A131862 Nur Anis Amanina Binti Rumzi LJ01 Emosi Kita
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Ini merupakan Jurnal pertama saya untuk ZT2253. Kuliah yang terdahulu dimulakan dengan ice breaking yang sangat menarik oleh Dr. Zamri Ahmad Mansor dan sedkit taklimat mengenai kursus ini. Namun, kuliah kali ini bertambah menarik kerana pada kuliah kali ini, saya dapat mempelajari tentang emosi itu sendiri iaitu tentang pengertian, struktur serta ekspresi emosi yang selama ini tidak saya ketahui. Sepanjang hidup saya, saya hanya kaitkan emosi dengan perasaan sahaja dan tidak lebih dari itu. Padahal, emosi membawa makna yang jauh lebih luas daripada pengetahuan saya yang cetek ini. Emosi berlaku hampir setiap saat dalam kehidupan seharian kita. Berbagai-bagai yang kita rasai, contohnya marah, suka, gembira, sedih, takut dan bimbang. Bagi saya emosi ialah suatu perasaan atau tindak balas yang ditujukan terhadap sesuatu mahupun seseorang. Namun begitu, melalui kuliah yang dipelajari, Kleinginna & Kleinginna mendefinisikan emosi sebagai interaksi yang kompleks antara faktor subjektif dan objektif.
Emosi terbahagi kepada 4 komponen iaitu: yang pertama perasaan, contohnya perasaan yang menyenangkan atau sebaliknya. Yang kedua, proses kognitif iaitu mengetahui punca sesuatu perasaan dan berfikir tentang cara untuk mengatasinya. Yang ketiga, perubahan fisiologi seperti hati berdebar-debar, pernafasan yang lebih laju dan berpeluh. Komponen yang terakhir ialah tingkah laku yang berkaitan seperti berlari, menjerit dan menangis. Contoh situasi seperti berikut; Aman rasa takut dan bimbang kerana jam menandakan dia lewat untuk ke kuliah. Proses kognitif berlaku apabila Aman mengetahui punca perasaan takut itu kerana dia sudah lewat ke kuliah dan bimbang akan dimarahi oleh pensyarah. Perubahan fisiologi yang berlaku ialah hatinya berdebar-debar dek kerana takut. Tingkah laku yang berkaitan ialah dia mula berlari spantas yang mungkin untuk tiba ke kuliah walaupun sudah lewat.
Emosi dapat dilihat, dirasai atau diukur melalui pelbagai cara. Salah satu cara ialah melalui lisan iaitu bagaimana seseorang itu menyatakan emosinya. Contohnya, kita berbual dan menemuramah individu tersebut untuk mengetahui perasaan yang dialami pada waktu itu. Selain itu, kita juga boleh merekod perubahan tingkah laku seseorang individu dari semasa ke semasa untuk mengetahui emosinya. Contohnya, jika seseorang itu berasa sedih, sudah pasti dari hari ke hari, dia akan menjadi lebih murung, kurang bercakap dan juga kurang aktif dalam segala aktiviti. Tambahan pula, emosi seseorang itu boleh diukur melalui perubahan fisiologi. Contohnya, memeriksa kadar pernafasan, kadar dengupan jantung dan juga tekanan darah. Sekiranya kadar dengupan jantung seseorang tinggi, kita boleh menafsirkan bahawa dia mungkin mengalami perasaan takut,bimbang atau berdebar melihat seseorang yang dia sukai.
Untuk kuliah Struktur dan Ekspresi Emosi, emosi terdiri daripada emosi asas iaitu emosi primari. Kokoszka menyatakan emosi primari ini adalah ciri-ciri dalaman manusia yang dialami serta diekspresikan dalam bentuk yang seragam di semua bangsa dan budaya. Charles Darwin menyatakan dalam buku beliau iaitu The Expression of the Emotions in Man and Animals, emosi dapat dilihat melalui ekspresi wajah seseorang kerana muka adalah organ yang senang untuk dilihat dan senang untuk mefsirkan emosi seseorang individu. Contohnya, jika dahi seseorang berkedut, perasaan yang dapat dilihat pada waktu itu ialah perasaan marah atau tidak puas hati. Namun begitu, emosi primari ini terdapat pro dan kontranya. Pro tentang emosi primari ialah emosi primari ini bersifat universal iaitu boleh digunakan oleh semua adat dan budaya serta emosi primari juga dapat menimbulkan perasaan yang unik. Kontra tentang emosi primari ialah, mereka mengatakan bahawa emosi primari itu tidak wujud malah elemen asas yang sebenarnya mewujudkan sesebuah emosi. Teorists seperti Robert Plutchik, Silvan Tomkins, Caroll Izard and Paul Ekman menyatakan bahawa emosi primari menerbitkan emosi-emosi lain.
Teori emosi terbahagi kepada tiga teorist iaitu Plutchik, Tomkin dan juga Izard. Teori Plutchik Primary Emotion membincangkan tentang bahasa emosi, asas tindak balas penyesuaian dan juga dimensi dalam emosi. Menurut teori Plutchik, emosi boleh digambarkan dalam 3 bahasa yang berbeza iaitu; Pertama ialah subjective language atau bahasa subjektif iaitu bahasa biasa bagi emosi seperti sedih, gembira mahupun takut. Kedua ialah behavioral language atau bahasa tingkah laku iaitu bahasa yang merujuk kepada tindakan seterusnya ekoran daripada emosi yang dialami. Contohnya jika gembira, kita senyum atau melompat manakala jika sedih, kita akan mengalirkan air mata. Ketiga ialah functional language atau bahasa fungsian iaitu bahasa yang merujuk kepada fungsi emosi tersebut kepada seseorang dan bagaimana emosi itu berperanan kepada individu. Contohnya, jika kita berani, perasaan ini akan memberikan keyakinan dalam diri untuk kita melakukan sesuatu perkara yang nampak mustahil atau yang kita takuti. Dalam teori Plutchik juga, beliau menyatakan bahawa terdapat 8 asas tindak balas penyesuaian yang merupakan stereotaip kepada semua emosi iaitu marah, takut, meluat, terperanjat, gembira, sedih, terima dan ingin tahu. Selain itu, mengikut Plutchik, emosi juga boleh dibahagikan kepada 3 dimensi yang penting iaitu kekutuban; contohnya benci lawannya gembira, persamaan yang merujuk kepada hubungan mahupun perkaitan seperti takut dan sedih lebih berkait berbanding takut dan gembira dan akhirnya intensiti yang merujuk kepada dajah kekuatan emosi contohnya dari bahagia ke gembira.
Teori Tomkin Facial Feedback pula membincangkan tentang 3 perkara iaitu; apa yang menyebabkan apa, pembelajaran atau kajian yang menyokong teori beliau dan kritikan terhadap teori beliau. Menurut Tomkin ekspresi wajah yang mewujudkan sesebuah emosi. Contohnya, apabila kita senyum, secara automatik kita akan berasa gembira. Terdapat 2 kajian yang dilakukan yang menyokong teori Tomkin iaitu kajian yang dilakukan oleh Ursula Hess dan rakan sekerjanya dan juga kajian yang dilakukan oleh Robert Zanjonc dan rakan sekerjanya. Kajian yang dilakukan oleh mereka berdua telah membuktikan bahawa riak wajah seseorang individu dapat menghasilkan emosi seseorang. Selain itu, kajian yang dilakukan juga menunjukkan bahawa riak wajah seseorang merupakan salah satu elemen yang penting untuk berkomunikasi dengan pihak yang lain kerana ia berkaitan dengan perasaan dalaman seseorang. Manakala kritikan terhadap teori Tomkin ialah mereka mengatakan ekspresi seseorang pada waktu itu tidak menyatakan emosinya yang sebenar. Contohnya, jika seseorang itu senyum, tidak semestinya dia seronok, gembira atau berkeadaan baik.
Teori Izard pula membincangkan tentang ekspresi wajah yang semula jadi. Mengikut Izard, mekanisma untuk riak wajah dan juga persepsi tentang ekspresi wajah adalah semula jadi. Ini dibuktikan melalui 2 kajian iaitu kajian terhadap bayi yang baru lahir 'yang dilahirkan untuk senyuman' dan juga kajian silang budaya. Dalam kajian terhadap bayi, ekspresi bayi terhadap perasaan marah, malu dan takut telah dilihat dan dikaji manakala dalam kajian silang budaya beberapa gambar telah ditunjukkan kepada beberapa peserta dan mereka dikehendaki mengenal pasti tentang perasaan yang dialami oleh individu tersebut.
Sebagai kesimpulan, emosi bukanlah sekadar perasaan semata-mata malah emosi adalah satu cara untuk berkomunikasi dengan manusia disekeliling kita. Emosi dapat kita rasai oleh setiap manusia dalam dunia ini, tidak kira bangsa, umur, agama mahupun kedudukan. Semakin meningkat usia, kita akan mempelajari lebih banyak tentang emosi, cara menunjukkan emosi yang benar dan cara untuk mengawal emosi dalam keadaan yang tertentu dalam kehidupan seharian agar emosi yang dirasai tidak mengecilkan hati orang dan tidak memudaratkan kehidupan kita. Selain itu, emosi juga harus ditonjolkan dengan semula jadi dan dengan ekspresi wajah yang betul agar pihak lain tidak salah menafsir perasaan kita pada waktu tersebut.
No comments:
Post a Comment