengan sahabat-sahabat semua berkongsi ilmu dan pengalaman. Ini adalah jurnal yang ke empat di mana kuliah diadakan pada 17 Ogos 2011.
Sebelum Dr. Zamri memulakan kuliahnya, beliau telah menerangkan serba sedikit tentang tugasan 2 yang melibatkan kumpulan pbl iaitu contoh-contoh tajuk yang boleh dipilih, panduan untuk mendaftar ahli kumpulan dan juga cara untuk menghantar tugasan. Kuliah utama dimulakan dengan tajuk emosi dan motivasi. Apa yang saya dapat melalui kuliah ini ialah emosi itu boleh sama ada positif atau negatif, tapi ia tidak bersifat neutral. Menurut Baron &Logan, emosi tidak dapat dipisahkan daripada motivasi, walaubagaimanapun ada juga emosi yang boleh meruntuhkan motivasi seseorang individu itu.
Bickhard menyatakan motivasi ialah di mana kita memilih tindakan yang bakal dilakukan. Secara umumnya, motivasi adalah satu proses yang memilih sesuatu tindakan terhadap sesuatu perkara. Abraham Maslow membahagikan motivasi ini kepada beberapa tahap iaitu, 1) keperluan psikologikal (makanan, minuman, rehat), 2) keperluan keselamatan (perlidungan dan keselamatan), 3) keperluan kasih sayang (kawan, hubungan mesra), 4) keperluan esteem (martabat dan pencapaian diri) dan yang terakhir sekali ialah keperluan diri sendiri (mencapai kepadantahap kemampuan diri).
"Emotion emphasizes arousal, while motivation emphasizes action.
(Emosi berkaitan dengan kebangkitan dalam diri kita dan motivasi itu berkaitan dengan tindakan)
Sebagai selingan, Dr.Zamri telah membuka video nyanyian Halim Yazid, bangkit asal. Sudah banyak kali saya mendengar lagu nie, tapi tak sangka pula doktor akan mainkan kat dalam kuliah. Lagu ini mengisahkan perjalanan hidup, pahit jerih yang ditempuhi oleh penyanyi itu sendiri sehinggalah dia berjaya dalam hidupnya. Tersentuh rasanye apabila menghayati bait-bait lirik yang dinyanyikan. Bagaimana seorang yang berasal daripada keluarga miskin, mencari ilmu untuk meningkatkan taraf hidup keluarga. Setiap perjalanan yang ditempuh, perlukan banyak pengorbanan dan tahap kesabaran yang tinggi. Kritikan daripada orang kampung tidak membantutkan usaha beliau untuk meneruskan pencarian ilmu ke menara gading. Dengan ketentuan Allah, segala usaha yang dilakukan telah membuahkan hasil dan kejayaan menjadi miliknya. Alhamdulillah. Jika kita melihat kepada loghat kelantan, bagi saya loghat percakapan mereka sangat unik dan bagi orang yang lahir luar daripada Kelantan, pastinyalah ada kesusahan untuk mereka memahaminya.
Mengikut kefahaman saya, motivasi ini amat penting dalam kita mengeluarkan dan memilih sesuatu tindakan. Dengan adanya motivasi dalam diri kita, setiap perkara yang kita lakukan pastinyalah dengan penuh semangat dan berasa puas, tidak kiralah sama ada berjaya ataupun tidak. Tetapi jika berjaya, pastinyalah akan berasa sangat seronok. Apa yang paling menarik adalah setiap orang mempunyai sumber motivasi masing-masing. Jikalau saya, sumber motivasi saya adalah mama dan ayah saya. Mereka adalah orang yang sangat penting dalam hidup saya dan kerana merekalah saya berada di dunia ini. Motivasi ini akan luntur jika kita tidak ada usaha untuk updatekannya. Dengan cara, kita menghadiri majlis-majlis ilmu, kem motivasi dan banyak cara lagi yang boleh kita lakukan.
Kuliah yang kedua ialah berkaitan dengan teori-teori fisiologikal, kognitif dan psikoanalitik. Teori fisiologikal terbahagi kepada tiga yang terdir daripada james langed theory, cannon bard teori dan psikobiologikal teori. James Langed theory yang dimulakan oleh William James dan Carl Langed. Mengikut Common sense theory, iaitu teori yang kita semua fikirkan dan fahami, ia bermula dengan satu situasi, yang boleh melahirkan sesuatu emosi dan barulah tubuh badan kita menunjukkan reaksi terhadap situasi yang berlaku. Sebagai contohnya, apabila gagal dalam sesuatu modul (situasi), pastinya rasa sedih bertandang dalam hati (emosi), dan apa yang saya boleh lakukan hanyalah menangis dan untuk menenangkan lagi hati, saya akan menelefon mama dan ayah saya( reaksi tubuh). Tetapi bagi teori james langed ini, sesuatu situasi itu akan menyebabkan reaksi tubuh dahulu, barulah emosi akan lahir. Dan teori ini adalah bertentangan dengan apa yang kita telah fahami sebelum ini.
Namun begitu, The Cannon Bard Theory yang diciptakan hasil usahasama Cannon and Philip Bard, mengkritik teori yang dibawa oleh James Langed dengan menyatakan sistem organ bergerak perlahan, yang lajunya ialah reaksi emosi. tambahan pula, ada juga dinyatakan jantung dan perut tidak boleh menghasilkan emosi yang pelbagai. Manusia yang system sarafnya terputus, individu itu maih lagi boleh merasai emosi yang lahir. Jadi, pastinyalah emosi akan lahir dahulu barulah diikuti dengan reaksi tubuh badan. Psychobiological theory dicipta oleh Jack Panksepp. Di dalam teori ini, ia mempunyai empat asas emosi iaitu takut, rage (acethylcholine), panic, expectancy (dopamine). Emosi asas ini berinteraksi antara satu sama lain dan berperanan dalam menghasilkan emosi-emosi yang lain. Neurochemical yang dihailakan oleh badan juga boleh menyebabkan penghailan emosi. contohnya, dopamine yang terlibat dalam sistem expectancy dan acetylcholine pula terlibat dalam sistem rage. Teori ini mendapat kritikan daripada Magda Arnold. Beliau menyatakan tidak mungkin ada lokasi-lokasi tertentu untuk emosi-emosi yang tertentu.
Teori yang kedua ialah Cognitive theory dimana kognitif ini bermaksud sesuatu perkara yang dilakukan oleh minda kita sendiri. Teori ini terbahagi kepada empat iaitu, cognitive labeling, misattribution, transfer of excitation dan juga cognitive appraisal. Sebagai contoh,  membaca, memahami dan mengingat. Schacter's cognitive labelling memberikan emosi itu terhadap sesuatu perkara. Dalam teori ini, sesuatu situasi mengakibatkan reaksi tubuh dan juga penilaian kognitif (tafsiran yang dibuat oleh minda kita) dan barulah emosi akan lahir. Teori ini dikritik kerana penentuan kepada emosi sebenarnya adalah berdasarkan pengalaman yang lepas, dan tidak berlaku secara tiba-tiba.
Misattribution yang membawa maksud kesilapan dalam membuat anggapan ataupun bahasa mudahnya salah faham.  Seperti mana contoh yang diberi ketika kuliah, apabila seseorang perempuan itu, mukanya berkerut dan macam tak ada mood, ramai yang menyangka bahawa ia adalah disebabkan oleh PMS (premenstrual syndrome). Namun begitu, tak semua jangkaan dan fikiran terhadap seseorang itu semestinya betul. Sifat buruk sangka ini, kebanyakannya akan membawa kepada perbalahan dan persengketaan antara satu sama lain. Sifat buruk sangka ini adalah salah satu faktor yang boleh menggelapkan hati manusia. Dalam hal ini, saya pasti kebanyakan individu mengalaminya.  Apa yang saya harapkan di sini ialah sama-samalah kita belajar dan berusaha untuk mengikis sifat sangka buruk ini.
Setakat ini sahajalah yang mampu saya karang buat kali ini. Terima kasih banyak-banyak saya ucapkan kepada saudara saudari yang sudi meluangkan masa utuk membaca jurnal saya kali ini, diharapkan kalian dapat menambah dan mempraktikkan ilmu mengenai motivasi dan emosi dalam kehidupan seharian.

No comments:

Post a Comment