Sunday, July 31, 2011

Jurnal 1

EMOSI DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN

A132110

Mohd Shahrul Faiz Bin Roslee

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada pensyarah subjek ZT2253 Pengurusan Emosi, Dr. Zamri serta rakan-rakan seperjuangan sekalian. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan sekalung tahniah dan terima kasih kepada Dr. Zamri kerana memberi peluang kepada kami, pelajar perubatan Tahun 2 untuk mempelajari subjek Pengurusan Emosi ini. Pada pendapat saya, subjek ini amat perlu diperkenalkan dan dipelajari oleh mahasiswa terutamanya mahasiswa perubatan kerana kelak kami akan menjadi seorang doktor pada masa kelak. Perjalanan yang kami akan tempuhi sepanjang tempoh pengajian kami amatlah mencabar dan kami haruslah menguruskan dan mengawal emosi dengan baik dan berkesan supaya ia tidak menjejaskan prestasi pembelajaran kami. Di samping itu, kelas Pengurusan Emosi ini juga akan membantu kami menjadi insan yang lebih matang serta pandai mengawal emosi ketika situasi yang kritikal pada masa kelak. Penulisan entri jurnal untuk subjek Pengurusan Emosi ini amatlah bersesuaian dengan kami sebagai mahasiswa kerana sedikit sebanyak penulisan jurnal ini boleh dijadikan refleksi diri tentang pengisian kuliah yang telah diajarkan kepada kami. Di samping itu, penulisan entri jurnal ini juga membantu kami mengulang kaji segala ilmu yang telah kami pelajari semasa kuliah. Pada mulanya saya beranggapan subjek ini tidak sepenting subjek-subjek lain, tetapi setelah menghadiri kuliah pada hari Rabu yang lepas, saya sedar bahawa subjek ini amat penting dan harus juga diutamakan seperti subjek-subjek yang lain.

Pada hari Rabu yang lepas, kuliah Pengurusan Emosi oleh Dr. Zamri telah dimulakan dengan tayangan video yang bertajuk "Emotional Theory of Talented Korean". Video tersebut memaparkan tentang seorang lelaki yang dikenali sebagai Sung-bong. Berdasarkan video tersebut diceritakan bahawa beliau dapat mengawal emosi dengan baik dan berkesan, malahan bukan emosi dirinya sahaja bahkan juga emosi orang di sekelilingnya, termasuklah para juri serta para penonton. Pada mulanya beliau berasa amat gementar dan kurang berkeyakinan bahawa pesermbahannya akan mendapat sambutan hangat daripada para penonton dan para juri. Sebaik sahaja beliau berada di atas pentas, Beliau berjaya memukau para penonton dengan nyanyian yang merdu sekali. Beliau telah berjaya menenangkan emosinya dan menghiraukan perasaan simpati orang lain terhadap pengalaman hidupnya yang susah serta menumpukan sepenuh perhatian terhadap nyanyiannya itu. Pada pendapat saya, sikap sebegini amatlah wajar kerana walau dalam apa-apa situasi pun, kita haruslah mengawal emosi dengan baik dan haruslah tenang serta jangan membuat sesuatu mengikut emosi sahaja.

Selepas sesi video tersebut, kuliah diteruskan dengan pengenalan definisi 'Emosi'. Daripada pembelajaran tersebut, emosi dan perasaan mempunyai banyak perbezaan dari pelbagai aspek. Menurut Kleinginna (1981), emosi merupakan interaksi di antara pegangan seseorang berdasarkan pengalaman yang dialami dengan faktor atau keadaan yang boleh mengubah sesuatu keadaan. Terdapat empat komponen penting dalam emosi iaitu perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan tingkahlaku berkaitan pembentukan emosi. Empat komponen ini memang sering berlaku dalam kehidupan seharian kita dan kita seharusnya wajar mengawal komponen tersebut dengan baik agar setiap tingkahlaku kita bersesuaian dengan keadaan. Contoh yang paling mudah ialah ketika disoal secara spontan di dalam dewan kuliah. Perasaan gementar dan berdebar-debar akan timbul apabila disoal secara spontan (perasaan). Saya akan cuba memikir dan mengingat kembali pengajaran yang diperoleh daripada kuliah itu (proses kognitif). Jantung berdegup laju serta tekanan darah naik seketika akibat cuba mengimbas kembali ingatan (perubahan fisiologi). Akhir sekali, saya menulis jawapan seringkas dan padat yang mungkin dan menjawab soalan yang ditanya oleh pensyarah (tingkahlaku).

Berdasarkan Lang et al (1992), emosi ialah motivasi kepada tingkahlaku dan motif boleh menjadi emosional. Hal ini ditekan sekali lagi apabila Baron dan Logan (1993) mengata bahawa emosi tidak dapat dipisahkan dari motivasi. Pada pendapat saya, saya sangat bersetuju dengan pernyataan ini kerana ia memang berlaku dalam kehidupan seharian kita. Contoh mudah yang boleh diambil ialah sedih apabila mendapat keputusan yang tidak memuaskan dalam peperiksaan. Perasaan sedih ini yang melahirkan semangat serta motivasi kepada diri sendiri untuk lebih terus berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan yang lebih baik dari sebelumnya. Walaupun begitu, dalam sesuatu keadaan sahaja emosi boleh menjadi pendorong (motivator) dan bukan semua pendorong(motivator) berasaskan kepada emosi. Emosi boleh dibahagi kepada dua struktur asas, yang pertama adalah secara lisan dimana seseorang itu menceritakan perasaan yang dialaminya dengan sendiri. Kedua adalah melalui pengkajian secara terus dengan membuat penilaian dengan menggunakan ukuran fisiologi. Beberapa teori seperti Teori Darwin, Plutchik, Tomkin dan Izard juga telah menjelaskan struktur dan eksperasi emosi. Di samping itu, Teori Fisiologi, Teori Kognitif dan Teori Fisioanalisis pula menjelaskan perbezaan ekspresi emosi.

Secara perinci, Teori Darwin telah menyatakan bahawa emosi terdiri daripada emosi asas (primary emotion). Emosi asas  ini merupakan ciri-ciri dalaman manusia yang dialami serta dieksperasikan dalam bentuk yang sama dalam semua bangsa dan budaya (Kokoszka, 1993). Dalam bukunya, "The Expression of the Emotions in Man and Animals", beliau mengata bahawa eksperasi wajah melambangkan emosi kerana eksperasi wajah paling mudah dikenal pasti. Satu bukti yang menarik telah mengukuhkan penyataan ini, 16 soalan tentang emosi diedarkan kepada 36 bangsa yang berbeza dan didapati jawapan adalah sama. Banyak teori seperti Teori Robert Plutchik, Silvan Tomkins, Caroll Izard dan Paul Ekman juga menyatakan emosi asas menghasilkan emosi-emosi yang lain. Emosi asas adalah emosi yang bersifat penyesuaian. Kesemua emosi yang wujud adalah gabungan antara emosi-emosi asas (Rolls, 1990). Plutchik pula menyatakan 3 teori bagi emosi asas. Pertama merupakan bahasa emosi, kedua reaksi adaptif asas dan ketiga adalah demensi asas. Bahasa emosi pula boleh dipaparkan dalam 3 bahasa yang berbeza iaitu bahasa subjektif, bahasa tingkah laku dan bahasa fungsian. Bahasa subjektif merupakan bahasa lazim bagi emosi seperti sedih, gembira dan takut. Bahasa tingkahlaku pula merujuk kepada apakah tindakan susulan dari emosi yang telah diransang seperti menangis dan menutup muka dengan tapak tangan disebabkan oleh perasaan sedih. Bahasa fungsian pula merujuk kepada bagaimana emosi itu berperanan kepada individu. Di dalam reaksi adaptif asas pula terdapat 8 reaksi iaitu takut, meluat, marah, terperanjat, gembira, sedih, terima dan rasa ingin tahu. Manakala terdapat 3 demensi penting di dalam demensi emosi iaitu keamatan, kesamaan dan kepolaran. Keamatan merujuk kepada darjah kekuatan emosi seperti dari terperanjat kepada takut. Kesamaan merujuk kepada hubungan atau perkaitan seperti marah dan sedih lebih dekat berbanding dengan marah dan gembira. Kepolaran pula merujuk kepada kekutuban seperti gembira lawannya sedih.

Kesimpulannya, emosi adalah salah satu elemen penting dalam hidup kita. Kita haruslah mengawal emosi dengan baik dan berkesan serta menitikberatkan keseimbangan emosi dan serta menjadikan emosi sebagai suatu motivasi kepada diri kita untuk berubah menjadi yang lebih baik pada masa akan datang. Saya berharap agar setiap ilmu yang dipelajari mengenai pengurusan emosi ini dapat dipraktikkan kelak. Sekian, terima kasih.

 

No comments:

Post a Comment