Sunday, July 31, 2011

A130089 Risq Atiqah Munirah LJ01 "Emosi dan saya"



---------- Forwarded message ----------
From: Risq Atiqah Munirah <risqmunirah@gmail.com>
Date: 2011/7/31
Subject: A130089 Risq Atiqah Munirah "Emosi dan saya"
To: ayahlong_azm.jurnal-emosi@blogger.com, tugasan2253@gmail.com


                Untuk semester 3, tahun 2011 ini, saya telah mengambil kursus pengurusan emosi ZT2253 sebagai salah satu subjek wajib universiti. Oleh hal itu, saya dan rakan-rakan yang lain telah diberi tugas untuk menyiapkan satu jurnal berkaitan dengan tajuk kuliah pertama iaitu pengenalan kepada emosi dan juga tajuk kuliah kedua iaitu struktur dan ekspresi emosi.

          

              Menurut Kleinginna & Kleinginna (1981), "emosi merupakan interaksi yang kompleks di antara factor subjektif dan objektif". Faktor subjektif di sini bermaksud sesuatu yang dipengaruhi oleh kepercayaan peribadi, berdasarkan fakta yang nyata. Manakala, faktor objektif bermaksud fakta atau situasi yang mempengaruhi sesuatu keputusan. Interaksi kompleks di antara faktor subjektif dan objektif ini seterusnya memberi impak kepada perasaan, mewujudkan proses kognitif, seterusnya menyebabkan penyesuaian fisiologi dan diikuti dengan perbuatan terhadap sesuatu perkara. Takrifan yang diberi oleh Kleinginna & Kleinginna (1981), boleh dilihat dalam kehidupan seharian kita, seperti contoh, apabila kita sedang menunggu keputusan peperiksaan untuk diumumkan, perasaan yang wujud sudah pastinya gementar dan gemuruh. Proses kognitif mengintepretasi perasaan itu sebagai gementar, dan kita akan mencari dating dari mana perasaan itu. Oleh yang demikian, kita akan mula memikirkan bagaimana untuk mengatasi perasaan gemuruh tersebut, sama ada dengan berdoa, membaca Al-Quran, mahupun tarik nafas dalam-dalam. Perubahan fisiologi yang boleh dilihat apabila kita mengalami perasaan gemuruh ini ialah, jantung akan berdegup dengan lebih laju menyebabkan kita bernafas dengan lebih cepat. Perasaan loya mahupun sakit perut mungkin juga terjadi akibat daripada perasaan gemuruh tersebut. Lantaran itu, kita akan membuat sesuatu untuk mengatasi perasaan gemuruh tersebut seperti yang telah dinyatakan di atas.

 

                Emosi juga lebih luas maknanya daripada perasaan; di mana menurut Baron & Logan (1993), "emosi tidak dapat dipisahkan dari motivasi". Malah, menurut Lang et al, (1992), "emosi boleh menjadi motivasi kepada tingkahlaku dan motif boleh menjadi emosional". Sebagai contoh emosi cinta kepada seseorang akan menyebabkan kita menjadi lebih penyayang dan berjiwa lebih lembut. Cinta akan mendorong seseorang untuk mengekspresikan perasaan dengan melamar untuk menjadikan isteri, memberi hadiah semasa hari jadi mahupun sentiasa menelefon untuk bertanya khabar. Sebagai contoh, semenjak saya selalu berjauhan dengan keluarga kerana mula memasuki universiti untuk meneruskan pengajian sebagai seorang bakal doktor, saya akan menelefon ibu saya hamper setiap hari untuk bertanya khabar di samping menceritakan setiap perkembangan diri saya agar saya sentiasa rasa dekat dengan mereka walau tidak bertemu muka. Walaupun begitu, dorongan untuk melakukan sesuatu perkara bukan sahaja berasaskan emosi, terdapat perkara-perkara lain seperti perbuatan mengemas rumah didorong oleh sifat pembersih dalam diri.

 

                Dalam kuliah kedua ZT2253 ini juga, kami diperkenalkan dengan pelbagai teori berkenaan dengan struktur dan ekspresi emosi. Teori-teori ini dikelaskan kepada teori evolusi atau biologi dan juga teori pembelajaran. Teori pertama yang menarik minat saya adalah Darwin's Basic Theory of Emotion, di mana menurut teori ini, emosi terdiri dari emosi asas. "Emosi primari ini adalah ciri-ciri dalaman manusia yang dialami serta diekspresikan dalam bentuk yang seragam di semua bangsa dan budaya (Kokoszka, 1993). Dalam bukunya, "The Expression of the Emotions in Man and Animals", menyatakan bahawa, ekspresi wajah melambangkan emosi (sebab muka adalah yang senang dilihat, bukannya organ lain). Ia adalah benar sama sekali kerana, apabila seseorang tersebut malu, kita dapat melihat dengan jelas muka mereka akan mula memerah hasil rembesan hormon. Malah apabila seseorang sedang bersedih juga, kita dapat melihat perubahan dari segi mimik muka mereka, mata yang berair, dan juga hidung yang memerah.

 

                Menurut Rolls, (1990), " Kesemua emosi yang wujud adalah kombinasi gabungan antara emosi-emosi primari". Terdapat banyak teori berkenaan dengan emosi primari, salah satunya adalah; Plutchik's primary emotion theory. Terdapat 3 komponen di dalam teori ini, iaitu language of emotion, basic adaptive reactions, dan dimensions of emotion. Menurut Plutchik's language of emotion; emosi boleh digambarkan dalam 3 bahasa yang berbeza; iaitu bahasa subjektif, bahasa tingkahlaku dan bahasa fungsian. Sebagai contoh, apabila wujud emosi gembira dalam diri saya (bahasa subjektif), akan menyebabkan saya melompat-melompat sambil tersenyum dan tertawa (bahasa tingkahlaku) yang mana menunjukkan bahawa perasaan suka yang amat sangat apabila lulus dalam peperiksaan (bahasa fungsian).

 

                Berdasarkan setiap teori yang saya pelajari di dalam kuliah ini menyebabkan saya sedar bahawa emosi itu adalah sesuatu yang bukan sahaja berkaitan dengan perasaan, malah ia melibatkan setiap tingkah laku, setiap apa yang difikirkan oleh seseorang individu. Saya sedang menjawat jawatan sebagai pengarah program untuk program pertukaran pelajar perubatan Thailand dan juga Malaysia. Menerusi kuliah ini, saya dapat merasakan saya lebih memahami emosi rakan sepersatuan saya. Malah, saya dapat meneka emosi rakan sepersatuan saya dengan memandang mimik muka mereka. Saya dapat meneka sama ada mereka sedang menyampah, menyukai atau pun marah dengan saya. Paul Ekman (1994) , menyokong kesejagatan mimik muka dengan emosi. Lantaran itu, saya percaya bahawa apabila seorang ketua dapat mengenalpasti emosi setiap pekerjanya, hasil sesuatu kerja itu akan lebih baik dan juga lebih produktif. Ini adalah kerana, jika seorang ketua itu tidak prihatin terhadap perubhan emosi setiap pekerjanya dan terlepas pandang bahawa ada di antara pekerjanya yang memarahinya dalam diam, kerja yang di hasilkan oleh pekerja tersebut berkemungkinan sambil lewa dan sekiranya kerja tersebut siap sekalipun, mereka tidak melakukan kerja tersebut dengan hati yang lapang dan dalam keadaan yang gembira. Justeru itu, saya bercita-cita untuk mendalami emosi setiap rakan sepersatuan saya agar saya mengetahui apa sebenarnya yang terbuku di dalam hati mereka dan menyelesaikan masalah dengan baik agar kami semua dapat berkerja dalam keadaan yang gembira dan seronok. Ini kerana, saya lebih suka keadaan yang tidak tegang kerana, saya bukanlah seorang ketua yang suka memarahi dan menghentam ahli-ahli kerana, mereka adalah rakan yang sama-sama belajar dengan saya. Mereka juga belajar dari kesilapan, sepertimana saya yang juga sentiasa belajar dari setiap kesilapan yang saya lakukan.

 

Scherer & Wallbott (1994) , meneliti kajian-kajian meliputi 37 negara dan 5 benua dan mendapati bahawa konsep kesejagatan emosi wajah adalah mantap dan stabil. Yang berbeza adalah bagaimana emosi itu dialami dan dikawal, bukan pada bagaimana emosi itu dizahirkan. Jika dilihat kepada situasi kehidupan seharian kita juga, setiap orang mempunyai emosi masing-masing. Saya percaya setiap orang juga mempunyai perasaan marah, perasaan geram, perasaan sedih. Apa yang membezakan setiap orang adalah bagaimana cara mereka mengawal emosi tersebut agar tidak mengganggu setiap pekerjaan seharian. Sebagai contoh, jika seorang majikan bergaduh dengan isterinya dirumah dan berselisih pendapat; sekiranya beliau merupakan seorang majikan yang berdedikasi, dan bertanggungjawab, beliau akan meredakan perasaan marah dan emosi yang terganggu dahulu sebelum meneruskan kerja beliau. Hal ini kerana, sekiaranya beliau tidak mengawal perasaan tersebut dengan baik, sudah pastinya pekerja-pekerja bawahan beliau akan menerima habuan, makian dan lain-lain yang tidak baik di mana ia bukan sahaja menyebabkan keadaan menjadi tegang, pekerja-pekerja bawahan mereka juga akan mula membenci majikan tersebut dan mengakibatkan produktiviti menjadi kurang daripada biasa.

 

Justeru itu, saya percaya, pengawalan emosi amat penting. Emosi itu penting untuk setiap orang, namun begitu, kita harus mengurus emosi dengan baik agar ia tidak mengganggu kehidupan kita, sebaliknya jadikan emosi itu sebagai motivasi dalam diri kita agar ia menjadi pemangkin kepada kejayaan diri sendiri. Saya sangat teruja untuk meneruskan pembelajaran saya dalam subjek pengurusan emosi ini kerana saya percaya, ia akan meningkatkan kefahaman saya mengenai emosi, dan seterusnya mendidik saya agar lebih bijak dalam mengawal emosi agar setiap perkara yang saya lakukan akan lebih teratur dan saya tidak akan menyakiti hati orang-orang di sekeliling saya.


No comments:

Post a Comment