A131538 Kii Heng Seng LJ01 Journal Emosi
Selamat sejahtera ingin saya ucapkan kepada rakan-rakan dan pensyarah kami yang amat dihormati, Dr. Zamri. Ini merupakan kali pertama saya disuruh untuk menulis sebuah jurnal. Ini amat merisaukan saya pada mulanya kerana saya tidak pernah mencuba sesuatu sebegini. Walau bagaimanapun, saya berasa amat bersyukur pada akhirnya setelah sedar tentang keberkesanan kaedah ini. Dengan kaedah yang baru dan manarik ini, barulah saya dapat mengorganisasikan ilmu yang saya perolehi semasa kuliah ZT dan seterusnya dapat mengaplikasikannya pada hari-hari kemudian. Selain itu, sebab utama saya sangat tertarik pada tajuk ZT sem ini, iaitu Pengurusan Emosi adalah kerana tajuk ini sedikit banyak ada kaitan dengan psikologi manusia. Pada pandangan saya, untuk menjadi seorang doktor yang berjaya pada masa depan, kami haruslah mengetahui dan mendalami subjek ini. Dengan ini, kami dapat manangani perubahan emosi pesakit atau sendiri pada waktu-waktu kecemasan. Sebenarnya, tiada seseorang individu dapat lari daripada perkataan emosi kerana emosi merupakan komponen penting dalam hidup kita. Kalau seseorang itu tiada emosi langsung, dia akan kelihatan seperti zombie hidup.
Kuliah tentang pengenalan serta struktur dan ekspresi emosi telah diadakan pada 27 Julai 2011. Kaedah yang digunakan oleh Dr. Zamri untuk menarik perhatian para pelajar dalam kuliah adalah dengan menayangkan video sebagai bahan pengajaran. Dalam pandangan saya, kaedah ini amat berkesan kerana berjaya mendapat perhatian sepenuh saya dengan menyebabkan saya berasa terharu dan teringin mendengar isi-isi yang mahu dibentang oleh Dr. Zamri seterusnya. Video yang ditayangkan menceritakan tentang ketabahan seorang lelaki yang bernama Choi Sung Bong dalam membuat persembahan yang mengagumkan di atas pentas walaupun dia berasal dari latar belakang yang tidak sempurna. Semasa persembahan, dia berjaya mengawal emosi ketakutan sendiri dan juga memberi kesan kepada emosi para penonton dan juri. Apa yang paling mengagumkan di sini ialah apabila dia berada di atas pentas, dia cuma fokus untuk buat yang terbaik. Ini merupakan contoh pengawalan emosi sendiri yang baik iaitu dengan cara menikmati persembahan sendiri semasa di atas pentas. Sebelum ini, saya memang seorang yang takut membuat persembahan di atas pentas tetapi selepas menonton video ini, saya yakin bahawa jika saya berpeluang naik ke pentas pada masa depan, saya pasti dapat mengawal emosi ketakutan saya dengan cara ini. Ini juga memberi inspirasi kepada saya tentang cara mengatasi kekurangan tumpuan semasa mengulang kaji. Saya faham bahawa dengan mengawal baik emosi saya sebelum mula mengulang kaji, saya dapat memahami dan mengingati lebih banyak benda dalam nota kuliah.
Dua kuliah telah disampaikan oleh Dr. Zamri pada hari tersebut iaitu Pengenalan (kuliah pertama) serta Struktur dan Ekspresi Emosi (kuliah kedua). Melalui kuliah-kuliah ini, kami telah didedahkan dengan pelbagai aspek emosi. Sebelum ini, saya sangka emosi hanya merujuk kepada perasaan sahaja tetepi selepas menghadiri kuliah yang lepas, saya baru sedar bahawa emosi mempunyai definisi yang amat meluas dan kompleks. Emosi mempunyai maksud yang lebih luas daripada perasaan. Oleh begitu, pelbagai teori telah dikeluarkan untuk menerangkan maksud emosi. Menurut Kleinginna & Kleinginna (1981), emosi didefinisikan sebagai satu set kompleks yang mempunyai interaksi antara subjektif dan objektif di mana system neural dan hormonal menjadi pengantaranya. Subjektif selalunya dipengaruhi oleh kepercayaan seseorang berdasarkan fakta sebenar manakala objektif ialah fakta atau situasi yang mempengaruhi keputusan sesuatu. Seterusnya, emosi mempunyai empat komponen iaitu afektif, kognitif, fisiologi dan tingkahlaku. Saya telah mengaitkan komponen-komponen ini dengan pengalaman saya semasa saya tertinggal barang saya di perpustakaan. Saya berasa risau dan tidak tenang semasa saya mendapati saya telah tertinggal barang tersebut (afektif). Selepas itu, saya memikirkan cara untuk kembali ke perpustakaan yang paling cepat dan saya segera minta bantuan daripada rakan-rakan yang mempunyai kereta (kognitif). Dalam perjalanan balik ke perpustakaan, hati saya berdenyut dengan cepat dan badan saya basah berpeluh kerana risau tentang kehilangan barang tersebut (perubahan psikologi). Selepas peristiwa ini, saya sentiasa memastikan bahawa saya telah menyimpan semua benda saya dalam beg sebelum bertolak balik (perubahan tingkahlaku). Selain itu, saya amat tertarik dengan ringkasan yang diberikan oleh Dr. Zamri untuk mengingati empat komponen ini iaitu AKFB (akaun facebook). A-afektif, K-kognitif, F-fisiologi, B-behaviour. Ini membolehkan saya untuk mengingati komponen-komponen ini dengan mudahnya.
Sebentar tadi saya mengatakan bahawa emosi mempunyai makna yang lebih luas daripada perasaan dan fakta saya ini telah disokong oleh Lang et al (1992), emosi sebagai motivasi kepada tingkahlaku dan motif boleh menjadi emosional serta Logan (1993) mengatakan bahawa emosi tidak dapat dipisahkan dari motivasi. Saya setuju bahawa motivasi berkaitan dengan sesuatu emosi kerana saya sendiri pernah mangalaminya sebelum ini. Perasaan ingin tahu, ingin buat yang terbaik dan perasaan takut untuk mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan, secara tidak sengajanya telah menjadi pendorong saya untuk terus berusaha. Walaubagaimanapun, kami harus tahu emosi tidak menjadi pendorong dalam semua keadaan dan bukan semua pendorong berasaskan emosi. Ini berbeza dengan definisi saya selama ini bahawa emosi hanya tertumpu pada skop perasaan sahaja. Selepas itu, apa yang menarik perhatian saya ialah emosi sebenarnya boleh diukur dan ukurannya tidak sama seperti ukuran fizikal. Untuk tujuan penyelidikan, terdapat beberapa cara untuk mengukur emosi iaitu secara pemerhatian, ukuran fisiologi, penunjuk fisiologi dan pengesan penipuan.
Dalam kuliah yang kedua, beberapa teori seperti Teori Darwin, Plutchik, Tomkin dan Izard telah dijelaskan secara terperinci. Teori-teori ini berkaitan dengan struktur dan eksperasi emosi. Kami boleh membahagikan teori-teori ini kepada dua iaitu teori biologi dan teori pembelajaran. Teori Darwin telah menyatakan bahawa emosi terdiri daripada emosi asas atau emosi primari. Emosi asas ini merupakan ciri-ciri dalaman manusia yang dialami serta dieksperasikan dalam bentuk yang sama dalam semua bangsa dan budaya (Kokoszka, 1993). Dalam bukunya, "The Expression of the Emotions in Man and Animals", beliau mengatakan bahawa eksperasi wajah melambangkan emosi hanya kerana eksperasi wajah paling mudah dikenal pasti. Bukti bagi penyataan ini ialah apabila 16 soalan tentang emosi diedarkan kepada 36 bangsa yang berbeza, semua jawapan didapati adalah sama. Teori Robert Plutchik, Silvan Tomkins, Caroll Izard dan Paul Ekman juga menyatakan emosi primari merupakan asas kepada penghasilan emosi-emosi yang lain dan ini telah membuktikan bahawa emosi asas merupakan emosi yang bersifat adaptif. Penyataan kesemua emosi yang wujud adalah gabungan antara emosi-emosi asas (Rolls, 1990) menyetujui fakta ini. Sementara itu, Plutchik mengeluarkan 3 teori bagi emosi asas. Pertama merupakan bahasa emosi, kedua reaksi adaptif asas dan ketiga ialah demensi asas. Bahasa emosi pula boleh dipaparkan dalam 3 bahasa yang berbeza iaitu bahasa subjektif, bahasa tingkah laku dan bahasa fungsian. Di dalam reaksi adaptif asas pula terdapat 8 reaksi iaitu takut, meluat, marah, terperanjat, gembira, sedih, terima dan rasa ingin tahu. Manakala terdapat 3 demensi penting di dalam demensi emosi iaitu keamatan, kesamaan dan kepolaran.
Kesimpulannya, saya memperolehi banyak pengetahuan sama ada semasa menghadiri kuliah, membaca nota kuliah atau menulis journal. Walaupun journal sudah siap, saya akan terus mencari maklumat tentang teori yang tidak berapa difahami oleh saya. Harap dengan cara ini, saya dapat mengakplikasikan pengetahuan yang talah saya perolehi dalam hidup seharian.
No comments:
Post a Comment