Saturday, August 20, 2011

A131366 Nadia Natasya Binti Norzam LJ04

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kali ini saya akan menulis jurnal keempat untuk kursus ZT2253. Untuk jurnal keempat ini, saya akan menceritakan pengalaman serta berkongsi serba sedikit mengenai  apa yang telah saya pelajari ketika kuliah yang disampaikan oleh Dr Ahmad Zamri  pada 17 Ogos 2011 yang lalu di Dewan Kuliah 1. Saya telah mempelajari tentang dua topik yang sangat menarik iaitu emosi dan motivasi serta teori FKP.  Kedua-dua topik ini adalah amat penting kerana ianya merupakan salah satu daripada komponen pengurusan emosi. Bagi topik emosi dan motivasi, secara keseluruhannya ia menceritakan tentang hubungan antara emosi dan motivasi serta bagaimana motivasi boleh mempengaruhi emosi. Teori FKP pula secara ringkasnya merangkumi tiga teori iaitu teori fisiologi, teori kognitif dan teori psikoanalisis. Namun pada kuliah yang lalu hanya dua teori pertama sahaja yang sempat saya belajar memandangkan masa tidak cukup. Di bawah teori-teori tersebut terdapat beberapa teori lagi yang akan saya ceritakan kemudian.

Seperti biasa pada kuliah yang lalu Dr Zamri telah menayangkan kami satu video bertajuk 'Bangkit Asal' daripada Halim Yazid. Bagi saya video ini sangat menarik kerana mesej yang cuba disamapaikan oleh penyanyinya dapat memberi motivasi kepada anak-anak muda terutamanya untuk terus berjuang dalam kehidupan walaupun terpaksa menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran yang merupakan lumrah kehidupan. Nyanyian yang disampaikan juga adalah dalam bahasa Kelantan dan secara tidak langsung saya dapat mempelajari beberapa perkataan yang berasal daripada bahasa Kelantan yang belum pernah saya dengar. Secara ringkasnya, video tersebut merupakan kisah benar yang mengisahkan tentang liku-liku kehidupan seorang anak muda Kelantan yang terpaksa bersusah payah dalam menempuh kehidupannya kerana status keluarganya yang miskin. Namun begitu, dia berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading atas usaha serta semangatnya yang kuat dan akhirnya menjadi seorang pensyarah. Di sini, banyak pengajaran yang boleh kita pelajari sebagai contoh kita hendaklah sentiasa tabah dan sabar walaupun hidup kita penuh dengan cabaran. Malah kita juga sepatutnya jangan pernah sesekali berputus asa walaupun gagal dalam sesuatu perkara, sebaliknya kita mestilah mengambil kegagalan itu sebagai satu motivasi untuk kita terus berusaha dengan gigih lagi bagi mendapatkan kejayaan pada masa-masa akan datang.

Musibah antara cara Allah menguji kesabaran hamba-Nya. Firman Allah bermaksud: "Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar." (Surah al-Baqarah, ayat 155).

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami akan membalas orang yang sabar dengan memberikan pahala lebih baik daripada apa dikerjakan oleh mereka." (Surah an-Nahl, ayat 96).

Bagi tajuk emosi dan motivasi, ingin saya berikan dahulu definisi emosi dan motivasi. Istilah emosi menurut Daniel Goleman (1995), seorang pakar kecerdasan emosional, yang diambil dari Oxford English Dictionary memaknai emosi sebagai setiap kegiatan atau pergolakan pikiran, perasaan, nafsu, setiap keadaan mental yang hebat dan meluap-luap. Motivasi pula boleh didefinisikan sebagai sesuatu yang menggerak dan mengarahtuju seseorang dalam tindakan-tindakannya sama ada secara negatif atau positif. Melalui kuliah yang diajar oleh Dr Zamri emosi merupakan salah satu nada efektif sama ada positif atau negatif manakala motivasi adalah satu proses yang boleh menggalakan kita mempunyai arah dan tenaga untuk mencapai sesuatu. Bagi pendapat saya, motivasi sememangnya dapat mempengaruhi emosi. Sebagai contoh, seseorang yang menginginkan seseuatu seperti kasut yang mahal harganya pastinya akan berusaha untuk mendapatkan kasut tersebut dangan apa cara sekali pun walaupun dia terpaksa berjimat-cermat dalam perbelanjaan yang lain dan mungkin dia juga terpaksa mencari alternatif lain untuk mendapatkan wang tambahan. Begitu juga dalam pelajaran, menjadi doktor perubatan sememangnya cita-cita saya sejak daripada kecil lagi. Jadi saya akan belajar dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat saya itu walaupun saya terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan serta tekanan.

 Terdapat empat komponen emosi iaitu perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan tingkah laku yang berkaitan. Menurut Baron & Logan, 1993, emosi tidak dapat dipisahkan dari motivasi. Emosi sebagai motivasi kepada tingkahlaku & motif boleh menjadi emosional (Lang et al, 1992). Contoh emosi sebagai motivasi ialah emosi benci dan dengki terhadap orang lain boleh mempengaruhi seseorang untuk melakukan pembunuhan ataupun melakukan sesuatu yang negatif terhadap orang yang tidak disukainya itu. Walau bagaimanapun, emosi tidak menjadi pendorong kepada motivasi dalam semua keadaan dan tidak semua pendorong berasaskan kepada emosi. Emosi bertindak sebagai tindak balas penyesuaian badan kita kepada peristiwa yang berlaku dalam persekitaran dan ia membantu dalam menyampaikan niat kita kepada orang lain. Selain itu, emosi juga akan mempengaruhi kita untuk bergerak, mengambil tindakan dan menghadapi sesuatu perkara. Menurut Bickhard 1997, motivasi merupakan satu aspek pemilihan proses. Menurut Mook, 1996 pula, motivasi akan membuatkan seseorang melakukan sesuatu perkara – proses pemilihan kursus aktiviti lanjut dan aktiviti interaktif lanjut. Terdapat beberapa konsep dan teori tentang emosi yang saya pelajari pada kuliah yang lepas seperti motivasi sendiri, 'drive'atau pendorong dan juga insentif yang merupakan matlamat yang bertindak sebagai tenaga penarik ataupun penolak seseorang terhadap pencapaian dalam kehidupan. Tambahan lagi, 'drive'dipengaruhi oleh keadaan otak dan banyak sistem yang utama termasuklah yang mempengaruhi emosi terletak di hypothalamus. Saya akan menceritakan dengan lebih lanjut tentang insentif pula. Insentif terdiri daripada faktor yang membekalkan sesuatu motif untuk sesetengah tindakan ataupun sebab seseorang mengambil sesuatu keputusan berbanding dengan yang lain. Antara jenis-jenis insentif yang dibincang adalah kewangan,moral ataupun paksaan.

Bagi tajuk kedua iaitu teori FKP, terdapat beberapa teori yang penting sepeti teori fisiologi, teori kognitif dan teori psikoanalisis di bawah topik ini. Namun begitu, untuk jurnal kali ini saya akan membuat ringkasan tentang teori fisiologi dan teori kognitif sahaja dahulu. . Dalam teori fisiologi, ahli teori fisiologi menekankan bahawa emosi adalah produk daripada otak dan sistem saraf kita. Terdapat tiga jenis teori fisiologi yang telah dibincangkan dalam kuliah tersebut, iaitu theori James-Lang, theory Cannon-Bard dan teori psikobiologikal. Teori James-Lang merupakan teori psikologi yang tertua tentang pengalaman emosi yang di mana diusahakan oleh William James pada tahun 1884. Kemudian, teori ini telah disokong oleh Carl Lange pada tahun 1887 dan ia menjadi teori James-Lange. Hipotesis teori ini adalah fisiologikal reaksi terhadap rangsangan menyebabkan emosi. Walaubagaimanapun, Walter Cannon telah menolak theori James-Lang. Beliau mengatakan bahawa sistem organ manusia yang merangsang respons emosi bertindak lambat terhadap rangsangan. Teori Cannon-Bard mencadangkan bahawa rangsangan dalaman dan luaran akan dihantar ke otak kita dan sensasi emosi tertentu akan dihasilkan. Teori psikobiologikal yang dicadangkan oleh Jack Panksepp menerangkan keadaan psikologikal dan biological yang mengawal sistem jalan dalam badan merupakan faktor penentuan. Beliau telah mencadangkan empat emosi asas iaitu 'fear, rage, panic, expectancy'. Teori kognitif pula mementingkan peranan pemikiran dalam memandu emosi kita. Teori Schachter yang merupakan sebahagian daripada teori kognitif telah menyatakan situasi melahirkan reaksi tubuh.

Sekian.

No comments:

Post a Comment